SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, September 29, 2018

SURAH AS-SABAK AYAT 17 -- AKIBAT KEINGKARAN


ﺫﻟﻚ ﺟﺰﻳﻨﻬﻢ ﺑﻤﺎ ﻛﻔﺮﻭﺍ

Seperti itu, telah membalas Kami akan mereka, terhadap apa yang telah ingkar mereka …

Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka...


Berlaku bencana ke atas penduduk negeri Sabak adalah disebabkan oleh keingkaran mereka sejak sekian lama. Mereka memilih kehidupan berlandaskan hawa mereka sendiri dan menolang sebarang petunjuk Tuhan. Begitulah perkara yang akan terjadi di negeri ini kiranya mereka memilih untuk berterus-terusan menolak petunjuk Tuhan. Kejadian yang terjadi baru-baru ini, iaitu tentang jatuhnya pemerintahan sebelum ini adalah natijah dari rasa tak puas hati majoriti penduduk negeri ini terhadap polisi yang telah dilaksanakan. Walaupun peluang telah diberi beberapa kali untuk mereka perbaiki keadaan, namun kedegilan berterusan tanpa berpandukan panduan Tuhan, telah mengakibatkan kepentingan yang mereka perolehi selama ini akhirnya hilang begitu sahaja. Segala usaha penat lelah mereka tidak lagi dihargai dan mereka dipandang hina di mana jua mereka berada. Dan mereka sendiri merasa terancam kiranya terdapat aduan rasuah atau salah guna kuasa yang dilaporkan kepada badan penyiasat.

Apakah Bentuk Kerosakan Yang 
Telah Mereka Lakukan?

Oleh kerana contoh yang dipersembahkan melalui pengajaran Surah As-Sabak adalah sesuatu yang berkaitan dengan bencana yang telah terjadi, suatu langkah pengawalan harus dilakukan secara bersungguh-sungguh supaya bencana seumpama itu dapat dihindari atau dapat ditangguhkan lagi pada ketika ini. Di manakah peranan penjawat agama ketika ini, yang harus memberi kesedaran kepada pemerintah baru, tentang betapa penting untuk mengambil perduli terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar. Kiranya di negeri lain telah terdapat usaha terbaru seperti penyediaan “kursus hijau” oleh jabatan agama mereka sendiri, jadi apakah langkah awal yang telah dilakukan di pejabat agama negeri ini? Agama bukan sekadar untuk jadikan kita pejuang yang lantang bersuara tentang LGBT, tetapi pada masa yang sama gagal untuk memperkenalkan panduan khusus berdasarkan panduan Al-Qur’an dan As-Sunnah, untuk kita perbaiki keadaan itu.   

Namun suara-suara seperti ini sebagai dianggap sebagai suara musuh nombor satu yang mencabar autoriti mereka, walhal nasihat yang diberi adalah untuk kebaikan diri mereka sendiri, agar mereka dapat kekal dan terus dapat berada di kerusi mereka itu.

Pertama : Keingkaran Dalam Menerima
                Nasihat Dalam Beragama

Agama dianggap hanya perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadat khusus seperti solat dan zakat, lalu didirikan rumah-rumah ibadat di merata ceruk rantau dan diwujudkan pusat-pusat kutipan zakat. Walhal tertubuhnya rumah-rumah ibadat seperti ini adalah peluang untuk ayat-ayat Tuhan dibincangkan secara teliti, untuk dijadikan panduan hidup. Rumah-rumah ibadat yang harus juga digunakan sebagai tempat beriktikaf ahli-ahli jemaah tertentu telahpun disekat kegunaannya dan tok-tok siak yang diamanahkan untuk menjaga rumah-rumah ibadat, lebih rela menerima gaji buta untuk tujuan itu. Inilah yang terjadi apabila rumah ibadat tidak lagi diletakkan di bawah kawalan ketua agama negeri sepenuhnya dan pihak kementerian yang tidak seharusnya menyibuk dalam urusan agama, istana dan adat, telah mula menyibuk untuk tunjuk rajin menjagai agama ini.

Penulis tidak bermaksud untuk institusi yang mereka berada di dalamnya, adalah sesuatu yang harus dibubar dan penulis sangat bersetuju dengan cadangan supaya peranan mereka perlu dikaji semula. Sekiranya mereka merasai lebih pandai dan merasa lebih layak untuk menyampaikan pengajaran agama, adalah lebih wajar mereka menjadi pihak pertama sekarang ini, yang mengkaji serta meniliti secara mendalam setiap ayat-ayat dalam Al-Qur’an dan menyampaikannya kepada manusia. Namun di manakah peranan itu sekarang ini?

Kedua : Mempengaruhi Orang Ramai 
             Menjauhi Ajaran Agama

Apabila kita berjalan di atas jalanraya di negara ini, sangat sedikit kita dapat melihat penerapan nilai-nilai agama dalam masyarakat. Dan tidak salah untuk penulis nyatakan bahawa, apabila persoalan tentang agama diwujudkan, masing-masing akan menyatakan bahawa itu adalah perkara peribadi yang tidak wajar untuk dinyatakan secara umum.  Siapakah yang mengajar semua ini? Siapakah selama ini yang telah mewujudkan keadaan sedemikian rupa? Jawapannya adalah penjawat-penjawat agama itu sendiri!. 

Mereka telah biasa dengan sebutan istilah-istilah yang sebenarnya sangat layak untuk ditujukan kepada diri mereka sendiri. Sebutan seperti ‘menyeleweng’, ‘sesat’ dan sebagainya, adalah merupakan buah mulut yang menjadi hidangan besar, yang mereka hidangkan kepada ahli masyarakat. Sesat adalah apa yang dikatakan sebagai ‘sesat’ oleh pejabat agama dan menyeleweng adalah apajua kenyataan yang mereka dapat difikirkan sebagai sesuatu yang dapat mengganggu periuk nasi mereka. Apabila dikatakan bahawa sistem perbankan ‘Islam’ sebenarnya sesuatu yang tidak harus wujud di negara ini, mereka akan cepat melenting kerana segala usaha mereka untuk menarafkan nama-nama Islam dalam acuan ekonomi sedia ada sekarang ini, akan dilupakan begitu sahaja. Pendapatan mereka akhirnya dapat terjejas dan kepentingan mereka akhirnya akan lenyap. Apabila ditanya mengapa mereka sanggup membiarkan bank-bank, yang pada asalnya milik umat Islam, berpindah tangan kepada umat kafir, yang selama ini telah berusaha merosakkan anak-anak umat Islam? Mereka seharusnya menjawab;- “hmmm, perkara itu adalah merupakan syari’at tuhan yang telah memerintahkan bahawa umat ini pada akhirnya harus meninggalkan semua ajaran agama mereka sendiri!”.

Di kala itu barulah umat ini mengenali mereka, namun semuanya itu telah terlewat. Di kala itu barulah kita dapat mengenali siapa sebenarnya tuhan yang mereka sembah. Mereka bukan menyembah Allah Ta’ala tetapi ‘allah’ yang telah direkacipta oleh Iblis. Mereka telah membentuk suatu syari’at dalam beragama yang tidak pernah orang-orang dahulu kala mendengarnya.

Ketiga :  Kerosakan Dalam Ekonomi 
              dan Pemerintahan

Contoh-contoh pengamalan yang dilaksanakan oleh ahli-ahli agama, keburukan amalan mereka akhirnya menular kepada sistem ekonomi dan pemerintahan. Cukai yang dikutip tidak dikembalikan kepada rakyat tetapi disonglap. Serupa seperti wang zakat yang mereka songlap sebelum ini. Rakyat yang semakin lama semakin dhaif, semakin resah menghadapi kehidupan. Mereka tiada pilihan, terpaksa memilih percaturan hidup berasaskan riba melalui perbankan kapitalis. Mereka menjadi sangat rajin bekerja semata-mata mengejar kehidupan demi membayar hutang. Kesannya, negara dikatakan semakin maju tetapi sebenarnya dipenuhi hutan-hutan batu. 

Semakin lama semakin ramai golongan susah. Golongan muda pula ingin memberontak tetapi peluang tidak memihak kepada mereka. Cengkaman riba kapitalis telah menjadikan mereka hamba abdi. Mereka bekerja untuk sang tuan yang tidak mereka ketahui dan menjadi banduan dalam jerisi besi tidak kelihatan.

Lalu berjalanlah program pemberhalaan 'allah' yang mengajar mereka ajaran pelik. Di sesetengah negara, mereka menjadi golongan anti sistem dengan membentuk sistem kehidupan baru. Lalu wujudlah golongan-golongan seperti LGBT, pejuang-pejuang feminisma, golongan liberal yang membentuk ajaran 'islam' baru, yang wanita mereka menuntut hak diberi kuasa mencerai suami dan menjadi mak imam. Dan di sesetengah negara lagi, golongan muda mereka diberi senjata untuk memberontak, melawan pemerintahan yang sah, membunuh orang awam yang dikatakan tidak sealiran kefahaman atau tidak seagama dengan mereka.

Apabila mula berlaku kegawatan ekonomi, kita dapati golongan-golongan yang terpedaya ini mula membentuk suatu kumpulan yang kononnya menjadi hero pembela masyarakat. Di sana kita dapat mendengar perkataan-perkataan seperti "supremacy", ketuanan bangsa, demi 'survival', akan mula meniti dari bibir ke bibir. Pada masa itu, keadaan mula tidak dapat dikawal. Anggota-anggota keselamatan dan keamanan yang tidak dibayar gaji secukupnya, mula menjual senjata milik negara untuk membeli makanan. Kesudahannya adalah peningkatan mendadak kejadian jenayah dan bermulalah pembentukan masyarakat berkomuniti yang bertujuan mengawal kepentingan masing-masing. Contoh jelas yang terjadi adalah seperti negara Mexico dan sebahagian negara-negara Amerika Latin. Sebahagian rakyat negara mereka membentuk sistem komuniti mereka sendiri dengan menjadikan dadah sebagai komoditi utama mereka. Akhirnya, aktiviti jenayah mereka tidak dapat dikawal dan mereka menjadi penentu kepada ahli politik tertentu yang mereka ingin jadikan presiden negara.


Menghadapi perkara seperti inilah 
yang setiap kita harus bersedia 
lakukan persiapan awal.

Kejadian seperti ini mungkin dapat terjadi di negeri ini. Kita mungkin buat masa ini tidak dapat menerima hakikat bahawa perkara seperti inilah, yang bakal terjadi. Perkara ini tidak akan terjadi melainkan setelah berlaku kesan keingkaran bersangatan terhadap perkhabaran sedemikian, yang datang dari diri-diri kita sendiri. Daripada kepimpinan yang kita sendiri pilih atau daripada kerja-kerja kita mengalihkan maksud kandungan kitab suci yang sengaja kita lakukan, supaya sealiran dengan hawa nafsu kita sendiri.

Maka sebelum kejadian seperti ini berlaku, Tuhan akan menghantar amaranNya melalui peristiwa bencana yang akan mengejutkan kita semua. Sekiranya limpahan air empangan di laluan Simpang Pulai dan Cameron Highland, kiranya kejadian keruntuhan tanah lereng bukit di Cameron Highland akibat penggunaan baja berlebihan, kiranya kejadian cuaca panas melampau serta kekeringan takungan air untuk perbekalan pada tahun 2015/16 masih tidak menyedarkan kita, kita pastinya akan dapat melihat tanda bencana yang lebih besar bakal terjadi. Ya sememangnya semua bentuk bencana adalah kerja Tuhan, namun yang mengusahakan ke arah bencana itu adalah hasil usaha tangan-tangan kita sendiri. Apabila terjadi bencana tidak seharusnya kita menyalahkan Tuhan semata-mata bahkan salahkanlah diri sendiri kerana menjemput bencana Tuhan sedemikian rupa. 





Friday, September 21, 2018

JENIS TUMBUHAN YANG TUMBUH SERTA KEGUNAANNYA


ﻭ ﺷﺊ ﻣﻦ ﺳﺪﺭ ﻗﻠﻴﻞ

Dan sesuatu daripada bidara yang sedikit

Pemulihan Setelah Suatu Kemusnahan

Selalunya buah-buahan jenis pahit dan masam yang ekstrem, yang datang daripada pepohon yang tumbuh selepas kejadian kemusnahan, memiliki kandungan anti oksidan sangat tinggi dan bersifat anti kanser. Buah nenas muda, buah belimbing besi dan herba seperti bakawali adalah contoh mudah dalam hal ini. Proses yang dikenali sebagai pemulihan juga berlaku terhadap persekitaran lainnya seperti udarakasa, air yang mengalir dan sepsis-spesis ‘baru’ yang mengambil alih tempat berkenaan.

Buah bidara serta bahagian daripada seperti daun-daun bersama rantingnya, sekalipun bukan daripada tumbuhan pahit memiliki kegunaan tertentu yang lain.

Sebenarnya kita tidak perlu risau tentang nasib yang menimpa bumi akibat salah laku amalan kita. Perkara yang harus kita bimbangi adalah tindakbalas bumi terhadap sebarang kerosakan yang terjadi sehingga mengakibatkan kita semua menjadi mangsa. Adakah kita masih mengatakan bahawa kita ini adalah spesis penting yang tanpa spesis ini, kekekalan keadaan bumi ini akan tergugat. Bumi ini telah sekian lama berada dalam keadaan stabil, hijau dan cantik sebelum datangnya manusia. Kemudian Tuhan mengutus manusia untuk mendiami bumi ini dan Tuhan maha melihat, amalan manusia selepas amanah kekhalifahan itu diserahkan kepada mereka.

 “The air will recover”

Suatu masa nanti, pasti manusia akan meninggalkan bumi ini setelah menempuh keadaan yang dikatakan sebagai As-Saah. Kemudian terserah kepada Tuhan untuk mengurus tadbir sebagai bumi yang akan dipulihkan. Di akhirat nanti, manusia akan kembali dibangkitkan dari bumi seperti ini juga, untuk menjalani kehidupan selanjutnya. 



Saturday, September 15, 2018

TUMBUHAN PAHIT UNTUK TUJUAN PEMULIHAN



ﺫﻭ ﺍﺗﻰ ﺃﻛﻞ ﺧﻤﻂ ﻭ ﺍﺛﻞ

berisi kandungan pemakanan pahit dan cemara … 

berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya dan pohon-pohon yang jarang berbuah …

Apabila ditanya, apakah jenis tumbuhan yang tumbuh selepas daripada tempoh kemusnahan sesuatu kawasan? Semuanya tergantung kepada takat dan jenis kerosakan yang dilakukan oleh umat sebelum itu. Kerosakan kesan daripada baja berlebihan yang barangkali terjadi di Negeri Sabak suatu ketika dahulu, mungkin melibatkan penggunaan kedua-dua jenis baja daripada jenis asid dan alkali serentak.

Namun penulis tidaklah sampai ke tahap mengetahui punca sebenar penyebab kejadian yang berlaku kepada Negeri Sabak suatu ketika dahulu. Pengajaran tentang banyak kejadian bencana berdasarkan kisah-kisah daripada kerajaan Fir’aun, surah Al-Haqqah, surah Al-Ma’arij dan surah Al-Muzammil, semuanya itu memberi gambaran tentang punca-punca yang terlibat sehingga mengakibatkan bencana. Dan kebanyakan daripada punca-punca itu, sebagaimana yang difahami penulis adalah sesuatu yang saling berkaitan.

Sesungguhnya sesuatu kejadian yang berlaku di langit dan di bumi, perbezaan siang dan malam serta perkisaran tentang angin yang bergerak antara keduanya, adalah sesuatu yang harus difikirkan oleh umat ini. Saintis-saintis barat sentiasa berusaha untuk memahami perubahan-perubahan itu sehingga mereka dapat mengetahui sebatian-sebatian yang terlibat secara langsung terhadap perubahan cuaca. Namun oleh kerana mereka tidak merujuk kepada panduan Tuhan, akibatnya mereka masih terkial-kial dalam mendapatkan punca-punca yang menjadi penyebab kerosakan.





Sunday, September 9, 2018

TUMBUHAN YANG KURANG DIGEMARI



ﻭ ﺑﺪﻟﻨﻫﻢ ﺑﺠﻨﺘﻴﻬﻢ ﺟﻨﺘﻴﻦ

Dan telah menukar Kami kepada mereka, terhadap dua kebun mereka itu akan dua kebun (yang)

dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang

Bergantung kepada dua keadaan yang berbeza terhadap keadaan tanah yang mereka tinggalkan, contohnya adakah tanah–tanah itu telah dibajai dengan baja berasid atau beralkali berlebihan? Keadaan pH yang ditinggalkan dari penggunaan baja berlebihan seperti ini perlu dipulihkan. Selalunya langit akan datang dengan hujan terlebih dahulu, supaya kesan-kesan toksik pada tanah, adalah yang mula-mula sekali disingkirkan. Sebatian baja berlebihan yang kebanyakannya terdiri daripada amoniakal nitrogen, turut perlu dialir keluar hingga sampai ke laut. Namun kawasan tanah berkenaan masih memerlukan mineral tertentu agar pertumbuhan dapat berlangsung selepas itu.

Kiranya tanah bahagian ini terdiri daripada lebihan residue berasid, maka tumbuhan yang wajar tumbuh selepas itu terdiri daripada pepohon yang menghasilkan buahan berasid dengan rasa lebih masam. Lebihan residue alkali pula akan mengakibatkan bumi berkenaan akan menumbuhkan tumbuhan yang pahit serta kelat.

Sedikit Tentang Pemulihan Di Laut

Baja amoniakal nitrogen dan lebihan detergen yang disingkirkan ke laut, akan melalui proses peneutralan. Oleh kerana orbit bumi mengelilingi matahari pada waktu ini sedang menuju ke keadaan keeliptikan yang tinggi, adalah dijangka dalam beberapa dekad lagi, bumi akan mengalami zaman ais baru. Tanda-tanda awal yang terjadi sebelum zaman itu berlaku adalah pembentukan lebih banyak alga yang akan tumbuh di setiap kawasan berair. Alga akan menjadi sangat subur dengan kehadiran banyak sebatian amoniakal nitrogen dan juga buangan lainnya seperti detergen. Bahan-bahan cemar seperti ini akan segera ditukarkan kepada gas oksigen dan gas nitrogen. Lain-lain bahan cemar seperti lebihan baja jenis lain dan gas karbon dioksida yang terlarut dalam air, turut dapat dikurangi dengan berkesan.

Kemunculan alga akan mengakibatkan
kematian besar kepada hidupan air.
Manusia akan menderita kerananya.

Bergantung kepada keadaan kerosakan yang dilakukan oleh manusia, proses pemulihan akan juga berbeza. Penggunaan racun berlebihan akan memberi kesan kepada penghasilan jenis-jenis alga yang juga daripada jenis beracun. Keadaan ini akan menyebabkan lebih banyak haiwan-haiwan air yang menyingkirkan ammonia dan nitrat akan mati keracunan dan lebih banyak rumpair sama ada di lautan, laut, tasik dan sungai akan dapat tumbuh secara melata. Hanya jenis-jenis haiwan bercengkerang pemakan bangkai sahaja yang akan dapat bertahan. Haiwan-haiwan sesiput (seafood) seperti ini akan membesarkan cengkerangnya dan menjadi buruan para nelayan sebagai sumber makanan baru.





Sunday, September 2, 2018

KESUDAHAN POLISI KEPIMPINAN SEDEMIKIAN!


ﻓﺎﺭﺳﻠﻨﺎ ﻋﻠﻴﻬﻢ ﺳﻴﻞ ﺍﻟﻌﺮﻡ

Lalu telah mengutus Kami atas mereka banjir yang menenggelamkan

lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan

Jadi, apakah perkaitan antara tindakan mereka berpaling daripada pengajaran Tuhan, dengan banjir yang menenggelamkan? Penulis telah jelaskan sebelum ini akan rantaian tindak balas alam terhadap kerosakan yang manusia lakukan. Dalam surah Al-Baqarah ayat 155, telah dijelaskan secara mendalam, rentetan kejadian yang bakal terjadi serta sebab-sebabnya yang menjurus kepada penerangan agak saintifik.

Punca banjir boleh jadi apasaja, sama ada disebabkan oleh kejadian tsunami, hujan lebat dalam tempoh panjang, empangan pecah atau kesan kenaikan paras air laut akibat pencairan ais ataupun berlaku perubahan geologi yang merendahkan daratan. Semua kejadian bencana itu memiliki tujuan tertentu yang salah satunya adalah untuk tujuan pemulihan terhadap kerosakan yang manusia lakukan. Atas usaha sebahagian daripada umat manusia yang berusaha memonopoli aktiviti pertanian dan perniagaan, akhirnya mengakibatkan alam sekitar rosak binasa. Tanah-tanah kini dicemari dengan lebihan baja amoniakal nitrogen sehingga mengakibatkan perubahan struktur kepada tanah terbabit.

Sebagai contoh, sesiapapun memaklumi, tanah pertanian lereng bukit di Cameron Highland, kini mengalami kesan hakisan yang serius gara-gara aktiviti pertanian tak terkawal. Pegawai-pegawai penguat kuasa, seringkali menyalahkan pengusaha-pengusaha yang melaksanakan aktiviti pencerobohan hutan simpan lereng bukit dengan membawa pekerja-pekerja asing tanpa permit. Sesiapapun telah mengetahui, segala usaha serbuan yang dipaparkan di rancangan televisyen, adalah merupakan suatu lakonan semata-mata kerana di bawah meja, mereka telah melaksanakan usaha sedemikian begitu lama melalui perlindungan yang diperolehi daripada pegawai-pegawai berkenaan. Pegawai-pegawai penguatkuasa berkenaan telah disumbat mulut mereka dengan wang rasuah puluhan hingga ratusan ribu ringgit supaya mereka menutup mereka. Aktiviti haram itu terus sahaja berlaku sehingga akhirnya membawa kerosakan struktur kepada lereng bukit berkenaan.

Tanah-tanah pertanian dirosakkan. Petani-petani kecil akhirnya terpinggir dengan sendirinya. Perniagaan badan-badan korporat yang mengurus produk-produk petani kecil akhirnya turut terjejas dan aktiviti ekonomi akhirnya dimonopoli oleh pemilik-pemilik perniagaan besar yang menguasai rangkaian perbekalan makanan bermula dari biji benih, baja, penanaman, penuaian, aktiviti pengagihan hinggalah kepada pemasaran. 

Sementara itu, kapitalis-kapitalis besar yang menguasai pusat-pusat perniagaan besar turut membuatkan peniaga-peniaga kecil yang memiliki mini mart dan premis-premis kedai akhirnya gulung tikar. Di mana-mana jua di negara ini, kita telah melihat pembangunan pusat-pusat perniagaan amat rancak dijalankan. Rumah-rumah kediaman berstatus sederhana dan mewah telah didirikan sehingga mengakibatkan hanya golongan mewah dari luar kawasan atau luar daerah sahaja yang mampu membeli rumah-rumah mewah berkenaan. Pasaran harga yang dimanipulasi oleh kapitalis-kapitalis serta pelabur-pelabur REIT telah mengakibatkan lonjakan harga rumah kediaman sedia ada dan perkara ini akhirnya menjurus kepada pemilikan rumah-rumah baru yang dibiarkan kosong tidak berpenghuni.

Perkara ini akhirnya menjurus kepada kadar pertambahan penduduk yang amat rendah di satu-satu kawasan yang mengalami kepesatan pembangunan. Perkara inilah yang mengakibatkan cengkaman monopoli perniagaan oleh golongasn kapitalis menjadi sangat hebat. Pasaraya-pasaraya milik kapitalis besar yang sanggup menawarkan harga produk makanan pada harga rendah, telah mengakibatkan usaha golongan petani kecil dan peniaga-peniaga kecil akhirnya terjejas. Mereka tiada pilihan lain akhirnya terpaksa menghentikan aktiviti mereka dan bertukar kerjaya.

Terdapat kes-kes tertentu di negeri ini, pembangunan hotel besar dengan premis perniagaan berpusat yang diluluskan oleh individu tertentu telah mengakibatkan premis perniagaan lainnya terpaksa ditutup dan lebih banyak rumah-rumah kedai telah dikosongkan. Hanya kerana rasuah jutaan ringgit sekali terima, telah mengakibatkan nasib anak bangsa sendiri akhirnya terjejas dan mereka menjadi golongan terpinggir di kawasan perbandaran atau bandaraya yang mereka diami.

Kerana perbuatan pecah amanah, 
anak bangsa sendiri akhirnya menderita.



Popular