SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, March 30, 2018

AZAB BAGI MEREKA YANG MENYELEWENG


ﻮ ﻤﻦ ﻳﺰﻍ ﻤﻨﻬﻢ ﻋﻦ ﺍﻤﺮﻨﺎ ﻨﺬﻗﻪ ﻣﻥ ﻋﺬﺍﺏ ﺍﻟﺴﻌﻳﺮ

Dan barangsiapa yang ia menyeleweng daripada mereka tentang urusan Kami, Kami rasakan akannya daripada azab yang membakar.

Dan siapa yang menyimpang di antara mereka dari perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala.

Dalam ayat ini, azab yang dikenakan kepada golongan menyeleweng adalah daripada bangsa jin. Bentuk azab yang dinyatakan dalam ayat ini adalah secara segera. Penulis tidaklah dapat menjelaskan bentuk azab yang ditimpakan kepada golongan jin yang menyeleweng itu. Keistimewaan yang Tuhan kurniakan kepada Nabi Sulaiman A.S. adalah merupakan kehinaan terhadap bangsa jin. Bangsa jin telah diperintahkan untuk bekerja sebagai hamba abdi di hadapan Nabi Sulaiman A.S. sehingga mereka menyangka bahawa azab yang menimpa mereka, apabila mereka ingkar perintah, adalah kesan amalan sihir yang baginda lakukan. Baginda tidak mengamalkan sihir bahkan syaitanlah yang mengamalkan sihir sebagai satu manifestasi keingkaran kepada Tuhan.


Kurniaan Tuhan kepada Sulaiman A.S. 
bukanlah sihir.

i.     Hikmah Penguasaan Nabi Sulaiman 
       A.S. Terhadap Bangsa Jin Suatu 
       Ketika Dahulu.

Penulis telah jelaskan sebelum ini tentang teknologi Nabi Daud A.S. dalam usaha baginda memanipulasi logam besi dengan cara melembutkannya. Seterusnya penulis telah nyatakan tentang perkara yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman A.S. melalui teknologi bangsa jin yang baginda kuasai. Mengapakah pemberitaan seperti ini diperolehi daripada Al-Qu’ran? Di manakah peranan umat Islam selama ini dalam usaha mempelajari dan menggunakan teknologi daripada Nabi Daud A.S. dan Nabi Sulaiman A.S. untuk tujuan penerbangan dan sebagainya?  Akhirnya setelah keagungan kekhalifahan umat Islam lenyap, mereka masih ditakuk lama dan tidak memperolehi apa-apa daripada Al-Qur’an untuk tujuan tersebut. Ilmu tentangnya diperolehi sendiri oleh golongan ingkar melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan mereka. Atas kelemahan umat Islam sendiri pada masa ini, mereka masih kekal dijajah daripada penjajahan minda hinggalah kepada penjajahan ekonomi.

Namun teknologi yang diusahakan oleh golongan ingkar dalam kalangan manusia pada masa ini, masih dapat dikatakan rendah serta ketinggalan zaman berbanding teknologi yang diusahakan oleh bangsa Jin. Kelebihan teknologi bangsa jin yang seringkali disaksikan oleh sebahagian manusia masa kini, seringkali disalah anggap sebagai teknologi makhluk asing yang datang dari luar planet bumi. Manusia terutama daripada golongan bukan Islam, tidak memiliki cukup idea tentang latar belakang teknologi sedemikian rupa ataupun tentang latar belakang ‘makhluk asing’ itu sendiri. Dengan berbekalkan petunjuk Tuhan melalui Al-Qur’an, perkara sedemikian sebenarnya terdapat penjelasan yang agak teliti.

Menyampaikan perkara tentang ‘makhluk asing’ ini kepada manusia seluruhnya dikatakan akan mengakibatkan letupan minda. Tiba-tiba sahaja dikatakan terdapat makhluk canggih selain manusia, yang telah mendahului manusia darihal teknologi penerbangan dan penjelajahan ke jasad kalestial angkasa lepas seperti bulan. Kecanggihan teknologi makhluk asing sedemikian rupa telah cuba ditakrif sebagai “bahawa makhluk ini adalah lebih pintar, lebih bertamadun dan lebih arif tentang alam berbanding manusia sendiri”. Seterusnya ditimbulkan persoalan yang awal-awal lagi telah diduga iaitu apakah agama mereka? Kiranya mereka beragama, siapakah yang mereka sembah? Adakah mereka bersolat menghadap kiblat seperti kita? Adakah mereka menyembah Jesus? Kiranya mereka tidak beragama, mengapa pula perlu manusia, yang dikatakan kurang canggih berbanding mereka untuk hidup beragama? Mengapakah manusia yang kurang canggih memerlukan pakaian yang menutupi tubuh mereka, sedangkan makhluk asing yang bertelanjang bulat itu dapat maju jauh lebih canggih berbanding manusia? Dan pertikaian paling penting sekali, sejauh manakah kebenaran kitab suci umat ini yang menyatakan bahawa manusia adalah rekaciptaan Tuhan paling sempurna? Kiranya perkara tentang kecanggihan makhluk asing itu diterima manusia, tentunya akan terdapat ramai daripada umat beragama dikatakan akan murtad kerana menerima pakai kata-kata makhluk asing, yang menganggap bahawa agama adalah suatu dogma semata-mata. Dapatkah Al-Qur’an menjawab persoalan-persoalan ini? Sebenarnya Al-Qur’an telah memberi gambaran tentang perkara 'makhluk asing' ini sejak zaman Nabi Sulaiman A.S. lagi.


 
Masih ingat futej ini? Kiranya perkara
 yang disampaikan makhluk ini diterima 
manusia, tentunya akan mencabar 
ajaran agama.

ii.   Mengapa Teknologi Bangsa Jin Yang 
      Digunakan Nabi Sulaiman A.S. Sehingga 
      Kini Masih Tidak Diwarisi Oleh 
      Mana-mana Pentadbiran Manusia?


Kesombongan daripada petunjuk Tuhan melalui Al-Qur’an, menyebabkan umat ini tidak memperolehi teknologi yang telah Nabi Sulaiman A.S. manfaatkan dan juga pelbagai bentuk teknologi masakini yang dipelopori oleh golongan ingkar. Pada hari ini, umat ini terutamanya umat Islam telah mengambil Al-Qur’an sebagai sesuatu yang ‘mahjoora’ iaitu dipindahkan ataupun dijauhi. Usaha memahami Al-Qur’an dan mengambil pelajaran tertentu daripada ayat-ayat tertentu dianggap sebagai perbuatan bid’ah. Akhirnya bid’ah besar terjadi kepada umat ini apabila menganggap bahawa penemuan saintis-saintis Barat adalah suatu yang harus dijadikan ukuran untuk mengesahkan kebenaran Al-Qur’an.





Saturday, March 24, 2018

SEJARAH NABI SULAIMAN A.S. MENUNDUKKAN BANGSA JIN


Sejarah Nabi Sulaiman A.S. dengan keupayaan baginda menguasai bangsa jin dengan izin Tuhan, adalah peristiwa silam yang dirakam melalui Al-Qur’an. Penulis melihat sesuatu yang berlaku masakini dengan penyaksian fenomena pelik-pelik adalah sesuatu yang harus dikaji dan bukannya dijadikan perkara yang dijauhi daripada pengetahuan orang ramai. Tiada jawapan mudah untuk diperolehi melainkan kiranya kita dapat merujuk kembali kepada kitab suci. Namun mengapakah selama ini perkara sedemikian tidak pernah dibincangkan secara mendalam melalui kitab suci? Untuk itu kita harus melihat kembali secara teliti, satu ayat demi satu ayat, satu perkataan demi satu perkataan, satu huruf demi satu huruf dan satu tandaan demi satu tandaan. Tujuannya adalah supaya kita temui jawapan seberapa hampir yang boleh, terhadap persoalan tentang bangsa jin pada masa Nabi Sulaiman A.S. Seterusnya kita akan dapat mengaitkannya dengan fenomena pelik-pelik yang terjadi masa kini.

Dalam beberapa blog sebelum ini, penulis ada menyelitkan beberapa gambar serta klips video, yang pertimbangan manusia masakini menganggapkannya sebagai sebahagian teori konspirasi. Suatu itu disebut sebagai sebahagian teori konspirasi, apabila tiada penjelasan mudah serta bernilai saintifik dapat diguna pakai untuk menjelaskannya. Namun apabila beberapa perkara ‘mistik’ itu cuba dijelaskan secara logik saintifik, tentunya akan terdapat penentangan terhadap penjelasan sedemikian. Penulis, dalam hal ini sebenarnya tidak pernah memaksa sesiapapun untuk menerima atau menolak ‘kenyataan’ sedemikian. Semuanya terpulang kepada pembaca sendiri untuk membuat penilaian secara analitik.

i.    Mengapa pihak berkuasa selalu memilih 
      untuk menolak teori konspirasi?

Berdasarkan pertimbangan rasional saintifik, sesuatu ini harus diterima berdasarkan fakta semata-mata. Sebagai contoh, peningkatan gas karbon dioksida di permukaan bumi berbanding sebelum ini – adalah suatu fakta. Namun fakta ini tidak pernah mencadangkan bahawa gas karbon dioksida adalah penyebab kepada perubahan cuaca. Akhirnya tindakan yang telah dilakukan adalah berdasarkan kepada cadangan bahawa "peningkatan kandungan gas karbon dioksida di udarakasa - menjadi penyebab kepada perubahan cuaca bumi". Kesudahannya, tindakan yang dilakukan itu masih juga tidak mendatangkan kesan ketara terhadap pemulihan bumi sehingga kini. Dalam hal ini, di samping fakta, teori juga haruslah diambil pertimbangan kerana tindakan sedemikian akan mendedahkan kita kepada kepelbagaian bentuk teori lain, yang diharap, salah satunya dapat diguna pakai kemudian hari nanti. Menyempitkan tindakan hanya kepada fakta, belum tentu dapat memberi penjelasan atau hasil yang memuaskan.

Dalam hal ini, penulis mencadangkan bahawa apabila pihak berkuasa cuba menutup sesuatu yang kemudiannya dikatakan sebagai sebahagian teori konspirasi, sebenarnya pihak berkuasa khuatir, apabila perkara sebenar cuba dijelaskan kepada seluruh ahli masyarakat, pelbagai bentuk kekalutan mungkin akan timbul. Apatah lagi kiranya sesuatu itu berkaitan dengan perkara kepercayaan beragama umat.

ii.   Teknologi Bangsa Jin Dan Kesempatan 
      Golongan Globalis

Puak globalis adalah mereka yang bercita-cita besar untuk menguasai bumi ini secara keseluruhannya. Pelbagai rancangan teliti telah dilakukan oleh mereka. Pelbagai bentuk rencana yang kita dapat kenal pasti seperti gerakan feminism dan liberalisasi, kesamarataan hak, pengenalan kepada penggunaan matawang maya dan pelancaran dana hijau, adalah merupakan rancangan awal untuk tujuan berkenaan. Mereka memerlukan asas kukuh supaya mereka dapat menguasai manusia secara total. Manusia diperhambakan melalui bebanan hutang yang sengaja diwujudkan untuk menyusahkan diri mereka sendiri kemudian hari. Melalui penggunaan matawang maya, capaian kepada kemudahan berhutang menjadi semakin mudah dilakukan. Akhirnya bebanan hutang yang teruk akan mengakibatkan terjadi pelbagai bentuk penindasan terancang sehingga mengakibatkan kehidupan manusia hanya seperti makhluk bernyawa yang tidak berperasaan. Apabila capaian terhadap keperluan asas semakin sukar diperolehi, akibat bebanan hutang berlebihan yang ditanggung oleh negara, maka akan terjadilah kekecohan. Negara tidak mempunyai pilihan melainkan memungut wang rakyat demi membayar hutang. Rakyat yang kekurangan wang dan kebolehan akses kepada makanan, akan mula melakukan jenayah dengan menganiayai sesama mereka. Kemuncak kekalutan yang berlaku seperti inilah... merupakan peluang yang ditunggu-tunggu oleh golongan globalis.

Pada zaman ini bukan tak cukup makanan
untuk rakyat makan. Mereka jadi tak cukup
makan bukan kerana tak cukup makanan, 
tetapi kerana bebanan hutang berlebihan.
(Inilah percubaan awal globalis yang
membuahkan hasil)

Perkara yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan dunia, dalam melakukan amalan ekonomi kapitalis menggunakan sistem matawang maya dalam masa terdekat ini, adalah langkah mula kepada proses globalisasi. Tidak akan berlaku sebarang kekalutan semasa proses ini mula dilaksanakan. Mereka akan memberi bantuan sepenuhnya terhadap negara-negara berkenaan, yang tujuan akhirnya supaya negara-negara berkenaan akan diikat melalui jumlah hutang yang tinggi. Apabila jumlah hutang rakyat, institusi-institusi serta hutang negara semakin meningkat, mereka akan mengenakan syarat baru supaya produk-produk keperluan yang berada di bawah kawalan mereka sahaja, yang dibenarkan untuk diniagakan. Mereka akan menguasai sepenuhnya sistem pengagihan makanan dan minuman, sumber tenaga serta perbekalan air, bahan bakar serta pengangkutan, pendidikan serta kemudahan kesihatan rakyat dan juga sistem kehakiman. Mana-mana hasil pertanian dan penternakan yang tidak melalui kawalan mereka, akan dimusnahkan tanpa sebarang belas ihsan. Pelbagai alasan akan diwujudkan untuk mengesahkan tindakan mereka itu.


Mereka mahu setiap manusia menjadi tamak 
dengan menyertai sistem kewangan kapitalisma
yang mereka wujudkan. Akhirnya ketamakan
itu akan menjerut diri mereka sendiri.

Peluang memulakan pengambilan kuasa pemerintahan terjadi, apabila berlaku keadaan seperti bencana cuaca dalam tempoh yang lama yang memusnahkan hasil pertanian. Perkara yang bakal terjadi itu akan diikuti dengan kekecohan manusia dalam usaha mendapatkan makanan. Dalam keadaan kekecohan serta tidak dapat berfikir panjang, golongan globalis akan mewujudkan 'ancaman luar' melalui teknologi ‘makhluk asing’ yang sedia mereka miliki, untuk mengugut manusia seluruhnya bahawa manusia memerlukan penyelamat bumi.

Lakonan ancaman luar dan mewujudkan 
‘penyelamat  bumi’ versi mereka, sedang 
diusahakan secara teliti. Anak-anak kita 
nampaknya lebih dahulu memaklumi
kehadiran 'penyelamat bumi' itu. 

Perkara terakhir yang dirancang adalah penguasaan terhadap kerohanian dan penyembahan umat.

Friday, March 16, 2018

JIN-JIN YANG DIJADIKAN SURUHAN


ﻮ ﻤﻦ ﺍﻠﺠﻦ ﻤﻦ ﻴﻌﻤﻞ ﺒﻴﻦ ﻴﺪﻴﻪ ﺒﺈﺫﻦ ﺮﺒﻪ

Dan daripada (bangsa) jin (terdapat) mereka yang ia bekerja antara dua tangannya dengan izin Tuhannya.

dan (Kami mudahkan) sebahagian dari Jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya.

Penulis telah mengkhabarkan tentang bangsa Jin sebelum ini dalam surah Al-Jin. Mereka telah mendahului manusia tinggal di bumi ini dan mereka telah mencapai tahap ilmu yang dapat dikatakan sebagai canggih pada sudut ukuran oleh kebanyakan manusia masakini. Apabila perkara tentang jin cuba diperbincangkan, kebanyakan kita mengambil sikap skeptik. Kebanyakan daripada kita cuba mengaitkan perkara demikian sebagai perkara tahyul, karut atau mengarut untuk diakui. Walhal pada masa yang sama, sebahagian manusia masih merujuk kepada jin dalam persoalan mistik, untuk tujuan melaris perniagaan, memudharat pihak lain serta dalam usaha mendapatkan perkhabaran perkara ghaib.

Namun apabila perkara Jin cuba dikaitkan dengan suatu bentuk pencapaian teknologi, manusia secara umumnya lebih terhibur dengan dakwaan bahawa perkara demikian adalah persembahan makhluk asing yang datang ke bumi dari planet yang jauh. Persembahan tayangan-tayangan dari Holywood telah digunakan untuk mempengaruhi minda manusia sehingga manusia dikatakan tidak memerlukan ‘dogma’ agama atau ajaran Tuhan untuk maju seperti makhluk asing berkenaan. Mereka akhirnya diajar bahawa makhluk asing adalah makhluk asing, sementara jin atau apa-apa jua yang dikatakan mistik, adalah dua perkara berlainan untuk diperbincangkan.

Sejak tahun 1980'an lagi, kita telah didedahkan
bahawa makhluk asing telah lama menunggu
di langit, cuba menasihati manusia supaya
tidak merosakkan bumi ini.

Dalam menghadapi perkara ini, terdapat segelintir daripada masyarakat kita telah dirasuk minda mereka dengan kenyataan bahawa makhluk asing (yang tidak berpakaian itu) adalah jauh lebih canggih berbanding manusia. Mereka akhirnya menganggap bahawa penciptaan manusia sebagai makhluk ‘tercanggih’ sebagaimana yang didakwa dalam kitab suci adalah suatu dogma agama semata-mata. Atas perkara inilah, suatu bentuk kesempatan akan diambil oleh golongan NWO, untuk memperkenalkan suatu bentuk ajaran baru kepada umat manusia. Dalam menghadapi keadaan ini, kita harus sedia memaklumi bahawa terdapat suatu perancangan teliti oleh golongan penyembah-penyembah syaitan untuk menguasai umat manusia. Mereka ini telah membentuk peristiwa besar dalam sejarah umat ini. Mereka mengambil kesempatan ini atas sikap manusia sendiri yang amat gelojoh dalam menghadapi kehidupan. 




Friday, March 9, 2018

BAGAIMANAKAH ENJIN KENDERAAN NABI SULAIMAN A.S. DIREKACIPTA?


ﻮ ﺍﺴﻠﻧﺎ ﻠﻪ ﻋﻴﻦ ﺍﻠﻘﻃﺮ
Dan telah mencucur Kami baginya, akan sesalur tembaga. 

dan Kami alirkan baginya mataair dari tembaga;


i.     Kepelbagaian Terjemahan Ayat


       Penulis merujuk kepada kepelbagaian 

       terjemahan daripada beberapa 
       sumber rujukan:-

       a.      Al-Qur’anul Karim wa Tarjamatu 
                Maaniyah Ila al Lughatil 
                Indonesiah

                dan Kami alirkan cairan tembaga baginya,


       b.      Mushaf Tajwid Berserta Ter-
                jemahan Ke Dalam Bahasa 
                Malaysia

                dan Kami alirkan baginya mataair 
                dari tembaga;

       c.      Al-Quran Al Karim Rasm Uthmani 
                Terjemahan Bahasa Melayu 
                Berserta Keterangan Ayat

                dan Kami cairkan tembaga (untuk 

                kegunaannya),

       d.      Tafsir Rahmat   H. Oemar Bakry

                 Dan Kami cairkan tembaga (untuk 

                 kepentingannya).

       e.      Al-Qur’anulkarim : Syamil Al-Qur’an :
                Miracle The Reference


                dan Kami alirkan cairan tembaga 

                baginya.

ii.    Kepelbagaian Terjemahan  ﺍﺴﻠﻧﺎ

Terdapat dua terjemahan yang berlainan bagi perkataan ﺍﺴﻠﻧﺎ iaitu ‘Kami alirkan’ dan ‘Kami cairkan’. Oleh itu penulis dapat katakan bahawa perkataan dari kalimat berkenaan sebenarnya masih terbuka kepada kepelbagaian bentuk terjemahan. Penulis sendiri pernah bertanya kepada seorang bangsa Arab dan jawapan lain yang penulis perolehi adalah ‘tuang’. Iaitu menuang cairan tembaga ke dalam saluran bagi tujuan membentuk suatu peralatan. Kalimat-kalimat dalam Al-Qur’an sebenarnya terbuka kepada pelbagai terjemahan dan terjemahan tertentu harus dipilih berdasarkan kesesuaian ayat. Contohnya perkataan ‘al-alaq’ dalam surah Al-Qadr, telah diterjemahkan kepada ‘darah’, kemudiannya diterjemahkan kepada ‘gumpalan darah’, kemudian diterjemahkan kepada ‘gumpalan tergantung’ dan terkini, kalimat ini diterjemahkan lagi kepada ‘lelintah’. Kata dasar perkataan ‘alaq’ adalah merujuk kepada lintah. Iaitu haiwan kecil yang melakukan kerja menyerap darah haiwan atau manusia.

Adakah hanya berdasarkan ilmu embriologi,
suatu terjemahan perkataan dalam Al-Qur'an
harus dapat berubah-ubah? Bagaimana pula
untuk terjemahan perkataan lainnya.

Perkataan ﺍﺴﻠ dari kalimat bahasa Arab adalah merujuk kepada hujung atau pucuk tumbuhan. Bahkan perkataan ini juga merujuk kepada hujung tajam pada daun, iaitu bahagian yang mula-mula keluar daripada pertumbuhan suatu tumbuhan. Dalam bahasa Melayu lebih dikenali sebagai cucur. Sebab itulah bahagian hujung daun-daun nipah yang disusun membentuk atap, dikenali sebagai cucur atap. 

Kata kerja mencucur adalah mengalirkan atau menitiskan cairan sedikit demi sedikit, sesuai dengan keperluan cucuran berkenaan. Namun apakah sebenarnya yang dicucurkan? Perkataan selanjutnya selepas kalimat ini dinyatakan sebagai  ﻋﻴﻦ ﺍﻠﻘﻃﺮ,  iaitu cucuran itu dikenakan atau lebih mudah difahami dialirkan kepada suatu saluran atau saliran tembaga. Hal ini dapat diperkatakan sebagai suatu perkara teknikal berkaitan teknologi. Penulis tidak dapat menyatakan dengan pasti apakah kegunaan saluran tembaga yang dicucurkan sesuatu? Teknologi masa kini menunjukkan tembaga memiliki manfaat yang besar. Tembaga itu sendiri memiliki sifat kealiran elektrik dan juga kealiran haba yang sangat tinggi. Untuk tujuan keselamatan, logam tembaga tulen telah dipilih untuk pendawaian pembumian agar peralatan elektrik atau elektronik dalam bangunan, dapat diselamatkan semasa kejadian kilat yang menyambar. Tembaga juga sangat penting untuk dijadikan antena peralatan komunikasi kerana hasil gelombang yang dipancarkan dan diterima, dapat diperolehi pada kejituan yang tinggi. Untuk tujuan pendinginan, sesalur tembaga tulen digunakan agar dapat memindahkan haba dengan lebih cepat, supaya peralatan pendingin dapat berfungsi dengan lebih berkesan.

iii.    Cucuran Pada Frekuensi Tertentu?


Cucuran air daripada aliran sesalur yang 
dikenakan frekuensi tertentu

Cucuran atau aliran suatu cecair, dapat dijadikan tetap pada frekuensi tertentu. Dari gambaran video di atas, kita dapati alunan daripada pembesar suara yang disetkan pada frekuensi tertentu, dapat memegunkan bentuk aliran air yang dicucur keluar dari saluran paip. Oleh kerana cucuran dikaitkan dengan aliran titisan pada jelaan masa tertentu, aliran yang dimaksudkan tidak semestinya aliran udara atau air. Aliran titisan boleh sahaja merujuk kepada aliran elektron pada jelaan masa tertentu yang istilah teknologi masa kini menyatakannya sebagai frekuensi. Aliran elektron yang dicucurkan kepada saluran tembaga pada frekuensi tertentu didapati bukan sahaja dapat mencairkan logam, bahkan juga dapat menjadikan logam itu terapung-apung di udara.


Induksi sesalur tembaga yang bukan 
sahaja mencairkan bahkan dapat 
mengapungkan logam aluminium.

iv.    Frekuensi Yang Berupaya Mengapung

Dalam suatu eksperimen mudah, gelombang bunyi monotone yang ditetapkan frekuensinya dan dijadikan berkoheran dengan gelombang balikan pada frekuensi yang sama, dapat membentuk nod-nod yang membina, dengan amplitud yang ditingkatkan. Pada bahagian nod-nod ini dan pada jarak balikan yang ditentukan, gelombang yang terbina didapati dapat dipegunkan dan dapat mengapung objek-objek tertentu di antaranya. Memanipulasi gelombang sama ada gelombang sonik atau gelombang elektromagnetik, memerlukan kefahaman mendalam darihal teori gelombang. Teknologi antenna dan perambatan merupakan salah satu cabang kefahaman berkaitan kerja-kerja kejuruteraan teliti yang dapat memanfaatkan peralatan seperti tembaga, untuk mendapatkan pelbagai kegunaannya.

v.    Teknologi Apungan Berkaitan Tembaga

Pihak NASA sendiri masih dalam kajian untuk menghasilkan pesawat yang bukan sahaja dapat bergerak pada kelajuan tinggi bahkan juga dapat terapung di udara. Klip video di bawah ini menunjukkan tentang teknologi tembakan laser, dapat digunakan bukan sahaja untuk menggerakkan sesuatu objek bahkan dapat menyediakan suatu daya tujahan yang kuat. Pada pandangan penulis, kiranya teknologi gelombang dapat dimanipulasikan untuk tujuan yang serupa, tentunya kita akan dapat menghasilkan kenderaan yang bukan sahaja dapat terapung di udara bahkan juga dapat bergerak pada kelajuan bersangatan. Kenderaan seperti keretapi laju dapat memanfaatkan teknologi ini dengan terlebih dahulu terapung di udara pada jarak yang dekat dengan landasan dan kemudiannya ditujah menggunakan medan magnet kuat, yang disusun secara khusus bagi menghasilkan kelajuan yang tinggi. Namun teknologi yang manusia hasilkan buat masa ini masih tidak dapat mengatasi kesan perubahan momentum sehingga kelajuan yang manusia tempuhi harus dibatasi dengan had keupayaan tubuh mereka sendiri.  Demikian itulah had teknologi yang dapat manusia capai buat masa ini. Umat manusia kini masih tidak berupaya, bukan sahaja untuk mencontohi teknologi yang digunakan oleh Nabi Sulaiman A.S. bahkan juga untuk mengatasi teknologi bangsa jin.


Gelombang elektromagnetik (contoh 
seperti laser), pada amplitud tinggi dapat 
digunakan untuk menujah sesuatu.

vi.   Permasalahan Momentum

Sebutan yang seringkali kita gunakan tentang kesan momentum semasa mengambil selekoh pada kelajuan yang tinggi adalah ‘membuang’ atau kesan buangan. Kesan buangan seperti itu terhasil daripada momentum sudut semasa pengambilan selekoh pada kelajuan tertentu. Sementera itu kesan membrek kenderaan secara tiba-tiba dikenali kesan lajakan. Kenderaan yang merempuh suatu penghalang seperti pokok besar pada kelajuan tinggi, dapat mengakibatkan pemandu dan penunggang mengalami patah rusuk akibat tekanan kuat tali pinggang keledar yang menahannya atau kesan tamparan kuat bag udara yang melindunginya. Persoalan tentang momentum merupakan suatu permasalahan besar yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan dengan mudah.

Manusia mampu mencapai teknologi kelajuan dan apungan pada magnitud tertentu yang mereka mahukan. Bahkan mereka mampu untuk membuat pesawat yang mereka naiki menjadi halimunan. Namun mereka masih gagal menyesuaikan tubuh mereka untuk menampung kesan perubahan momentum akibat perubahan mendadak halaju yang ditempuh. Penggunaan teknologi setakat ini hanya dapat menahan kesan perubahan momentum pada peringkat sub-atomik supaya dapat memegun sementara bahagian-bahagian tertentu dalam tubuh untuk tujuan perubatan. Teknologi yang dikenali sebagai MRI, telah digunakan secara meluas untuk mendapatkan imej imbasan organ yang dipilih. Kaedah yang digunapakai dalam MRI atau ‘magnetic resonance imaging’ belum dapat dibuktikan bagi digunakan secara berkesan bagi menahan kesan perubahan momentum pada tubuh manusia.
Teknologi yang manusia capai masa 
kini mampu mencapai kelajuan bersangatan,
 mengapung atau terhenti seketika di ruangan
 angkasa dan menjadi halimunan. Namun 
mereka masih gagal mengatasi kesan
 perubahan momentum yang sangat besar.




Thursday, March 1, 2018

PERKARA YANG TERJADI KEPADA ANGIN


ﻏﺪﻮﻫﺎ ﺷﻬﺮ ﻮ ﺮﻮﺍﺤﻬﺎ ﺷﻬﺮ

Sepaginya sebulan dan sepetangnya sebulan.

Sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan.

Angin yang dikenakan tindakan, membawa akibat Nabi Sulaiman A.S. dapat bergerak pantas untuk menuju ke mana-mana sahaja yang baginda ingini, sehingga setempoh sepagi perjalanan baginda mencapai jarak yang hanya mampu dilalui menurut perjalanan biasa selama sebulan. Tiga kefahaman dapat timbul daripada kenyataan ini, yang pertama bahawa Nabi Sulaiman A.S. sebenarnya berkenderaan dan keduanya baginda telah menempuh kelajuan yang pantas. Ketiganya, oleh kerana angin adalah kata nama bagi udara yang bergerak, ini bermakna kenderaan yang Nabi Sulaiman A.S. naiki, dapat berada di udara. Wow! Hebatkan, teknologi ketika itu yang kebanyakan manusia, rata-ratanya belumpun mencapai pengetahuan moden. Namun ke manakah perginya teknologi itu dan ke mana pula peralatan yang telah direkacipta pada zaman Nabi Sulaiman A.S? Perkara ini akan penulis sentuh kemudian nanti. 

i.    Apakah Kelajuan Kenderaan nabi Sulaiman A.S?

Untuk mengetahui kelajuan kenderaan yang dinaiki Nabi Sulaiman A.S., kita harus terlebih dahulu mengetahui, berapa jauhkah jarak yang mampu dilalui oleh manusia ketika itu pada sebulan perjalanan?

Perjalanan mengelilingi bumi menggunakan kapal layar oleh seorang pelayar negara ini suatu ketika dahulu, dikatakan telah menempuh masa 6 bulan. Dengan jejari bumi dianggarkan 6370 km, kita dapat mengira kelajuan perjalanan yang dilalui kapal layar berkenaan pada perjalanan biasa. Pada jarak perjalanan terdekat, ukur lilit bumi yang dapat dilalui adalah dianggarkan 40,000 km dan jarak pelayaran berkenaan dikatakan dapat dilalui dalam tempoh 6 bulan. Oleh itu jarak sebulan perjalanan oleh seorang pelayar adalah dianggarkan 6670 km.

Sekiranya Nabi Sulaiman A.S. dapat menempuh jarak 6670 km sepagi atau sepetang, kelajuan kenderaan yang dinaiki baginda, dapat dikatakan sekitar 1100 km/j. Kiraan dalam unit meter per saat adalah sekitar 305 m/s dan kelajuan ini adalah sekitar kelajuan bunyi atau lebih sesuai disebut sebagai mach.

ii.   Kenderaan Yang Dapat Bergerak Pada Kelajuan Bunyi.

Pada zaman ini, sebutan mach untuk kelajuan sesebuah pesawat tentera atau kelajuan lontaran projektil peluru adalah merupakan perkara biasa. Peluru lontaran yang paling laju dikatakan berkelajuan 7 mach dengan jarak lontaran dapat mencapai 100 km. 1 mach pada suhu dan tekanan piawai, dikatakan berkelajuan 331 m/s. Pada kelajuan ini sebarang perubahan halaju dapat membawa akibat perubahan momentum yang sangat besar. Kiraan ukuran yang penulis nyatakan adalah ukuran pada ukur lilit bumi terdekat. Kiranya ukuran sebenar diambil kira, kiraan akhir kelajuan kenderaan yang dinaiki oleh Nabi Sulaiman A.S. mungkin lebih daripada 1 mach. Kekaguman penulis bukanlah terhadap kelajuan kenderaan yang Nabi Sulaiman A.S. naiki tetapi lebih kepada perubahan momentum yang dapat ditempuh oleh baginda sendiri. Teknologi apakah yang baginda gunakan?

Momentum pada kelajuan mencapai
1 Mach, dapat mengakibatkan kebahayaan
yang besar kepada juruterbang pesawat.




Popular