ﺍﻥ ﺍﻋﻤﻞ ﺳﺒﻐﺖ ﻭ ﻗﺪﺭ ﻓﻰ ﺍﻟﺴﺮﺩ ﻭ ﺍﻋﻤﻠﻮﺍ ﺻﻠﺤﺎ
Bahawa perbuatlah olehmu akan baju perisai labuh dan tentu ukurlah olehmu pada jalinan itu dan perbuatlah olehmu sebaik-baik(nya).
(Serta Kami wahyukan kepadanya): “Buatlah baju-baju besi yang labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki: dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang salih,
i. Antara Mukjizat dan Teknologi
Penulis tidak menafikan bahawa kelebihan yang dilakukan oleh Nabi Daud A.S. melembutkan besi membentuk reka ciptaan tertentu, adalah merupakan perkara mukjizat Tuhan kepada Nabi Daud A.S. Namun dalam mengkhabarkan perkara mukjizat, penulis turut berusaha mendapatkan kefahaman yang dapat difahami secara rujukan ilmiah. Seperti dalam kisah tenggelamnya Firaun pada zaman Nabi Musa A.S., semua itu adalah perkara mukjizat dan penulis hanya menjelaskan unsur-unsur yang terlibat, yang dapat difahami berdasarkan ilmu pengetahuan masa kini, agar suatu pengajaran dapat diambil. Bukankah setiap ayat Al-Qur’an, terdapat pengajarannya tersendiri. Untuk menjelaskan bahawa mukjizat adalah sesuatu yang dapat dijelaskan secara ilmiah semata-mata, perkara itu amat jauh sama sekali dari maksud penulis.
ii. Teknologi Yang Boleh Dimanfaatkan
Perintah menentu ukur pada jalinan dan melakukan sebaik-baiknya adalah sinonim dengan kerja-kerja kejuruteraan teliti. Al-Qur’an tidak memberi rumusan kepada kita cara mana suatu tentu ukur itu harus dilakukan kerana usaha bersungguh-sungguh manusia dalam mempelajari ilmu tentangnya adalah sesuatu yang mereka sendiri dapat lakukan. Kiranya dahulu Nabi Daud A.S. membentuk baju perisai berdasarkan perintah dari ayat ini, bahan asas untuk membina baju berkenaan baginda perolehi daripada besi berdasarkan ayat yang dinyatakan sebelum ini. Namun bagaimanakah baginda memperolehi besi sebagaimana yang disebutkan dalam ayat sebelum ini? Penulis tidaklah dapat menjelaskan teknik yang baginda lakukan kerana kita semua pada masa ini, tidak lagi dapat menyaksikan usaha baginda itu.
Pada masa ini, logam besi diperolehi daripada bijih besi yang sedia terdapat sebagai mineral yang banyak didapati di permukaan bumi. Bijih besi dibakar dalam relau dan dicampurkan dengan agen penurun seperti arang batu dan dibersihkan menggunakan bahan batu kapur dan kemudiannya disalur keluar melalui saluran paip membentuk rod-rod atau kepingan besi yang panjang. Kaedah ini mengakibatkan pencemaran ketara melalui pembebasan jegala hitam yang mencemari persekitaran.
Antara pencemaran lain yang ketara yang tidak dapat dinafikan, adalah pembebasan haba berlebihan ke persekitaran. Apabila semakin banyak kilang berasaskan besi didirikan di permukaan bumi ini, pencemaran haba daripada kilang-kilang berasaskan besi seperti kilang besi, kilang kenderaan serta penggunaan kenderaan itu sendiri, telah mengakibatkan perubahan cuaca yang ketara. Keadaan ini diparahkan lagi dengan wap-wap baja yang terlalu banyak disingkirkan melalui aktiviti pertanian sehingga membentuk selimut haba yang serius di udarakasa. Haba tidak mudah terbebas ke angkasa lepas dan terkumpul agak lama sehingga menimbulkan kesan-kesan serius terhadap cuaca.
iii. Penyelesaian Terhadap Pencemaran
Perusahaan Besi
Perusahaan Besi
Bukan setakat kilang besi, mana-mana perusahaan besi yang didirikan di negara ini, harus mengambil iktibar dari usaha Nabi Daud A.S. Besi harus dilembutkan bukan menggunakan kepanasan api, tetapi menggunakan kaedah aruhan yang menghasilkan gema. Gema yang terhasil bukan sekadar gema bunyi, bahkan merupakan kesan perpindahan tenaga dari suatu sumber lain.
Tenaga yang turut menghasilkan gema
dapat digunakan untuk melembutkan besi.
Namun yang digambarkan dari gambaran video di atas adalah usaha melembutkan rod besi dan bukannya mendapatkan besi daripada bijih besi. Oleh kerana aruhan turut memanaskan besi, zarah-zarah besi daripada bijih besi boleh dipanaskan sedemikian rupa dan besi dapat diperolehi melalui tindak balas kimia daripada campuran bahan penurun tertentu yang ditambahkan ke dalam bijih. Kepada pembaca, sila bertanya kepada mereka yang memiliki ilmu pengetahuan tentang hal ini dalam kalangan jurutera bahan dan sumber mineral. Penulis hanya dapat mencadangkan suatu kenyataan bahawa kaedah ini akan dapat menjimatkan penggunaan tenaga dan mengurangi pencemaran dalam usaha mendapatkan besi dari bijih besi. Begitu juga untuk tujuan membentuk suatu acuan baru barangan berasaskan besi, melalui kaedah ini pembaziran dari banyak sudut, dapat dikurangi dengan berkesan.
No comments:
Post a Comment