SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Sunday, February 23, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 13 -- MANUSIA DAN JIN HARUS MEMPELAJARINYA


فبأى ءالاء ربكما تكذبان

Maka dengan mana-manakah nikmat Tuhan kamu berdua yang kamu berdua dustakan

maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?


Sekiranya bangsa manusia tidak mengetahui tentang timbangan sedemikian, sesungguhnya bangsa jin juga tidak mengetahuinya. Mereka haruslah mempelajarinya dengan terlebih dahulu merenung pengajaran-pengajaran Al-Qur'an. 

i)    Manusia Dan Jin Sama-sama Mempelopori Teknologi

Perkataan ربكما تكذبان merujuk kepada dua kata nama. Tuhan tidak menurunkan ayat ini kepada dua manusia sahaja, tetapi adalah dimaklumi, sasaran ayat ini adalah kepada bangsa jin dan bangsa manusia sebagaimana disebutkan pada ayat selanjutnya. Sekiranya manusia bersama corak pembangunannya tidak dapat diharap untuk menyediakan sebuah pembangunan yang terhindar daripada usaha-usaha yang membawa kepada kerosakan alam, betapakah harapan yang lebih tinggi dapat diberikan kepada bangsa jin? Sesungguhnya jin tidak dapat mengatasi manusia darihal pengetahuan tentang perkara-perkara ghaib dan begitu juga manusia tidak dapat mengatasi jin darihal rekaciptaan teknologi. Sekalipun jin dikatakan memiliki teknologi yang dapat mengatasi teknologi manusia namun bangsa jin juga didapati tidak dapat menyediakan suatu keadaan yang dapat memulihkan kediaman mereka sendiri. Apatah lagi, mereka juga tidak begitu bersedia dengan pemindahan teknologi yang dapat membantu manusia. Dengan sifat keegoan bangsa jin, mereka didapati lebih suka untuk dianggap lebih mulia dan lebih bertamadun. Lalu bagaimanakah dapat dikatakan bahawa bangsa jin akan datang sebagai juru penyelamat kepada manusia nantinya apabila sampai masa berlaku bencana di mukabumi ini?

ii)   Permasalahan Jin dan Manusia

Penerangan lebih mendalam tentang perlakuan jin dalam kehidupan manusia akan diterangkan lebih lanjut  dalam surah Al-Jin. Secara ringkasnya, dapat penulis nyatakan bahawa sebahagian jin, telah mengumpan manusia terutamanya kepimpinan manusia yang berada di negara-negara Barat melalui sebahagian pemindahan teknologi. Mereka, yang telah memainkan percaturan utama sehingga membawa akibat permusuhan sesama manusia dan membawa kerosakan kepada keadaan cuaca bumi, kini sedang melakukan sesuatu untuk menguasai bangsa manusia sepenuhnya.




Monday, February 17, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 12 -- BIJI-BIJIAN DAN BUNGA-BUNGAAN


والحب ذو العصف و الريحان

Dan biji-bijian yang memiliki jerami dan bunga-bungaan 

demikian juga terdapat biji-bijian Yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan Yang harum;


Begitu juga apabila dibincangkan antara biji-bijian yang berwarna kelabu yang masih melekat padanya bahagian dalam kulit daripada jerami, dengan bijian yang telah digilap bersih, manakah antara pemakanan demikian yang lebih berkhasiat? Kajian tentang khasiat makanan serta bunga-bungaan telah dilakukan dengan intensif, betapa semua hal yang demikian itu, sebenarnya berkait rapat untuk tujuan keseimbangan tubuh selain untuk tujuan bekalan tenaga dan juga untuk tujuan keseimbangan persekitaran.

i)   Jerami Dan Peranannya

Bijian yang melekat pada jerami dikatakan dapat bertahan bertahun-tahun asalkan disimpan dalam bekas tertutup dengan suasana agak kering. Pengajaran ini penulis perolehi daripada kisah Nabi Yusuf A.S. (12:47). Sebenarnya terdapat pelbagai kaedah penyimpanan makanan sempena daripada pengajaran ayat ini. Sekam jerami yang menyimpan bijian, dapat menghalang lembapan daripada merosakkan bijian di dalamnya. Sekam juga berperanan menghalang kemasukan bakteria atau mikroflora daripada merosakkan bijian. Selain itu, sekam jerami dapat menghalang kemasukan gas oksigen dan menghalang aktiviti pengoksidaan berlaku kepada makanan. Teknologi pengawetan masakini telah mengambil ketiga-tiga kaedah ini untuk tujuan mengawet makanan. Menghalang bakteria atau mikroflora dan gas oksigen udara daripada sampai ke makanan, dapat dilakukan dengan teknik pembungkusan vakum. Kesan lembapan dapat dikurangi dengan memasukkan serbuk klorida kontang yang dijadikan uncang untuk dibalut sekali dalam makanan. Pengawetan tidak seharusnya dilakukan dengan menambahkan bahan-bahan tambah kimia seperti asid borik dan sebagainya kerana penggunaan sebatian kimia seperti ini dapat menimbulkan kesan buruk kepada kesihatan seseorang. Teknik pengawetan daripada Al-Qur'an akan penulis jelaskan lagi dalam surah Al-Insan. Kembali kepada panduan yang dinyatakan Tuhan dalam Al-Qur'an bukanlah merupakan alternatif tetapi merupakan suatu yang harus diamalkan untuk kebaikan manusia.

ii)  Khasiat Bunga-bungaan Yang Kurang Diketahui

Pencemaran yang dilakukan oleh manusia sama ada dalam bentuk asap kenderaan dan kilang, racun pembunuh serangga, lebihan baja pertanian, wap-wap klorin yang terbebas dari air perbekalan, penggunaan pencuci dan peluntur yang memudaratkan, semburan aerosol tanpa kawalan, asap kebakaran dan sebagainya, memerlukan mekanisma tertentu untuk mengurangkan kesan pencemarannya. Yang pastinya banyak daripada bahan-bahan itu menghasilkan radikal bebas apabila disinari dengan sinaran tenaga tinggi daripada cahaya matahari. Tuhan Maha mengetahui tentang keadaan ini dan telah menyediakan keadaan di bumi ini dengan suatu mekanisma untuk tujuan keseimbangan. Untuk tujuan ini, haruman dari bunga-bungaan adalah sangat berguna sebagai agen yang dapat menderma elektron dan seterusnya mengurangi kesan radikal bebas bahan-bahan toksik berkenaan. Bahan fenol yang terdapat pada wangian tumbuhan sangat berguna untuk tujuan kesegaran udara dan di negara-negara Barat, rawatan aromaterapi telah lama diamalkan untuk tujuan kesihatan dan kesegaran pernafasan. Nyatanya daripada bunga-bungaan juga, lebah memperolehi madu yang kemudiannya menjadi makanan yang sangat berkhasiat kepada sipengambilnya.

iii)  Timbangan Yang Kini Boleh Manusia Ukur

Penulis dalam memberi idea ini bukanlah bermaksud supaya satu kaedah teknikal lebih diutamakan untuk menggantikan kaedah pembersihan alam segalajadi. Hanya sekadar memberi ruang sementara waktu, sebelum suatu projek penanaman secara besar-besaran berjaya menunjukkan hasil pembersihan yang dikehendaki. Sekiranya diamati pelajaran daripada Surah Al-Rahman, kita dapat pelajari bahawa neraca timbangan yang Tuhan telah sediakan terdapat di mana-mana. Bermula daripada timbangan asid-bes Brønsted–Lowry, timbangan jaluran Van Allen, timbangan kitaran nitrogen dan sebenarnya masih terdapat timbangan-timbangan lain yang tidak disebutkan di sini. Manusia sudah dapat mengadakan sukatan tersendiri terhadap ketidakseimbangan yang telah berlaku, yang dapat ditunjukkan melalui timbangan-timbangan yang disebutkan. Namun mereka sehingga kini masih berbalah terhadap punca permasalahan yang berlaku.

iv)  Suatu Anjakan Untuk Kita Semua

Sekiranya pembaca amati perubahan-perubahan yang berlaku di bumi ini, tentunya pembaca dapat simpulkan bahawa bumi ini suatu masa dahulu memiliki suasana berasid selama proses-proses pembentukan lapisan langit mulai terbentuk. Sehingga ke suatu tahap, keadaan berasid itu secara beransur-ansur telah dikurangi melalui proses-proses tertentu dan mengambil masa yang sangat lama sehingga bumi ini menjadi planet yang boleh didiami. Kini kecenderungan untuk suasana alam sekitar kita kembali berasid telah wujud semula oleh tindakan melampau manusia yang menjalani kehidupan secara gelojoh, lantaran melaksanakan polisi kepimpinan mereka. Sebenarnya umat manusia belum terlewat untuk membetulkan kembali keadaan ini agar mereka dapat mendiami bumi yang diberkati sehingga kepada masa, setiap mereka menemui ajal masing-masing. Untuk itu, umat ini harus merenung pada suatu sudut pandangan tertentu dan melakukan anjakan paradigma tersendiri bagi membolehkan mereka membuang tabiat mereka yang sukakan kepada kerja-kerja kerosakan, yang selama ini mereka diarahkan atau dipengaruhi untuk melakukannya. Untuk tujuan ini mereka harus menukar cara beragama mereka dan mementingkan keharmonian berbanding kekalutan yang selama ini telah memporak kehidupan mereka sendiri. Kembali menjagai alam sekitar, kembali berjimat cermat dalam menggunakan unsur-unsur alam dan saling membantu sesama mereka dalam menempuh kehidupan.

iv)   Idea Penapisan Dan Pembersihan Alam

Sekiranya bunga-bungaan memainkan peranannya yang tersendiri menghasilkan aroma yang dapat mengurangi kehadiran radikal bebas dalam udara dan kiranya antioksidan daripada buah-buahan telah direka khusus supaya radikal bebas dalam tubuh dapat disingkirkan, betapa manusia harus mengambil pelajaran daripada mekanisma ini.
 
Sebagai contoh, unsur-unsur berasid di udara seperti hidrogen fosfat, hidrogen sulfat, hidrogen nitrat dan hidrogen karbonat harus segera ditukarkan kepada konjugat bes sebagai ion-ion fosfat, sulfat, nitrat dan karbonat. Begitu juga gas-gas pencemaran seperti florin, klorin dan bromin harus segera ditukarkan kepada ion-ion florida, klorida dan bromida. Pada kebiasaannya pengionan seperti ini sebenarnya telah tersedia secara segalajadinya oleh tindakan air hujan. Namun tindakan sedemikian dapat menimbulkan bahaya sekiranya titisan hujan telah dicemari oleh bahan alkali seperti ion-ion logam atau ion ammonium. Pada keadaan yang serius, perkara ini boleh menimbulkan kesan membinasa seperti penghasilan angin puting berliung, kilat-kilat besar serta ribut taufan.

Semua ion ini adalah bercas dan secara mudah akan mengadakan perlekatan dengan mana-mana debu atau asap sehingga sebatian tercemar ini akan lebih mudah memendak dan diturunkan semula ke bumi. Lalu bagaimanakah aktiviti ini dapat dilakukan? Salah satu cara adalah dengan merenjiskan wap-wap kecil air dan praktik ini kini, telah dapat kita perhatikan melalui aktiviti renjisan taman dan juga renjisan di restoran-restoran. Antara kegunaannya adalah untuk mengurangkan bau yang kurang menyenangkan secara segera. Kaedah lain adalah melalui pengozonan UV pada skala kecil. Gas ozon pada skala kecil dapat membantu bertindak balas dengan partikel-partikel bercas supaya dimendapkan dan tidak mencemari ruang kecil seperti ruangan bilik dan makmal.


Taman Renjisan Burj Dubai
Satu Kaedah Pembersihan Udarakasa Setempat



Tuesday, February 11, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 11 -- TABUNGAN NITROGEN DI MUKA BUMI


  فِيهَا فَاكِهَةٌ وَالنَّخْلُ ذَاتُ الأكْمَامِ

Padanya buah-buahan dan korma yang memiliki kelopak mayang

terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma Yang ada kelopak-kelopak mayang

Apakah yang tersimpan pada pepohon? Nutrien diperlukan untuk pertumbuhan tunas dan mineral pula untuk pembesaran batang, dahan dan aktiviti daun. Sebahagian besar daripada aktiviti pepohon adalah mengumpulkan tenaga dalam bentuk gula untuk kegunaan tumbesarannya dan gula ditukarkan kepada selulosa untuk dijadikan serat-serat yang berguna untuk aktiviti sel. Sel-sel sendiri sepanjang hayatnya, sentiasa berganda melalui pembelahan kromosom yang terdiri daripada rantaian DNA yang panjang. Dengan rantaian DNA asid-asid amino dicantum yang akhirnya membentuk protien untuk sokongan hidup tumbuhan. Semua aktiviti ini memerlukan nitrogen dan dengan jalan inilah nitrogen sentiasa diperlukan agar pepohon dapat menjalankan aktiviti pernafasannya dan menyingkirkan oksigen. Sebahagian nitrogen ini dipindahkan kepada buah-buahan pepohon berkenaan agar menjadi manfaat kepada hidupan yang lain sama ada manusia atau haiwan-haiwan. Haiwan-haiwan pula menyerahkan kembali gas karbon dioksida untuk dikembalikan kepada pepohon agar pepohon mengeluarkan oksigen secara berterusan. Oksigen adalah untuk pernafasan, aktiviti pembakaran serta pembentukan lapisan ozon manakala baki amoniakal nitrogen diproses kembali sama ada ditukarkan ke bentuk gas nitrogen oleh tindakan bakteria atau alga ataupun menjadi baja kepada tumbuhan yang baru. Proses ini sentiasa berulangan sehingga keadaan bumi ini sentiasa dapat menampung hidupan. 

Penghasilan Buah-buahan Oleh Tumbuhan

Buah-buahan tidak berbuah begitu sahaja melainkan dibalut dengan kulitnya tersendiri atau dibalut dengan kelopak yang bersesuaian. Semua itu adalah agenda Tuhan yang cukup rapi. Selain daripada diproses semula, kelopak atau kulit dapat dijadikan makanan haiwan sebagai bekalan serat yang baik untuk tubuh. Dengan teknologi terkini, daripada kulit buah-buahan terhasil bahan antioksidan yang berguna untuk tubuh. Bagaimanapun jumlah yang diperlukan adalah sedikit sahaja memandangkan kebanyakan bahan antioksidan yang diperolehi adalah berstruktur molekular yang agak besar dan sukar untuk melepasi penapisan ginjal. Buah-buahan adalah sumber vitamin dan gula yang sangat diperlukan oleh tubuh. Sumber tenaga ini diperolehi melalui proses pembentukan gula yang sedia terdapat pada daun melalui kaedah fotosentesis sebelum dipindahkan kepada buah. Secara umumnya buah-buahan adalah sumber antioksidan segera yang dapat diserap melalui usus. Kepentingan antioksidan dalam buah-buahan akan dibincangkan secara lebih teliti dalam surah Al-Insan. Semua itu adalah anugerah Tuhan agar manusia dapat dibekalkan dengan makanan yang memberi keseimbangan kepada tubuh.





Wednesday, February 5, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 10 -- NERACA TIMBANGAN DI BUMI DAN KEGUNAANNYA


والأرض وضعها للأنام

Dan (adapun) bumi itu, telah menegakkan Ia akannya (timbangan itu) untuk haiwan-haiwan.

dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya Yang lain:

Selain daripada timbangan yang berada di angkasalepas dan di atmosfera bumi, Tuhan juga telah menyediakan timbangan di bumi ini yang antara tujuannya adalah untuk kehidupan makhluk-makhluk yang terdapat padanya.

i)    Keseimbangan Kitaran Nitrogen

Unsur nitrogen seharusnya wujud dalam bentuk gas nitrogen dan keadaan seharus selamanya begitu. Namun untuk tujuan supaya gas oksigen dapat terus wujud dan bertindak sebagai perisai ozon yang dapat melindungi bumi ini, unsur nitrogen diperlukan untuk tujuan ini. Nitrogen ditukarkan sebagai bahan perlu dalam sel-sel hidupan dan menjadi suatu hutang yang kemudiannya perlu dikembalikan ke bentuk asal iaitu gas nitrogen kembali. Oleh itu keseimbangan nitrogen diperlukan agar lapisan ozon akan terus wujud secara stabil. Keseimbangan dinamik ini telah sedia wujud sejak ribu jutaan tahun dahulu dan manusia harus mempelajarinya secara teliti agar mereka tidak menjadi penyumbang terhadap ketidak stabilan nitrogen di bumi ini.

Kehadiran haiwan-haiwan diperlukan agar mereka dapat memakan sebahagian dari tumbuhan. Tanpa haiwan, tumbuhan akan tumbuh secara berlebihan di atas permukaan bumi. Terlalu banyak tenaga dari persekitaran akan diserap oleh daun-daun tumbuhan sehingga muka bumi ini akan menjadi terlalu sejuk. Keadaan ini tentunya akan mengakibatkan bumi ini dilitupi salji dan perkara ini tentunya dapat mengganggu kestabilan kitaran nitrogen itu sendiri. Hubungan dinamik antara pencahayaan matahari, tumbuh-tumbuhan serta haiwan-haiwan amat diperlukan agar sistem hidupan di bumi ini akan dapat berlangsung dengan wajar.

ii)  Usaha Manusia Mengganggu Kitaran Nitrogen

Daripada sekecil-kecil perkara sehingga kurang disedari kepentingannya, seperti kehadiran lalat yang dapat membersihkan bangkai dengan segera agar gas-gas bangkai tidak begitu mencemari alam; Sehinggalah kepada perkara yang besar seperti pertumbuhan pokok-pokok hutan yang dapat melindungi haiwan-haiwan yang berkeliaran mencari rezeki. Kini manusia telah menjadi perosak terhadap semua itu. Semua itu terjadi disebabkan oleh tindakan rakus manusia dalam berpenghidupan di bumi ini. Tamak, keinginan memonopoli dan merasakan kehadiran setiap diri di mukabumi adalah penting, telah mengakibatkan mereka bertindak secara melampau.
 
Sebagai contoh, tidak cukup dengan pertumbuhan kapas yang diperlukan untuk penghasilan pakaian dan pelbagai kegunaan yang lain, manusia kini telah mencebur diri dalam aktiviti tekstil, yang diperoleh daripada bahan asas petroleum. Itu masih tak mengapa kerana bekalan petroleum adalah suatu bahan yang mencukupi untuk keperluan manusia, namun mereka telah memulakan aktiviti penghasilan produk fabrik daripada sebatian ammonia pula. Ammonia yang diperolehi melalui proses Haber adalah titik mula kepada kebinasaan alam kediaman mereka secara besar-besaran (02:155). Ammonia digunakan dalam aktiviti pencucian, penghasilan baja, bahan letupan dan juga bahan makanan manusia sendiri. Akibatnya, manusia mulai menderita menghidapi pelbagai jenis penyakit yang dapat menyingkatkan tempoh mereka mendiami mukabumi ini. Penyelesaian terbaik adalah melalui disiplin manusia sendiri yang harus mereka pelajari dari kitab suci.
 
iii)   Karbon Dioksida Bukanlah Punca Kerosakan Cuaca Bumi
 
Barangkali perkara ini agak ekstrem untuk pembaca terima. Penulis hanya menyatakan bahawa kuantiti karbon dioksida yang dilepaskan ke udarakasa, hanyalah sebagai petunjuk kepada faktor lain yang telah terbebas sehingga memenuhi ruang udarakasa iaitu haba. Sebelum ini, gas karbon dioksida hanyalah merupakan 0.04% daripada keseluruhan gas-gas atmosfera dan kandungan gas ini telah meningkat sedikit kepada 0.08%. Gas karbon dioksida adalah sebatian ekakutub, yang sukar berinteraksi dengan sebarang gas yang lain. Tidak ada sebarang ikatan hidrogen yang dapat terbentuk antara molekul gas ini dengan gas-gas yang lain dan dengan demikian tidak wujud sebarang ikatan tenaga antara gas ini dengan mana-mana komponen gas lain. Tidak seperti mokelul air, yang dapat mengadakan interaksi dengan mana-mana sebatian dwikutub sehingga air dapat menyimpan tenaga sama ada dalam bentuk pepejal, cecair, wap mahupun gas.
 
iv)   Penyebab Atmosfera Bumi Yang Semakin Panas
 
Wap metana, gas-gas penyejuk seperti freon, kloroflorokarbon, wap ammonia dan wap-wap baja yang lain adalah punca kepada pembentukan sifat penebat haba udarakasa bumi ini. Kawasan jelapang padi di Kedah dan Seberang Perak, kawasan pertanian Cameron Highland adalah antara kawasan yang dikenal pasti telah mengalami peningkatan suhu persekitaran. Tengahari di kawasan ini dapat dirasakan lebih panas daripada keadaannya 20 atau 30 tahun dahulu. Penggunaan baja yang banyak adalah dikenal pasti sebagai punca utama, haba tertebat di kawasan-kawasan berkenaan. Antara penggalak utama gagalnya penyerapan semula haba persekitaran adalah disebabnya hilangnya pokok-pokok hutan di sekitarnya, akibat aktiviti gelojoh pemimpin-pemimpin negara dalam merebut kekayaan. Semuanya terjadi disebabkan oleh permintaan yang sangat tinggi terhadap penggunaan kayu-kayan oleh pengguna.




Sunday, February 2, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 9 -- TEGAKKAN TIMBANGAN DAN JANGAN MERUGIKAN


و اقيموا الوزن بالقسط و لا تخسروا الميزان

Dan dirikanlah olehmu akan timbang itu dengan adil dan janganlah kamu merugikan timbangan.

dan betulkanlah cara menimbang itu Dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang Yang ditimbang.

i)   Timbangan Asid-Bes Brønsted–Lowry

Menurut timbangan asid-bes Brønsted–Lowry, keadaan berasid berlaku apabila berlaku keupayaan menderma proton dan sebaliknya keadaan berbes pula berlaku apabila berlaku keupayaan menerima proton. Oleh itu, berdasarkan teori ini, yang dikatakan asid atau bes sesuatu sebatian adalah berdasarkan 'keupayaan' atau potensi suatu sebatian sama ada untuk menderma atau menerima proton. Sekiranya hanya keupayaan atau potensi semata-mata, tiada apa-apa kejadian akan berlaku namun, sekiranya terdapat suatu situasi, maka didapati suatu kejadian itu dapat berlaku. Sebagai contoh ialah keupayaan asid etanoik untuk menderma proton kepada air membentuk ion hidroksonium, manakala asid etanoik sendiri membentuk ion etanoat selaku konjugat bes. Seterusnya apabila kita datangkan logam litium atau natrium sebagai sumber proton yang sangat kuat kepada larutan berasid itu pada kuantiti tertentu, maka dengan tiba-tiba akan berlaku tindak balas yang kuat yang memungkinkan berlakunya letupan. Hasil tindakbalas kemudiannya adalah garam etanoat dan baki air mengandungi ion hidroksonium. Apa yang ingin penulis jelaskan di sini adalah, kerosakan besar yang bakal berlaku akibat usaha manusia menyediakan suatu keadaan sehingga alam persekitaran sekarang ini lebih berasid atau berpotensi menderma proton.

ii)  Timbangan Yang Tidak Lagi Seimbang

Begitulah keadaan alam sekitar sekarang ini. Zarah-zarah berpotensi menderma proton telah disingkirkan dengan banyaknya ke atmosfera bumi, ke tasik-tasik, ke sungai-sungai, laut, lautan serta ke daratan. Oleh kerana tasik, sungai, laut serta lautan menyediakan keadaan penimbal yang sangat banyak terhadap pencemaran sebatian berasid, adalah dijangka tidak akan berlaku kemusnahan mengejut yang dapat membawa bencana secara tiba-tiba kepada manusia. Bencana hanya akan terjadi datangnya daripada atmosfera bumi apabila sebatian-sebatian berasid wap-wap baja seperti asid fosforik, asid sulfurik, asid nitrik serta asid karbonik melarut dalam titik-titik air yang terkandung dalam awan. Kehadiran sumber ion positif yang kuat seperti wap ammonium, akan menghasilkan tindak balas endotermik yang kuat sehingga berlaku penyejukan ketara terhadap awan. Penyejukan awan akan merendahkan tekanan udara yang akhirnya membawa bencana ribut taufan, puting berliung, kilat-kilat besar serta hujan bersangatan. Produk akhir yang wujud adalah pembentukan garam fosfat, sulfat, nitrat yang memasinkan air hujan. Adakah bencana ini yang sedang kita nantikan? Kita yang menjemputnya maka bersedialah kita untuk menanggungnya.

iii)   Timbangan Yang Perlu Diimbangi

Lalu bagaimanakah jalan penyelesaian untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku? Terdapat pelbagai cadangan antaranya mengelakkan wap-wap air daripada berada di udarakasa dan kejadian seperti ini pastinya akan berlaku juga nantinya, apabila keseluruhan ais di kedua-dua belahan kutub telah mencair keseluruhannya. Dengan tiadanya pengumpulan wap-wap air, pastinya manusia akan selamat daripada bencana keributan cuaca. Keadaan kemarau akan menyebabkan mereka harus belajar minum air laut dan menghasilkan teknologi penapisan air yang murah.

iv)   Imbangan Jaluran Van Allen

Penulis sebelum ini pernah membincangkan tentang terbentuknya jaluran-jaluran cas di luar lapisan ionosfera atau magnetosfera (67:03). Jaluran ini bertindak sebagai halangan kepada zarah-zarah udara daripada terus terlepas ke angkasa lepas. Namun apabila berlaku suatu keadaan zarah-zarah yang berupaya membebaskan proton menjadi sangat banyak di udarakasa bumi ini, sesuatu perlu dilakukan untuk mengimbanginya agar hidupan di bumi tidak terlalu terbeban dengan bencana yang berat. Sila baca kenyataan di bawah ini, yang memberitahu suatu mekanisma keseimbangan telah berlaku apabila terbentuk jaluran baru berkemungkinan besar akibat perubahan yang terjadi di atmosfera bumi.

"The belts contain energetic electrons forming the outer belt and a combination of protons and electrons forming the inner belt. In addition, the radiation belts contain lesser amounts of other nuclei, such as alpha particles. The belts pose a hazard to satellites, which must protect their sensitive components with adequate shielding if their orbit spends significant time in the radiation belts. In 2013, a transient third radiation belt, discovered by the Van Allen Probes, was reported by NASA. The third belt was observed for four weeks until it was destroyed by a powerful interplanetary shock wave from the Sun."

Van_Allen_radiation_belt, Wikipedia

Dengan musnahnya jaluran cas positif pada bahagian jaluran paling luar atmosfera bumi, lebih banyak unsur proton dari atmosfera bumi dapat ditarik keluar dan ditukarkan kepada partikel tanpa cas, sama ada untuk dilepaskan ke angkasa lepas atau dikembalikan ke bumi. Wap-wap asid yang berada di atmosfera, akhirnya dapat ditukarkan kepada konjugat bes yang dengan mudah dapat bercantum dengan wap-wap asid yang lain dan akhirnya diturunkan ke permukaan bumi.

v)   Menanti Tindakan Mengejut Dari Matahari Yang Merugikan

Gelombang kejutan dari matahari sememangnya dapat membantu dalam mengurangkan kesan keasidan atmosfera apabila lebih banyak wap-wap asid dapat ditukarkan kepada ion-ion konjugat bes. Konjugat yang terbentuk dapat membantu lebih banyak sebatian tercemar berasid dapat dibersihkan dengan lebih cepat menerusi titisan hujan atau embun. Namun hujan yang terbentuk akan lebih menunjukkan sifat menghakis yang lebih tinggi, yang dapat mendatang kekaratan ketara kepada peralatan logam yang manusia gunakan. Dalam jangka panjang, kesedaran terhadap pentingnya keseimbangan alam, masih tidak juga sampai kepada pengetahuan manusia dan manusia masih berterusan melakukan pencemaran yang dahsyat. Untuk mengurangkan kerugian daripada lebih mengharapkan kepada penyelesaian mengejut oleh tindakan matahari, manusia perlu memulakan inisiatif melakukan pembersihan yang dapat memberi kebaikan jangka panjang. Membiakkan pertumbuhan alga yang banyak adalah merupakan suatu inisiatif yang menarik, tetapi kaedah ini memerlukan komitmen yang besar negara-negara. Perkara yang paling mudah dilakukan adalah dengan menanam semula lebih banyak pokok-pokok dan pada masa yang sama, cuba mengurangi penggunaan baja sintetik dan kembali kepada penggunaan baja organik yang telah diwarisi selama ini.

Cadangan penyelesaian operasi HiVOLT yang dikemukakan oleh saintis Russia Valentin Danilov, yang mengambil masa lebih seratus bulan lamanya, hanya dapat menyelesaikan permasalahan pelancaran aktiviti satelit dan keasidan atmosfera bumi pada tahap udarakasa sahaja dan ianya tidak meliputi kerja-kerja pemulihan kerosakan tanah yang telahpun terjejas akibat daripada pencemaran atmosfera yang telah terjadi selama ini. Bukankah kaedah Tuhan adalah kaedah yang terbaik?



Popular