SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, August 25, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 16 -- TUHAN TELAH MERANCANG BENCANA KE ATAS FIR'AUN


ﻓﻌﺼﻰ ﻓﺮﻋﻮﻥ ﺍﻟﺮﺳﻮﻝ
ﻓﺎﺧﺬﻧﻪ ﺍﺧﺬﺍ ﻭﺑﻴﻼ
 
Lalu telah menderhakai (menyalahi) ia oleh Fir'aun akan rasul itu maka telah mengambil Kami akannya suatu pengambilan yang mencelakakan.

maka Firaun menderhaka kepada Rasul itu, lalu Kami menyeksakannya Dengan azab seksa Yang seberat-beratnya.

i.    Nabi Musa A.S. Adalah Bekas Kakitangan
      Kerajaan Fir'aun

Fir'aun mengatur tipudaya untuk mengalahkan Nabi Musa A.S. dan menambah penindasan terhadap Bani Israel. Maka Tuhan merencana tipudaya sehingga mengizinkan bencana berlaku kepada Fir'aun dan tenteranya. Apabila mereka dikeluarkan dari istana menurut perancangan Tuhan, untuk mengejar dan membunuh Bani Israel, maka Tuhan menetapkan bencana kepada mereka. Siapakah Musa A.S. dalam kalangan mereka? Bukankah mereka pernah melantik Musa A.S. dengan jawatan tinggi. Kemudian atas sebab hanya Musa (A.S.) dipilih Tuhan dan diangkat menjadi rasul, mereka memusuhi Musa A.S. Kemudian Tuhan mengangkat Musa A.S. kepada kedudukan yang lebih baik daripada jawatan sebelumnya, yang pernah ia sandang semasa berada sebagai kakitangan kerajaan di bawah penguasaan Fir'aun.

ii.    Mukjizat Tuhan beserta Peranan Bahan
       Perosak Alam

Golongan ingkar suka memberi penerangan munasabah terhadap apajua bencana dengan mengaitkan sebarang kejadian alam termasuklah bencana, sebagai suatu fenomena alam. Mereka ingini untuk tidak menjurus sebagai sebahagian kekuasaan Tuhan. Tujuan mereka adalah untuk mengelirukan umat manusia dengan menafikan peranan 'tangan ghaib' terhadap suatu kejadian. Mengapa tidak mereka mengkaji serta meneliti sehingga menemui bahawa sebarang kejadian sebenarnya berhubung rapat dengan kekuasaan Tuhan. Mereka sebenarnya ingin memenangi perhatian manusia supaya mereka dikatakan sebagai pelopor ilmu yang dapat menjawab segala kemusykilan. 

Dengan mudah mereka memberi penerangan bahawa kejadian terbelahnya laut adalah akibat daripada kejadian air surut dan tenggelamnya Fir'aun adalah disebabkan air pasang. Sebenarnya kejadian air laut pasang dan surut tidak dapat dibezakan dalam tempoh waktu yang singkat. Pendekatan yang lebih saintifik mungkin dengan menyatakan terdapat perbezaan tekanan hidrostatik disebabkan oleh perubahan spesifik graviti air laut yang berlaku secara tiba-tiba di bahagian kiri dan kanan laluan. Ataupun telah wujud suatu fenomena lompatan Bernoulli di kiri dan kanan tempat laluan air laut yang terbelah itu. 

Peristiwa terbelahnya air laut pada zaman
Nabi Musa A.S. bukanlah disebabkan oleh
kesan-kesan khas.

Persoalannya ialah, mengapakah kejadian itu berlaku di situ pada tempat tertentu dan masa tertentu? Mungkin mereka termasuk golongan yang memiliki pendapat menghampiri pendapat penulis dengan menyatakan bahawa telah berlaku kejatuhan akibat tekanan udara serta merta sebagaimana berlaku pada banyak tempat di bumi ini. Perkara ini menimbulkan fenomena ‘air burst’ yang mengakibatkan keruntuhan udara dari altitud tinggi ke permukaan bumi. Tekanan udara tiba-tiba yang terjadi sehingga mengakibatkan keruntuhan, telah membawa akibat sehingga menyebabkan air laut terbelah. Kejadian ini berlaku apabila berlakunya penumpukan wap-wap penyejuk seperti ammonium, nitrat, fosfat dan sulfat di udarakasa pada keluasan tertentu. Kejadian ini dapat dikesani sekarang ini oleh pesawat udara. Persoalannya, mengapakah kejadian itu berlaku pada tempat dan masa yang telah direncanakan Tuhan untuk berlaku? Sehingga menyelamatkan Nabi Musa A.S. dan Bani Israel dan menenggelamkan Fir'aun serta tentera-tenteranya. Pengajaran yang harus diambil ialah, manusia harus mempelajari fenomena alam sebagai suatu pendekatan yang dapat menghampiri diri mereka kepada Tuhan untuk mempertingkatkan keimanan mereka. Bahawa alam yang serba seimbang ini haruslah mereka amati serta menjagainya menurut panduan daripada Tuhan.

Asas keimanan yang ditanamkan dalam setiap hati sanubari manusia adalah kunci utama untuk alam ini dapat ditadbir secara terkawal. Oleh itu, Tuhan tidak memerintahkan RasululLah S.A.W. untuk mengajari manusia tentang tindakbalas kimia yang berlaku supaya mereka berhati-hati terhadap penjagaan alam. Baginda hanya menyeru manusia untuk beriman kepada Tuhan supaya mereka melakukan kerja-kerja yang tidak akan membawa kerosakan malahan perbaikan. Membentuk sikap manusia yang bukan sahaja berhati-hati terhadap alam sekitar bahkan berhati-hati dalam menjaga hubungan antara manusia. Perkara ini sebenarnya menimbulkan kesan pemulihan yang lebih besar dan lebih ketara berbanding usaha bersungguh-sungguh dalam menjagai alam sekitar mereka secara sendirian. Secara mudah difahami, sekiranya setiap manusia diberi perhatian secukupnya, terhadap keperluan asas mereka, mereka tidak perlu terlibat dalam kerja-kerja melakukan kerosakan alam kediaman sendiri secara tidak disedari.





Saturday, August 19, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 15 -- TUJUAN PERUTUSAN MUHAMMAD RASULULLAH


انا ارسلنا اليكم رسولا شاهدا
عليكم كما ارسلنا الى فرعون رسولا

Sesungguhnya Kami, telah mengutus Kami kepada kamu seorang rasul sebagai saksi ke atas kamu sepertimana telah mengutus Kami kepada Fir'aun seorang rasul.

Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu (Wahai umat Muhammad), seorang Rasul Yang menjadi saksi terhadap kamu (tentang orang Yang mematuhi atau menolak seruannya), sebagaimana Kami telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul.

i.      Projek-projek Kerajaan Fir'aun 
        Yang Merosakkan

Sesungguhnya agenda perutusan Nabi Muhammad S.A.W. kepada umat manusia, memperingati kesan perbuatan mereka mengingkari peraturan Tuhan, adalah serupa kesannya dengan perutusan Nabi Musa A.S. kepada Fir’aun suatu masa dahulu. Bahawa hasil pekerjaan Fir’aun telah sampai ke suatu tahap sekiranya tidak diperingati, akan menimbulkan bencana kepada mereka sendiri lantaran kejahilan mereka mengawal selia projek-projek mereka. 

Manusia dikurniakan Tuhan dengan akal yang terbatas dan tidak mampu menolak bencana secara sendirian tanpa panduan daripada Tuhan. Dalam melaksanakan disiplin kehidupan, antara perkara yang disedari oleh ahli-ahli sains bumi, adalah tentang bahaya pelepasan gas-gas rumah hijau ke atmosfera, betapa buruknya kesan berkenaan terhadap pencairan ais yang terdapat di kedua-kedua belah kutub bumi. Namun, antara perkara yang mereka akui tidak dapat mencegahnya adalah untuk memujuk negara-negara dan manusia seluruhnya supaya bencana sedemikian dapat dihentikan serta merta. Kajian demi kajian dijalankan hanya sebagai penyaksian sebuah fenomena kemusnahan tanpa didapati usaha untuk menghentikannya. Mesyuarat demi mesyuarat antara ketua-ketua negara hanya mampu menyediakan juadah-juadah yang lazat untuk mereka nikmati tanpa tindakan susulan yang berkesan. 

Rentetan peristiwa demi peristiwa adalah lilitan mula kepada peristiwa lebih besar sehingga suatu masa nanti, setiap penduduk terpaksa meninggalkan rumah kediaman mereka masing-masing, lama sebelum menempuh peristiwa besar As-Sa’ah. Nabi Musa A.S. diutus Tuhan dalam kalangan Bani Israel, mengajak Fir’aun beriman kepada Tuhan. Fir’aun yang mengepalai kerajaan Mesir ketika itu telah mula membentuk tamadun dunia. Penduduk Mesir rata-ratanya terlibat dengan kerja-kerja pertanian dan juga mendirikan bangunan-bangunan besar seperti piramid. Semua pekerjaan itu sebenarnya membawa bahaya tersendiri. 

Supaya perkara sedemikian menjadi pengajaran kepada umat manusia seluruh dunia atas kepentingan pembangunan negara-negara mereka, Tuhan telah mengutus rasulNya iaitu Nabi Musa A.S., untuk menegur perlakuan Fir’aun dalam melaksanakan pemerintahannya. Nabi Musa A.S. adalah dalam kalangan Bani Israel. Ia telah menyaksikan kemusnahan Fir'aun dan kemusnahan sedemikian juga disaksikan oleh Bani Israel sendiri. Tatkala mereka menyeberangi Laut Merah, mereka melihat dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana Fir'aun ditenggelamkan.

Begitu juga Muhammad Rasulullah S.A.W., telah menyaksikan kemusnahan pengaruh kuasa musyrikin Makkah, diikuti oleh khalifah-khalifah sesudah baginda yang dapat menyaksikan kemusnahan tamadun Farsi. Umat Islam kemudiannya dapat menguasai Farsi setelah beberapa tahun kewafatan RasululLah S.A.W. Tamadun bangsa Rum masih belum musnah sehingga kini dan umat Islam sesungguhnya akan dapat menyaksikan kemusnahan tamadun bangsa ini apabila mereka dapat menguasai Vatican, sebuah negara yang dikelilingi oleh negara Italy, suatu masa nanti. Sebagaimana bencana cuaca telah memusnahkan kerajaan Fir'aun, umat Islam kini dalam proses menyaksikan bencana cuaca akan merosakkan beberapa tamadun dunia. Usaha-usaha pemulihan oleh umat Islam akan memberi peluang kepada mereka mentadbir dunia suatu masa nanti.

ii.    Sejarah Kehancuran Projek-Projek Fir'aun
       Lantaran Penggunaan Baja Berlebihan

Banyak daripada projek Fir'aun telah rosak binasa. Yang tinggal hanyalah baki yang terdiri daripada bangunan pasak iaitu beberapa piramid dan sphinx. Apabila Fir'aun memulai projek pembinaan piramid, mereka mendapatkan bahan-bahan binaan daripada batu yang dipotong yang diperolehi dari gunung-gunung dan lembah-lembah serta acuan tanah-tanah liat yang dibakar sehingga mengeras. Mereka angkut melalui jalan darat dan jalan air. Projek-projek seperti ini sebenarnya dapat menyebabkan ketidak stabilan tanah, akibat daripada perubahan struktur bumi. Di tempat-tempat yang piramid dibina, pemendapan tanah dapat berlaku. Kerja-kerja pemuliharaan terpaksa dilakukan pada zaman ini untuk mengekalkan pusat-pusat bersejarah yang menjadi tarikan pelancong. Yang lebih malang lagi adalah apabila projek-projek pertanian mereka, melibatkan penggunaan baja ammonium secara berleluasa. Projek ini dilakukan oleh pembesar Hamman daripada kaum Bani Israel, yang menjual baja yang diambil dari bukit Ammon kepada Bani Israel dan kaum Qibti. Mereka adalah rakyat yang dipaksa menjadi hamba yang mentaati atau menyembah Fir’aun. Rakyat dicengkam oleh permusuhan antara mereka, yang diadu domba oleh Fir’aun. Fir’aun menguasai kekunci air sungai Nil untuk tujuan pengairan ladang-ladang pertanian dan Hamman menguasai perbekalan baja untuk kesuburan tanah. Untuk mengelakkan kemusnahan besar-besaran akibat angkara Fir’aun sedemikian, Tuhan telah mengutuskan nabi Musa A.S. mengajak Fir’aun untuk menyembah Tuhan yang sebenar.

iii.     Bencana Akibat Keingkaran Fir'aun

Seruan sedemikian secara terang-terangan dibantah oleh Fir’aun bulat-bulat. Antara kesan-kesan amalan pembesar Hamman melalui penggunaan baja ammonium adalah perubahan cuaca sehingga terhasilnya hujan air batu dan aktiviti kilat dan petir yang sungguh luar biasa. Rumah-rumah kediaman yang terbina daripada campuran tanah liat dan jerami, binasa akibat daripada kilat yang membakar. Hujan ais menyejukkan bendang sehingga membinasakan tanaman. Bendang yang kesejukan akibat daripada hujan ais telah mengakibatkan katak-katak terpaksa meninggalkan kawasan berkenaan dan memasuki rumah-rumah serta kawasan istana Fir'aun. Katak-katak itu kemudiannya mati kelaparan lalu dimakan kutu dan akhirnya kutu-kutu yang banyak serta kelaparan turut memakan dan memusnahkan hasil tanaman yang disimpan.


Katak-katak yang kesejukan lari
meninggalkan bendang.

Pada suatu ketika sebelum ini, bahan ghul yang terdiri daripada gas freon dan CFC digunakan secara meluas dalam peti ais dan penyembur aerosol. Kajian kemudiannya mendapati, bahan ini mengakibatkan kemusnahan teruk lapisan ozon dan kemusnahan ozon menjadi penyebab kepada kes-kes peningkatan penyakit barah kepada manusia. Akibatnya, dengan kerjasama antara negara-negara akhirnya penggunaan bahan ini dapat dikurangi setelah saintis menyedari terdapat lubang pada lapisan ozon di kedua-dua benua Antartika dan lautan Artik. 

Kemudian bahan penyejuk lain digantikan dalam peti ais iaitu wap ammonia dan keadaan harus dikekalkan sedemikian. Namun penggunaan ammonia secara meluas dalam aktiviti pertanian di negara-negara membangun dan negara ‘maju’ sebenarnya menjadi penyebab kepada kejatuhan suhu tiba-tiba pada lapisan atmosfera pada altitud yang rendah, sehingga mengakibatkan bencana alam seperti taufan dan hujan batu. Wap ammonia tidak naik tinggi, banyak terkumpul di atas tanah tinggi seperti gunung-gunung dan bukit-bukit tinggi*. Oleh kerana wap ini amat mudah larut dalam air dan meresap dalam tanah, aktiviti pertanian tanah tinggi amat digalakkan supaya dapat mengurangkan kesan baja ammonia dalam tanah (2:265). Perkhabaran seperti ini mungkin akan dituduh sebagai mengada-adakan sesuatu tanpa bukti-bukti ilmiah. Lalu bagaimanakah perkara sedemikian dapat difahami sekiranya usaha-usaha arkeologi tidak menjurus kepada mengkaji kesan-kesan keruntuhan tamadun Mesir kuno? Yang mereka minat hanyalah yang menjurus kepada aktiviti-aktiviti pelancongan untuk membawa masuk wang pelancong-pelancong asing. 

Penyedia-penyedia dana penyelidikan juga hanya berminat tentang hasil ekonomi suatu penyelidikan dan bukannya mengkaji kesan kemusnahan yang dapat menyebabkan mereka kurang memperolehi hasil pertanian. Mereka tidak peduli tentang penggunan baja-baja tertentu yang seharusnya dijadikan baja larangan dan mereka tidak menguruskannya secara berhati-hati. Mana-mana jua penyelidikan yang berjaya, yang dapat membawa pulangan hasil ekonomi kepada negara, mengalami masalah sekatan dana oleh pihak-pihak berkepentingan, yang memegang jawatan utama dalam jabatan. Mereka bertindak demikian kerana mengkhuatiri kedudukan penyelidik itu yang disangka terlalu bestari sehingga dapat mengatasi jawatan yang sedang disandang oleh pengarah sesuatu jabatan. 

Pengajaran pengalaman Nabi Musa A.S. dalam menghadapi Fir'aun adalah merupakan suatu contoh kerja-kerja dakwah yang sebenarnya sangat rapat dan ada hubung kaitnya dengan pemerintahan setempat. Oleh yang demikian, keadaan yang serupa yang berlaku kepada umat RasululLah S.A.W. kini, adalah juga merupakan kerja-kerja dakwah yang ada hubung kaitnya dengan polisi pemerintahan masakini. Umat ini tidak harus menjauhi diri daripada pihak berkuasa dan tidak juga harus menjauhi diri daripada ahli masyarakat setempat. Setiap umat mempunyai peranan dalam masyarakat.



Sunday, August 13, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 14 -- HARI BERGEGAR BUMI DAN RUNTUHNYA GUNUNG


يوم ترجف الارض و الجبال
و كانت الجبال كثيبا مهيلا


Hari yang ia bergegar bumi itu dan gunung-gunung (bukit-bukau) itu dan adalah gunung-gunung (bukit-bukau) itu (seolah-olah) seperti pasir yang dicurah (79:06).

(azab itu tetap berlaku) pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang (serta hancur lebur), dan menjadilah gunung-ganang itu timbunan pasir Yang mudah bersepah.

i.     Kejadian Tanah Rebah Dan 
       Gunung / Bukit Runtuh

Bilakah waktunya akan berlaku sedemikian? Dalam dokumentari yang ditunjukkan di TV, keadaan perubahan cuaca yang berlaku, telah mengakibatkan pencairan ais yang dikenali sebagai perafros, yang sebelumnya adalah sebagai pengikat butiran tanah dalam batuan gunung. Akibat daripada itu, ikatan-ikatan tanah menjadi longgar, batu mengalami rekahan akibat daripada pengembangan air dan gunung-gunung mulai mengalami keruntuhan. Waktu berlakunya adalah sekitar sekarang dan sedikit masa lagi. Pada tahun 2006, sebuah gunung telah mengkambus sebuah perkampungan di Filipina. Pada tahun 2008 beberapa buah gunung di Switzerland mengalami keruntuhan dan dijangkakan dalam beberapa tahun lagi, gunung Everest akan mengalami keruntuhan berdikit-dikit kiranya tiada langkah agresif diambil. 

Pada tahun 2011 yang lalu, telah tersebar tayangan di Youtube tentang sebuah pelabuhan di Brazil yang mengalami keruntuhan sehingga mengakibatkan keruntuhan bangunan dan hampir semua barangan kontena telah tenggelam ke dalam laut. Terdapat juga gambaran lain, tebing tinggi di tepi laut turut runtuh serta tenggelam ke dalam laut. Bahkan telah ditunjukkan bagaimana bukit yang terletak berhampiran kawasan kediaman bergerak dan runtuh, seolah-olah kejadian itu seperti pasir yang dicurah, bergerak di sepanjang lereng landai. 

Bukit menjadi seperti pasir yang dicurah.
Kejadian yang mungkin berlaku di mana sahaja.

Ayat yang diwahyukan kepada RasululLah S.A.W. 1400 tahun dahulu, kini memberi gambaran awal akan berlakunya keruntuhan bumi sebelum berlaku kejadian As-Saah. Semua yang terjadi itu, sebahagian besarnya adalah gara-gara manusia sendiri.

ii.   Musnahnya Konkrit Lantaran Bahan 
      Ghul Yang Terdapat dalam Makanan 
      atau Minuman

Dalam projek pembangunan, telah diketahui secara umum bahawa kekuatan konkrit yang mengeras dalam pengisar putar yang tidak dapat dituang, dapat dimusnahkan dengan beberapa botol minuman coca cola. Kandungan yang terdapat dalam minuman ini mampu melembutkan kekerasan konkrit sehingga dapat dikeluarkan daripada pengisar. Bahan ghul yang berkesan untuk tujuan demikian adalah kandungan bahan tambah air bergas itu yang mungkin sahaja terdiri daripada soda. Itulah bahan ghul dan termasuk juga kandungan utama iaitu bahan tambah pewarna perang gelap daripada sebatian azo. 


Mengapa masih memilih peluntur 
sebagai bahan pemakanan?

Kebanyakan daripada bahan pewarna yang diluluskan, disintesiskan melalui bahan kimia asid nitrik, yang menyediakan ion sebatian nitrat, adalah juga yang serupa dengan yang terkandung dalam najis manusia dan juga haiwan yang mereput. Sebatian ini merupakan sebatian yang paling ampuh dapat melarutkan hampir semua logam termasuk logam berat dalam tempoh yang panjang. Pengionan anion berlaku dalam bahan konkrit berkenaan sehingga bahan itu digemburkan menjadi seperti pepasir. Penemuan yang mengejutkan ini memberi kesan serupa kepada batuan. Bahan cemar yang diusahakan oleh manusia sebagai bahan tambah kepada makanan, mampu diproses oleh perut manusia untuk disingkirkan dan hanya akan mendatangkan mudharat setelah suatu tempoh yang lama setelah seseorang mengambilnya. Demikian itulah keberkesanan manusia melakukan kajian pemakanan dan menubuhkan suatu mekanisma kawalan terhadap pemakanan. 

Namun kesan bahan cemar kepada alam sekitar adalah lebih hebat lagi sehingga pada kuantiti yang banyak yang berterusan, akhirnya mampu membawa kesan sehingga merapuhkan batu-batu gunung yang kesudahannya dapat meruntuhkan gunung berkenaan. Demikianlah itu himpunan ayat yang menghubungkan antara kesan pemakanan manusia dan alam sekitar.

Kepakaran manusia melalui teknologi makanan rupa-rupanya dapat membawa kemusnahan kepada manusia dan tempat kediaman mereka. Berlakunya kemusnahan adalah sekitar waktu ini sehingga antara yang disebutkan dalam beberapa ayat selepas ini, kejadian itu serentak dengan kejadian anak-anak muda beruban kesan mengambil pemakanan yang memudharatkan. Penulis pernah ditanyai soalan, bagaimanakah mungkin gunung-gunung mengalami keruntuhan dan bumi bergegar semata-mata disebabkan oleh bahan tambah dalam makanan yang mungkin dikatakan sedikit sahaja jumlahnya? Untuk memahami kejadian seperti ini supaya suatu pelajaran dapat diperolehi sama-sama kita mengkaji ayat seterusnya tentang sejarah kemusnahan Fir'aun.



Friday, August 4, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 13 -- PEMAKANAN YANG MEMUDHARATKAN DAN AKIBATNYA


ﻭ ﻃﻌﺎﻣﺎ ﺫﺍ ﻏﺼﺔ ﻭ ﻋﺬﺍﺑﺎ ﺍﻟﻴﻤﺎ 

Dan pemakanan (nutrisi) yang mengandungi cekikan / sumbatan dan suatu azab yang pedih. 

serta makanan Yang menjadikan pemakannya tercekik, dan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.

i.    Contoh Pemakanan Sekeluarga

Mereka tahu makanan mereka buruk,
mereka mahukan kita makan sekali 
bersama mereka.

Ke manakah perginya golongan yang mewah ini membawa keluarga mereka makan? Mereka ke restoran francaise dari Barat. Apakah yang mereka makan? Kentang goreng yang digoreng menggunakan minyak yang dihidrogenkan, untuk mendapatkan rasa yang menyelerakan. Kesannya, mereka menelan minyak jenis isomer-trans sehingga dapat mengakibatkan penyakit kanser. Bukankah itu suatu azab yang pedih? Bagaimanakah cara memanggang makanan yang dipelopori oleh golongan yang mewah? Mereka menggunakan ketuhar gelombang mikro. 

Makanan yang disentuh api hanya akan menghasilkan jasad keton yang terkesan daripada radikal bebas pada bahagian kulit atau luarannya sahaja, namun, kesan menggunakan ketuhar gelombang mikro adalah penyalaian menyeluruh hingga menghasilkan jasad keton secara merata dalam makanan. Tanpa memakan bahan anti pengoksida yang kuat, mereka akan segera menghidap penyakit barah dan mengalami proses penuaan yang lebih cepat. Itu juga adalah azab yang pedih. Apakah minuman yang digemari oleh golongan yang mewah? Air bersoda atau mana-mana air bergas, mereka agak berhati-hati agar tidak mengambil gula berlebihan supaya tidak segera ditimpa penyakit kencing manis tetapi sebenarnya mereka sedang mendapatkan penyakit berkenaan akibat daripada bahan tambah seperti pewarna, pengawet, perisa dan sebagainya. 

Mereka tetap dilingkungi oleh penyakit tiga serangkai, suatu kebimbangan tak berkesudahan. Apakah yang mereka gemari sebagai bahan tambah dalam makanan atau minuman mereka? Iaitu krimer atau susu dalam ais krim atau kopi, teh atau koko. Kesan tambahan sedemikian mengakibatkan khasiat-khasiat lain daripada bahan-bahan seperti teh, kopi, koko mengalami pengumpalan yang gagal diserap masuk melalui dinding usus. Coklat sebenarnya hanya layak dijadikan makanan kepada lembu kerana haiwan ini memiliki empat perut. Hanya gula, lelemak dan drug sahaja yang diserap masuk oleh usus daripada bahan coklat. Baki makanan yang tinggal sama ada dibuang keluar atau tertinggal dalam usus menimbulkan kesan seperti penyempitan usus sehingga boleh mengakibatkan penyakit sembelit. 

Apakah ubat yang mereka ambil apabila mereka jatuh sakit? Iaitu tablet drug yang disertakan dengan disket kaolin. Bahan ini berupaya menyumbat salur darah dan jantung pada bahagian injap bikuspid atau injap trikuspid yang dapat membawa kegagalan jantung pada peringkat usia sebelum terlalu tua. Kesan cekikan atau sumbatan berlaku apabila pemakanan sedemikian tersangkut pada usus atau salur darah bahkan juga makanan yang sering melekat di esofagus akibat tindakan memakan dengan gelojoh. 

ii.   Penguatkuasaan Yang  Kurang  Berkesan 

Teknologi makanan adalah suatu bidang kajian yang diarahkan oleh Tuhan untuk dilaksanakan (80:24). Kajian makanan setakat sedia ada hanya dipraktikkan di institusi-institusi tertentu kerajaan, institusi pengajian tinggi, persatuan-persatuan pengguna dan kementerian melalui akta makanan. Namun secara praktisnya penguatkuasaan masih kurang berkesan. Kesedaran kepentingan memakan makanan yang sihat, harus dijelaskan kepada rakyat seluruhnya supaya perbelanjaan negara darihal kesihatan rakyat, dapat dijimatkan dengan banyaknya. Atas kepentingan pihak-pihak tertentu yang sanggup menerima rasuah atau kepentingan pulangan cukai yang tinggi, makanan-makanan yang telah dicemari dengan bahan tambah, telah banyak membawa kemudharatan kepada rakyat secara umumnya. 

Kajian memang banyak tetapi penguatkuasaan 
kurang berkesan kerana kepentingan
pihak-pihak tertentu.

Ditambah lagi dengan pemakanan hasil-hasil pertanian dan penternakan menggunakan teknologi ubahsuai genetik, telah mengakibatkan keutuhan usus menjadi lemah dan banyak pemakanan lain yang melaluinya, menjadi bahan sumbatan secara sedikit demi sedikit sehingga menimbulkan azab. 

iii.   Kesan Bahan Tambah Makanan Yang 
       Dapat Membawa Kemudharatan Tubuh 

Dengan kesedaran kepentingan menyediakan produk makanan halal, banyak perusahaan pemprosesan makanan khususnya untuk keperluan umat Islam telahpun dibangunkan. Namun mereka masih  mempelajari serta mempraktikkan teknik pemprosesan menggunakan kaedah golongan ingkar supaya makanan yang mereka hasilkan, dapat tahan lebih lama dan lebih menyelerakan. Makanan-makanan yang dicemari dengan pewarnaan tertentu serta bahan pengawet dan perisa tertentu sebenarnya lebih menjurus kepada kerosakan tubuh akibat daripada kesan sumbatan. 


Pewarna sintetik dalam makanan,
banyak mengganggu jiwa anak-anak.

Penghidrogenan minyak-minyak sayuran seperti penghasilan majerin daripada minyak kelapa sawit atau jenis-jenis minyak sayuran lainnya, masih diguna pakai oleh umat ini terutama dalam pembikinan kuih muih serta dalam penyediaan makanan roti canai. Pemprosesan minyak seperti ini sebenarnya menyediakan rantaian panjang kepada setiap rantaian asid lelemak, sehingga mengakibatkan makanan sedemikian menjadi seperti plastik yang amat sukar diserap melalui dinding usus. Mengamalkan pengambilannya menyebabkan keupayaan usus menyerap khasiat daripada pemakanan-pemakanan lain juga turut terjejas. Oleh itu, seseorang akan merasa cepat lapar sekalipun kuantiti makanan yang diambil agak banyak. Banyak makan pula dapat menimbulkan kesan penyakit-penyakit yang lain. 

Dalam pada usia purata lelaki di negara ini mencecah sehingga 71 tahun, semakin ramai kaum lelaki menemui ajal lebih awal pada sekitar usia antara 50 hingga 60 tahun. Perkara ini disahkan sendiri oleh pihak kementerian kesihatan. 

iv.   Trend Pengambilan Makanan Masakini 

Corak kehidupan manusia masakini telah menyebabkan mereka terpaksa memilih pemakanan sedemikian. Penanaman tumbuhan-tumbuhan serta pembaziran dalam aktiviti penternakan, dalam usaha mendapatkan hasil yang banyak, kerja yang mudah, pulangan yang cepat, sebenarnya banyak membawa kemudaratan dalam kehidupan manusia serta kerosakan kepada alam persekitaran mereka. Sehingga, dalam usaha penanaman padi serta penternakan, petani-petani telah didedahkan dengan kemudahan riba daripada pinjaman modal yang mereka perlukan. Untuk mendapatkan pertumbuhan yang baik serta hasil yang banyak, mereka telah melupai penggunaan baja asli yang terdiri daripada humus, buangan haiwan serta tumbuhan-tumbuhan reput. Penggunaan baja sintetik mengakibatkan pembaziran bahan-bahan sedia ada secara sangat ketara. 

iv.    Manipulasi Pasaran Dan Riba – Pengaruh 
        Terhadap Industri Makanan 

Kesan kemuncak daripada pengamalan sistem riba, manipulasi pasaran serta keadaan hidup sedemikian terhadap aktiviti pertanian, akan menyebabkan bumi mengalami keadaan yang meruncing. Sebahagian permasalahan bumi telah dibincangkan sebelum ini kesan daripada beban berterusan yang manusia sediakan. Persoalannya, mengapakah perkara ini yang telah dikhabarkan kepada RasululLah S.A.W. baru-baru ini menunjukkan kekalutannya? Yang demikian itu, penerimaan umat-umat dahulu terhadap wahyu Tuhan dan kerasulan telah membolehkan bumi ini mengalami keadaan pemulihan dalam tempoh yang sangat lama. Kini, apabila manusia kembali kepada sistem keingkaran, tanda-tanda kekalutan pada bumi ini mulai muncul kembali. Sebelum zaman kerasulan, sebenarnya manusia telah mencapai kehidupan yang mengamalkan teknologi tertentu, bahkan umat-umat terdahulu sebelum ini telah dibuktikan pernah mencapai kegemilangan teknologi. Kerajaan Fir'aun pernah mencapai teknologi tertentu sehingga alam kediaman mereka rosak, akibat perbuatan tangan-tangan mereka sendiri.



Popular