ﻣﺎ ﻧﻨﺴﺦ ﻣﻦ ﺃﻳﺔ ﺍﻭﻧﻨﺴﻬﺎ
ﻧﺄﺕ ﺑﺨﻴﺮ ﻣﻨﻬﺎ ﺍﻭ ﻣﺜﻠﻬﺎ
ﺍ ﻟﻢ ﺗﻌﻠﻢ ﺍﻥ ﷲ ﻋﻠﻰ ﻛﻞ ﺷﻰﺀ ﻗﺪﻳﺮ
Apa yang Kami salin daripada suatu ayat atau Kami abaikan akannya, Kami datangkan dengan yang lebih baik daripadanya atau seumpamanya. Adakah telah tidak engkau ketahui bahawasanya Allah atas tiap-tiap sesuatu Maha Kuasa?
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya, Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?
Daripada ayat ini telah wujud suatu pelajaran baru daripada kitab Al-Qur’an iaitu subjek ayat nasikh dan ayat mansukh. Bahkan sesetengah pelajaran menyediakan rujukan senarai ayat-ayat yang telah dimansukhkan beserta ayat-ayat yang menasakhkannya.
Oleh kerana penulis bukanlah individu yang layak untuk mempersoal atau mempertikai mana-mana bentuk terjemahan atau tafsiran tertentu, penulis hanya melontar suatu kefahaman tersendiri berdasarkan asas kefahaman tertentu. Sebenarnya terdapat pelbagai kefahaman tentang ayat ini dan berikut ini adalah suatu kisah yang pernah penulis alami;
Peristiwa perbincangan telah berlaku antara penulis dengan seorang penyokong kuat gerakan Ar-Rafidhah di negara ini. Pada suatu petang kami sama-sama dalam perjalanan balik daripada pusat bandaraya atas tujuan penghantaran permohonan membekal peralatan ke institusi kerajaan. Sesampai di sebuah warong, kami singgah sebentar untuk menikmati makanan bagi mengisi perut yang lapar. Penulis ketika itu telah memesan sup bihun bersama sedikit keratan sotong dan udang, sementara rakan penulis tadi telah memesan sup bihun yang sama tetapi dengan sedikit lauk daging ayam. Perbincangan bermula apabila ia mula menyampaikan ajaran yang ia perolehi bahawa sotong adalah termasuk makanan yang diharamkan berdasarkan pegangan agamanya. Penulis agak tersentak, tetapi tidak terus membincangkan perkara tentang hukum hakam pemakanan. Perkara yang ingin penulis nyatakan adalah asas halal dan haramnya pemakanan adalah suatu yang jelas dan perkara seperti ini telah termaktub dalam Al-Qur’an. Mengeluarkan fatwa terhadap makanan memerlukan penjelasan teliti daripada sumber Al-Qur’an dan As-Sunnah. Perbincangan kemudian berakhir apabila rakan penulis itu menyatakan bahawa, ayat tentang halal dan haram adalah termasuk ayat yang telah dimansukhkan dan perkara demikian terus diwarisi amalannya oleh kumpulannya. Persoalan yang ingin penulis bawa adalah, bagaimanakah mungkin ayat ini telah dijadikan hujah terhadap apajua pindaan dalam hukum agama?
i. Ayat Yang Disalin
Terdapat pelbagai terjemahan terhadap perkataan ﻨﺴﺦ dan dalam terjemahan kedua yang dinyatakan sebelum ini, ﻨﺴﺦ dijelaskan sebagai batal. Oleh itu, kiranya ayat yang dibincangkan adalah merupakan ayat yang dibatalkan (mansukh), maka ayat pembatal kepadanya akan dinyatakan sebagai ayat yang membatalkan (nasikh). Kiranya ayat itu adalah ayat yang dijelaskan (mansukh) maka ayat yang menjelaskannya pula akan dinyatakan sebagai ayat penjelasan (nasikh). Oleh kerana terdapat pelbagai terjemahan tentang perkataan ﻨﺴﺦ ini, penulis tidak berhajat untuk menafikan mana-mana jua terjemahan. Namun penulis memiliki pendekatan tersendiri dengan memilih terjemahan asal perkataan ﻨﺴﺦ iaitu salin. Pemilihan ini dibuat kerana terdapat contoh sebahagian ayat daripada ayat ini yang diulangi pada ayat yang datang kemudiannya.
ii. Lupa Bermaksud Abai
Mahasuci Tuhan daripada bersifat pelupa. Dalam istilah kebiasaan, apabila kita menyebut untuk melupakan atau mengabaikan sesuatu adalah bermaksud untuk tidak membincangkannya kembali apatah lagi untuk mengambilnya semula untuk satu-satu tujuan. Dalam hal ini, apa-apajua yang ada disentuh daripada mana-mana bahagian lain daripada ayat asal yang disalin, tidak semestinya akan dibawa semula untuk perbincangan. Perkara ini perlu dilakukan supaya fokus sesuatu ayat tidak akan membawa kita untuk membincangkan sesuatu yang berada di luar kontak ayat yang cuba untuk dijelaskan. Pembelajaran tidak akan menjadi berceramuk dan kefahaman menjadi lebih jelas. Contoh ayat berikut ini dapat menjelaskan bahawa hubung kait antara satu ayat dengan ayat selanjutnya diperlukan untuk menggarap kefahaman dengan lebih jitu.
No comments:
Post a Comment