SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, October 28, 2015

SURAH NUH AYAT 13 -- MEREKA MERASAKAN TIDAK LAGI MEMERLUKAN TUHAN


ما لكم لاترجون لله وقارا

Apa-apakah (yang ada) bagimu (sehingga) tidak kamu mengharapkan (apajua yang) bagi Allah suatu kemuliaan.

"Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya), -

i.    Mereka Sungguh Merasa Besar Diri

Berapa banyakkah yang kamu miliki sehingga kamu menjadi megah kerananya lalu kamu tidak mahu mengharap apa jua yang ada di sisi Tuhan. Berapa lamakah masa, kamu dapat merasai nikmat kehidupan di dunia ini? Adakah manusia akan dibiarkan begitu sahaja menempuh kehidupan sebebas-bebasnya? Di manakah generasi orang-orang tuamu dahulu pada waktu ini? 

Memang begitulah sikap manusia yang mereka warisi sejak dahulu lagi. Hanya golongan beriman menyedari bahawa kehidupan dunia tidak kekal, ‘pemilikan’nya juga tidak kekal sehingga mereka menyerahkan semuanya kepada Tuhan dan hanyalah mereka itu pemegang amanah yang akan dipersoalkan. Golongan yang ingkar mengetahui yang demikian hanya mereka tidak menyedarinya. 

RasululLah S.A.W., telah memperoleh kemuliaan dan begitu juga para sahabat baginda dan pengikut-pengikut sahabat dan seterusnya. Generasi terdahulu juga telah menemui kemuliaan sehingga dapat menguasai sekitar dua pertiga dunia hampir 1000 tahun.

ii.     Kelemahan Umat Akibat Meninggalkan 
        Al-Quran

Selepas mereka bertelingkah sesama sendiri dan tidak menuruti perintah Tuhan untuk menghayati Al-Quran, umat ini menjadi lemah selemahnya hingga akhirnya mereka menerima nasib malang dijajah dalam tempoh yang sangat lama. Mereka ditimpa kehinaan di mana jua mereka berada dan seterusnya selepas dari zaman penjajahan, umat ini menjadi bercelaru dalam menempuh hidup akibat mereka tidak mengambil kembali sistem Tuhan. 

Lalu mereka menuruti sistem yang disediakan penjajah yang akhirnya membawa mudharat besar terhadap alam ini dan begitu juga kehidupan manusia secara umumnya. Tanyalah kepada sesiapa sahaja dalam kalangan umat ini, mengapakah bukan mereka yang merupakan penentu harga terhadap keluaran dari negara mereka sendiri berupa getah, minyak sawit serta hasil petroleum? Jadi, apa yang nak dimegahkan dengan pemilikan semua itu sekiranya kita sendiri tidak dapat menentukan harganya serta kuota pengeluarannya?





Thursday, October 22, 2015

SURAH NUH AYAT 12 -- AKIBAT DARIPADA PEMBENTUKAN CUACA YANG BAIK


و يمدد كم باموال و بنين
و يجعل لكم جنت و يجعل لكم انهرا

Dan Ia memperbilang akan kamu dengan harta-harta dan anak-anak (takathur) dan Ia mengadakan bagi kamu taman dan Ia mengadakan bagi kamu sungai-sungai.

Dan ia akan memberi kepada kamu Dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Perkara inilah yang amat digemari oleh manusia. Namun apakah manusia benar-benar memperolehinya tanpa panduan daripada Tuhan? Dengan mengambil pendirian beriman kepada Tuhan maka dengan mudah mereka akan mempelajari ayat-ayat Tuhan yang memberi panduan dalam mengurus tadbir alam. Yang penting sekali adalah mengambil langkah berhati-hati dalam pekerjaan. Anak-anak memerlukan penjagaan, begitu juga dengan harta dan juga kebun-kebun serta sungai-sungai. Bukankah manusia merupakan khalifah yang diamanahkan untuk menjaga alam ini?

Namun bagaimanakah mereka dapat mengambil langkah berhati-hati, kiranya mereka mengingkari hari berlakunya bencana. Harta dan anak-anak merupakan amanah Tuhan, perlu diurus tadbir berdasarkan panduan daripada Tuhan.


i.     Keperluan Bahagian Dunia Untuk
       Tujuan Akhirat


Pada zaman ini, tiada harta ibarat tiada agama. Harta amat diperlukan untuk keperluan asas harian dan juga untuk tujuan beragama. Apajua yang dikaitkan dengan harta, termasuklah aktiviti ekonomi serta pemilikan aset adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Bukan sahaja untuk tujuan keselesaan hidup, bahkan aktiviti menghayati agama harus dapat dihidupkan. Ayat 28:77 harus difahami sebagai mencari kehidupan akhirat melalui perkara-perkara yang telah didatangkan Tuhan di dunia ini dan menggunakan sedikit bahagian yang diperolehi itu untuk keperluan dunia. Ini bermakna, kita perlu dapatkan apa jua bahagian dunia terlebih dahulu seperti harta, pangkat, kedudukan serta status dan menggunakan semua itu untuk mencari bahagian akhirat. Di samping itu, kita harus peruntukkan sedikit bahagian itu untuk keperluan dunia.


ii.    Berjihad Dengan Harta Terlebih Dahulu

Bukankah untuk berjihad, kita perlu mulai dengan harta dan kemudian diikuti dengan pengorbanan diri (61:11)? Berapa lamakah seseorang itu dapat menongkat alam ini? Apabila sampai masa اجل مسمى, tempatnya akan digantikan dengan generasi seterusnya yang terdiri daripada anak-anak keturunannya. Dengan penghayatan agama yang terdapat pada generasi sebelumnya, perkara yang sama akan dituruti oleh generasi berikutnya.

Adapun anak-anak, perlu dididik untuk menghadapi zaman mereka dan bukannya zaman kita ini. Suasana pada zaman mereka adalah sama sekali berbeza dengan zaman sekarang. Pada zaman ini yang komunikasi berada di hujung jari, generasi akan datang perlu didedahkan dengan teknologi sedemikian dan persiapan terhadap perubahan perlu dilakukan awal-awal lagi (77:03). Bagaimanakah generasi kini dapat mendidik generasi akan datang, sedangkan capaian terhadap internet perlu diperolehi pada kos yang tinggi. Berbanding di negara-negara lain seperti Sweden, Korea Selatan dan Singapura, capaian itu dapat diperolehi secara percuma. Mereka lebih terdedah kepada maklumat dan bersedia untuk menguasainya berbanding masyarakat kita. Bagaimana keadaan, sekiranya anak-anak tidak menghormati generasi terdahulu semata-mata mereka beranggapan mereka adalah lebih pakar maklumat berbanding ibubapa mereka?

iii.     Darihal Kebun dan Sungai-sungai

Air bersifat melarut, membawa sebatian-sebatian dan nutrien untuk diserap ke dalam tanah. Tumbuhan mengambilnya untuk tujuan pertumbuhan yang baik. Lebihan air akan membawa sedikit baki sebatian dan nutrien untuk pertumbuhan lumut serta rerumput dalam sungai dan untuk kehidupan equatik seperti ikan, udang, sesiput dan sebagainya. Semuanya wajar berlaku dengan penuh harmoni sejak dahulu lagi. Hanya golongan yang berpandukan panduan Tuhan dapat memanfaatkannya dengan cermat. Adakah wajar semua itu diserahkan kepada golongan ingkar, sehingga mereka mengambilnya secara gelojoh tidak terkawal. Sehingga mengakibatkan taman-taman serta sungai-sungai menjadi rosak kerananya. Wujudnya spesis ikan yang berupaya melakukan pembersihan sungai, dengan memakan kotoran yang disingkirkan di Sungai Kinta, Ipoh, yang dikenali sebagai ikan MBI, (kerana tugasnya melakukan pembersihan seperti kakitangan bandaraya) menunjukkan kekuasaan Tuhan, untuk tujuan membaik pulih kerosakan yang disebabkan oleh manusia. Ikan ini amat tidak digemari oleh kucing lantaran kulitnya yang sangat keras.

Sungai-sungai berpunca dari kawasan tadahan air. Kerosakan kawasan tadahan air akan membawa akibat kerosakan sungai.

iv.     Kerosakan Sumber Air

Kita dapati pada waktu ini, apabila berlaku penebangan hutan secara berleluasa, aliran air yang mengalir tidak lagi berlaku secara beransur-ansur dan ini dapat mengakibatkan terjadinya banjir kilat apabila hujan sedikit lebat. Kekeringan air segera berlaku, hanya untuk tempoh beberapa minggu sahaja hujan tidak turun. Bahkan, air yang seharusnya dapat digunakan untuk tujuan pengairan bendang menjadi semakin terhad, bukan disebabkan oleh kekurangan hujan per tahunan, tetapi disebabkan oleh salah selia pihak-pihak yang diberi tanggungjawab. Wajarkah lembaga kemudahan awam yang membekalkan air dipersalahkan, lantaran tidak berupaya menakung air semasa banjir besar yang berlaku secepat kilat?

Mengapa bukit-bukau perlu digondolkan sehingga mengakibatkan pergerakan air yang sepatutnya dapat diperlahankan, telah melimpahi tebing-tebing dan merobek tebing-tebing sungai? Kerosakan apakah ini, semata-mata kerana kayu hutan yang tak seberapa nilainya, hanya ribuan ringgit, mengakibatkan kemusnahan hasil pertanian sama ada akibat banjir atau kemarau? Apakah mereka layak untuk memakmurkan syurga Tuhan setelah mereka gagal di dunia ini? Begitulah juga umat ini yang membiarkan sahaja perlakuan seperti itu berlaku, tanpa sebarang usaha membaik pulih serta menasihati pihak-pihak tertentu yang melakukan kerosakan.

Memilih kebun-kebun yang ada punca air, adalah merupakan keadaan yang sesuai untuk tujuan pembangunan pertanian dan penternakan intensif. Aliran sungai adalah sinonim dengan pengangkutan makronutrien seperti sebatian nitrat, kalium dan fosforus dan mikronutrien seperti ion zink, boron dan sebagainya. Semua itu sangat sesuai untuk kesuburan tanah dan pertumbuhan tumbuhan yang lebat serta penghasilan hasil pertanian yang baik. Bahkan kita biasa mendengar pertanian giat yang dilaksanakan di kawasan delta, yang merupakan tempat tamadun manusia bermula, seperti delta Nil di Mesir dan delta Yangzhi di China. Demikian itu adalah perhiasan hidup di dunia ini sedangkan kurniaan Tuhan di akhirat adalah lebih baik.




Friday, October 16, 2015

SURAH NUH AYAT 11 -- HURAIAN KEPADA PUNCA PEMBENTUKAN CUACA


يرسل السمأ عليكم مدرارا

Ia menghantar langit ke atas kamu yang melelehkan.

(Sekiranya kamu berbuat demikian), ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

i.    Kepelbagaian Bentuk Terjemahan

Terjemahan biasa yang banyak diperolehi adalah hujan yang lebat atau air yang turun mencurah-curah. Perkataan السمأ harus diterjemahkan secara terus daripada bahasa Arab bererti langit. Iaitu langit dihantar ke atas mereka dan bukanlah langit yang menimpa mereka. Perkataan asal مدرارا daripada درة adalah bererti juga lelehan, merujuk kepada susu yang dilelehkan. Perkataan yang sesuai adalah langit yang melelehkan air sedikit demi sedikit. Lelehan bukan curahan, susu yang keluar tidak turun mencurah-curah melainkan secara curahan sedikit demi sedikit setara dengan kuantitinya, sehingga bayi perlukan masa yang lama untuk menghisap susu ibu. 

Kuantiti hujan sebegini sekadar cukup membasahi bumi sehingga tidak akan mengakibatkan banjir atau tanah runtuh. Langit merujuk sesuatu yang tinggi. Awan perlu berada pada kedudukan yang tinggi untuk mengalami kesejukan dan menurunkan hujan secara lelehan demi lelehan. Awan yang berada pada paras kedudukan yang rendah, akan menurunkan hujan yang lebat. Fenomena ini banyak terjadi sekitar kawasan panas zon khatulistiwa. 

Keadaan sedemikian diimbangi dengan pertumbuhan hutan hujan khatulistiwa yang tebal supaya kandungan tanah tidak banyak dihanyutkan. Oleh itu fenomena banjir kilat sering terjadi apabila berlaku banyak aktiviti penebangan hutan.

ii.   Ayat Yang Membenarkan Fenomena 
      Alam Yang Dapat Dibuktikan 
      Secara Ilmiah

Dalam suatu eksperimen sains, wap air dapat dilelehkan apabila menempuh suatu sempadan yang lebih sejuk. Keadaan lebih sejuk diperlukan supaya titik-titik air dapat bergabung membentuk titisan air yang lebih besar. Ayat ini menjurus kepada keadaan langit sejuk, yang berada pada altitud yang tinggi sehingga memudahkan pembentukan titik-titik air mikroskopik. Titik-titik ini akhirnya bergabung membentuk titisan hujan yang dapat meleleh jatuh. Pembentukan hujan jenis ini dikenali sebagai hujan perolakan.


Hujan perolakan dapat berlaku setempat, di altitud 
yang tinggi tanpa pergerakan yang aktif. 

Oleh itu, angin lembab yang bergerak mengarah ke perbanjaran, akan mengakibatkan berlakunya penolakan udara ke atas sehingga meredah sekitaran yang sejuk. Fenomena seterusnya yang bakal terjadi adalah pembentukan hujan bukit.

Hujan bukit adalah sejenis hujan perolakan. Dalam hujan 
perolakan, awan perlu berada pada kedudukan yang tinggi
sebelum menghasilkan hujan.

Semasa proses pembentukan hujan, keadaan lampau sejuk yang terbentuk, dapat menarik lebih banyak titik-titik air pada suatu awan sehingga menjatuhkan titisan air secara avalance (24:43). Aktiviti pembenihan awan menggunakan bahan penyejuk seperti wap ammonium nitrat, dapat menggalakkan terhasilnya hujan pada kadar yang segera. Namun penumpukan wap ammonia di atmosfera yang lebih tinggi sehingga bertindakbalas dengan asid nitrik daripada aktiviti petir, dapat menimbulkan kebahayaan terbentuknya ribut yang menurunkan hujan dengan sangat lebat. Penumpukan wap ammonium nitrat di udarakasa didapati akan menahan haba daripada terlepas ke angkasa lepas pada keadaan kelembapan tinggi dan akan menghangatkan bumi semasa kelembapan rendah. 

Adakah kita termasuk hamba Tuhan yang berhati-hati semasa melakukan aktiviti pertanian sehingga mengakibatkan perubahan kepada cuaca bumi, demi mendapatkan hasil pertanian yang lumayan? Kepatuhan kepada Tuhan bukan sahaja dalam hal-hal yang berkaitan dengan ibadah ta'abudi, malahan dalam seluruh aspek kehidupan. Manusia tidak perlu terlalu gelojoh dengan kehidupan di dunia ini. Sebenarnya sesuatu yang diusahakan oleh individu selalunya cukup untuk keseluruhan ahli keluarganya serta sebahagian daripada ahli masyarakat. 

Mereka seharusnya gelojoh dalam mempelajari ayat-ayat Tuhan supaya dapat menempuh kehidupan yang lebih bermakna. Supaya mereka layak menjadi ahli syurga untuk tujuan memakmurkannya. Mengamalkan ibadah berpuasa tentunya dapat mengurangkan pengambilan makanan, sehingga aktiviti pertanian yang merosakkan alam sekitar dapat dihindari. Kita harus mempelajari pengamalan masyarakat China dahulukala yang gemar memilih baja buangan haiwan dan manusia dan bukannya baja sintetik yang merosakkan.

iii.    Kebaikan Kitar Semula Nitrat

Kitar semula nitrat dapat mengurangkan kejadian gelinciran tanah serta tanah rebah. Apatah lagi, sekiranya nitrat dan nitrit didapati terlalu banyak dalam tanah dan larut dalam air, pelbagai masalah akan timbul. Pelbagai masalah kesihatan seperti kanser serta penyakit lelah kepada anak-anak kecil terjadi, gara-gara pencemaran nitrat dan nitrik. Setakat ini tiada penapis yang dapat menapis nitrat melainkan melalui kaedah R.O. Kaedah penghasilan air tulen ini untuk tujuan pembersihan, didapati memerlukan kos yang tinggi. Usaha yang ada adalah pada skala yang kecil sahaja.

iv.    Fenomena Langit Dengan Sempadan 
        Suhu Berbeza

Fenomena ini berlaku di atas permukaan bumi akibat daripada perubahan musim (perselisihan malam dan siang) sehingga terbentuk kisaran angin. Bumi yang berputar di paksi pada kecondongan 23.5 darjah menyebabkan berlakunya perubahan tempoh antara siang dan malam sepanjang tahun. Akibatnya, berlakulah perbezaan suhu antara permukaan bumi yang bersudut tegak dengan matahari dengan bahagian bumi yang lain pada sudut-sudut yang berlainan. Kawasan yang panas akan mengalami tekanan udara yang rendah manakala kawasan sejuk, tinggi. Pergerakan udara dari kawasan bertekanan tinggi ke kawasan bertekanan rendah mengakibatkan pertembungan antara udara sejuk dan udara panas yang mengandungi wap-wap air. Wap-wap air yang disejukkan akan segera membentuk titik-titik air yang kelihatan sebagai awan. Hujan yang turun dikenali sebagai hujan monsun. Hujan jenis ini jarang dituruti oleh aktiviti kilat dan petir yang aktif. Seringkali kita dapat melihat ke angkasa, apabila kepulan awan kadangkala mengalami pelenyapan disebabkan oleh perpindahan awan ke kawasan udara panas. Fenomena sebaliknya pula akan berlaku apabila awan tiba-tiba terbentuk apabila suhu menyejuk.

Perkara sedemikian sebenarnya dapat dipelajari melalui geraf keluk air yang berubah dengan perubahan suhu dan tekanan. Di Malaysia terdapat dua fenomena monsun iaitu monsun timur laut dan monsun barat daya. Monsun timur laut membawa kesan hujan yang lebat pada sekitar hujung dan awal tahun manakala monsun barat daya yang lebih kering berlaku pada pertengahan tahun. Pada waktu pagi yang sejuk, lelehan air daripada embun dapat berlaku walaupun tanpa adanya hujan. Lelehan air bernutrien ini amat membantu pertumbuhan kulat.

Kulat hanya akan tumbuh dengan bekalan air
bersih yang bernutrien, terutamanya selepas
hujan lebat yang banyak aktiviti kilat.

Friday, October 9, 2015

SURAH NUH AYAT 10 -- BERISTIGHFARLAH KEPADA TUHAN


فقلت استغفروا ربكم انه كان غفارا

Telah berkata aku, minta ampunlah olehmu akan Tuhan kamu, sesungguhnya Ia yang Maha Pengampun.

"Sehingga Aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya adalah ia Maha Pengampun.

i.     Mengaku Kesalahan dan Memohon
       Keampunan Tuhan

Apakah yang diseru oleh Nabi Nuh A.S? Iaitu untuk memohon keampunan Tuhan. Yang menjadi masalah adalah, mereka tidak merasakan mereka bersalah kepada Tuhan, lalu bagaimanakah mereka mahu menyahut seruan Nabi Nuh A.S? 

Seperti sekarang ini sebagaimana perlakuan manusia yang mereka sangkakan sebagai serba canggih, berdasarkan pengamatan saintifik dan mesra alam sebenarnya masih menimbulkan kebahayaan kepada alam sekitar kediaman mereka sendiri. Lalu bagaimanakah polisi sesebuah pemerintahan dapat mendidik rakyatnya supaya berhati-hati dalam pekerjaan mereka? Pelbagai bencana telah berlaku kepada Fir'aun lantaran sebab akibat perbuatan mereka sendiri. Begitu juga dengan bencana dari langit yang menimpa negara-negara Barat pada setiap tahun akibat perbuatan mereka sendiri.

ii.     Kelangsungan Hidup Di Bumi

Bahkan mereka menyalahkan fenomena perubahan cuaca atas segala bencana yang berlaku namun, mengapakah kebanyakan daripada bencana yang berlaku hanya berlaku di tempat sekitar mereka dan kurang terjadi pada belahan bumi yang lain? Sedangkan seluruh manusia juga terkesan daripada kehangatan akibat perubahan cuaca. 

Sebenarnya mereka tidak menyedari, perbuatan tangan mereka yang manakah yang mengakibatkan perubahan cuaca? Tuhan telah mengarahkan mereka beriman terlebih dahulu dan memohon keampunan kepada Tuhan terlebih dahulu sebelum Ia menunjuki mereka. Adakah mereka dapat menghilangkan keegoan mereka sehingga mengakui kecanggihan mereka sentiasa membuatkan mereka berada dalam bencana? Kerana keimanan bukan perkara yang murah serta mudah, hanya dengan menyerahkan ilmuNya semata-mata dan pada masa yang sama mengingkari arahanNya. 

Perkara yang seperti inilah yang tidak dapat diterima oleh kebanyakan manusia sehingga akhirnya bencana datang menimpa mereka akibat perbuatan tangan-tangan mereka sendiri. Ilmu mereka sebenarnya tidak meliputi. Sesungguhnya Tuhan sentiasa membuka pintu keampunanNya, agar manusia merendah diri dan mengakui Tuhan jualah yang berhak memimpin mereka. 

iii.    Keingkaran Itu Adalah Pilihan 
        Mereka Sendiri

Baiklah, mereka menolak untuk mengimani Tuhan serta memohon keampunan daripadaNya. Mereka hanya mengakui bahawa apajua yang berlaku di alam ini adalah suatu fenomena alam. Sebenarnya Tuhan tidak memerlukan langsung keimanan mereka itu. Lalu Tuhan akan membiarkan mereka tenggelam dalam kecanggihan mereka melakukan kerosakan demi kerosakan. Bumi semakin panas sehingga bencana banyak berlaku ke atas mereka serta orang-orang yang serupa dengan mereka. Mereka sendiri tentunya akan membuat imbangan dan ulang semak terhadap kerja tangan mereka. Adakah mereka akan menemui punca bencana yang mereka telah lakukan? Kalau mereka temuinya sekalipun, mampukah mereka berbuat suatu sehingga polisi mereka akan dipatuhi dan seterusnya menghindari bencana yang serupa daripada berulang! 

Sekiranya mereka tidak melakukan, sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan mereka mampu melakukannya. Maka adalah wajar mereka mengkhuatiri azab Tuhan di akhirat yang lebih berat lagi. Sehingga mereka tidak lagi mampu melakukan kerosakan bahkan tidak juga perbaikan. 

Adakah apabila keadaan sudah terlambat baru mereka mahu melakukan sesuatu yang sebenarnya tidak ada sebarang nilai perbaikan selepas itu? Laksana menampal semula kaca yang telah pecah, hanya dalam relau sahaja kesudahan yang terbaik. Begitulah perbezaan antara golongan beriman yang mengajak golongan ingkar supaya kembali kepada keimanan. Nanti Tuhan akan tunjukkan cara-caraNya serta mendatangkan rahmatNya sehingga keadaan alam sekitar akan dapat dipulihkan. Golongan ingkar dengan keegoan mereka menyangka mereka lebih mengetahui dan lebih berupaya mengubah keadaan, menafikan kekuasaan Tuhan atas segala sesuatu.

 Akui sahaja perubahan cuaca tidak pernah
 berlaku dan jangan lakukan apa-apa persediaan!


iv.    Kesedaran Yang Hampir Terlewat

Oleh kerana pergolakan alam persekitaran yang semakin menjadi-jadi kini, mahu tidak mahu suatu langkah inisiatif yang besar telah dimulai sendiri oleh kepimpinan golongan ingkar dalam usaha mengawal semula cuaca bumi yang semakin parah. Usaha mewujudkan bank hijau melalui pengawalan karbon menjadi satu cadangan yang menarik. Sekalipun penulis telah menjelaskan sebelum ini bahawa gas karbon dioksida bukanlah punca penyebab kepada perubahan cuaca bumi, namun melalui cadangan mereka itu, pengawalan karbon harus dimulai dengan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dengan aktiviti pembalakan dan pembakaran hidrokarbon. Antara perkara positif yang akan dilakukan adalah melalui usaha pemulihan hutan yang akan dilakukan secara besar-besaran. Begitu juga dengan pengawalan aktiviti pembakaran hidrokarbon melalui aktiviti perkilangan dan penggunaan jentera termasuk kenderaan. 

Sebenarnya penulis dapat melihat bahawa penguatkuasaan sedemikian akan menjurus kepada pembentukan sebuah kerajaan dunia (One World Government). Masalah sebenar bukanlah perlepasan karbon dioksida ataupun penebangan hutan tanpa kawalan. Sekalipun kedua-duanya berkait rapat, punca segala masalah adalah perlepasan haba yang tidak terkawal dan diikuti perlepasan wap-wap baja yang berlebihan. Gabungan kedua-duanya telah mengakibatkan pembentukan selimut haba sehingga haba tidak dapat terbebas ke angkasa lepas dengan kadar segera. 

Kesilapan dalam menentukan punca kepada permasalahan ini membawa kepada kesempatan yang diambil oleh pihak kapitalis supaya mereka akhirnya dapat membentuk badan korporat bagi menguasai aktiviti manusia.




Saturday, October 3, 2015

SURAH NUH AYAT 9 -- BERDAKWAH SECARA PENGIKLANAN DAN RAHSIA


ثم انى اعلنت لهم و اسررت لهم اسرارا

Kemudian sesungguhnya aku, telah menghebah aku bagi mereka dan telah merahsia aku bagi mereka kerahsiaan. 

Selain dari itu, Aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai Dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan Dengan perlahan-lahan.

i.      Dakwah Dalam Keadaan Kekurangan

Sebenarnya terdapat pelbagai kaedah dakwah yang dilakukan oleh Nabi Nuh A.S., secara berahasia, secara terang-terangan dan secara hebahan. Secara terang-terangan dan berahsia merupakan pendekatan dakwah melalui komunikasi dua hala. Kaedah hebahan adalah sepertimana melalui penulisan atau ceramah melalui media massa dan sebagainya. Kaedah ini juga merupakan kaedah yang telah dilakukan oleh Muhammad RasululLah S.A.W. Setelah wafat RasululLah S.A.W., dakwah terus disebarkan melalui kekhalifahan selepas baginda dan seperti yang berlaku selepas Nabi Nuh A.S., dakwah diteruskan oleh khalifah-khalifah selepas itu (10:73).

ii.     Dakwah : Suatu Kerja Yang Sukar

Kerja dakwah bukan sahaja perlu dihadapi dengan pendustaan, keingkaran serta ancaman daripada manusia bahkan kerja dakwah harus mengambil kira perkataan yang sampai, yang harus disampaikan kepada manusia. Keadaan diri seseorang harus disesuaikan dengan keadaan masyarakat setempat yang cuba didekati untuk tujuan dakwah. Contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. adalah memulakan dakwah secara sembunyi-sembunyi hanya dalam kalangan ahli keluarga baginda terlebih dahulu. Seterusnya terhadap golongan yang dhaif serta mereka yang bersedia untuk menerima dakwah sahaja.

Lantaran tujuan dakwah adalah untuk menyampaikan perkataan Tuhan supaya suatu kehidupan dapat berlangsung menurut panduan daripada Tuhan. Tujuan bersembunyi-sembunyi pada peringkat permulaan dakwah adalah untuk mengurangkan penentangan daripada pemuka-pemuka seberapa minimum yang boleh. 

iii.     Kebenaran Tiada Nilai Dalam Kepalsuan

Namun suatu persoalan timbul, mengapakah suatu kebenaran tidak disampaikan terus secara terang-terangan? Persoalan ini adalah seperti mengajar nilai-nilai kejujuran dan kemurnian kepada pelajar-pelajar sekolah supaya mereka menghadapi masyarakat yang penuh dengan pengkhianatan serta keporakan. Kebenaran tiada nilai pada masyarakat yang mengamalkan kepalsuan dalam kehidupan begitulah juga sebaliknya. Pada zaman ini apabila keberadaan adalah suatu kemegahan, manusia tidak memperduli sama ada memperolehinya dengan jalan benar atau salah' maka ukuran kebenaran dakwah telah diukur dengan keberadaan yang dimiliki oleh seseorang pendakwah serta sasaran-sasaran yang didakwah (26:111).

Kita dapat menyaksikan kata-kata bekas pemimpin politik yang juga seorang penjenayah pembunuhan serta minuman keras dianggap benar untuk menghujah ulama dalam perkara yang melibatkan hidangan juadah arak. Keadaan ini berlaku semata-mata kerana kedudukan dan kemewahan yang dimilikinya serta keupayaan membangunkan negara dengan menyediakan sistem yang menindas usahawan-usahawan kontrak. Ramai usahawan yang terpengaruh dengan kaedah kemewahan yang dipeloporinya dan pada saat seperti ini dakwah hendaklah ditujukan kepada individu yang dhaif.

iv.    Dakwah Memerlukan Kerahan Tenaga

RasululLah S.A.W. berupaya mengerah tenaga kerja golongan yang beriman sehingga akhirnya tersingkir golongan mewah yang terdahulu daripadanya. Sebagai contoh, bagaimana Yahudi terpaksa membeli gandum daripada umat Islam yang sebelumnya penjualan gandum berada di bawah kawalan mereka yang juga menguasai kegiatan ekonomi di Madinah. Yahudi yang suatu masa dahulu memiliki penguasaan ekonomi yang amat kukuh sehingga berupaya mempengaruhi keputusan ahli-ahli politik atau pemerintahan sesebuah wilayah, akhirnya dikalahkan dengan sistem ekonomi yang dibawa oleh RasululLah S.A.W. yang mengambil berat golongan dhaif dan fakir miskin. Dari mana golongan yang kaya itu memperolehi kekayaan kalau bukan daripada golongan yang miskin yang diberi upah yang kecil. Sehingga apabila mereka tidak dapat lagi menindas, mereka terpaksa membayar pada harga yang lebih tinggi terhadap keperluan yang ingin mereka perolehi. Akhirnya perhatian masyarakat akan beralih dan ekonomi kembali ke golongan yang beriman. 





Popular