SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, November 25, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 25 -- PERUNTUKAN UNTUK YANG MEMINTA DAN YANG TIDAK MEMINTA


للسائل و المحروم

Kepada golongan yang meminta-minta dan yang mengharamkan diri daripada meminta-minta.

bagi orang miskin Yang meminta dan orang miskin Yang menahan diri (daripada meminta);

i.     Golongan Yang Tidak Boleh Diabaikan

Golongan yang rakus menguasai hartanah dan juga wang. Namun mereka tidak semestinya menguasai makanan. Makanan sebenarnya dapat diedar tanpa memerlukan wang yang banyak. Apabila setiap manusia diserahkan kepada mereka semua keperluan asas mereka, mereka tidak perlu melakukan kerja-kerja aktif yang akan menyumbangkan kepada kerosakan alam sekitar. Bukan bermaksud melarang mereka melakukan pekerjaan kerana setiap yang dicipta Tuhan perlu melakukan kerja. Apabila manusia memiliki masa yang mencukupi untuk bekerja, berehat dan mempelajari ayat-ayat Tuhan, tentunya tenaga mereka akan menyediakan sumbangan yang besar terhadap kerja-kerja pemulihan dalam kehidupan mereka. Namun apa yang berlaku kini, secara meratanya pengedaran wang hanya terhad terhadap golongan tertentu sahaja sehingga urusan perdagangan dalam kalangan golongan sederhana dan golongan miskin menjadi begitu terhad sekali. Lalu sebahagian besar mereka mengalami kesempitan hidup dan akhirnya mereka terpaksa memilih kerja-kerja yang memberi sumbangan terhadap kerosakan alam sekitar seperti bekerja di firma-firma yang banyak menggunakan bahan-bahan kimia perosak dan sebagainya.

Sekiranya kerakusan manusia dapat dikurangi dan mereka diajari menjalani kehidupan secara beragama, sehingga dapat mereka memahami betapa pentingnya menjalani kehidupan secara berhemah dan berhati-hati, maka tidak perlu lagi dikhuatiri tentang kemusnahan yang akan berlaku secara mendadak (71:04).


ii.    Golongan Dhaif Perlu Dicari dan Dibantu

Sehingga suatu peringkat, orang yang bersolah harus mencari individu yang layak diberi bantuan sebagai prasyarat untuk dikatakan sebagai termasuk golongan yang bersolah. Demikianlah, betapa pentingnya pengajaran Al-Quran perlu disampaikan kepada setiap manusia terutama pada zaman ini yang telah ketara bumi ini, kini sedang mengalami masalah sebagai apa yang dikatakan ‘perubahan cuaca’. Kita tidak dapat menghalang perubahan seterusnya daripada terus berlaku namun, apalah lagi kempen yang paling berkesan kalau bukan melalui jalan dakwah dengan diri kita terlebih dahulu perlu bersedia dilengkapi dengan kefahaman ayat daripada kitab suci dan berusaha bersama-sama beriman menuju kepada jalan Tuhan.




Wednesday, November 19, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 24 -- DALAM HARTA MEREKA ADA AGIHAN TERTENTU


والذين فى اموالهم حق معلوم

Dan orang-orang yang pada harta-harta mereka hak-hak tertentu

dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak Yang termaklum

KEDUA : ORANG YANG PADA HARTA MEREKA TERDAPAT 
             BAHAGIAN-BAHAGIAN TERTENTU

i.        Solah Ada Hubungan Dengan Harta
 
Bermula dengan kerja terus menerus daripada aktiviti berkesinambungan, aktiviti tersebut tentunya melibatkan pekerjaan seseorang. Sekiranya solah hanya dikatakan sebagai ibadah khusus sahaja, tanpa disebutkan aktiviti rentetan daripada solah, bagaimanakah harta harus diperolehi? Mereka yang bersolah setelah memperolehi harta, harus mengagihkan bahagian-bahagian tertentu menurut sukatan-sukatan yang dimaklumi. Ini juga bermakna kerja-kerja solah ada hubungan rapat dengan zakat dan banyak ayat dalam Al-Quran, perkataan zakat disebut setelah ibadah solat seolah-olahnya tiada solat tanpa zakat. Perintah ayat ini sebenarnya belum sampai kepada pengagihan zakat.
 
ii.     Solah Ada Hubungan Dengan Kerja
 
Perintah ayat ini baru sampai kepada seseorang yang bersolah haruslah memiliki ilmu tentang ukuran tertentu dalam hartanya sebelum pengagihan zakat atau sadaqah. Dalam surah Al-Baqarah (2:03) ada disebutkan tentang golongan yang berhati-hati (Mutaqqin) dan termasuk padanya mereka yang menginfakkan hartanya. Suatu persoalan timbul dalam usaha golongan bersolah bekerja, bukankah mereka akan melakukan pekerjaan sebagaimana golongan ingkar melakukan pekerjaan? Bukankah demikian himpunan penerangan yang menghubung kaitkan kemusnahan alam sekitar akibat pekerjaan manusia?
 
Mereka dalam melakukan solah, sebenarnya mereka beribadah. Dalam pekerjaan untuk mendapatkan harta, itu juga merupakan solah mereka yang dengannya mereka memperuntukan sebahagiannya untuk golongan tertentu. Berbeza dengan golongan yang tidak beriman, golongan yang benar-benar bersolah ini melaksanakan pekerjaan mereka dengan berhati-hati selaras dengan tuntutan taqwa (2:02). Sebenarnya habuan dunia mencukupi untuk semua manusia tetapi tidak mencukupi untuk seorang perakus. Apakah apabila golongan yang rakus itu berlomba-lomba menguasai harta dan kecairan wang, mereka akan mengagihkan makanan kepada golongan yang memerlukan?

iii.     Solah Ada Hubungan Dengan Selawat

Kata dasar solat, ada hubungannya dengan selawat kepada Nabi. Dalam hal yang berkaitan dengan rukun solat, kita telah sedia maklum tiada solat bagi mereka yang tidak berselawat. Bukan sahaja selawat kepada RasululLah S.A.W. bahkan kita diwajibkan berselawat kepada ahli keluarga RasululLah S.A.W.  Untuk itu, perkara solat adalah perkara kesinambungan antara manusia dengan Tuhannya melalui RasululLah S.A.W., melalui ahli keluarga baginda dan juga berwasilahkan kepada amalan-amalan kesinambungan solat sebagaimana yang disebutkan dalam surah ini.  Dalam Al-Qur'an, gelaran kepada RasululLah S.A.W, juga disebut sebagai Thaha sebagaimana disebutkan pada awal surah At-Thaha dan juga Yaasin sebagaimana disebutkan pada awal surah Yaasin.

Cuba amati rahsia selawat sebagaimana yang
dinasyhidkan melalui video ini.

Thursday, November 13, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 23 -- SIAPAKAH DIA ORANG YANG BERSOLAT?


الذين هم على صلاتهم دائمون

(Iaitu) orang-orang yang atas kegiatan solah (melakukan kerja kesinambungan) mereka, berlaku terus-terusan.
 
Iaitu mereka Yang tetap mengerjakan sembahyangnya;

PERTAMA : ORANG YANG SOLATNYA TAK PUTUS

i.      Solah Ada Hubungan Dengan Perkara Dunia
 

Dalam istilah lain dinyatakan sebagai solah yang tidak putus. Kerja melakukan ibadah solah tidak sekadar terhenti dengan mengakhiri aktiviti berkenaan dengan memberi salam memandang ke arah kanan dan kiri. Berdasarkan himpunan ayat, kerja melakukan solah ada kesinambungannya dengan aktiviti membaik pulih alam sekitar, membaik pulih kehidupan manusia dan sebagainya. Nanti akan terdapat kata-kata yang memberitahu bahawa aktiviti solah adalah merupakan ibadah seseorang hamba kepada Tuhannya yang tidak harus dihubungkan dengan mana-mana urusan dunia. Dalam surah ini jelas menunjukkan, terdapat hubungkait antara aktiviti solah dengan kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan dan sentiasa menjaga diri daripada ditimpa oleh azab dan sebagainya.

ii.    Wau – ' و'  Yang Tidak Memutuskan Ayat

Terdapat perkataan و yang bermakna ‘dan’ pada ayat-ayat selanjutnya yang merupakan penerangan-penerangan yang tidak boleh diputuskan begitu sahaja sehingga tiada kena mengena antara orang-orang yang bersolah serta tanggungjawab yang diminta untuk dilaksanakan. Solat ( الصلوة ) menurut istilah syarak yang dipelajari penulis semasa menuntut di sekolah agama dahulu dinyatakan sebagai melakukan perbuatan-perbuatan secara berturutan yang merupakan ibadah kepada Tuhan, bermula daripada takbiratul ikhram dan berakhir dengan salam. Seolah-olah aktiviti solah akan selesai setelah melakukan prasyarat syarak berkenaan! Penulis tidak berhajat untuk menghuraikan takrifan pada sudut kerohanian memandangkan penjelasan sedemikian hanya tertentu kepada golongan tertentu sahaja. Selain daripada menjaga adab dan kesempurnaan semasa bersolah, sebenarnya solah tidak berakhir begitu sahaja. RasululLah S.A.W sendiri biasa memberi makan kepada seorang yahudi tua buta setelah baginda menyelesaikan solah subuh, setelah siang harinya. Amalan baginda sedemikian berterusan menjelang hari-hari terakhir baginda.





Thursday, November 6, 2014

SURAH AL MA'ARIJ AYAT 22 -- KECUALI MEREKA YANG MELAKSANAKAN KESINAMBUNGAN SOLAT


الا المصلين

Melainkan mereka yang bersolah berkesinambungan.
 

kecuali orang-orang Yang mengerjakan sembahyang -


MEMPERBETUL SIKAP MANUSIA DALAM BERPENGHIDUPAN DI BUMI

i.     Menyedari Perangkap Kehidupan

Golongan yang bersolah mengetahui serta menyedari perangkap kehidupan sedemikian. Mereka memilih untuk menempuh kehidupan tanpa rasa keluh kesah, gelisah dan menegah. 

Kita dapati pada waktu ini, mereka yang kononnya melaksanakan ibadah solah secara lengkap, lima kali solat fardu sehari semalam, juga bergelumang dengan sistem kehidupan berasaskan ekonomi riba. Lalu telah menimpa kepada mereka tiga sifat yang disebutkan dalam surah ini. Mereka sebenarnya adalah orang-orang yang bersolah yang tidak termasuk dalam golongan yang bersolah. Aktiviti solah mereka tidak diiktiraf untuk dikatakan mereka sebagai bersolah.

Mereka hanya ingat untuk memberi makan diri-diri mereka sendiri serta ahli-ahli keluarga mereka dan melupai kewajiban menyerahkan sebahagian harta kepada golongan yang memerlukan. Lantaran aktiviti mereka jualah yang akhirnya membawa kerosakan total kepada seluruh alam kehidupan mereka. Mereka kononnya bersolah, tetapi mengambil risiko berhadapan dengan azab Tuhan.


ii.     Solat Yang Berkesinambungan

Perkataan Al-Musollin ( المصلين ) memiliki kata dasar صلو  yang bermakna melakukan kerja berkesinambungan. Berselawat ke atas Nabi bermakna menyebut suatu ungkapan perkataan, bahawa Tuhan bersambungan (perintahNya) kepada RasululLah S.A.W. dan seterusnya kepada ahli keluarga baginda dan seterusnya kepada seluruh alam. Perintah untuk melakukan kerja-kerja berkesinambungan terhadap aktiviti solah, secara terus dinyatakan pada ayat yang selanjutnya.





Popular