SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Thursday, October 30, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 21 -- TERTEGAH APABILA DITIMPA KEBAIKAN


و اذا مسه الخير منوعا

Dan apabila telah menyentuh ia akannya oleh kebaikan (pemperolehan), tertegah.

dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;

i.     Ekonomi Pulih Yang Lebih 
       Merosakkan

Apakah yang akan berlaku sekiranya aktiviti ekonomi sungguh memberangsangkan sekali? Pertumbuhan ekonomi pernah mencapai sekitar 10% dan di sesetengah negara mencapai 20%. Dengan mengunjur pertumbuhan sedemikian, kadar pulangan terhadap pinjaman dijangka akan menjadi lebih cepat. Pinjaman RM100,000 beserta cas riba sebagaimana yang disebutkan tadi akan segera selesai dalam tempoh sekitar 12 tahun sahaja atau kurang dari itu. Lalu pihak institusi kewangan akan segera menawarkan suatu bentuk kemudahan kredit lain untuk tujuan pengumpulan aset kepada seseorang seperti pembiayaan semula rumah dan bangunan dan juga tabungan insurans yang pelbagai jenis itu. Kadar pinjaman asas yang dikenakan pihak institusi kewangan kini ditingkatkan agar institusi itu dapat merancang memperolehi keuntungan tertentu untuk suatu tempoh masa. Kecairan sebanyak lebih RM 100,000 yang diperolehi oleh seseorang itu, kini dapat digunakan sebagai cagaran untuk mendapatkan kemudahan kredit membeli bangunan perniagaan. Bangunan itu akan digunakan sebaik-baiknya oleh pembeli atau disewakan kepada pihak lain. Dengan pulangan tetap hasil daripada sewaan atau manfaat yang diperolehi daripada bangunan berkenaan secara bulanan, bayaran bulanan segera diserahkan kembali kepada institusi kewangan terbabit.

ii.    Istilah Yang Geli Untuk Didengari

Lalu di manakah lebihan keuntungan yang harus digunakan untuk disadaqahkan kepada pihak lain untuk tujuan kebajikan sesama insan? Istilah seperti ini yang disebutkan di sini atau yang seumpama bunyinya seperti sadaqah, infaq atau peruntukan jihad barangkali merupakan istilah yang begitu geli untuk didengari. Umat tertegah untuk berbelanja membentuk ekonomi bersama supaya kehidupan menjadi harmoni semata-mata disebabkan oleh bebanan yang setiap individu tanggung akibat mengambil sistem riba. Pinjaman perumahan atau bangunan mungkin akan mengambil masa selama tempoh 20 tahun untuk diselesaikan. Bergantung kepada keadaan ekonomi negara semasa, tempoh itu mungkin akan menjadi berkurangan sekiranya ekonomi dalam keadaan baik. Namun bagi mereka yang berjaya mendapatkan pulangan bulangan yang tinggi daripada sewaan bangunan atau manfaat bulanan bangunan tersebut, mereka akan tentunya terfikir sekiranya ditawarkan sekali lagi oleh pihak institusi kewangan supaya pembiayaan semula dapat dilakukan. Institusi kewangan hanya memikirkan untung jangka masa panjang dengan cagaran dalam tangan berupa bangunan yang dibiayai semula. Di atas nilai gadaian yang sentiasa meningkat, inflasi berlaku terhadap nilai hartanah sehingga meningkatkannya berganda-ganda dalam masa yang agak singkat selang beberapa tahun. Nilai asal bangunan sejumlah RM100,000 dapat ditaksirkan semula sebagai RM250,000 selepas 10 tahun. Apakah yang institusi kewangan akan perolehi? Mereka memperolehi nilai gadaian dalam bentuk hartanah yang dicagarkan dan peminjam memperolehi nilai maya dalam khayalan yang belum tentu mereka akan memperolehinya apabila sampai masa yang dijanjikan. 

Di mana-mana jua, sistem ekonomi kapitalis 
akhirnya akan membawa kerosakan

Apabila ekonomi menjadi gawat, peminjam akan kehilangan semua asetnya melalui perbicaraan mahkamah yang akan memutuskan untuk melelong bangunan terbabit. Maka lenyaplah simpanan asalnya yang berjumlah RM10,000 itu dan ia juga diistihar muflis, masih menanggung hutang atas hartanah yang telah lenyap daripada sisinya sehingga menjadi milik institusi kewangan terbabit.

iii.    Permainan Kartel Institusi 
        Kewangan

Namun, apakah yang mereka akan lakukan apabila ekonomi berkeadaan baik? Melalui pembiayaan semula, institusi kewangan itu akan memperolehi kemudahan kredit daripada institusi kewangan lain seperti bank-bank yang besar atau melalui tawaran bond bagi mendapatkan pelaburan baru. Bank akan menaja lebih banyak kegiatan pembinaan hartanah yang terdiri daripada bangunan-bangunan baru yang mempunyai nilai gadaian yang lebih tinggi. Dengan harapan memperolehi pembeli baru atau pembeli lama melalui pembiayaan semula, kini aset bank semakin kukuh dengan modal pasaran hadapan yang boleh diharap. Semua aset yang dicagarkan kepada orang ramai sebenarnya adalah miliknya. Ia pasti merampasnya kembali apabila peminjam tidak dapat melaksanakan janjinya menjelaskan hutang sedikit demi sedikit yang akan terjadi apabila ekonomi negara gawat. Di negara-negara Barat, mereka meletakkan nilai kredit gadaian kepada pasaran terbuka. Pelabur akan dikatakan memperolehi untung berganda sekiranya pihak yang membuat pembelian kredit terus gagal untuk membayar hutangnya dan pembeli lain mengambil alih hartanah asal. Melalui pembiayaan semula dan pembelian baru, lebih banyak bangunan atau kediaman akan terus dibina. Ini bermakna lebih banyak bahan mentah diperlukan dan akhirnya lebih banyak pencemaran akan berlaku. Pembangunan hartanah berbentuk bangunan dan kediaman mengakibatkan lebih banyak pencemaran. Bekalan tenaga banyak diperlukan untuk kerja-kerja pembinaan. Lebih banyak bukit-bukit batu kapur dikorbankan dan bahan kimia pelarut untuk tujuan pewarnaan cat dan pencucian digunakan secara serius. Pembangunan juga melibatkan pembinaan jalan-jalanraya yang menyaksikan pencemaran haba akibat pembakaran aspal. Bahan-bahan peledak PE untuk mendapatkan batuan krikil, menjurus kepada pencemaran bunyi dan penyebaran debu secara berterusan. Lebih banyak gas-gas penyejuk dibebaskan semasa pembikinan peralatan penyejuk yang menjadi mandatori untuk bangunan-bangunan besar yang baru, dapat merosakkan lapisan ozon. Kitaran ulangan gila aktiviti pembangunan ini dirangsangkan oleh aktiviti riba yang diamalkan secara berlebihan. Pembeli tidak puas-puas membeli dan terus membeli untuk mengumpul aset dan institusi-institusi kewangan serta bank, tidak puas-puas mengeluarkan biaya, yang dengannya setiap hartanah itu menjadi cagaran dalam tempoh masa tertentu. Negara megah dengan perisytiharan peratus petunjuk ekonomi dan rakyat berbangga dengan pemilikan maya. 
  
iv.    Pembaziran Yang Terbentuk 
        Melalui Sistem Kewangan 
        Berasaskan Riba

Sistem ekonomi berasaskan riba sebenarnya menjurus kepada pembaziran yang bersangatan. Lebih banyak bangunan kosong yang lama, dibiarkan tidak digunakan dan lebih banyak bangunan baru, akan dikosongkan. Manusia melakukan kerja seperti angkut-angkut iaitu bina, pasang, siap dan tinggal. Seperti angkut-angkut yang membasahi butiran-butiran pepasir dengan air liurnya, menggulungnya, memindahkannya untuk membina bilik demi bilik, sedangkan hanya satu sahaja daripada banyak bilik berkenaan yang dimanfaatkannya. Memandu, memandu dan terus memandu dari awal pagi hingga ke senja bahkan sehingga larut malam, untuk memaki hamun pemandu-pemandu lain di atas jalanraya serta menambah-nambah pencemaran alam. Mereka juga berterusan menggali dan mengkambus dan terus menggali dan mengkambus dan menggali lagi dan terus mengkambus, sebagai memenuhi lakonan kerja melalui 'job' yang sengaja diwujudkan. Tujuannya adalah supaya pegawai-pegawai dapat berterusan menerima rasuah dan kontraktor-kontraktor berterusan membawa pekerja-pekerja asing sehingga akhirnya nilai wang negara terus menyusut. Rakyat yang mengalami kesukaran terpaksa menjadi lebih rajin untuk mengatasi inflasi dan kesan sampingannya adalah kerosakan alam sekitar dan kehidupan sosial manusia. 

Pembangunan selalunya baik untuk kebajikan umat. 
Namun pembangunan tak terancang serta yang lebih 
dipengaruhi oleh puak-puak kapitalis, seringkali  
lebih menyerlahkan keburukan berbanding kebaikan.

Thursday, October 23, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 20 -- GELISAH APABILA DITIMPA KEBURUKAN


اذا مسه الشر جزوعا

Apabila telah menyentuh ia akannya oleh keburukan, gelisah.

apabila ia ditimpa kesusahan, Dia sangat resah gelisah;

i.     Ekonomi Gawat Yang Mencemari Alam

Demikian itu terjadi apabila berlaku kegawatan ekonomi. Maka rakyat terpaksa melakukan kerja-kerja tambahan untuk menampung kehidupan serta membayar hutang. Antara aktiviti utama yang selalunya diminati adalah aktiviti pertanian dan penternakan. Sehingga akhirnya, aktiviti sedemikian tidak dilakukan dengan teliti. Asalkan memberi pulangan yang cepat, senang dan banyak, baja-baja pertanian yang mencemar alam sekitar telah digunakan.

Begitu juga dengan penggunaan racun-racun serangga sehingga mengabaikan faktor keselamatan produk yang terhasil sehingga dicemari dengan kesan keracunan. Berlakunya kerosakan alam pada paras langit yang rendah adalah akibat daripada penggunaan baja yang tidak terkawal, digunakan secara meluas. Kita dapat mendengar kejadian-kejadian ribut yang merosakkan dan kejadian taufan. Semua itu terjadi lantaran penggunaan bahan penyejuk sebatian nitrat, sulfat dan fosfat yang terdapat pada baja sehingga mencemari udarakasa.


 Pusaran angin ribut dapat terbentuk apabila berlaku 
kelembapan yang tinggi disertai kehadiran wap penyejukan 
lampau oleh bahan kimia tertentu dalam udarakasa.

ii.    Memenuhi Kehendak Yang Merosakkan

Mengapakah kegelisahan ditujukan semata-mata atas sebab harta atau atas sebab terhakis peluang untuk memenuhi kehendak? Sehingga kita telah berada pada suatu zaman bahawa kebenaran diukur dengan status dan kedudukan ataupun untuk tujuan memperolehi habuan. Seolah-olah, untuk berdakwah bagi tujuan menyedarkan manusia tentang hakikat kehidupan ini, pendakwah perlu menyediakan sesuatu di tangan mereka supaya pendengar-pendengar budiman perlu dibayar gaji atas kesanggupan mereka mendengar pengajaran yang baik. Maka tidak menjadi kehairanan pada waktu ini, umat Islam berada pada suatu cengkaman hidup yang amat dahsyat sehingga mereka sanggup menjual diri, mereka dibeli untuk dimurtadkan. Mereka mendiami rumah-rumah kediaman seperti istana, menunggang kenderaan berjenama dengan cara menjual maruah serta ikatan akidah untuk mendapatkan semua itu.





Friday, October 17, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 19 -- SIFAT MANUSIA YANG SERING BERKELUH KESAH


ان الانسئن خلق هلوعا

Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat keluh kesah.

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -

PUNCA KEPADA KEROSAKAN

i.       Sifat Keluh Kesah Yang Menjadi 
         Asas Pemerintahan

Demikianlah agenda Tuhan untuk diperlihatkan kepada manusia akibat daripada sikap mereka sendiri berkeluh kesah semasa menjalani kehidupan di mukabumi ini. Dalam segala hal, mereka mahukan hasil pekerjaan mereka memberi pulangan yang banyak, cepat dan senang. Mereka tidak memperduli kesan yang akan berlaku akibat daripada tindakan mereka sedemikian. Dalam kehidupan ini, manusia suka membandingkan pencapaian dirinya berbanding manusia lain. Ataupun mereka membandingkan pencapaian keluarganya berbanding keluarga yang lain. Ataupun mereka membandingkan pencapaian kaumnya berbanding kaum-kaum yang lain. Ataupun mereka membandingkan pencapaian negerinya atau negaranya berbanding dengan pencapaian negeri-negeri atau negara lain. Akibatnya, orang-orang kenamaan mereka, akan mencipta suatu sistem untuk tujuan hidup sedemikian agar setiap sesuatu akan dimanipulasikan untuk tujuan pemperolehan daripada hasil usaha yang dilaksanakan. Lalu diperkenalkan sistem pemerintahan demokrasi dan juga sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan pajakan. Supaya pembangunan pesat dapat dilaksanakan dan supaya rakyat dapat memiliki apajua yang mereka ingini melebihi daripada kemampuan mereka sendiri. Setiap individu diharuskan memiliki apa sahaja, asalkan mereka sanggup membayar harga yang lebih daripada harga yang ditawarkan.

ii.      Sistem Ekonomi Berasaskan Riba 
         Yang Menggoda

Sebagai contoh, seseorang yang memiliki simpanan hanya RM 10,000, sudah boleh mencagarkannya ke dalam institusi kewangan dan mendapatkan jaminan kredit (bank guarantee) atau leveraj sebanyak 9 kali ganda iaitu sebanyak RM 90,000 sehingga mencukupkan jumlahnya menjadi RM 100,000. Jumlah itu kemudiannya akan dilaburkan dalam unit saham amanah melalui institusi kewangan berkenaan dengan jangkaan pulangan bersih 3% setahun, setelah ditolak dengan kadar hutang. Sebelum tempoh matang, skrip sijil saham amanah boleh dijadikan cagaran kepada institusi kewangan berkenaan untuk mendapatkan kemudahan overdraf yang dapat digunakan untuk tujuan kecairan dalam aktiviti perniagaan atau pekerjaan seseorang. Seseorang hanya perlu membayar jumlah yang digunakan serta jumlah riba secara bulanan dan secara mayanya ianya dikatakan memiliki simpanan sejumlah RM 100,000 dalam akaunnya.

iii.     Keluar Pagi, Pulang Petang, 
         Dapat Gaji, Bayar Hutang

Jumlah ini sebenarnya hanya akan diperolehi sekitar 25 tahun ia melakukan aktiviti perniagaan sekiranya pulangan saham amanah kekal pada kadar bersih 3% setahun. Kebanyakan daripada untung aktiviti perniagaan atau gaji bulanan perlu diserahkan ke kaunter pembayaran setiap bulan supaya jumlah wang yang dikeluarkan daripada kemudahan overdraf atau pinjaman dapat ditampung dan 'pinjaman’ terhadap jaminan kredit dapat dilunaskan sedikit demi sedikit. Itu belum dikira dengan kemudahan kredit untuk mendapatkan pembiayaan rumah keperluan, kenderaan keperluan dan sebagainya. Lalu tujuan hidupnya sebagai rakyat adalah untuk bekerja dari pagi hingga ke petang dan apabila sampai masa memperolehi untung atau gaji, hanya digunakan untuk membayar hutang. Mereka tidak akan ada kecukupan wang untuk bersadaqah membantu individu yang susah dan mereka juga tiada masa memikirkan persoalan bermujahadah di jalan Tuhan. Dalam keadaan ekonomi negara berkeadaan baik, program setiap rakyat hanyalah bekerja untuk membayar hutang. Apakah yang akan berlaku apabila terjadi kegawatan ekonomi yang selalunya berulangan setiap 10 tahun sekali? Polisi kewangan akan segera berubah. Nilai kadar pinjaman asas akan diturunkan dan kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan untuk tujuan membela syarikat-syarikat yang lumpuh, tidak memperolehi hasil sebagaimana yang diharapkan. Hingga ke suatu peringkat, rakyat terpaksa mengeluarkan belanja dapur mereka sendiri bagi menampung kerugian pelaburan yang dilaburkan untuk menutup hutang bulanan. Sekali lagi belenggu kehidupan mencengkam rakyat apabila berlaku kegawatan ekonomi.

iv.    Nota Janji Bohong Bukan Wang

Kesedaran untuk memanipulasi sistem ekonomi pasaran bebas mula 'disedari' oleh rakyat negara ini kebelakangan ini. Kesedaran sedemikian telah dilalui oleh rakyat negara-negara yang kononnya maju sehingga mereka sentiasa mengambil kesempatan hutang untuk memiliki aset yang sentiasa mengalami peningkatan digit harga. Peningkatan ini bukanlah peningkatan sebenar kerana nilai aset atau hartanah yang dimiliki sentiasa tidak dapat mengatasi nilai pasaran emas yang merupakan komoditi berintangan inflasi. Penipuan ini sentiasa dilakukan sebegitu rupa supaya setiap individu tidak dapat melarikan diri daripada anggapan bahawa nota janji bohong iaitu wang kertas sentiasa membawa nilai yang dapat diniagakan. Mereka telah melupai kenyataan bahawa emas adalah merupakan sandaran benar wang yang dapat mengekalkan nilai intrinsik, yang tidak terjejas akibat inflasi. Akibatnya, mereka terpaksa bekerja siang dan malam semata-mata untuk membayar hutang, seolah-olah mereka itu banduan-banduan di balik penjara dengan jerigi besi tidak kelihatan, bekerja untuk sang tuan yang tidak mereka ketahui.





Saturday, October 11, 2014

PENGAJARAN HIMPUNAN AWAL SURAH AL-MA'ARIJ


Perkhabaran tentang bencana yang dikhabarkan sebelum surah ini, pastinya akan dijadikan bahan senda gurau sebahagian golongan yang mengingkari akan kedatangan bencana, yang bakal terjadi dalam sedikit masa lagi. Sekalipun mereka dapat melihat perubahan-perubahan ketara telah berlaku kepada bumi ini, mereka memandang kejadian bencana total kepada kehidupan di bumi ini, tidak akan berlaku dalam tempoh yang terdekat. Mereka hanya menganggap kejadian bencana yang dikatakan kecil pada skala ukuran mereka buat masa ini, adalah seperti ulangan pasang surut yang sering berulangan sejak dahulu lagi.
 
Bahkan mereka tidak menyedari kejadian pembentukan debu yang tiba-tiba muncul pada waktu tertentu, sebenarnya adalah merupakan petanda awal kebocoran ozon yang berlaku sekali sekala di tempat-tempat tertentu. Kebocoran yang berlaku telah mengakibatkan sinar ultravoilet daripada matahari dapat menghambur debu dari tanah-tanah yang kering.
 
Apabila sampai masa kerosakan total kepada lapisan ozon, sebenarnya tiada jalan undur kepada golongan ingkar, yang merupakan kumpulan majoriti umat manusia pada ketika itu. Pada masa itu, tiada lagi kata-kata perjuangan untuk kepentingan rakyat atau orang ramai dapat didengari. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri-sendiri sehingga mereka sanggup meninggalkan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai yang mereka sayangi selama ini. Penyebab kepada kejadian berkenaan adalah atas sikap mereka yang sentiasa berkeluh kesah, sehingga sentiasa memberi sumbangan yang membawa kerosakan demi kerosakan kepada alam sekitar kediaman mereka. Mereka amat gelojoh dalam berpenghidupan di muka bumi ini yang Tuhan telah jadikannya sebagai suatu yang terbatas.





Saturday, October 4, 2014

KEJADIAN YANG DIRENCANAKAN


Huraian yang dilakukan oleh penulis tentang peristiwa yang disebutkan sebelum ini sempena ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran adalah menjurus kepada tanggapan sebagai suatu keadaan yang tidak dapat dielakkan, ataupun secara ringkasnya mudah difahami sesuatu yang sudah ditakdirkan Tuhan. 

Peristiwa kekalutan alam yang berlaku di atas permukaan bumi ini seolah-olah berlaku secara kebetulan atas kejahilan manusia selama ini menyingkirkan bahan-bahan merbahaya secara berlebihan ke persekitaran mereka. Sebenarnya, semua kejadian ini bukan berlaku secara kebetulan dan bukan juga perancangan besar-besaran secara sengaja oleh umat manusia secara keseluruhannya.

Manusia telah melalui proses perindustrian sejak 200 tahun dahulu selepas zaman Renaissance dan pada penghujung kejatuhan empayar di bawah kekuasaan kekhalifahan. Masyarakat Barat pada ketika itu telah bersedia sepenuhnya menerajui dunia, telah mempelajari sesuatu yang besar daripada sumbangan ketamadunan Islam. Pada masa yang sama umat Islam menjadi semakin lemah akibat pertelingkahan sesama mereka tentang agama dan mereka telah melupai kepentingan ilmu dan pendidikan yang harus sentiasa disesuaikan dengan perubahan zaman. Satu demi satu dinding penahan umat Islam mulai dirobohkan sehingga akhirnya Baitul Muqaddis jatuh ke tangan penjajah Barat.

Kejatuhan Baitul Muqaddis kali pertama sebelum keruntuhan kerajaan Uthmaniyah di Turki menjadi titik mula kepada peristiwa yang menyayat hati seluruh umat Islam. Bermula daripada kehilangan wilayah satu demi satu, kemudian diikuti oleh penjajahan demi penjajahan, harta umat Islam dirompak melalui monopoli kapitalis, kini maruah umat Islam semakin dicemari dan bilangan umat Islam yang murtad, menggadaikan aqidah semakin bertambah ramai. Agama yang dibawa melalui Muhammad RasululLah S.A.W. serta didokong oleh para sahabat R.A.H.M yang mengorbankan harta benda, nyawa serta menempuh rasa derita semasa permulaan dakwah akhirnya mulai dilupakan begitu sahaja.

Sebenarnya perkara sedemikian bukan sahaja berlaku kepada umat Islam, bahkan kepada penganut Kristian. Mereka yang pada asalnya menguasai Baitul Muqaddis atas nama perjuangan agama serta pembebasan Jurusalem akhirnya juga tersasar daripada matlamat perjuangan mereka. 20 tahun setelah penaklukan Jurusalem, sebahagian daripada tentera Salib telah menemui perpustakaan besar di bawah tapak Masjid Al-Aqsa iaitu buku-buku tentang pengamalan sihir Kabbalah Yahudi silam. Buku-buku yang diperolehi dari period kekuasaan kerajaan Babel di Iraq telah dijadikan amalan mistik sihir oleh kumpulan rahsia yang menggelar diri mereka The Knights of Solomon Temple atau ringkasnya Knights Templer yang pengamalan mereka semakin jauh menyimpang daripada ajaran agama Kristian.

Mereka cuba mengelirukan umat ini seolah-olah mereka mempelajari pengamalan sihir sedemikian daripada Nabi Sulaiman A.S. dan mereka ingin menunjukkan bahawa mereka berjuang pada jalan yang benar untuk menjagai rumah suci Tuhan iaitu Baitul Muqaddis. Setelah terbuka rahsia kumpulan ini melalui pengamalan pelik pengikut-pengikut mereka yang mengamalkan sihir, hubungan seks bebas serta kegiatan homoseksual, akhirnya sebahagian daripada ahli kumpulan ini telah dijatuhi hukuman mati oleh kerajaan Perancis dengan cara membakar mereka hidup-hidup dan harta benda mereka telah dirampas.

Namun hal demikian tidak terhenti di situ. Setelah tamat Perang Dunia Pertama, Switzerland telah diisytihar sebagai sebuah negara berkecuali dan bebas. Sebahagian ahli kumpulan Knights Templer yang tidak dapat dikesan, telah melarikan diri dan mula melaksanakan aktiviti perniagaan mereka di bawah perlindungan negara Switzerland. Mereka telah menubuhkan sistem perbankan berasaskan riba dan berjaya mengumpul dana yang besar daripada aktiviti-aktiviti gelap di seluruh dunia. Bermula dengan umpanan harta, mereka telah merancang sehingga menumbangkan kerajaan beraja Perancis dan mengambil peranan mempengaruhi kerajaan Amerika Syarikat. Kumpulan ini memainkan peranan yang amat besar sehingga dapat mengumpan sebahagian besar usahawan-usahawan Yahudi untuk menyimpan wang dalam bank-bank yang mereka wujudkan di Switzerland. Kebanyakan kaum Yahudi pada ketika itu, berada di Jerman dan Poland serta bertebaran secara merata di Eropah Timur. Yahudi, yang menguasai ekonomi Jerman akhirnya terumpan perangkap kumpulan Knights Templer sehingga mendatangkan bencana ekonomi kepada rakyat Jerman. 

Seterusnya kumpulan Knights Templer di bawah percaturan keluarga Rothschild dan Rockefeller, secara rahsia telah membiayai Hitler untuk membunuh bangsa Yahudi dan berusaha menghapuskan mereka di seluruh dunia pada peristiwa Perang Dunia Kedua (2:85). 

 Rockefellar : Musuh umat manusia sejagat.

Tujuan mereka tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk merampas seluruh harta Yahudi bagi meneruskan agenda mereka menguasai negara-negara lain. Usaha ini dilakukan secara berhati-hati dan mereka sering menukar strategi supaya mereka tidak dikesan datang daripada kumpulan yang sama. Kini mereka bergerak di bawah nama keluarga atau kumpulan Bilderberg. Dengan melebarkan pengaruh mereka ke seluruh dunia, mereka telah menumpang pengaruh kerajaan Britain di bawah pengaruh Queen Elizabeth selaku kuasa proksi sehingga tertubuhnya kumpulan Rotory Club di negara ini dan bergerak atas nama pertubuhan kebajikan, untuk mengumpul ahli daripada kumpulan orang ramai. Kepada kumpulan elit, mereka telah menyediakan pertubuhan Freemason dan sanggup bekerja keras untuk menjaga kepentingan jawatan yang disandang ahli mereka yang memegang jawatan penting peringkat negara. Di mana-mana jua, mereka banyak mempengaruhi ahli-ahli politik kerajaan sama ada daripada peneraju atau kumpulan pembangkang. Di negara-negara yang kebebasan kapitalis diamalkan, mereka memainkan peranan sebagai penyumbang dana untuk tujuan pelaburan besar yang melibatkan pasaran saham serta pasaran kewangan dan mereka mengambil kesempatan ini untuk mempengaruhi polisi pemerintahan negara terbabit. 
Perbandingan Indeks Pasaran Saham Sebelum Perang Dunia Ke-2 dan 
Sebelum Perang Dunia Ke-3,  menunjukkan suatu keserasian seolah-
olah agenda dunia ini adalah menurut acuan rancangan pihak tertentu

Mereka akan mengambil kesempatan atas apa sahaja isu asalkan mereka memperolehi keuntungan. Terkini, mereka telah menekan Bank Dunia supaya mengarahkan negara-negara dunia memperkenalkan cukai karbon atas firma-firma negara mereka atas alasan untuk mengimbangi masalah perubahan cuaca. Kekuatan pengaruh mereka di Amerika Syarikat telah membawa kepada kejadian pembunuhan Presiden Amerika Syarikat iaitu J.F. Kennedy dan perancangan peristiwa 11 September untuk memulai peperangan atas nama keganasan. Percayalah wahai pembaca budiman, kini mereka telah merancang suatu peperangan besar abad ini yang melibatkan kuasa-kuasa besar dunia atas nama keamanan. Tujuan mereka adalah untuk mendapatkan keuntungan berlipat ganda daripada penjualan senjata supaya negara-negara tertentu bersedia dengan kelengkapan peperangan. Adakah mereka akan berjaya? Mereka mengambil kesempatan atas sikap kegelojohan manusia yang inginkan status kekayaan.

Kes Pembunuhan J.F.K tak pernah selesai.
Akibatnya, kewujudan golongan ahli
teori konspirasi telah memberi ilham mengapa 
kejadian sedemikian berlaku.


Popular