SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Monday, March 31, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 19 -- DUA LAUT BERTEMU TETAPI TERPISAH


مرج البحرين يلتقيان

Telah bertindan ia akan dua laut itu, dua yang bertemu.

ia biarkan air dua laut (yang masin dan Yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;

Dua Laut Bertemu Tetapi Terpisah

i)   Bertemu Tetapi Terpisah

Pelbagai bentuk kefahaman terhadap dua laut yang bertemu. Antaranya adalah pertemuan sungai besar yang terdiri daripada air tawar dan air laut yang masin di muara sungai berkenaan. Kawasan masin air laut dan tawar air sungai didapati tidak bercantum sekalipun bertemu dan dapat dibezakan secara nyata melalui pandangan udara. Air laut didapati tidak bercantum dengan air sungai pada suatu sempadan oleh tindakan pergerakan air sungai itu sendiri, yang sentiasa menolak air laut berkenaan. Sebaik sahaja air sungai melepasi sempadan itu, air sungai akan bercampur dan berbaur dengan air laut. Bukan itu sahaja, bahkan terdapat pemisahan ketara antara dua lautan contohnya antara Lautan Atlantik dan Laut Mediteranian yang secara fizikalnya memiliki dua warna laut berbeza. Begitu juga, pengamatan satelit dapat memerhatikan, terdapat persempadanan ketara yang dapat dilihat untuk membezakan antara dua laut yang bertemu.

ii)  Perbezaan Antara Lautan

Lautan Pasifik berbeza ketinggiannya dengan Lautan Atlantik. Kiranya suatu terusan dibina antara keduanya, didapati air akan dapat mengalir dari satu lautan ke lautan yang lainnya. Perbezaan ini timbul disebabkan oleh terdapat perbezaan tekanan hidrostatik oleh pergerakan olakan air sedia ada. Begitu juga perbezaan antara air Sungai Amazon dengan Lautan Atlantik, sehingga terdapat satu jaluran lompatan Bernoulli telah sedia wujud. Muara sungai Amazon didapati sedikit rendah berbanding ketinggian Lautan Atlantik yang bersebelahan dengannya. Lautan Hindi memiliki ketinggian sekitar 4 meter lebih tinggi berbanding Lautan Pasifik dan perbezaan ini wujud disebabkan perbezaan tarikan graviti antara dua kawasan yang luas ini. Kesimpulannya, perbezaan antara dua laut atau lautan dapat wujud disebabkan oleh sekatan-sekatan seperti perbezaan hidrostatik, tarikan graviti dan spesifik graviti bagi setiap bahagian berlainan. Kajian tentang perbezaan kelajuan air, tekanan hidrologi, kemasinan air dan suhu air laut, menjadi faktor penyebab terjadinya olakan air laut serta udara yang terdapat di permukaannya. Pergerakan udara pula mempengaruhi cuaca setempat dan semua faktor ini perlu dipertimbangkan dalam meramalkan perubahan cuaca secara besar-besaran. Filem “Lusa” - 'Day After Tomorrow' turut memberi gambaran sedemikian




Tuesday, March 25, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 18 -- UNSUR YANG SERUPA DI DUA DIMENSI YANG BERLAINAN


فبأى ءالاء ربكما تكذبان

Maka dengan mana-manakah nikmat Tuhan kamu berdua yang kamu berdua dustakan.

maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan.

Alam maya diciptakan Tuhan memaparkan persembahan asas gabungan unsur yang terdiri daripada beberapa unsur gabungan. Semuanya dapat dipelajari sepertimana yang ditunjukkan pada Jadual Berkala Unsur. Setiap unsur terdiri daripada gabungan antara neutron dan proton yang terikat dengan zat-zat messon. Paduan antara unsur berlaku sama ada menerusi ikatan logam, kovalen, ionik, hidrogen atau ikatan Van der Wall. Apabila paduan unsur telah berlaku membentuk bahan, bahan pula boleh bergabung dengan bahan yang lain menerusi tarikan magnetik, tarikan graviti atau tarikan elektrostatik. Apabila paduan dapat berlaku, gabungan unsur itu dikatakan dapat berada dalam keadaan tenaga rendah dan stabil. Apabila tenaga tinggi dikenakan kepada bahan asas di alam maya ini, unsur-unsur akan berubah keadaan, kepada keadaan fizikal yang berlainan. Ikatan messon dapat terlerai melalui hentaman neutron dalam tindak balas nuklear. Unsur mengalami penyepaian membentuk unsur-unsur baru yang lebih kecil. Proses kebalikan dapat juga berlaku melalui proses yang dikenali sebagai pelakuran.

Tenaga yang terhasil dapat menyepaikan bahan-bahan yang sedia terbentuk di alam maya ini, sama ada yang terikat melalui ikatan logam, kovalen, ionik, hidrogen atau ikatan Van der Wall kepada unsur-unsur terpisah yang memiliki cas yang sangat tinggi dikenali sebagai plasma. Cas-cas tinggi yang berlawanan akhirnya dapat menemukan dua unsur yang berlawanan membentuk gabungan baru. Gabungan plasma membentuk ikatan terpisah yang menjarakkan unsur berlainan pada jarak yang agak jauh, berbanding jarak unsur dalam sebatian yang biasa ditemui di bumi ini. Yang menariknya sebatian plasma ini dapat bergerak menembusi jasad-jasad fizikal di bumi ini kecuali bahan logam.

Oleh kerana makhluk jin terbina daripada pelbagai sebatian plasma, jin dapat bergerak menembusi halangan-halangan di bumi ini dan makhluk jin dikatakan berada di dimensi yang berlainan daripada dimensi yang ada di alam maya ini. Bagaimanapun, jin tidak berupaya menggerakkan jasad-jasad yang berada di bumi ini dengan mudah. Mereka memerlukan sejumlah medan tenaga yang tinggi untuk menggerakkannya. Secara ringkasnya, penulis dapat nyatakan bahawa alam jin dan alam manusia terbina daripada unsur asas yang serupa, tetapi unsur-unsur itu saling bergabung membentuk ikatan sebatian yang berlainan sehingga mereka masing-masingnya harus berada di dua dimensi alam yang berlainan.





Wednesday, March 19, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 17 -- TUHAN DUA TIMUR DAN TUHAN DUA BARAT


رب المشرقين و رب المغربين

Tuhan dua timur dan Tuhan dua barat

(Dia lah) Tuhan Yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan Yang mentadbirkan dua barat

Pelbagai Kefahaman Tentang Dua Arah Mata Angin

Apabila kita berada di mana-mana tempat di permukaan bumi, tentunya kita dapat mengetahui arah timur dan arah barat. Arah timur yang dapat kita tunjukkan sebenarnya adalah arah barat kepada mereka yang berada di belahan bumi di bawah sana dan begitu juga arah barat bagi kita, adalah merupakan arah timur bagi mereka. Oleh itu arah timur menjadi arah barat dan arah barat menjadi arah timur sekiranya dilihat dari sebelah bumi yang berlainan. Menjadikan sentiasa terdapat dua timur dan dua barat sekaligus. Kenyataan ini menunjukkan keadaan bumi bulat yang dapat difahami daripada ayat Al-Quran ini. Pada suatu masa dahulu yang kebulatan bumi menjadi suatu yang dipertikaikan dalam agama Kristian, Al-Quran telah mendahului penemuan ini sebelum penemuan saintis.

Oleh kerana kehadiran ayat ini adalah sesudah ayat yang merujuk kepada bangsa manusia dan bangsa jin, keadaan dua timur dan dua barat mungkin dapat dinyatakan sebagai timur dan barat pada bumi kediaman manusia dan timur dan barat pada bumi kediaman bangsa jin. Memandangkan bumi kediaman manusia terdiri daripada alam maya dan bumi kediaman jin daripada alam buana, keadaan fisikal yang berlainan ini  barangkali  dapat memberi jawapan terhadap fenomena yang berlainan terhadap arah mata angin kedua-kedua kediaman ini. Tempoh masa yang berbeza antara alam manusia dan alam jin dapat menjelaskan fenomena berlainan antara dua alam ini. 




Thursday, March 13, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 16 -- MANUSIA DAN JIN HARUS MENERIMA HAKIKAT PENCIPTAAN


فبأى ءالاء ربكما تكذبان

Maka dengan mana-manakah nikmat Tuhan kamu berdua yang kamu berdua dustakan?

maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?

Manusia dicipta dalam keadaan tidak dapat melihat makhluk jin secara mudah dan tidak juga makhluk-makhluk ghaib yang lain. Apatah lagi untuk manusia dapat mengembara di alam jin. Oleh itu, manusia kurang menyedari agenda perkara ghaib yang berlaku sekeliling mereka. Oleh kerana mereka kurang menyedari kekuasaan Tuhan darihal perkara ghaib, mereka tentunya berada dalam suatu situasi lebih meragui tentang perkara ghaib berkenaan. Hanya yang benar-benar sedar dan mengakui hakikat ini melalui keimanan mereka, dapat menerima hal-hal ghaib dalam kehidupan mereka. 

Tidak seperti jin yang lebih mudah untuk menerima perkara-perkara ghaib, kerana mereka sendiri dapat menyaksikan sebahagian mereka menerima bencana akibat usaha mereka mencuri-curi dengar perkhabaran langit. Hakikat penciptaan mereka daripada plasma api, menjadikan mereka lebih mudah untuk menyaksikan alam malaikat yang tercipta daripada foton cahaya. Kenyataan seperti ini sebenarnya boleh dipelajari oleh manusia sendiri. Pancaran cahaya kepada unsur nadir bumi pada keamatan berbeza, sebenarnya dapat mengakibatkan nadir bumi mengeluarkan cahaya pelbagai warna yang dapat disaksikan oleh mata manusia. Unsur nadir bumi yang dapat berubah menjadi plasma, sebenarnya suatu teknologi yang menjadi kontroversi kepada manusia. Mengusahakan teknologi sedemikian telah membawa pencemaran yang dahsyat.





Friday, March 7, 2014

SURAH AL RAHMAN AYAT 15 -- JIN DICIPTA DARIPADA PLASMA API


وخلق الجآن من مارج من نار

Dan telah mencipta Ia akan Jaan itu daripada tindanan plasma daripada api

dan ia telah menciptakan jin dari lidah api Yang menjulang-julang

i)   Apakah Plasma?

Kita biasa membincangkan tentang keadaan suatu jirim yang terdiri sama ada daripada pepejal, cecair atau gas dan jarang sekali kita membincangkan jirim daripada plasma. Plasma terhasil apabila suatu punca tenaga yang sangat tinggi dikenakan kepada suatu unsur atau sebatian yang selalunya terdiri daripada gas. Sebatian-sebatian atau unsur gas yang terdedah kepada tenaga tinggi ini akan terlerai kepada unsur-unsur tersendiri yang dikenali sebagai plasma. Pengalaman penunggang belon helium, dalam usaha memecahkan rekod ketinggian, seringkali berhadapan masalah kelepuhan pada kulit akibat terkena wap plasma pada altitud yang sangat tinggi. Plasma juga dapat menjalar membentuk radikal bebas yang amat merbahaya kepada hidupan. Plasma dapat diperhatikan pada lapisan mesosfera di kawasan kutub membentuk fenomena aurora. Tenaga tinggi dalam bentuk ion atau partikel bercas dari matahari, mengenai gas-gas di bumi yang bertenaga rendah dan menukarkannya menjadi plasma. Fenomena aurora dapat mengganggu penerimaan isyarat radio dan aurora yang bercas tinggi pada skala eV, dapat menginduksi kabel-kabel penghantaran elektrik dan mendatangkan kerosakan kepada peralatan elektrik. Selalunya perkhidmatan udara akan dihentikan di kawasan latitud tinggi di bumi ini, apabila berlaku letusan matahari yang dijangka akan menghasilkan pembentukan aurora di langit bumi.

ii)   Kegunaan Plasma
 
Plasma atau ion-ion bertenaga sangat tinggi, setakat ini digunakan oleh manusia untuk tujuan penstrilan air, pembersihan kawasan yang tercemar dengan bauan yang kuat serta kegunaan pemapar skreen leper untuk pemapar komputer atau telefon bimbit. Penghasilan peralatan yang menghasilkan plasma sungguh menimbulkan kontroversi, apabila melibatkan kos yang tinggi dan juga menyingkirkan bahan yang sangat mencemari. Dengan teknologi terkini, penstrilan udara di bilik pembedahan di hospital-hospital ternama, menggunakan pancaran ultravoilet untuk menghasilkan plasma yang dapat menghasilkan ozon dan pelbagai jenis gas dalam udara. Ozon digunakan untuk basmi kuman dan plasma itu sendiri dapat menghilangkan kesan bauan kimia yang tidak dikehendaki.

iii)   Jin Direkacipta Daripada Plasma Yang Bertindan
 
 Ion-ion bertenaga sangat tinggi hanya boleh terhasil daripada pembentukan api yang sangat panas atau apa-apa sumber tenaga tinggi. Ion-ion dari sebatian atau unsur akan menyepai membentuk ion-ion tersendiri apabila ikatan sebatian atau unsur itu saling bertindanan. Pada kedudukan ini, ion-ion yang berlawanan cas, hanya akan bergabung secara saling putaran pada kelajuan putaran sudut sangat tinggi dan jarak yang agak berjauhan berbanding jarak antara unsur dalam sebatian. Sifat fizikal inilah yang menyebabkan sebatian plasma, dengan mudah dapat menembusi atau bertindan dengan banyak daripada jasad nyata yang dapat disentuh oleh manusia kecuali logam. Apabila kita menerima hakikat bahawa makhluk jin tercipta daripada plasma, kita juga harus menerima kenyataan bahawa makhluk ini tidak dapat kita lihat dengan mudah melainkan apabila kita dapat berada dalam suatu keadaan. Bagaimanapun sebatian plasma yang stabil, dapat memancar cahaya pramerah dan dengan itu ianya dapat dikesan juga melalui peralatan tertentu yang direkacipta oleh manusia.

 
Pelbagai Jenis Plasma Pada Ketumpatan
Elektron dan Suhu Yang Berlainan





Saturday, March 1, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 14 -- MANUSIA DICIPTA DARIPADA TANAH KERING


خلق الإنسن من صلصل كالفخار

Telah mencipta Ia akan manusia itu, daripada tanah kering bertalun seperti tembikar

ia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar

Perkataan صلصل bererti suatu yang berdenting, iaitu suatu yang menghasilkan bunyi berpanjangan. Sesuai juga untuk suatu yang mengeluarkan bunyi talaan tertentu apabila diketuk seperti tembikar atau pisau nirkarat yang diketuk sesamanya. Suatu yang dapat bertalun memiliki pekali Modulus Young yang tinggi iaitu bersifat kenyal dan tidak mudah pecah atau patah, melainkan sekiranya daya yang sangat besar dikenakan padanya. Nyatanya ayat ini secara khususnya merujuk kepada tulang manusia yang merupakan bahagian mekanikal.

i)   Sifat Umum Bahan


Apabila kita membicarakan suatu bahan yang keras yang tidak mudah patah atau pecah, melainkan dengan daya yang sangat kuat, perbincangan tidak lari daripada sifat bahan seramik. Seramik memiliki sifat yang berlawanan daripada logam yang bersifat kuat dan mulur manakala seramik adalah keras dan rapuh. Ahli-ahli sains bahan sentiasa memikirkan untuk menghasilkan suatu bahan yang keras dan mulur supaya peralatan mekanikal yang terhasil tidak mudah mengalami kegagalan. Nyatanya bahan sedemikian telah disediakan Tuhan terlebih dahulu pada manusia yang terdiri daripada tulang belulangnya yang bersifat keras dan mulur. Sifat mulur bagi tulang adalah bertujuan untuk mendapatkan keadaannya yang mudah melengkung apabila dikenakan dengan bebanan daya yang agak tinggi. Perkara yang paling menarik bagi manusia adalah tulang pelvik ibu dapat juga berubah menjadi sangat mulur dan lembut untuk tujuan memudahkan kelahiran bayi. Baru-baru ini suatu kajian sains bahan terhadap bahan komposit telah dihasilkan oleh penyelidik di Universiti Sains Malaysia. Bahan yang dihasilkan itu dikatakan dapat menggantikan tulang manusia kerana memiliki sifat keras dan mulur dan diharapkan hasil kajian ini, suatu masa nanti akan dapat digunakan secara meluas di hospital-hospital. Kajian demi kajian terus dilakukan pada peringkat penyelidikan, supaya bahan yang bersifat seperti tulang manusia dapat dihasilkan.

Bahan yang bersifat anti haus, sekiranya diperolehi sudah tentu dapat memanjangkan hayat penggunaan kenderaan yang rata-ratanya sekarang ini hanya bertahan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun. Apa sahaja rekaan manusia setakat ini gagal mengatasi rekaciptaan Tuhan, contohnya tubuh manusia itu sendiri yang dapat bertahan sehingga lebih 60 tahun.

ii)   Bahan Asas Tembikar

Pembakaran tanah liat untuk dijadikan tembikar adalah suatu aktiviti mengubah struktur butiran-butiran yang terdapat dalam tanah liat berkenaan. Selain daripada tujuan mengeraskan tanah liat untuk menjadi seperti batu, pemanasan setiap butiran tanah liat menjadikannya mencair memenuhi lompang-lompang antaranya dan menambahkan lagi sempadan butiran sebelum mengeras semula apabila disejukkan. Antara teknik yang sangat baik bagi meningkatkan kekuatan tembikar, tanah liat yang digunakan sebelum dibakar, haruslah terlebih dahulu dikeringkan dan dihancurkan menjadi seperti tepung. Teknik terkini yang menghasilkan butiran tanah liat bersaiz nano, sangat memberi kesan dalam menghasilkan tembikar yang sangat keras. Sekiranya diperhatikan struktur tulang yang diperhatikan di bawah mikroskop, kita akan dapati betapa sukarnya menentukan saiz sempadan butir tulang. Pembentukan butiran tulang adalah sangat kecil sehingga bersaiz nano. Bagaimanakah saiz sekecil bersaiz nano dapat dihasilkan dalam tulang? Semua ini menunjukkan kejuruteraan teliti yang Tuhan telah laksanakan dalam agenda penciptaan manusia.

iii)   Struktur Tulang Adalah Suatu Yang Hidup

Tulang dalam tubuh yang hidup dapat terbina semula apabila mengalami kecederaan seperti patah atau retak. Keistimewaan ini membolehkan tulang dapat memanjang semula dan bercantum kembali menjadi seperti keadaan asal. Bahkan terdapat rawatan yang menyakitkan untuk tujuan memanjangkan tulang supaya seseorang dapat menambah ketinggiannya. Saraf yang terdapat dalam tulang dapat mengesan perubahan suhu yang berlaku pada tulang. Sesetengah struktur tulang seperti yang terdapat pada gigi haiwan, yang telah mengalami kehausan akibat geseran berpanjang, dapat terbina semula dan kelebihan ini tidak terdapat pada manusia. 





Popular