SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, March 29, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 26 -- AKHIRNYA MEREKA MENYEDARI KESESATAN MEREKA


فَلَمَّا رَأَوْهَا قَالُوا إِنَّا لَضَالُّونَ

Maka tatkala, telah melihat mereka akannya, telah berkata mereka, sesungguhnya kami, benar-benar orang-orang yang sesat.

sebaik-baik sahaja mereka melihat kebunnya, mereka berkata:  "Sebenarnya kita sesat jalan, (Ini bukanlah kebun kita)"

i.    Mereka Bukan Sesat Jalan Tetapi Menganut Cara Beragama
      Yang Menyesatkan

Adakah mereka mengatakan mereka telah tersesat jalan? Mereka pada jumlah yang ramai wajarkah tidak mengetahui di manakah kebuh-kebun mereka berada? Mereka bukan mengakui sebagai orang yang tersesat jalan, tidak sampai ke tujuan, tetapi mengakui telah mengambil pendirian sesat sehingga mereka tidak memperolehi apajua yang mereka usahakan. Demikian itu adalah suatu pengajaran silam, supaya golongan pendakwah tidak melabel terus golongan sesat yang tidak mahu menerima seruan Tuhan melalui Al-Quran, sebagai golongan yang ingkar  berterus-terusan. Suatu masa nanti, dengan perencanaan Tuhan, mereka akan jatuh akibat perlakuan mereka kesan daripada pengamalan mereka yang dalam kesesatan itu. Mereka akan dapati kedudukan dan harta mereka tergugat.

ii.   Mereka Bukan Berterusan Ingkar Tetapi Tersalah
      Cara Beragama (Sesat)

Kesedaran akan berlaku terhadap kebanyakan mereka yang mengampu pemerintah yang merasakan kedudukan diri mereka lebih istimewa dengan pemilikan harta dan sebilangan anak-anak. Kesedaran akan sampai kepada mereka untuk kembali kepada jalan Tuhan. Pemimpin- pemimpin mereka berada dalam keadaan amat tergugat. Sehingga suatu masa, mereka melihat keperluan penyatuan parti-parti umat sebangsa mereka. Malangnya, ramai daripada anak bangsa mereka sendiri telah murtad yang mahukan pergabungan akan benar-benar memberi keuntungan yang memihak kepada golongan murtad, demi kebebasan beragama, golongan murtad ini mahukan hak untuk memurtadkan lebih ramai umat Islam.

Lalu muncullah pejuang-pejuang di bawah nama pertubuhan 'kebajikan' untuk memperbetul keadaan memulakan huru-hara dalam kalangan rakyat. Yang mereka mahukan adalah dharurat, sehingga keadaan ekonomi bertambah meruncing. Pemerintah terpaksa mengeluarkan biaya untuk memulihkan kembali sokongan rakyat.




Monday, March 25, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 25 -- MEREKA CUBA MENGUASAI KEGUSARAN MEREKA


وَغَدَوْا عَلَى حَرْدٍ قَادِرِينَ

Telah berpagi-pagi mereka atas kegusaran yang (mereka) kuasai.

dan pergilah mereka pada pagi-pagi itu, Dengan kepercayaan, (bahawa) mereka berkuasa menghampa-kan fakir miskin dari hasil kebun itu.

i.    Mereka Didapati Rasa Bersalah 

Mengeluarkan zakat adalah perintah Tuhan dan menghalangnya daripada sampai kepada yang layak adalah suatu kesalahan. Oleh yang demikian, merancang untuk menolak perintah Tuhan, akan menimbulkan kegusaran di pihak mereka sendiri akhirnya. Demikian itulah Tuhan menyediakan rasa bersalah di hati pelaku-pelaku yang melakukan kesalahan. Demikian itulah yang mereka rancangkan dan demikian itu juga mereka menghadapi kegusaran sekiranya perancangan mereka diketahui oleh pihak lain.

ii.   Pengagihan Yang Perlu Ke Atas Kutipan Zakat

Kita dapati masalah yang rencam pada waktu ini melibatkan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada pihak-pihak tertentu dalam pengurusan pengagihan zakat. Kutipan zakat sebenarnya harus digunakan sepenuhnya untuk kegunaan asnaf yang lapan. Antaranya termasuklah fakir, miskin, ibnu sabil, si berhutang yang diberati, yang dijinakkan hati, yang mengutip zakat, serta anak-anak yatim. Tuhan tidak pernah menyatakan peruntukan zakat harus digunakan untuk didirikan pusat-pusat rawatan kesihatan, diperniagakan melalui pelaburan tertentu untuk menambah-nambahkan lagi jumlah atas kutipannya, bahkan tidak juga harus dijadikan peruntukan untuk pembangunan masjid.

Sebagaimana zakat diambil dari tangan pengeluar zakat maka zakat perlu diserahkan ke tangan penerima zakat, asnaf yang lapan itu dan bukannya asnaf yang lain. Zakat (yang diistilahkan sebagai sadaqah) diperintah Tuhan untuk diambil oleh RasullulLah S.A.W. melalui wakil-wakil yang dilantik oleh baginda. Selepas RasullulLah S.A.W, maka pengganti-pengganti baginda harus melaksanakan tanggungjawab memungut zakat, juga melalui pegawai-pegawai lantikannya. Pada satu-satu masa dan satu-satu tempat, perintah mengutip zakat hanya boleh dilaksanakan oleh satu pihak sahaja. Selepas RasullulLah S.A.W. adalah khalifah melalui wakil-wakil baginda dan selepas khalifah yang terakhir, yang telah digulingkan oleh Mustafa Kamal At-Tarturk, maka tanggungjawab mengutip zakat haruslah dilaksanakan oleh Yang Dipertuan Agong melalui sultan-sultan setiap negeri, melalui pegawai lantikan Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

iii.    Peranan Institusi-institusi Agama

Oleh kerana terdapat pengagihan kuasa antara Yang Dipertuan Agong yang hanya terhad atas perkara-perkara agama dan adat dan juga Kerajaan Pusat melalui kementerian atas perkara-perkara lain, maka hak memungut atau mengagihkan zakat tidak harus diagih-agihkan antara Yang Dipertuan Agong dan kementerian melalui Jabatan Agama Islam Negeri yang dilantik di bawah Kerajaan Negeri. Sekiranya kutipan atau pengagihan zakat menjadi terpecah dua antara Majlis dan Jabatan, perintah mengutip zakat yang wajib tertakluk di bawah satu pengawasan iaitu Majlis Agama Islam, telah tidak berlaku secara menyeluruh. Jabatan sebenarnya tidak pernah menerima tauliah secara terus daripada Yang Dipertuan Agong dan jabatan hanya melapor kepada kementerian dan bukannya kepada Yang Dipertuan Agong.

Kita tidak menyatakan bahawa restu kementerian adalah restu Yang Dipertuan Agong sekalipun kuasa Yang Dipertuan Agong melantik kementerian untuk mengurus negara atas perkara-perkara yang tiada kaitan dengan 'agama' dan adat. Buktinya, Yang Dipertuan Agong tidak harus masuk campur dalam urusan politik yang menjadi tunggak pentadbiran kerajaan dan kementerian tidak boleh masuk campur urusan Yang Dipertuan Agong dalam hal ehwal istana, 'agama' dan adat. Yang menjadi masalah adalah, apabila kutipan atau pengagihan zakat turut dilakukan oleh pihak Jabatan dan peruntukan zakat telah diserahkan kepada asnaf tambahan yang lain seperti perbadanan Baitul Mal yang merupakan suatu badan perniagaan didaftarkan di bawah pertubuhan pendaftar.

Kiranya demikian, urusan zakat telah diambil alih daripada kuasa pengurusan mutlak Yang Dipertuan Agong kepada kuasa pengurusan teragih antara Yang Dipertuan Agong dan kementerian atau jabatan. Perbadanan Baitul Mal telah memperuntukkan peruntukan zakat yang diserahkan kepadanya, untuk membina prasarana-prasarana seperti pusat rawatan kesihatan dan institusi pengajian di bawah urusan perbadanan Baitul Mal. Bahkan mungkin juga untuk tujuan pelaburan dengan syarikat-syarikat yang tersenarai di bursa saham, kilang-kilang pembuatan dan sebagainya atau dijadikan sumber bantuan pinjaman kepada peniaga-peniaga serta peruntukan pembangunan masjid-masjid dan surau-surau. Apabila kehidupan umat tidak terbela dengan peruntukan yang seharusnya diperolehi, maka mereka akan berkhidmat dengan majikan-majikan yang tidak seagama. Mereka akan terdedah dengan dakyah serta pembelaan daripada pihak luar dan dengan ketiadaan program-program kerohanian agama Islam akhirnya mereka akan hanyut dengan suasana masyarakat. 

Sekiranya anak VVIP sendiri berjaya memurtadkan ratusan muslimah yang lain, apalagi yang akan tinggal pada generasi akan datang selain daripada kecelaruan identiti dan pegangan. Malang sungguh umat ini, sebahagian wang peruntukan negara umat Islam ini telah digunakan untuk memurtadkan umat ini juga. Perangkaan menunjukkan jumlah yang telah murtad daripada umat ini telah mencapai ratusan ribu orang dan majoritinya adalah muslimah. Demikian itu adalah disebabkan amanah kutipan dan penyerahan zakat telah diserahkan kepada golongan yang bukan ahlinya yang menjadi suatu tanda yang pasti, menjelang hari As-Saah.

Sebenarnya, apakah yang diingini oleh golongan ini dalam menguruskan wang zakat? Adakah mereka mahu menjadi pejuang-pejuang agama yang ingin menunjukkan jasa, membantu pembangunan masjid melalui peruntukan zakat yang telah tersalah salur itu? Atau adakah itu caranya untuk mendapatkan sokongan politik yang diperolehi melalui peti-peti undi? Malang sungguh umat ini, bukan sahaja harta mereka tersalah dizakatkan, bukan sahaja mereka diperbodohkan, bahkan agama mereka turut diperbodohkan.

iv.    Akhirnya Golongan Sesat Menyedari Kesesatan
        Mereka Sendiri

Kumpulan yang murtad daripada penganut asal umat Islam, bersama pejuang-pejuang agama mereka, akhirnya membentuk suatu kumpulan pendesak dalam komponen parti pemerintah. Mereka meminta sesuatu yang amat merbahaya kepada pemimpin-pemimpin negara ini supaya agama mereka dijadikan agama rasmi negara, sesuatu yang bertentangan dengan kontrak sosial yang mereka persetujui selama ini. Kemudian mereka mendesak lagi kaum mereka diiktiraf sebagai kaum bumiputera demi mendapatkan status istimewa dalam negara ini. Kegagalan menuruti kemahuan mereka akan mengakibatkan kepimpinan negara ini kehilangan kuasa suatu masa nanti. Menuruti kemahuan mereka pula akan mengakibatkan kepimpinan negara ini hanya seperti kuda tunggangan yang akan ditentang oleh rakyat. Apakah sebabnya golongan sesat, iaitu yang memiliki kepentingan harta, kedudukan dan sejumlah anak-anak serta pengikut, sejak awal-awal lagi menolak petunjuk Tuhan? Mereka melihat status diri mereka lebih tinggi berbanding status yang lain, dengan mudah memandang rendah manusia lantaran kemiskinan mereka. Menolak untuk mengagih zakat sepenuhnya dan tidak peduli akan nasib si miskin! Akhirnya kejatuhan menimpa mereka di atas sikap mereka sendiri  (92:11).




Friday, March 22, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 24 -- SUPAYA GOLONGAN MISKIN TIDAK MEMASUKI KEBUN


ان لا يدخلنها اليوم عليكم مسكين

Bahawa sekali-kali tidak ia memasuki akannya pada hari itu atas kamu oleh seorang miskin pun.

Pada hari ini, janganlah hendaknya seorang miskin pun masuk ke kebun itu mendapatkan kamu.

i.     Ramai Daripada Rakyat Jelata 
       Adalah Miskin

Ramai daripada rakyat jelata, pada keseluruhannya adalah daripada golongan yang miskin. Dan ramai daripada golongan yang berada adalah mereka yang berkedudukan yang memperolehi pembayaran gaji atau projek-projek dan juga mereka yang menguasai badan-badan perundangan serta kedudukan politik yang tinggi.

ii.    Mengabaikan Mereka Menimbulkan 
       Masalah Sosial

Mereka ini adalah pihak yang wajar bertanggungjawab terhadap keadaan sosial masyarakat. Namun selalunya, apabila terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan, yang menganggap amanah politik adalah habuan, akan muncul pihak-pihak tertentu yang akan berkata-kata bagi pihak rakyat ataupun golongan miskin, sehingga mengakibatkan golongan penguasa membuat sesuatu untuk mengukuhkan cengkaman kuasa politik mereka. Dengan ini mereka terpaksa merencana serta berpakat untuk menjatuhkan kedudukan atau menghilangkan jawatan amanah yang telah diserahkan kepada pihak-pihak tertentu. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan sokongan pihak-pihak berkepentingan dari sesebuah institusi kerajaan. Sogokan habuan tertentu dikeluarkan untuk menutup apa jua salah laku daripada dibangkitkan di mahkamah atau diketahui oleh rakyat umum. Sudah tentu peruntukan untuk rakyat umum akan berkurangan dan dengan demikian sedikit sebanyak menimbulkan permasalahan dalam kehidupan rakyat.


Monday, March 18, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 23 -- MEREKA BERANGKAT DENGAN RASA TAKUT-TAKUT



فانطلقوا و هم يتخافتون


Lalu telah berangkat mereka sedang mereka bertakut-takut.

lalu berjalanlah mereka sambil berbisik (katanya):

ﺘﺨﺎﻓﺘ bukanlah bermakna takut, lantaran mereka berangkat ke ladang mereka dengan sejumlah orang tertentu yang seperti mereka. Mereka berangkat ke ladang mereka dengan cara berhati-hati, terjenguk sana dan terjenguk sini, mengkhuatiri sekiranya perancangan rapi mereka diketahui oleh pihak lain.

Salah satu sifat sesat yang ditonjolkan oleh manusia adalah tindakan mereka yang melakukan sesuatu perkara dengan mengumpulkan individu-individu tertentu, melakukan perancangan rapi sambil menunjukkan sifat takut-takut mereka, mengkhuatiri rahsia perancangan mereka diketahui oleh pihak lain.

Dan apabila mereka melaksanakan sesuatu, mereka akan menghindari diri daripada orang-orang tertentu dan kadang kala menunjukkan sikap cuba berahsia terhadap sesuatu. Ayat yang seperti ini dapat memberi penjelasan kepada kita secara umum bahawa semuanya disebabkan terlalu mengutamakan kepentingan diri-diri mereka sendiri tanpa memikirkan akibat besar yang akan menimpa mereka kemudian hari. Pengajaran yang diperolehi daripada ayat Tuhan sebenarnya menjurus hakikat perkara yang akan berlaku. Bencana mungkin tidak akan berlaku serta merta tetapi apabila sampai masanya kesannya amat memudharatkan.



Friday, March 15, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 22 -- MEREKA MENGANJURKAN UNTUK MENUAI SEAWAL PAGI


ان اغدوا على حرثكم ان كنتم صرمين

Bahawa (bersedia) waktu pagi kamu (adalah) atas ladangmu, sekiranya telah adalah kamu yang (mahu) menuai. 
 
(setengahnya berkata): "Pergilah pada pagi-pagi ke kebun kamu, kalau betul kamu mahu memetik buahnya".

Yang demikian itu adalah perancangan mereka yang cuba menafikan bahagian golongan yang lain.

Mengapakah Sikap Tamak Wujud?

Sikap tamak atau mementingkan bahagian diri adalah disebabkan menyayangi habuan dunia lebih daripada Tuhan. Lebih menyayangi sesuatu yang lain berbanding kesayangan terhadap Tuhan adalah merupakan kesyirikan. Menyingkirkan sikap sedemikian daripada diri seseorang bukanlah kerja yang mudah, walhal bukanlah Tuhan yang menghendaki supaya seseorang itu menyerahkan segala-galanya dalam tangannya melainkan sekadar lebihan daripada hartanya sahaja.

Di sini seseorang teruji sama ada bersedia menyerahkan sesuatu yang disayangi untuk tujuan bersungguh-sungguh pada jalan Tuhan atau sekadar kata-kata sahaja atau sekadar menunjuk-menunjuk seolah-olah seperti orang yang tekun beragama. Oleh itu memang kena tempatnya pengajaran ayat-ayat sedemikian, menjurus kepada pengenalan sikap sesat yang datang daripada kematu kesyirikan yang ada pada sebahagian manusia. Adakah kerana kemewahan hidup ia meninggalkan perintah Tuhan dan tanggungjawab bermasyarakat?


Monday, March 11, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 21 -- MEREKA SALING MEMANGGIL SEAWAL PAGI


فتنادوا مصبحين

Lalu telah saling memanggil mereka seawal-awal pagi.

kemudian pada pagi-pagi, mereka panggil memanggil antara satu Dengan Yang lain -

Kesempatan masa yang dimiliki seawal-awal pagi sebegini adalah perancangan peladang-peladang bagi mendapatkan peluang meraih hasil tanpa diketahui oleh golongan yang berhak memperolehi bahagian sadaqah. Begitu juga dengan kesempatan ruang untuk menyediakan akaun pembayaran yang diperolehi pemegang-pemegang akaun, seawal-awal bulan, bagi menerima pembayaran hasil kerja kontrak yang disiapkan dan sebagainya. Mereka boleh merancang pelbagai tipudaya untuk mendapatkan habuan mereka. Begitu juga bendahari sesebuah institusi yang sanggup memendam sejumlah bayaran untuk tujuan lain, kemudian dilaburkan dalam satu institusi lain agar ia dapat memperolehi habuan keuntungan riba dan sebagainya. Mereka ini yang gemar mengambil kesempatan sebenarnya menyediakan diri dimusuhi oleh manusia dan dimurkai Tuhan. Lalu bagaimanakah sekiranya perancangan mereka menjadi sia-sia lantaran sikap mereka yang menyesatkan itu?




Saturday, March 9, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 20 -- PUSINGAN CROP CIRCLE

فاصبحت كالصريم

Lalu telah menimpa ia seolah-olah suatu tuaian.

lalu menjadilah ia sebagai kebun Yang telah binasa semua buahnya.

Tuhan biasa mendatangkan bencana dalam bentuk belalang yang dapat memusnahkan hasil tanaman dalam masa yang singkat. Ataupun haiwan-haiwan yang dapat memakan dan memusnahkan hasil tanaman dengan cara lain seperti gajah, kera dan sebagainya. Demikian itu, bentuk bencana adalah lantaran sikap tamak pengusaha-pengusaha yang ingin membolot sepenuhnya hasil yang diusahakan.

Tuhan Yang Menumbuhkan Hak Tuhan Untuk Membinasakan

Wajarkah seorang yang berusaha itu, mahu memonopoli segala-galanya, sedangkan hasil yang diperolehi adalah dengan kekuasaan Tuhan? Dengan contoh seperti ini, Tuhan sebenarnya mengajari golongan yang beriman bahawa penolakan daripada golongan yang sesat yang merasa bangga dengan kekayaan dan pemilikan ahli keluarga yang ramai sebenarnya merupakan kesombongan tak kesampaian. Mereka dengan kelebihan yang mereka miliki akan kecundang jua akhirnya dengan takdir Tuhan. Hendaknya golongan beriman bersabar dalam menghadapi mereka ini.

'Crop Circle' seringkali membinasakan tanaman,
seolah-olah suatu penuaian telah berlaku



Tuesday, March 5, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 19 -- BENCANA YANG MENIMPA KEBUN MEREKA


فطاف عليها طائف من ربك و هم نائمون

Lalu telah memusing Ia atasnya suatu pusingan daripada Tuhanmu sedang mereka tidur.

maka kebun itu didatangi serta diliputi oleh bala bencana dari Tuhanmu (pada malam hari), sedang mereka semua tidur.

Perkataan ﻄﺎﻑ adalah kata kerja bagi perkataan tawaf iaitu pusing. Kini aktiviti menuai telahpun menggunakan peralatan mesin yang melakukan pusingan untuk menuai dan membanting yang dengannya biji-bijian dapat diasingkan. Dalam terjemahan yang biasa didapati dinyatakan sebagai “telah mendatangkan Ia atasnya bencana ...”. Namun yang menariknya, bencana sedemikian menyebabkan ladang mereka meninggalkan kesan seolah-olah hasil kebun berkenaan telah dituai!


Pusingan yang memusnahkan sebahagian ladang 
pada waktu ini. Siapa punya angkara ni?







Sunday, March 3, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 18 -- MEREKA TIDAK MAHU MENYISIHKAN


و لا يمتثنون

Dan tidak mereka menyisihkan, (menyerahkan urusan mengikut kehendak Tuhan).

serta mereka tidak menyebut pengecualian.

Tindakan sedemikian datangnya daripada sikap tamak mereka dengan hasil yang dijangka akan mereka perolehi. Sebenarnya manusia hidup bermasyarakat dan keperluan bermasyarakat adalah suatu kewajiban. Dalam kalangan ahli masyarakat terdapat mereka yang kaya, ada juga yang sederhana dan ramai juga yang miskin. Sekiranya golongan yang mewah hanya mementingkan kemewahan mereka sahaja dan dengan sengaja mengabaikan golongan fakir dan miskin, akan wujud permasalahan sosial yang menimpa umat. Sesungguhnya kefakiran menghampiri kekafiran.

Kebanyakan mereka yang miskin tidak akan merayu-rayu golongan yang kaya dan mereka sanggup melakukan apa sahaja kerja yang dibayar upah. Di negara ini, tenaga kerja daripada pekerja yang datang daripada golongan miskin ditempatkan di kilang-kilang pelaburan asing yang mengupah mereka bekerja sebagai buruh sama ada buruh elektronik, buruh pembinaan atau buruh pembangunan intensif. Majikan-majikan itu tentunya mengarahkan mereka melakukan kerja-kerja yang banyak mengakibatkan kerosakan alam sekitar seperti projek-projek perumahan atau yang menggunakan bahan-bahan pencemaran tertentu seperti penggunaan plumbum, asid sulfurik dan bahan pencuci ammonia dari kilang elektronik atau pembikinan kenderaan. Pekerjaan sedemikian tidak harus dilakukan melainkan dengan cara yang cermat untuk tujuan mengurangi kesan pencemaran.

Umat yang tidak dijagai oleh ahli masyarakatnya sendiri sebenarnya lebih terdedah kepada risiko tertentu yang mengakibatkan permasalahan sosial berlaku. Apabila lebihan daripada kemewahan yang diperolehi diinfakkan pada jalan Tuhan, golongan fakir dan miskin akan terbela. Mereka tidak perlu melakukan jenayah semata-mata untuk mendapatkan makanan. Mereka tidak perlu menyamun atau merompak semata-mata untuk mendapatkan wang yang mereka perlukan untuk membayar harga kenderaan atau rumah yang dibeli melalui kaedah riba pada saat-saat kegawatan ekonomi.

Sesungguhnya Tuhan Maha Berkuasa mendatangkan bencana kepada hasil pekerjaan seseorang bahkan pada skala yang besar, Tuhan biasa mendatangkan bencana dalam bentuk banjir, ribut, taufan serta kemarau panjang selain daripada kerosakan tanaman akibat penyakit yang tersebar.




Popular