SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Monday, May 30, 2016

SEBAB-SEBAB KEHINAAN YANG MENIMPA MEREKA


ﺍﻭﻟﺌﻚﻣﺎﻛﺎﻥﻟﻬﻡﺍﻥﻳﺪﺧﻠﻮﻫﺎﺍﻻﺧﺎﺋﻔﻴﻦ
ﻟﻬﻡﻓﻰﺍﻟﺪﻧﻳﺎﺧﺰﻯﻭﻟﻬﻢﻓﻰﺍﻷﺧﺮﺓﻋﺬﺍﺏﻋﻈﻴﻢ

Mereka itu, (sepatutnya) tidaklah telah adalah ia bagi mereka bahawa mereka memasuki akannya melainkan (dengan) ketakutan. Bagi mereka pada dunia ini kehinaan dan pada akhirat pula azab yang besar.

Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.


Mereka yang mengasingkan diri meninggalkan rumah ibadat yang telah dirampas tentunya akan memandang hina golongan perampas berkenaan. Perampasan yang telah berlaku bukan sahaja atas harta Tuhan, bahkan juga bertujuan mencegah aktiviti penyampaian ayat-ayat Tuhan secara terbuka, yang tujuannya supaya umat terus berkeadaan jahil yang berpanjangan.

iv.   Penjawat Agama Mereka Adalah 
       Golongan Yang Sehabis Zalim

Terdapat sebuah hadith RasululLah S.A.W. yang menyatakan bahawa pasti akan sampai kepada manusia suatu zaman yang, tidak kekal Islam pada seseorang melainkan hanya sekadar pada namanya iaitu mereka sebenarnya bukan beragama Islam ataupun keislaman mereka sebenarnya tidak diterima. Tidak juga Al-Qur’an melainkan untuk bacaan di majlis-majlis rasmi belaka iaitu Al-Qur’an tidak dibaca dengan sebenar-benar bacaan melainkan sekadar bacaan dendangan. Masjid-masjid mereka pada hari itu meriah, walhal ianya suatu yang runtuh daripada petunjuk Tuhan dan ulama-ulama mereka pada hari itu adalah sejahat-jahat ulama di bawah kulit langit. Daripada ulama-ulama berkenaan akan timbul fitnah dan kepada ulama-ulama berkenaan fitnah itu akan kembali...
Sistem Kehidupan Yang Ada Sekarang Ini...
"Self-Destructive"





Tuesday, May 24, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 114 -- MEMASUKI RUMAH IBADAT UNTUK MERUNTUHKANNYA


ﻭﻣﻦﺍﻇﻠﻢﻣﻤﻦﻣﻨﻊﻣﺴﺠﺪﺍﷲ
ﺍﻥﻳﺬﻛﺮﻓﻴﻬﺎﺍﺳﻤﻪﻭﺳﻌﻰﻓﻰﺧﺮﺍﺑﺎ

Dan siapakah lagi yang sehabis zalim daripada seseorang yang, telah menegah ia akan masjid-masjid Allah, bahawa diingati dalamnya akan namaNya, dan telah berusaha ia pada perobohannya…

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu…


Adalah menjadi perkara yang menarik perhatian penulis apabila bilangan pengunjung untuk tujuan beribadah di masjid-masjid kini telah menjadi semakin ramai. Begitu juga pengunjung-pengunjung rumah ibadat lain seperti gereja, tokong, gudwara sahib, kuil, biara dan sebagainya kini semakin meningkat. Adakah perkara ini disebabkan oleh kesedaran ataukah disebabkan naluri rasa ingin kembali merujuk kepada Tuhan atas kepelbagaian permasalahan yang mereka hadapi dalam kehidupan mereka akhir-akhir ini?

Bahkan kita harus ingat bahawa bukan semua ahli ibadat yang datang ke rumah-rumah ibadat benar-benar bertujuan untuk memakmurkannya. Di sebalik ‘ibadat’ yang mereka lakukan dalam rumah-rumah ibadat itu, mereka sebenarnya sedang berusaha untuk merobohkannya. Mereka bukan berniat merobohkan dinding-dinding rumah-rumah ibadat berkenaan, tetapi yang mereka ingini adalah merobohkannya daripada petunjuk Tuhan.


i.   Fenomena Yang Dapat Direnung

Selepas peristiwa serangan 11 September dan peristiwa tsunami Asia Selatan, bilangan mereka yang kembali ke rumah Tuhan semakin meningkat. Fenomena ini adalah fenomena sejagat berlaku di seluruh dunia. Di negara kita, rancangan media masa berbentuk hiburan semakin berkurangan dan rancangan berbentuk agama pula semakin bertambah. Tayangan-tayangan filem Hindi semakin kurang ditayangkan di televisyen dan digantikan dengan tayangan yang lebih bersifat tempatan. Selepas pilihanraya 2008, sokongan pengundi kepada parti Nasionalis yang memerintah didapati telah merosot dengan ketara. Pihak pemerintah terpaksa menyemak semula polisi yang selama ini mereka amalkan. Mereka mendapati golongan penentu yang masih memberi sokongan tegar kepada parti pemerintah adalah golongan veteran atau golongan tua yang mengundi di saluran pertama. Oleh kerana golongan ini masih menjadi pengundi tegar kepada parti Nasionalis sekurang-kurangnya untuk dua penggal lagi, bilangan mereka perlu ditingkatkan.


Perkara inilah yang kurang disedari oleh kepimpinan parti pembangkang di negara ini dan atas sebab inilah mereka dijangka akan terus gagal mengambil alih pemerintahan untuk beberapa penggal lagi.

Golongan tua memerlukan tongkat, mereka perlukan pembelaan dan sokongan. Sebahagian mereka menerima saraan menerusi wang pencen dan sebahagian yang lain bergantung kepada ubat. Mereka memerlukan rumah-rumah ibadat untuk memenuhi naluri kerohanian mereka dan mereka memerlukan persekitaran yang harmoni bersama ahli keluarga mereka.

ii.   Pusingan 180 Darjah

Kiranya kerajaan yang memerintah sebelum ini disebut sebagai pihak yang kurang menitik beratkan agama, keadaan kini telahpun berubah. Beberapa buah rumah ibadah seperti masjid telah berjaya dirampas daripada pentadbiran yang sebelum ini condong kepada pembangkang. Dengan peruntukan daripada pihak berkuasa, sebahagian bangunan rumah ibadat telah diubahsuai dan sebahagian lain didirikan menara yang tinggi sebagai simbol kejayaan merampas pentadbiran rumah ibadat. Habuan keuntungan tender mendirikan bangunan menara, turut dikongsi bersama oleh mereka yang berada di pejabat agama.

Pada masa mereka mengeluarkan arahan bahawa masjid atau mana-mana rumah ibadat tidak harus dijadikan tempat berpolitik, namun mereka sendiri menggunakan tangan-tangan belakang untuk merampas pentadbiran rumah ibadat atas arahan orang-orang politik tertentu. Sebelum ini, mana-mana ustaz yang membawa ceramah politik di dalam masjid akan dikenakan tindakan seperti dibuang daerah atau dilucutkan jawatan pekerjaannya. Kini, mana-mana ahli qariah yang menyokong pemerintah, yang berjaya merampas pentadbiran suatu rumah ibadat, akan diberi habuan serta projek-projek tertentu.




 
Tindakan ini mengakibatkan ahli jemaah akan berpecah. Sebahagian mereka sanggup berjalan jauh untuk beribadat di tempat lain dan meninggalkan rumah ibadat asal yang biasa mereka kunjungi. Tindakan memecah belahkan golongan beriman wujud dalam polisi pemerintahan sekarang ini. Tidakkah mereka mengetahui bahawa dengan tindakan mereka itu, mereka akan memperolehi kehinaan dalam kehidupan dunia ini lagi dan di akhirat kelak?

iii.   Aktiviti Meruntuhkan Rumah Ibadat


Rumah ibadat semakin runtuh. Keruntuhan bukan berlaku kepada bangunan-bangunan yang sedia didirikan tetapi keruntuhan berlaku akibat tiada lagi petunjuk Tuhan yang dapat disampaikan secara terbuka. Perkara yang serupa sebenarnya telah berlaku kepada gereja di Eropah sebelum revolusi perindustrian, yang akhirnya mengakibatkan peranan agama hilang daripada pentadbiran kerajaan. Mereka yang menguasai gereja di bawah pengaruh ahli politik juga, akhirnya telah terpaksa mengubah suai agama supaya selari dengan nafsu saroqah ahli-ahli politik yang tentunya didokong oleh golongan peniaga.  Sistem ekonomi riba yang pada awalnya dilarang dalam agama akhirnya terpaksa di‘halal’kan menggunakan hujah-hujah syar’ie berbau agama demi mengenyangkan puak-puak kapitalis. 


Bermula hukum riba adalah haram dalam apajua agama.

Mereka yang pada awalnya meraikan kemeriahan merampas pentadbiran rumah ibadat, sebenarnya sudah dijangka akan gagal mengurus tadbir rumah ibadat berkenaan apabila mereka tidak lagi menerima habuan yang dapat memuaskan hati mereka. Hingga ke suatu peringkat, apabila ahli agama itu juga didapati telah menyelewengkan wang agama, mereka akhirnya semakin tidak dihormati umat. Gereja yang suatu masa dahulu menjadi tempat yang dihormati kini semakin menyepi apabila umat Kristian semakin merajuk dan mula meninggalkan ajaran agama.
 
Polisi pemerintahan kini membingungkan.
Teks khutbah yang dibaca semakin menjemukan para pendengar.

Bermulalah detik malang yang akan menimpa umat apabila golongan anti agama dapat memberi pengaruh besar dalam menentukan hala tuju sesebuah pemerintahan. Mereka kemudiannya dengan megah mencabar pihak agama bahawa mentaati ajaran agama tidak akan membawa mereka ke mana-mana.






Wednesday, May 18, 2016

MENGULANGI PERKATAAN JAHILIYAH


ﻛﺬﻟﻚ ﻗﺎﻝ ﺍﻟﺬﻳﻦ ﻻﻳﻌﻠﻤﻮﻥ
ﻣﺜﻞ ﻗﻮﻟﻬﻡ
ﻓﺎﻟﻠﻪ ﻳﺤﻜﻢ ﺑﻴﻨﻬﻢ ﻳﻮﻡ ﺍﻟﻘﻴﻤﺔ
ﻓﻴﻤﺎ ﻛﺎﻧﻮﺍ ﻓﻴﻪ ﻳﺤﺘﻠﻔﻮﻥ

Seperti itu, telah berkata ia, orang-orang yang tidak mereka berilmu, seumpama perkataan mereka itu, maka Allah, Ia (akan) menghakimi di antara mereka (pada) hari qiyammah pada apa yang telah adalah mereka padanya, mereka berselisihan.

Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisih padanya.

iv.    Suka Menuduh Sesat Adalah Ajaran Jahiliyah

Hanya golongan yang tak cukup ilmu sahaja akan ringan lidah untuk menuduh pihak lainnya sebagai sesat dan tidak menurut panduan benar dalam amalan agama mereka. Penulis telah bincangkan perkara kesesatan dalam huraian surah Al-Qalam. Kesimpulannya, kita harus terlebih dahulu mengetahui apakah yang dikatakan sebagai sesat sebelum menggerak lidah untuk menuduh pihak lain sebagai sesat. Mudah difahami untuk penulis nyatakan bahawa bukan semua Yahudi harus dituduh sesat walaupun sebahagian besar mereka dimurkai, bukan semua Kristian boleh dituduh sebagai sesat walaupun ada sebahagian mereka yang sesat dan bukan juga semua penganut Syi’ah adalah sesat, hanya golongan Rafidhah dalam kalangan mereka sahaja yang menolak kebenaran dan sebenarnya ada juga antara golongan Sunnah yang kafir dan sesat kerana mereka suka mengamal riba, rasuah dan menyonglap peruntukan zakat.

iv.    Etika Beragama Golongan Berilmu

Setiap penganut agama harus berada dalam kelompok agama masing-masing. Oleh kerana asas kepercayaan dalam setiap agama adalah sesuatu yang amat bertentangan dengan agama lainnya, mereka harus mengerti bahawa mereka memiliki asas yang serupa iaitu menyembah Tuhan. Tidak harus wujud apa yang dikatakan sebagai toleransi antara agama sebagaimana yang dibawa melalui konsep ajaran wasathiyah.

vi.   Serah Kepada Tuhan Untuk Menghakimi

Menyerahkan urusan kepada Tuhan, tentunya akan dapat menangguhkan pertentangan antara mereka. Di negara ini yang terdiri daripada pelbagai anutan agama, kewujudan anutan agama yang lain daripada agama yang dianuti oleh seseorang adalah sesuatu yang harus diakui. Perbezaan bukan sahaja berlaku atas sebab berlainan fahaman agama dan politik, bahkan juga cara kefahaman yang berlainan dalam agama yang sama sehingga mewujudkan kepelbagaian mazhab dan jamaah. Tiada suatu anutan akan mengiktiraf anutan yang lain dan perkara ini harus diakui oleh semua pihak sehingga mereka harus memikirkan sesuatu bagi mengelak sebarang bentuk pertikaian berdarah. Perkara yang disaran melalui Al-Quran iaitu untuk membiarkan sahaja mereka dan berbuat perkara kebaikan terhadap mereka adalah ajaran yang sungguh menarik untuk diamalkan (2:109 & 2:112). 


Adakah Tuhan yang menyuruh manusia 
berbunuhan tanpa alasan yang benar?
Bahkan manusia yang menggunakan nama tuhan 
dan kitab suci untuk berbunuhan sesama sendiri.


Thursday, May 12, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 113 -- MEREKA SEMUA SAMA-SAMA KOSONG


ﻭﻗﺎﻟﺖﺍﻟﻴﻬﻮﺩﻟﻴﺴﺖﺍﻟﻨﺼﺮﻯﻋﻠﻰﺷﻰﺀ
ﻭﻗﺎﻟﺖﺍﻟﻨﺼﺮﻯﻟﻴﺴﺖﺍﻟﻴﻬﻮﺩﻋﻠﻰﺷﻰﺀ
ﻭﻫﻢﻳﺘﻠﻮﻥﺍﻟﻜﺘﺐ

Dan telah berkata ia oleh Yahudi, bukanlah Nasrani atas sesuatu, dan telah berkata ia oleh Nasrani, bukanlah Yahudi atas sesuatu, sedang mereka (semua) membaca Al-Kitab.

Dan orang-orang Yahudi berkata; “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai suatu pegangan (agama yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata; “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai suatu pegangan (agama yang benar)”; padahal mereka membaca kitab suci masing-masing (Taurat dan Injil)

i.   Mengambil Golongan Lain Sebagai Kawan
     Setia Adalah Suatu Yang Dilarang Dalam
     Agama Masing-masing

Mana-mana agama yang disebutkan, sentiasa melarang penganutnya mengadakan hubungan istimewa dengan penganut agama lain. Kiranya batasan ini dilanggar, ini bermakna bahawa mereka yang terlibat tidak lagi mengambil kisah tentang larangan sedemikian. Yahudi dan Nasrani pada dasarnya adalah bermusuhan. Begitu juga antara mereka dengan umat Islam. Selama mana mereka berada dalam kelompok masing-masing, mereka tidak membawa bahaya yang besar terhadap pihak lainnya.

ii.   Mereka Baca Kitab Hanya Sekadarnya

Sekiranya umat Islam meniru sikap ahli kitab dalam menyatakan golongan lainnya tidaklah atas suatu pendirian yang benar, maka mereka itu juga adalah seumpama ahli kitab dahulu kala. Melainkan jika mereka memiliki hujah yang kukuh dalam kitab anutan mereka dengan cara bacaan yang benar.

Berlakunya perpecahan bagi penganut agama samawi apabila masing-masing mereka saling menuduh bahawa pihak lainnya tidak berada dalam ajaran agama yang benar. Dan tidak harus dilupa juga apabila golongan ilmuwan daripada setiap agama atau pengajian telah didedahkan kepada mereka penerangan-penerangan daripada ayat-ayat suci, maka tiba-tiba mereka membentuk suatu kumpulan yang menyanggahi kumpulan yang lainnya. Hal ini telah dijelaskan dalam penerangan awal Surah Al-Rahman.

iii.   Mengulangi Pendirian Golongan Yang Jahil

Kita dapati sekarang ini umat Islam berpecah belah. Golongan yang mendakwa penganut Sunnah (padahal mereka sebenarnya mewarisi ajaran ulama-ulama Bani Umayyah yang membenci amalan selawat kepada ahli keluarga RasululLah S.A.W), memusuhi golongan yang mendakwa pengikut Alawiyin dan pengikut Syi’ah (padahal mereka sebenarnya mewarisi ajaran ketua golongan munafik Abdullah bin Ubai). Mereka berbunuh-bunuhan atas agama yang mereka yakini sebagai benar iaitu agama Islam. Semua ini berlaku disebabkan kejahilan mereka dalam memahami Al-Qur’an sebagaimana yang disebutkan pada ayat sambungan berikut:-

Umat Islam Berbunuhan Kerana Al-Qur'an dan As Sunnah.
Mengapa Ya?



Friday, May 6, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 112 -- SIAPAKAH YANG BENAR?

ﺑﻠﻰﻣﻦﺍﺳﻠﻢﻭﺟﻬﻪﻟﻠﻪﻭﻫﻮﻣﺤﺴﻦ
ﻓﻠﻪﺍﺟﺮﻩﻋﻨﺪﺭﺑﻪﻭﻻﺧﻮﻑﻋﻠﻴﻬﻢ
ﻭﻻﻫﻢﻳﺤﺰﻧﻮﻥ


Bahkan sesiapa yang telah menyerah ia, akan seluruh wajahnya kepada Allah sedang ia pengusaha kebajikan maka baginya ganjarannya di sisi Tuhannya, dan tiada kebimbangan atas mereka dan tidak (pula) mereka berduka cita.

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya, dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 i.     Siapakah Dalam Kalangan Umat Ini 
        Yang Lebih Benar Jalannya?

Dalam surah Al-Ma’idah ayat 82, Tuhan telah jelaskan terdapat dalam kalangan ahli kitab daripada penganut Nasrani yang tidak bersikap sombong dan mereka ini adalah sebaik-baik rakan yang mengasihi umat Islam. Tuhan juga telah menjelaskan dalam surah Al-Ma’idah ayat 51 terdapat ahli kitab daripada penganut Nasrani yang sebahagian mereka atas kaum Yahudi adalah aulia atas sebahagian yang lain. Mereka ini benar-benar memusuhi umat Islam dan berusaha supaya umat Islam sanggup menjadi kafir dengan menuruti agenda mereka.

Apa yang ingin penulis jelaskan adalah bahawa, dalam memilih jalan untuk mematuhi perintah Tuhan, kita harus mengakui terdapat pihak lain yang bukan berada dalam kalangan kita yang juga berada di pihak kita. Mereka ini tidak seharusnya diperangi dan tidak wajar untuk kita label mereka sebagai pihak yang akan sentiasa mencari jalan untuk memusuhi kita, sekalipun mereka memakai lambang atau logo yang sama dalam agama mereka seperti pihak yang satu lagi.

Bahkan ayat ini dapat dihubungkan dengan ayat daripada surah Al-Baqarah ayat 62 bahawa dalam kalangan ahli kitab, terdapat mereka yang benar-benar beragama dan mereka bakal memperolehi janji ganjaran daripada Tuhan dan mereka itu tidak akan berdukacita. Oleh itu sebagai umat Islam yang mengaku beragama, mereka tidak seharusnya ringan lidah dalam menjatuhkan hukum sesat terhadap ahli kitab yang lain sama ada ahli kitab yang lain itu beragama Yahudi, Nasrani atau Islam pada mazhab-mazhab aqidah yang berlainan. Tuduhan sesat hanya boleh dilakukan berdasarkan panduan daripada Tuhan, sepertimana yang telah dibincangkan dalam surah Al-Qalam atau melalui penjelasan Al-Hadith.

ii.    Menyerahkan Wajah Kepada Allah 
       Dan Mengusaha Kebajikan

Inilah satu-satu jalan yang dapat mengehadkan pertikaian sesama umat manusia yang berada dalam agama Al-Kitab. Kita harus mengetahui, kepada penganut Yahudi atau Nasrani yang mana satukah, yang kita dibolehkan untuk mengadakan hubungan baik. Secara umumnya, amat sedikit daripada kaum Yahudi yang boleh dipercayai dan penganut Kristian yang mengadakan hubungan baik dengan Yahudi adalah mereka yang sangat-sangat tidak boleh dipercayai.

Dalam hal ini, mereka yang menunjukkan sifat-sifat beragama dalam kalangan penganut Yahudi atau Nasrani adalah mereka yang lebih hampir persahabatan mereka dengan umat Islam. Ini adalah disebabkan oleh usaha mereka untuk menyerah diri kepada Tuhan dan mereka termasuk dalam kalangan yang berusaha untuk melakukan kebajikan.

iii.    Umat Islam Yang Boleh Dijadikan 
        Sahabat dan Umat Islam Yang Perlu 
        Dijauhi

Yang dikatakan umat Islam adalah mereka yang memenuhi prasayarat rukun Islam yang lima. Seseorang itu masih kekal dikatakan umat Islam sekalipun tidak memenuhi tuntutan yang lima itu, hanya mereka disebut sebagai muslim yang fasiq. Dalam hal ini, berdasarkan aplikasi ayat-ayat yang disebutkan, terdapat mereka yang mendakwa umat Islam tetapi perlu dijauhi. Iaitu mereka yang mengambil ahli kitab yang lain sebagai aulia, sebahagian atas sebahagian yang lain. Mereka ini didapati tidak bersedia untuk mengamalkan ajaran daripada kitab mereka masing-masing dan mereka sanggup mengenakan tentangan keras terhadap umat yang berusaha mengamalkan perintah Tuhan yang terdapat dalam kitab suci. Pada ayat yang seterusnya selepas ini, keperibadian mereka ini mudah dikenali atas sikap dan pegangan agama mereka.

Selama mana tiada hubungan rasmi antara penganut ketiga-tiga agama ini yang secara asasnya memiliki pertentangan dalam kepercayaan mereka, selama itulah mengadakan hubungan baik sekadarnya dengan mereka adalah dibolehkan. Apabila wujud sahaja kerjasama antara mana-mana penganut antara tiga penganut agama ini sehingga masing-masing mereka sanggup menggadaikan prinsip agama, maka ketika itulah mereka ini harus dianggap sebagai musuh yang harus dijauhi. 





Popular