ﻭﻗﺎﻟﻮﺍﻟﻦﻳﺪﺧﻞﺍﻟﺠﻨﺔﺍﻻﻣﻦﻛﺎﻥﻫﻮﺩﺍ
ﺍﻭﻧﺼﺮﻯ ﺗﻠﻚﺍﻣﺎﻧﻴﻬﻢﻗﻞﻫﺎﺗﻮﺍﺑﺮﻫﻨﻜﻢ
ﺍﻥﻛﻨﺘﻢﺻﺪﻗﻴﻦ
Dan telah berkata mereka, sekali-kali tidak ia masuk akan syurga itu melainkan sesiapa yang telah adalah ia Yahudi atau Nasrani, demikian itu angan-angan mereka. Katakanlah olehmu, datangkanlah olehmu bukti kamu kiranya telah adalah kamu, golongan yang benar.
Sekalipun ayat ini adalah sesuatu yang berkaitan tentang pegangan ahli kitab terdahulu, namun cara tindakan sebahagian umat Islam, telah menjadikan mereka menuruti cara kefahaman umat-umat ahli kitab terdahulu.
i. Angan-angan Mereka Untuk Ke Surga
Perbincangan daripada ayat 03:24 pada penjelasan himpunan ayat “Yang Menyuruh Dengan Al-Qisthi” memberitahu bahawa, bukan sahaja mereka Ahli Kitab mengangani untuk masuk syurga, bahkan mereka sanggup membuat pendakwaan bahawa sekiranya mereka masuk neraka sekalipun, perkara itu hanya akan berlaku dalam beberapa hari yang boleh dibilang. Bahkan anggapan yang serupa sebenarnya juga berlaku ke atas umat Islam. Mereka mengangani perkara yang serupa dan membuat andaian perkara yang sama. Menurut penerangan ayat seterusnya, bahawa mereka itu, tidak kira sama ada mereka penganut Yahudi atau Kristian atau Islam, sebenarnya telah berada dalam keadaan tertipu oleh cara beragama mereka sendiri.
ii. Mengapa Mereka Tidak Berfikiran Kritis?
Tidakkah mereka terfikir? Kiranya anggapan sebahagian mereka itu didapati benar, bagaimanakah kedudukan penganut-penganut agama lain yang juga mendakwa menyembah Tuhan yang sama. Kalau demikian, seperti kejam sungguh Tuhan mewujudkan ketiga-tiga agama yang berlainan yang menyembah Tuhan yang sama, namun apabila dibalasi, hanya satu penganut agama sahaja yang layak diterima dan dibenarkan masuk syurga. Bagaimana mungkin mereka mendakwa agama mereka sahaja yang benar, namun mengakui bahawa dua agama yang lain itu memang benar-benar wujud?
iii. Apakah Buktinya Agama Anutan
Mereka Benar?
Mereka sanggup menerima persepsi untuk menganggap bahawa hanya pihak mereka sahaja yang benar dan bukannya pihak yang lainnya. Mereka dipengaruhi dan dilingkungi oleh pihak-pihak yang serupa dengan mereka dan saling cuba mempengaruhi antara mereka, supaya mereka semua berasa selesa, sekalipun mereka berada dalam kepalsuan agama. Hati mereka milik pihak lain dan bukannya milik diri mereka sendiri.
Sebenarnya mereka semuanya beragama dengan cara yang serupa iaitu berangan-angan dan mereka tidak dapat menyebut secara mendalam tentang hujah daripada agama mereka sendiri. Tidak kira mereka itu daripada pihak Yahudi, Kristian ataupun Islam, cara beragama mereka adalah serupa dan kebanyakan mereka mendiami neraka kerana mereka memberi sumbangan melakukan suatu keburukan yang direnteti dengan pelbagai bentuk keburukan yang lain. Mereka adalah penyumbang kerosakan.
iv. Pertimbangan Ringkas Kebenaran Islam
Pernah suatu ketika dahulu, seorang khalifah ditanya oleh seorang Yahudi tentang andaian, kiranya ajaran yang disampaikan melalui Nabi Muhammad S.A.W. didapati tidak benar ketika manusa telah berada di akhirat nanti. Lalu khalifah itu menjawab bahawa menurut ukuran kebenaran agama yang dianutinya, perkara itu tidak menjadi hal kerana masyarakat Islam yang telah berjaya dibentuk ketika itu, adalah masyarakat yang tersusun, mengadakan hubungan baik sesama mereka dan telah terbina perpaduan yang kuat dalam kesatuan mereka. Tidak seperti kaum Yahudi yang saling menindasi sesama mereka dan berusaha untuk menindas manusia lain melalui helah licik dalam urusan perniagaan dan kehidupan. Dalam hal ini nampaknya hujah khalifah itu didapati lebih benar kerana urusan umat Islam ketika itu ternyata lebih berjaya berbanding urusan kaum Yahudi. Adapun perkara akhirat, sudah tentu mengambil kira tentang pekerjaan yang dilakukan oleh penganut agama dalam urusan dunia mereka. Kemudian khalifah kembali bertanya kepada Yahudi berkenaan, bagaimanakah nasibnya ketika mendapati bahawa ajaran yang disampaikan menerusi Nabi Muhammad S.A.W. didapati benar? Bagaimankah pula kedudukan penganut Yahudi ketika itu, yang mereka telah menjalani kehidupan dunia dengan cara yang tidak wajar serta melaksanakan polisi kehidupan yang menindas manusia? Kemudian Yahudi berkenaan telah meninggalkan khalifah itu, tanpa sebarang jawapan dan telah memperlihatkan wajahnya yang serba salah.
Itu pada zaman itu dan dapatkah hujah berkenaan digunakan lagi pada zaman ini? Manakah dia penganut Islam yang berbagai-bagai mazhab itu dapat memberi jawapan yang benar kiranya mereka memilih kehidupan dengan cara menindas serta melakukan pembunuhan sesama umat seagama mereka. Mereka bukan sahaja berbunuhan atas sebab berlainan mazhab, bahkan dalam mazhab yang sama, mereka saling berbunuhan atas urusan agama.
Sebenarnya sama sahaja, sama ada mereka penyokong FSA atau
penyokong Tentera Bashar Assad, mereka tidak memiliki hujah
kuat yang membenarkan mereka saling berbunuhan melainkan
semata-mata kerana dendam 1400 tahun.