SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, March 31, 2015

CATATAN PENULIS



Bukan mudah bagi penulis dan pembaca untuk melakukan perubahan pendirian dalam kefahaman beragama. Penulis hanya melihat, tidak ada sebab bagi kita selaku keturunan Adam A.S. mencari sesuatu untuk menjarakkan lagi perbezaan sesama kita. Umat ini kini berada di ambang fitnah yang paling dahsyat dan kehidupan ini kini, menempuh keadaan genting dengan keadaan planet yang sungguh merbahaya didiami. Hari ini mereka yang di sana telah terkorban atau menjadi mangsa. Esok, lusa, tulat, langkat mungkin giliran kita pula, sehinggalah kita sanggup melakukan suatu perubahan.



Wednesday, March 25, 2015

PENGAJARAN KESELURUHAN SURAH AL-MA'ARIJ


Oleh kerana peristiwa ini merupakan peristiwa yang bakal terjadi, yang akan menimpa secara khusus kepada golongan ingkar, lalu apakah persiapan mereka yang beriman, dalam menghadapi peristiwa dan perkhabaran sedemikian? Penulis menyerahkan kepada pembaca sendiri untuk meneliti dan memikirkan perkara perlu agar suatu tindakan drastik dapat dilakukan. Tujuan penulisan ini bukanlah bertujuan untuk mendatangkan rasa gerun atau paranoia kepada sesiapapun jua. 

Setiap kita harus berkumpul bersama-sama dan memikirkan langkah perlu agar suatu usaha yang mungkin dipandang kecil, dapat dilaksanakan dan menimbulkan kesan yang ketara.




Thursday, March 19, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 44 -- BARU MEREKA AKUI KESALAHAN MEREKA


خاشعة ابصارهم ترهقهم ذلة
ذلك اليوم الذى كانوا يوعدون

Tunduk menekur pandangan mereka, kebongkakan mereka bergoncangan. Itulah hari yang telah dahulu mereka, mereka sentiasa dijanjikan.

sambil pandangan mereka tunduk, serta mereka diliputi kehinaan; itulah hari Yang telah dijanjikan kepada mereka.

Dalam kitab Tafsir Quran yang dicetak dalam versi Indonesia dinyatakan “Tunduk menekur pandangan mereka, kehinaan menimpa mereka. Itulah hari yang diancamkan kepada mereka”.

Kita dapat menyaksikan bagaimana kebongkakan mereka selama ini, kembali kepada mereka dalam bentuk azab. Dapatkah pusat-pusat perlindungan yang mereka sediakan selama ini dapat mengelakkan mereka daripada bencana? Kefahaman ayat seperti ini seringkali dibidas oleh golongan yang mendakwa mereka lebih mahir dalam beragama melalui pengiktirafan yang mereka perolehi dari negara-negara yang silibus pendidikan mereka telah dikawal selia oleh pihak Barat.

Lalu mereka kembali ke negara ini mengajar hal-hal yang berkaitan agama kepada manusia sedangkan kesudahan yang berlaku adalah masalah pencemaran yang sentiasa meningkat, masalah sosial manusia yang tak kunjung padam serta kerosakan-kerosakan yang berlaku terhadap umat dan tempat-tempat kediaman mereka. Agama yang menuruti mereka dan bukannya mereka menuruti agama.

Agama Apakah Kita Selama Ini?

Apakah nasib bagi umat ini yang hanya diajar cara-cara bersuci setelah berusia lebih empat puluh tahun mereka menempuh kehidupan? Mereka tidak habis-habis membincangkan air satu kolah, dua kolah dan tidak habis-habis membincangkan perkara satu marhalah, dua marhalah dan sebagainya. Sebelum datangnya azab yang dijanjikan itu, manusia telah terlebih dahulu menderita kesan-kesan daripada pencemaran yang terdapat dalam pemakanan mereka, yang di'halal'kan sendiri oleh Jabatan Agama. Tinggallah agama hanya mengurus perkara-perkara yang ada kaitan dengan kematian, perkahwinan dan maksiat. Ajaran kitab suci dianggap terlalu tinggi untuk diperbincangkan sehingga akhirnya umat menjalani kehidupan dengan kejahilan ciptaan Barat yang lebih menjurus kepada kerosakan dan kemusnahan manusia itu sendiri. Umat harus kembali kepada ajaran-ajaran Al-Quran dengan cara menyingkirkan kebongkakan golongan ingkar yang menghalang-halangi manusia daripada berfikir darihal ayat-ayat Tuhan.





Friday, March 13, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 43 -- MEREKA LARI MENINGGALKAN TEMPAT-TEMPAT PERLINDUNGAN YANG DISEDIAKAN


يوم يخرجون من الاجداث
سراعا كانهم الى نصب يوفضون


Hari yang mereka keluar daripada persembunyian-persembunyian (dalam tanah) secara bersegera, seolah-olah mereka kepada suatu yang berpanjangan, mereka menuju ke lapangan (berserakan).

Iaitu hari mereka segera keluar dari kubur masing-masing menuju (ke padang mahsyar) Dengan keadaan seolah-olah mereka berkejaran ke (tempat) berhala-berhala (yang mereka sembah dahulu),

i.    Kepelbagaian Bentuk Terjemahan

Penulis dalam usaha mendapatkan gambaran daripada ayat ini, terlebih dahulu telah menurut disiplin kefahaman ayat secara himpunan iaitu menghubungkan (wassol - 28:51) antara ayat sesudah dan sebelum. Penulis tidak menafikan gambaran sedemikian dinyatakan oleh kebanyakan terjemahan lain, sebagai kejadian kebangkitan akhirat nanti bagi mayat-mayat dari kubur seolah-olah mereka menuju kepada berhala mereka secara bersegera. Perkataan asal  الاجداث adalah tempat sorok yang tertanam (dalam tanah) seperti menyimpan mayat dalam perkuburan atau harta dalam tanah. Mendapatkan pelbagai penerangan terjemahan, membawa pengertian bahawa terjemahan sedemikian memberi makna yang luas dan dapat difahami dari pelbagai sudut.

Penulis telah terangkan sebelum ini bahawa kemahiran bahasa Arab semata-mata tidak dapat digunakan untuk menggarap suatu bentuk tafsiran atau kefahaman secara jitu. Oleh itu, kepelbagaian bentuk kefahaman tentang sesuatu ayat, harus diterima sebagai suatu bentuk kefahaman yang mungkin berlainan daripada pendapat umum. Tiada seorang ilmuwan harus mempertikaikan sebarang bentuk kefahaman yang lain kerana sikap sedemikian sebenarnya dapat membantu kepada perkembangan ilmu itu sendiri.

ii.    Mereka Bagai Zombi, Bertebaran 
       Tanpa Halatuju Yang Pasti

Perkataan asal يوفضون diterjemahkan sebagai membawa ia (kepada), menuju ke kelegaan, menuju ke lapangan. Gambaran sedemikian berlaku apabila mereka tidak lagi dapat bertahan dalam kediaman-kediaman mereka yang tersembunyi pada hari itu. Masakan tidaknya, pengionan daripada matahari telah banyak menghasilkan radikal bebas yang dapat mengakibatkan kulit-kulit mereka lambat laun akan mengelupas sekalipun tidak terkena cahaya matahari secara terus. Udara pernafasan telah dicemari sehingga dapat mengakibatkan penyakit seperti kanser dan sesak nafas. Tempat-tempat perlindungan dalam tanah yang telah mereka siapkan terlebih dahulu, tidak dapat menyelamatkan mereka daripada ditimpa bencana kesan pengionan alam sekitar. Seolah-olah mereka mendiami bumi selepas suatu siri serangan nuklear tetapi tidaklah separah itu, sehingga mereka masih dapat berusaha keluar dari tempat-tempat mereka itu.

iii.    Tayangan Video Yang Diulang-
        ulangkan

Kita dapat melihat dalam gambaran pada waktu ini melalui tayangan-tayangan yang dipersembahkan oleh media-media Barat dan gambaran-gambaran mereka meninggalkan kampung halaman mereka serta kediaman mereka secara berbarisan panjang dalam kenderaan, untuk menghindari diri dari suatu tempat yang dilanda bencana. Mereka semuanya tidaklah merancang perjalanan mereka dan yang mereka mahu hanyalah menjauhi diri dari kawasan bencana menuju tempat yang mereka rasakan selamat. Ayat seperti ini seolah-olah memberi gambaran kepada kita bahawa bencana yang akan berlaku pada hari itu adalah berselang seli dari satu tempat ke tempat-tempat yang lain mengikut arah kawasan-kawasan yang dilanda kebocoran lapisan langit yang sering berubah-ubah tempat. Perkara seperti ini dapat berlaku pada bila-bila masa sekarang ini lantaran sikap manusia sendiri yang amat berbangga melakukan kerosakan di mukabumi ini. Peristiwa 'Deep Impact' merupakan gambaran keadaan kelam kabut manusia yang bersegera melarikan diri dan berbaris panjang dalam kenderaan mereka. Peristiwa 'Thread” pula menunjukkan situasi kesan peperangan nuklear yang mengakibatkan pancaran cahaya matahari berwarna lampau lembayung sehingga mengakibatkan ramai manusia ditimpa pelbagai penyakit.




Saturday, March 7, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 42 -- MEREKA MASIH BERDEGIL, BIARKAN MEREKA


فذرهم يخوضوا و يلعبوا
حتى يلقوا يومهم الذى يوعدون

Maka biarlah olehmu akan mereka, mereka berseminar dan mereka melakukan permainan (game), sehingga mereka menemui akan hari mereka, yang mereka dijanjikan.
 
oleh itu, biarkanlah mereka (Wahai Muhammad) tenggelam Dalam kesesatannya dan leka bermain-main (dalam dunianya), sehingga mereka menemui hari Yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan)! 

i.      Mereka Masih Berdegil – Biarkan Saja Mereka

Adakah mereka masih mahu menegakkan pendirian  seolah-olah mereka itu entiti yang paling bijak? Mereka melakukan kajian demi kajian terhadap kejadian yang berlaku lalu mereka kumpulkan pakar-pakar mereka untuk membincangkan sesama mereka mencari penyelesaian. Bukankah mereka memiliki satelit-satelit yang dengannya mereka dapat merekod kejadian-kejadian kebocoran ozon? Mereka juga mencipta pelbagai rumus secara analitik atau saintifik untuk meramal kejadian kepelbagaian cuaca. Mereka juga memiliki pencerap-pencerap di seluruh dunia untuk mencerap tekanan dan kelembapan setempat yang mereka kumpulkan maklumat-maklumat itu melalui grid pengumpul nasional dan antarabangsa. 

Mereka juga dapat mengesan pergerakan debu bahkan mereka dahulu mendakwa dapat mengesan pergerakan musuh yang membawa senjata nuklear.

ii.     Janganlah Tergesa-gesa Mengingatkan Mereka

Golongan yang beriman diseru untuk tidak tergesa-gesa mengingatkan mereka akan bahaya yang akan mereka hadapi. Biarkan sahaja mereka kerana bagi mereka ada hari yang dijanjikan. Adakah peristiwa seperti ini pernah berlaku sebelum ini? Kes-kes kehangusan ais kutub menunjukkan tahap kebocoran ozon telah mencapai tahap serius. Terdapat juga terlalu banyak kes penyakit kanser kesan daripada pencemaran radikal bebas dan penyakit katarak. Kehidupan di dunia ini tidak lain dan tidak bukan, hanyalah tempat kehidupan sementara. Dunia ini ibarat syurga bagi golongan ingkar yang mereka perlu bersungguh-sungguh mendapatkannya. Namun bagi golongan beriman tidak perlu tergesa-gesa dalam berkehidupan. Adalah memadai dengan rezeki yang Tuhan telah sediakan dengan sedikit usaha mereka dan mereka harus mengingati akan nasib golongan yang susah dalam mendapatkan kehidupan. Bantuan harus selalu dihulurkan atas lebihan harta yang diperolehi.

iii.    Mengapakah Usaha-usaha Mereka Perlu Dibiarkan?

Dalam Surah Nun, terdapat perintah Tuhan kepada golongan beriman untuk mereka biarkan sahaja tindakan golongan yang berterusan dalam kesesatan (68:44). Dan dalam ayat ini, Tuhan juga memerintahkan untuk biarkan sahaja sebahagian golongan ingkar, sama ada daripada golongan masyarakat biasa sehinggalah kepada golongan kepimpinan untuk berterusan dengan amalan buruk mereka. Persoalannya, tidakkah dengan membiarkan golongan ingkar berkelakuan sedemikian, akan memberi kesan kepada golongan beriman dan juga kepada nasib alam sekitar akhirnya? 

Dalam hal ini penulis menyedari bahawa perlunya setiap mereka yang beriman untuk melaksanakan perkara yang diperintah oleh Tuhan iaitu bersedia mempelajari Al-Qur'an dan kemudiannya bersama-sama menyampaikannya kepada manusia. Sesungguhnya Tuhan tidak akan membebankan seseorang dengan suatu tanggungjawab melainkan apa yang sanggup diusahakan olehnya. Oleh itu, berkumpul bersama-sama untuk merancang dan menyusun strategi dakwah haruslah dimulai terlebih dahulu. 

Sebagaimana RasululLah S.A.W. yang telah ditegur Tuhan kerana memberi tumpuan berlebihan dalam menyampaikan dakwah kepada golongan tertentu, umat ini juga tidak harus beria-ia dalam usaha mereka menyampaikan dakwah kepada golongan berkepentingan. Mereka juga harus membuat persediaan tertentu agar mereka dapat selamat daripada tindakan golongan ingkar yang berterus-terusan melakukan kedurjanaan di muka bumi ini. Kebergantungan tidak lagi boleh diharap semata-mata kepada wang ringgit kerana dengan sistem kapitalis yang dipaksa kepada mereka untuk mengamalkannya, ternyata kesudahannya lebih banyak menimbulkan keburukan kepada diri mereka sendiri.






Sunday, March 1, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 41 -- TEMPAT MEREKA HARUS DIGANTIKAN


على ان نبدل خير منهم  و ما نحن بمسبوقين

Atas bahawa Kami menukar yang lebih baik daripada mereka dan sekali-kali tidak Kami didahului.

(Membinasakan mereka, serta) menggantikan mereka Dengan makhluk-makluk Yang lebih baik dari mereka; dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan.

i.     Kewajaran Yang Kembali Kepada Mereka

Atas kewajaran mereka melaksanakan amalan-amalan daripada manifestasi keingkaran, maka tempat mereka harus digantikan dengan golongan yang lebih baik daripada mereka ini. Golongan baru yang akan melakukan pemulihan dan melaksanakan amal-amal yang baik. Golongan yang beriman kepada Tuhan harus bersabar dengan perencanaan Tuhan, setelah dahulu mukabumi ini diwariskan kepada hamba-hamba Tuhan yang melakukan perbaikan, lalu dirampas oleh golongan ingkar daripada bani-bani Arab, kaum Yahudi, Nasrani dan Mulhid. Dengan amanah Tuhan yang mereka pegang di mukabumi ini, apakah yang telah mereka lakukan? Mereka lakukan kerosakan demi kerosakan sehingga akhirnya bumi sendiri tidak tertahan kerananya dan mereka menamainya sekadar dengan nama perubahan cuaca. 

Adakah golongan yang beriman kepada Tuhan akan melakukan kerosakan? Mereka tentunya akan membataskan amalan manusia supaya setiap pekerjaan perlu dilakukan dengan berhati-hati.

ii.    Amalan Pemulihan Oleh Golongan Beriman

Mereka tidak akan dengan sewenang-wenangnya menebus guna kawasan-kawasan yang menjadi kelarangan Tuhan untuk ditebus guna, melalui contoh-contoh kemusnahan umat terdahulu. Kegelojohan manusia terhadap pembangunan, akan dibataskan dengan menghapuskan sama sekali sistem riba dan sistem pajakan. Manusia tidak perlu berlomba-lomba mengejar sesuatu yang bersifat maya lalu mereka akan memperbanyakkan sadaqah bagi mengumpulkan harta yang mereka perlu hantar ke akhirat kelak. Mereka akan mengamalkan amalan berpuasa supaya ada peruntukan makanan untuk golongan yang susah.

Apabila nasib semua golongan susah terbela, maka mereka tidak perlu bekerja dengan majikan yang akan merencanakan kerosakan atas mukabumi ini. Masanya itu tetap akan sampai, maka bersabarlah wahai golongan yang beriman. Perubahan cuaca yang berlaku kini adalah tanda-tanda awal akan berlaku bencana terhadap manusia di tempat-tempat kediaman mereka sendiri. Kita dapati projek-projek intensif yang dilaksanakan golongan ingkar, tidak akan mencapai maksudnya. Bahawa sekali-sekali tidak Tuhan dapat didahului membawa erti bahawa sehebat mana projek mereka untuk menyiapkan tempat-tempat perlindungan untuk menghindari diri-diri mereka daripada bencana, sama ada di permukaan bumi, di bawah permukaan bumi atau di angkasalepas, mereka tetap tidak berkesempatan mengelak bencana.

iii.     Nasib Yang Menimpa Golongan Beriman

Adakah golongan beriman juga akan ditimpa bencana sedemikian? Kehidupan dunia bukanlah tempat untuk mereka melarikan diri sekiranya terjadi bencana melainkan sekadar apajua yang termampu. Pada peringkat awal daripada bencana kebocoran lapisan ozon, kini kita dapati bahawa kejadian itu dapat berlaku secara setempat iaitu di kedua-dua belah langit kutub. Oleh itu, kejadian setempat dapat juga berlaku akibat daripada kerja-kerja intensif merosakkan alam sekitar yang dilaksanakan di wilayah tertentu. Walaupun kejadian ini bukan berlaku secara mengejut, kesan-kesan terhadap kemusnahan dan penyakit dapat dilihat sedikit demi sedikit di beberapa bahagian tertentu di mukabumi. Masanya akan terjadi, apabila mereka terpaksa keluar dari kediaman mereka. Apabila berlaku kejadian berkenaan maka tiada jalan undur yang mudah untuk memulihkan suasana. Lapisan ozon semakin menipis sehingga kejadian berkenaan akan berlaku secara merata di atas permukaan bumi ini. Kemuncak kejadian dapat berlaku secara mengejut sehingga tengahari bagi sesebuah negara akan dilitupi debu akibat daripada tindakan pengionan debu-debu di atas permukaan bumi. Sehingga seolah-olah debu itu menjadi seperti bulu yang berterbangan. Kulit-kulit manusia mengelupas dan kebutaan dapat berlaku akibat pembentukan katarak dalam mata.




Popular