SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, January 30, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 36 -- MEREKA MERENUNG KE ARAHMU


فما لالذين كفروا قبلك مهطعين

Maka mengapakah bagi orang-orang yang telah ingkar mereka, di hadapanmu, yang merenung?

maka apakah Yang menyebabkan orang-orang kafir, Yang menentangmu (Wahai Muhammad) datang berkejaran ke sisiMu -

i.    Adakah Benar Risalah Ini? (Biar betul)

Mereka memandang dengan pandangan tajam, memikirkan ayat-ayat yang disebutkan oleh RasululLah S.A.W. tentang bencana yang akan menimpa mereka akibat perbuatan tangan-tangan mereka sendiri yang lahir daripada sikap mereka. Mengapa orang yang seperti Muhammad (S.A.W) merupakan orang yang harus berkata-kata tentang bencana yang akan menimpa mereka? Itu pada zaman RasululLah S.A.W. dahulu. 

Persoalan yang serupa kini, mengapakah golongan manusia yang mereka pertimbangkan sebagai dhaif dari negara yang mereka anggap kurang maju, harus memperkatakan sesuatu yang mereka  anggap hanya hak mutlak mereka untuk bercakap tentang perihal nasib dunia ini? Iaitu tentang bencana yang akan berlaku di dunia ini kesan daripada perbuatan mereka.

ii.    Bencana Yang Telahpun Banyak

Kita dapati pada waktu ini, bencana terlalu banyak berlaku di negara-negara yang dikatakan sangat maju seperti Amerika Syarikat, Belanda, negara-negara Scandinivia, China dan Jepun yang merupakan pengamal aktif aktiviti pertanian moden. Walhal mereka dengan kecanggihan mereka, tidak dapat mengesani punca terjadinya bencana. Apakah yang tiada pada mereka? Mereka memiliki sistem pengiraan ramalan cuaca yang canggih sehingga diimport sendiri oleh negara-negara umat Islam. Mereka jualah pelopor teknologi satelit yang dapat memerhatikan corak perubahan suhu dunia. Mereka memiliki sistem pengairan yang terkawal untuk penghasilan tanam-tanaman yang memberi hasil yang banyak serta baik. Namun masih mereka ditimpa bencana yang kerap sepanjang tahun.

iii.   Tidak Serupa Di Negara Membangun

Lalu mengapakah bencana sedemikian jarang berlaku di negara-negara yang mereka anggap mundur atau kurang membangun? Apakah lebihnya negara seperti ini berbanding negara mereka? Tidakkah mereka juga mengamalkan sebahagian daripada teknik pengamalan mereka darihal teknologi pertanian sehingga sekali sekala bencana berlaku juga di negara-negara membangun? Tentang infrastruktur, wajarkah dibeza-bezakan pembangunan yang serupa coraknya yang terdiri daripada rumah-rumah kediaman dan bangunan-bangunan perniagaan yang dibangunkan secara intensif meniru sunnah kehidupan negara-negara ‘maju’. Namun disebabkan negara-negara membangun baru sahaja berjinak dengan teknik kemajuan yang dipelopori oleh bangsa Barat, kadar kemusnahan yang dialami mereka adalah rendah.





Saturday, January 24, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 35 -- MEREKA ITU DALAM KEBUN

اولئك فى جنت مكرمون

Mereka itu dalam kebun dimuliakan.

mereka (yang demikian sifatnya) ditempatkan di Dalam syurga Dengan diberikan penghormatan.

i.       Mereka Melakukan Kerja Pemulihan

Mereka bukan penyumbang terhadap kemusnahan tempat tinggal, lantaran usaha yang mereka laksanakan secara berhati-hati dan berjimat cermat. Mereka menghasilkan produk pekerjaan mereka yang dihargai oleh manusia seluruhnya. Mereka bukan manusia yang terburu-buru menuju tempat pekerjaan, terburu-buru dalam membelanjakan hasil yang mereka perolehi secara gelojoh. Bagi mereka suatu penghidupan yang patut dan hubungan sesama mereka sangat harmoni. Inilah suatu contoh kehidupan yang harus dipelajari oleh manusia seluruhnya. Namun mahukah golongan ingkar, yang selama ini bermegah dengan 'pencapaian' mereka, turut serta melakukan perubahan? Mereka kononnya telah bersedia dengan tempat-tempat perlindungan yang dijangka kebal, sentiasa berusaha menidakkan pendirian golongan yang beriman. Mereka sebenarnya tidak serik.

ii.     Wasathiyah Yang Dianggap Moderat 
        Atau Liberal

Menggunakan hujah ayat Al-Quran yang sama iaitu 2:143, ramai telah menafsir ayat ini sebagai hujah, bahawa agama ini telah menganjurkan umat ini supaya mengambil pendirian wasath iaitu pengamalan yang bersifat moderat atau liberal. Mereka memperkenalkan istilah muslim moderat atau muslim liberal supaya mereka menjadi masyarakat yang amat mudah mesra dengan golongan bukan muslim yang kononnya untuk tujuan dakwah, agar dakwah mereka dapat disebarkan kepada golongan bukan muslim dengan lebih berkesan. Bahkan mereka menggunakan istilah sedemikian agar tampak bahawa mereka ialah golongan yang mengamalkan kesederhanaan yang tidak terlalu ekstrem atau terlalu fanatik. Mereka bukan komunis dan bukan juga kapitalis tetapi antara keduanya, namun negara mereka jua yang paling banyak masalah pergolakan sosial serta kemiskinan. Mereka tidak terlalu mengejar dunia dan tidak juga terlalu mengejar akhirat, namun kemiskinan ada dalam kalangan mereka tanpa pembelaan. Mereka melupai pengajaran bahawa ayat tentang wasath sedemikian hanya ditujukan kepada para sahabat R.A.H.M. dan tabi'in selepas itu yang merupakan umat yang terbaik, yang akhirnya kesaksian sampai kepada RasululLah S.A.W.

Mereka melupai pengajaran bahawa umat 'wasath' adalah hanya kepada mereka yang melaksanakan kerja-kerja kerasulan, yang mereka itu mengambil kesaksian dalam syahadah mereka. Mereka berpesan-pesan dengan kebenaran, kesabaran dan kasih sayang sesama mereka. Berbeza sungguh dengan 'ulama-ulama' masakini yang hanya memenuhi sebahagian besar masa mereka di pejabat. 'Ulama-ulama' sedemikian tidak pernah 'terjun' ke gelanggang masyarakat untuk melihat kedha'ifan umat. Mereka gagal untuk membentuk kuliah tertutup untuk berbincang sesama mereka mengatur strategi agar nasib umat terbela.


Golongan Ingkar Melingkungi dan 
Mengejek Golongan Beriman

Ukuran bagi golongan ingkar adalah status dalam kehidupan mereka. Dengan sistem yang mereka perkenalkan, mereka cuba membuktikan keupayaan mereka membangunkan kehidupan ini dengan pelbagai bentuk pembangunan. Apabila terdapat panduan suci yang cuba memperbetul tindakan mereka, mereka memandangnya dengan pandangan sinis, lantaran contoh sedemikian hanya dianuti oleh kebanyakan daripada golongan yang mereka pandang rendah. Adakah mereka tidak mempelajari bagaimana kesudahan pembangunan yang dihasilkan oleh Fir'aun dan pengikutnya? Sekalipun mereka merupakan golongan yang banyak mengkaji sejarah dan peninggalan silam, rupanya mereka tidak mempercayai bahawa kemusnahan umat-umat terdahulu adalah disebabkan oleh keingkaran mereka kepada Tuhan. Umat-umat dahulu melakukan kerja yang mencari nahas menjemput kemusnahan akibat dari tangan-tangan mereka, lalu Tuhan mengagendakan kemusnahan untuk mereka. Semua bencana yang berlaku adalah disebabkan mereka tidak ingin mendengar apa yang dikatakan oleh rasul. Atas keutamaan status, mereka hanya sanggup beriman sekiranya rasul dan pendakwah-pendakwah adalah mereka yang ada kedudukan dalam sesebuah negara.





Sunday, January 18, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 34 -- MEREKA YANG MEMELIHARA TUNTUTAN SOLAT MEREKA


والذين هم على صلاتهم يحافظون

Dan orang-orang yang mereka atas solah mereka, mereka memelihara.

dan mereka Yang tetap memelihara sembahyangnya;

KELAPAN : MEREKA YANG MEMELIHARA TUNTUTAN SOLAT MEREKA

Solah berjamaah merupakan ibadah mereka kepada Tuhan yang akan mereka laksanakan secara bersama-sama (rukuk bersama-sama orang-orang yang rukuk). Di masjid atau surau adalah tempat mereka berbincang, bermesyuarah dan membuat suatu keputusan dalam kehidupan mereka. Solah fardhu yang dilakukan secara berjamaah tentunya akan menjadi pengikat sesama jamaah membentuk disiplin mereka berkehidupan. Kepentingan ayat-ayat yang dibaca dalam solah akan diperbincangkan sesama mereka secara bersungguh-sungguh. Demikianlah itu rutin hidup yang RasululLah S.A.W telah berikan contohnya suatu masa dahulu. Baginda mendirikan madrasah Masjid Nabawi yang di sana aktiviti berpenghidupan turut dilaksanakan oleh baginda dan sahabat-sahabat R.A.H.M. Umat Islam datang mengambil nasihat daripada nabi sendiri serta mendapatkan sejumlah ayat-ayat Al-Quran tertentu untuk dihafaz mereka dan mempelajari pengajaran ayat daripada baginda.

"الصلوة معرج الموئمنين"

Solat adalah tangga pengangkat orang-orang yang beriman.

i.      Menukar Pendirian Dalam Agama

Barangkali merupakan suatu keberatan kepada pembaca untuk mengubah pendirian beragama yang selama ini telah menjadi suatu ukuran piawai dalam diri pembaca dan juga ukuran masyarakat, yang pembaca berada dalam kalangan mereka. Keberatan seperti ini telah berlaku kepada penulis memandangkan segala sesuatu seolah-olah perlu ditakrif kembali untuk memperolehi suatu kesegaran baru dalam memahami agama ini selaku Ad-Din. Perkara seperti ini telah berlaku kepada para sahabat R.A.H.M dahulu apabila datang perintah supaya mereka beralih arah kiblat yang jauh meninggalkan arah kiblat sebelumnya yang selama ini mereka menghadap ke arahnya (2:143). Bahawa tujuan mengubah pendirian sedemikian adalah supaya terbukti kepada Tuhan, sesiapakah dalam kalangan umat telah bersedia menganut ajaran Tuhan melalui Al-Quran tanpa ragu-ragu sekalipun hal itu adalah suatu keberatan untuk mereka, sekiranya mereka tidak berpetunjuk dengan petunjuk Al-Quran. Sesungguhnya petunjuk adalah petunjuk Tuhan, tugas Jibril A.S. hanya menyampaikan dan menyaksikan. Begitu juga tugas Muhammad RasululLah S.A.W. adalah penyampai ayat-ayat Tuhan kepada para sahabat R.A.H.M dan menyaksikan mereka dengan contoh-contoh As-Sunnah yang mampu baginda tunjukkan. Begitu juga para sahabat baginda, hanya penyampai kepada tabi'in selaku penyaksi kepada tabi'in dan caramana tabi'in beriman akan disaksikan oleh sahabat. Daripada tabi'in kepada tabi' tabi'in dan seterusnya mereka yang menuruti kaedah mereka itu dari semasa ke semasa sehingga menjelang hari kebangkitan. Tiada keraguan dalam hal ini bahawa agama ini bukanlah merupakan suatu warisan keturunan atau sebagainya. 

ii.     Mengapa Mereka Berupaya Melakukan Semua Ini?

Dari permulaan surah ini ada mengkhabarkan tentang penyebab berlakunya kerosakan sehingga mengakibatkan lemahnya lapisan langit dan penderitaan yang dialami manusia pada ketika itu. Demikian itu adalah merupakan pengajaran ayat yang nyata terkini menampakkan ta’wilnya sedikit demi sedikit. Namun disebabkan oleh sikap manusia suka untuk mendustai ayat-ayat Tuhan sejak dari dahulu, umat ini mengalami pelemahan sehingga tidak berupaya membentuk suatu contoh pekerjaan yang membawa kebaikan sama ada kepada kehidupan mereka sendiri bahkan terhadap alam sekitarnya melainkan sebahagian kecil mereka. 

Kerosakan yang berlaku terhadap alam ini sebenarnya terdapat hubungkait dengan sikap manusia itu sendiri dalam melaksanakan peranan berpenghidupan. Apabila keadaan alam ini menuju kepada sesuatu yang mulai parah, mereka yang berada dalam kalangan golongan ingkar, terpaksa memain peranan untuk melakukan sesuatu memulihkan keadaan yang pastinya mereka akan gagal untuk melaksanakannya. Tinggallah baki golongan yang beriman berhimpun semula untuk mempelajari sedikit demi sedikit darihal ayat-ayat Tuhan dan mereka melakukan apa yang terdaya daripada yang diperintahkan berdasarkan pengajaran daripada ayat-ayat suci. Mereka mempelajari hakikat kejadian alam, serta bahan-bahan yang merbahaya yang dapat membawa kesan pencemaran, yang merupakan sesuatu yang tidak dapat dipelajari oleh golongan ingkar.

Dalam pada itu aktiviti mereka berpenghidupan, mereka bataskan terhadap praktik yang mesra alam dan mereka sangat cermat menggunakan bahan-bahan lain supaya tidak membawa kerosakan kepada alam ini. Mereka berusaha menyediakan suatu kaedah untuk berkebun secara yang dapat memberi gerak kerja pemulihan kepada alam persekitaran mereka bahkan terhadap persekitaran yang lain

        
Al-Qur'an perlu dibaca dan diketahui maknanya. Kajian perlu dilakukan 
terhadapnya. Solat malam yang didirikan antaranya adalah bertujuan 
untuk menghayati Al-Qur'an yang dibaca. Kefahaman itu kemudiannya 
dipraktikkan secara bersama-sama. Amalan berpuasa mencerdaskan 
fikiran dan memudahkan pemahaman terhadap ayat-ayat Al-Qur'an 
dan  zikir adalah munajat,  mengharapkan pertolongan daripada 
Tuhan dalam mempraktikkan Al-Qur'an.


Monday, January 12, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 33 -- MEREKA YANG MENDIRIKAN PERSYAHADATAN


والذين هم بشهدتهم قائمون

Dan orang-orang yang mereka itu terhadap kesaksian-kesaksian mereka, yang mendirikan.

dan mereka Yang memberikan keterangan Dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi);

KETUJUH : MEREKA YANG MENDIRIKAN KESAKSIAN

Pendiri-pendiri kesaksian mengkhabarkan penyaksian yang disaksikan secara benar. Selalunya kita diajar bahawa pendiri-pendiri kesaksian diminta berbuat demikian sebagai saksi penting dalam suatu kes di mahkamah. Dengan demikian apajua pernyataan yang disebutkan akan dijadikan hujah oleh para juri atau hakim dalam menyatakan keputusannya. Bukan sekadar itu, sebenarnya terdapat peranan oleh golongan yang dikatakan bersolah mendirikan kesaksian terhadap peristiwa yang berlaku akibat kerja-kerja tertentu agar menjadi pertimbangan ahli masyarakat. Demikian itu satu cara dakwah supaya keutamaan pengajaran kitab suci menjadi sesuatu yang sentiasa diperbincangkan.

Sebagai contoh, peristiwa runtuhnya Bukit Antarabangsa dan Highland Tower yang menampung rumah-rumah kediaman suatu masa dahulu adalah suatu manifestasi pengamalan manusia, sama ada berdasarkan keingkaran kepada panduan Tuhan atau sesuatu yang dilaksanakan lantaran kejahilan. Namun teknologi yang telah diketahui manusia, tidak mungkin dapat dinyatakan sebagai kejahilan kerana mereka yang diberi amanah untuk memilih lokasi dan bahan-bahan yang diperlukan serta langkah-langkah pengawalan adalah merupakan sesuatu yang telah mereka pelajari. Mereka mengetahui tentang kekukuhan tanah secara mahir. Mereka juga dilengkapi dengan ilmu pengiraan kekuatan bahan serta tempoh masa tertentu sesuatu bahan dapat bertahan. Mereka juga memiliki mekanisma pemeriksaan terhadap tanah yang sentiasa mereka lakukan dalam tempoh-tempoh tertentu serta mengetahui peratusan kandungan unsur atau sebatian dalam tanah. Dan mereka juga menyediakan undang-undang tentang penerokaan kawasan-kawasan baru terhadap kegiatan yang dilaksanakan di kawasan puncak bukit berkenaan. 

Oleh itu mereka menyedari sejak dari dahulu bahawa pembangunan kediaman di kawasan bukit atau gunung, tentunya menyediakan risiko tertentu yang menimbulkan bahaya apabila suatu penyebab berlaku secara tiba-tiba seperti kejadian hujan bersangatan atau struktur tanah berubah akibat bahan-bahan kimia tertentu. Pemegang-pemegang ‘amanah’ dalam menentukan polisi tempat kediaman, tentunya mengetahui sudut undang-undang yang menghalang aktiviti berkenaan. Namun di atas sikap sanggup menafikan kesaksian ilmu para ilmuwan tentang bahaya berkenaan dan di atas sikap acuh tak acuh terhadap ‘undang-undang’ sedia ada, mereka sanggup menerima habuan rasuah atau saham sehingga projek-projek pembinaan rumah-rumah kediaman tetap dilakukan di kawasan yang tidak sepatutnya. Kesan-kesan kerosakan alam sekitar akhirnya menimpa mereka. Lalu bagaimanakah akibatnya sekiranya pemegang-pemegang ‘amanah’ yang bersikap sedemikian masih berterusan memegang jawatan mereka? Berapa banyakkah lagi bukit bukau perlu digondolkan? Berapa banyakkah lagi kejadian bangunan-bangunan di kawasan lereng bukit akan runtuh bersama runtuhan lereng? Berapa banyakkah lagi projek baru di lereng bukit akan diteruskan? Berapa banyak lagi kematian yang disebabkan perbuatan ‘sengaja’ pihak-pihak tertentu dibiarkan begitu sahaja tanpa pengadilan? 

Bagaimana pula tentang kesaksian yang perlu didirikan darihal jenayah yang dipelopori oleh pihak atasan sehingga menjadi punca segala bentuk jenayah dalam negara? Bukankah dalam hal persoalan nikah kahwin, persaksian diperlukan dan bahkan dalam hal menerima Islam sebagai Ad-Din, persaksian juga diperlukan?

i.      Kesaksian Penerimaan Agama yang Wajib Didirikan

Apabila dimulai bahawa menerima syahadat Islam adalah dengan mula menyebut kalimah “La ilaha Illa Allah, Muhammad RasululLah”, pernyataan seperti ini hanyalah ‘laku’ apabila disertai oleh kesaksian. Sebagaimana dalam aktiviti aqad nikah antara pasangan yang ingin berkahwin, antara prasyarat yang harus disertai adalah kesaksian melibatkan ahli bagi pengantin perempuan, dua orang saksi yang mengenali mereka bahawa tiada halangan untuk mereka berkahwin, kehadiran pengantin lelaki dan perempuan serta ijab dan qabul. Namun dalam enakmen tertulis di setiap negeri di negara ini, kebanyakannya hanya keislaman mualaf (saudara baru) yang memenuhi prasyarat yang dituntut dalam agama. Dengan lain perkataan, keislaman mereka telah memenuhi prasyarat kesaksian dikuatkan lagi dengan saksi percetakan dalam bentuk sijil keislaman dan sebagainya.

ii.     Kesinambungan Solat Dalam Dua Kalimah Syahadah

Kalimah ini menjurus kepada kepercayaan kepada Allah. Menerima Jibril A.S. selaku malaikat yang menurunkan wahyu kepada Muhammad RasululLah S.A.W.  dan menerima Al-Quran untuk diimani keseluruhannya, yang diturunkan Allah kepada Muhammad RasululLah S.A.W. Adalah seperti menerima sepucuk surat daripada posmen dengan meyakini bahawa posmen hanyalah penghantar surat berkenaan. Yang penting sekali adalah mengetahui siapa yang mulai menghantar surat berkenaan. Bermula tindakan adalah dengan membaca surat berkenaan. Sekiranya tidak difahami, dimulai dengan mempelajari huruf-huruf yang tertulis atau mendapatkan pembaca yang mahir. Tulisan-tulisan dalam surat itu harus difahami dan kefahaman adalah berdasarkan reaksi daripada pembacaan surat berkenaan sama ada mengingkarinya atau mematuhinya.

Kepatuhan (keislaman) Muhammad RasululLah S.A.W, maka malaikat Jibril A.S. sebagai saksi dan umat ini menyaksikan bagaimana perluasan dakwah terus berjalan serta kebenaran yang dinyatakan dalam Al-Quran yang diterima baginda untuk sepanjang zaman. Kepatuhan (keislaman) para sahabat R.A.H.M, maka RasululLah S.A.W. menjadi saksi mereka (2:143) sehingga mereka menyerah diri mematuhi arahan-arahan Tuhan melalui lidah RasululLah S.A.W. dan banyak daripada sahabat menyaksikan kemenangan Islam mulai dari masa pengistiharan kerasulan sehingga wafat RasululLah S.A.W. Kepatuhan pengikut-pengikut sahabat (tabi'in), terdapat para sahabat yang menjadi saksi sehingga kekuasaan Islam tersebar ke wilayah-wilayah sekitarnya. Namun keislaman kita semua sekarang ini, siapakah yang menjadi saksi?

iii.     Keislaman Mualaf Adalah Lebih Kukuh

Pengistiharan mualaf saudara baru sekurang-kurangnya terdapat pengistiharan berdaftar yang keislaman mereka disaksikan. Oleh itu keislaman mereka adalah lebih benar berbanding keislaman umat Melayu keturunan yang wujud sekarang ini. Siapakah daripada umat Melayu keturunan, yang keislamannya disaksikan sejak daripada mula mereka baligh? Sesungguhnya Islam bukanlah agama warisan. Siapakah yang harus menjadi saksi mereka untuk memanifestasi kerja-kerja berkesinambungan daripada RasululLah S.A.W. kepada para sahabat, kepada tabi’in, kepada tabi’in tabi’in dan seterusnya dari semasa ke semasa hingga hari kebangkitan, di hadapan Allah S.W.T. nantinya? Adakah pernyataan sedemikian adalah merupakan sesuatu ajaran baru yang diada-adakan supaya umat ini memperbaharui semula keislaman mereka yang kali ini memerlukan saksi? Sedangkan RasululLah S.A.W. sendiri, menerima keislaman bagi penganut-penganut yang baru secara bai’ah. Contoh ini kemudiannya diikuti oleh para sahabat dan tabi’in. Amalan yang tinggal sekarang ini adalah untuk golongan yang dinamai sebagai mualaf seolah-olah di negara ini keislaman umat Melayu tidak boleh dipertikaikan sehingga Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Sungguh benar keislaman seseorang mualaf, ada kesaksian dan disokong dengan dokumen. Keislaman umat Melayu hanya ada dokumen yang tidak pernah ada kesaksian sepanjang hayat.

iv.    Zaman Yang Akan Memperlihatkan Kenyataan Ini

Beberapa tahun dahulu sekitar tahun 2001/02, suatu kenyataan telah dikeluarkan oleh seorang mufti kerajaan negeri, iaitu bilangan umat Melayu yang telah murtad telah melebihi dua ratus ribu orang. Menjelang 10 tahun selepas itu iaitu sekitar sekarang ini, bilangan yang murtad telah melebihi dua kali ganda daripada angka sebelum ini. Yang menjadi persoalan bukanlah mengapa mereka memilih untuk murtad? Persoalan utama ialah mengapakah mereka masih mengekalkan status agama dalam kad pengenalan mereka sebagai beragama Islam? Permasalahan akan timbul untuk tempoh 10 tahun dari sekarang apabila bilangan murtad menjadi empat kali ganda daripada bilangan mereka 10 tahun yang lalu. Sebarang kejadian kematian dalam kalangan golongan murtad tentunya menimbulkan masalah kepada waris mereka sekiranya mayat mereka tidak dibenarkan menjalani upacara kepercayaan agama baru mereka seperti dibakar ataupun dikebumikan di jirat-jirat tertentu. Permasalahan kedua pula ialah tentang status agama kepada anak-anak mereka yang seharusnya menuruti status agama ibu mereka yang ditulis sebagai beragama Islam. Oleh itu wajarkah status yang tertulis dalam kad pengenalan diguna pakai bagi mengiktiraf agama anutan seseorang? Adakah wajar keislaman tanpa kesaksian umat Melayu, harus diterima sebagai sesuatu yang sah?

v.     Sistem Persaksian Membentuk Amal Jamaah

Kempen apajua pun tentang sesuatu pekerjaan hanya tertentu terhadap sumber-sumber yang ada. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa sumber tenaga kerja manusia adalah merupakan sumber yang besar. Namun usaha ini akan hanya berkesan apabila dilaksanakan secara bersistem. Sistem haruslah dimulai dengan pembentukan individu-individu yang dapat dibangunkan untuk melaksanakan sesuatu usaha jamaah secara bersama. Apabila sekumpulan manusia telah diterima kesaksian kepatuhannya, mereka hanya diminta mematuhi arahan serta memberi sumbangan seberapa yang terdaya menurut keikhlasan (kesungguhan) mereka. Disiplin bekerja harus bermatlamat dan matlamat melakukan kerja (amalan) sebagaimana yang diajar oleh RasululLah S.A.W. hanya bermatlamatkan Allah S.W.T. sahaja dan bukannya yang lain. Kaedah melakukan kerja haruslah berdasarkan panduan dan panduan yang ada di tangan adalah kitab suci Al-Quran, yang merupakan satu-satunya penerimaan pokok yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun jua. Panduan ini harus dipelajari bersama-sama dan diperkuat dengan contoh-contoh As-Sunnah dan panduan Sahabat serta Tabi'in. Pembelajaran adalah menurut hirarki tertentu sebagaimana pembelajaran para sahabat yang Rasulullah S.A.W. sendiri membezakan pembelajaran antara seorang sahabat dengan sahabat yang lain menurut persediaan mereka.

vi.    Hanya Suatu Contoh : Keberkesanan 
        Pekerjaan dan Penjagaan Alam Sekitar

Oleh kerana Al-Quran itu beredar menurut peredaran masa, terdapat permasalahan yang sukar didapatkan rujukan daripada As-Sunnah dan panduan Sahabat serta Tabi’in. Oleh itu perincian harus diperhatikan menurut panduan yang dapat dipelajari daripada Al-Quran itu sendiri. Tidak seharusnya mereka yang beriman serta yang telah menyatakan kepatuhan, berusaha mengutamakan panduan lain daripada panduan yang dinyatakan. Contohnya penemuan Barat darihal bioteknologi yang melibatkan pengubahsuaian genetik, bukan penyelesaian terhadap isu-isu berkaitan kekurangan makanan. Pengemblengan tenaga secara bersistem adalah lebih utama. Ini adalah disebabkan keperluan mengamalkan apa jua yang diperintahkan adalah berdasarkan keupayaan setempat terlebih dahulu. Di situlah praktik istiqamah diaplikasikan. Penggunaan bahan-bahan mentah seperti air dan sumber baja asli, digunakan secara berjimat cermat. Sistem kitaran yang membentuk kestabilan alam diamalkan secara bersungguh. Mereka bukan sekadar mengamalkan pekerjaan bahkan memerhatikan kesan pekerjaan hari ini terhadap esok hari (59:18). Dengan ini, kaedah pengamalan bertaqwa ini tentunya dapat dipelajari oleh ahli masyarakat yang lain supaya kaedah yang serupa yang tidak merosakkan alam dapat diamalkan secara berkesan. Rasulullah S.A.W. telah memberi contoh bagaimana kerja-kerja jama’ah yang diasaskan di Masjid Nabawi berupaya membentuk tenaga kerja dalam apa jua jurusan kerja tanpa perlu memikirkan kos kewangan yang besar yang harus disediakan. Semuanya dapat berlaku memandangkan pengikutnya terdiri daripada golongan yang beriman melakukan pekerjaan berdasarkan sistem kerja jama'ah. Harapan hanya ditujukan kepada Tuhan bagi memperolehi ganjaran di akhirat kelak. Sekalipun pada permulaannya pengikut-pengikutnya berada pada keadaan yang daif sekali, akhirnya suatu pembentukan masyarakat Islam yang harmoni dapat dibentuk. Mereka tidak dapat digugat oleh mana-mana pihak. 




Tuesday, January 6, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 32 -- MEREKA YANG MEMELIHARA AMANAT


والذين هم لامنتهم وعهدهم رعون

Dan orang-orang yang mereka terhadap amanat mereka dan perjanjian mereka, suatu pemeliharaan.

dan mereka Yang menjaga amanah dan janjinya;

KEENAM : MEREKA YANG MEMELIHARA AMANAT

Antara amanah yang besar kepada umat ini adalah darihal mempertahankan pemelihara yang amanah. Sesungguhnya amanah pernah cuba dipertanggungjawabkan kepada langit dan gunung-gunung namun semuanya menolak disebabkan ketidak upayaan lalu amanah itu dipikulkan kepada manusia dan manusia menerimanya dalam keadaan jahil memerlukan pimpinan. Perkataan رعون merujuk kepada pengertian yang luas yang bukan sekadar darihal menjaga hak pihak lain. رعون lebih merujuk kepada pemelihara dan رعية adalah merujuk kepada perkara yang dipelihara.



Pemimpim yang memelihara amanat, akan sentiasa 
mendapat tempat di hati rakyat,

i.   Pemeliharaan Amanah

Walaupun terjemahan dapat dinyatakan secara umum, penulis lebih menghampiri kepada konteks ayat yang perlu dihubungkaitkan dengan himpunan ayat yang mengkhabarkan tentang kejadian kerosakan alam, berhubungkait dengan pemeliharaan amanah. Alam ini adalah amanah Tuhan yang memerlukan pemeliharaan, pemeliharaan hanya boleh dilakukan berdasarkan ilmu yang benar yang tidak semestinya berdasarkan penemuan saintifik Barat yang mereka pelopori selama ini. Barat, telah mengagungkan penemuan mereka dengan kecanggihan menggunakan superkomputer bagi membentuk simulasi terhadap banyak kejadian yang berlaku di bumi ini. Mereka ini hanyalah sekadar penyaksi kepada kejadian kemusnahan demi kemusnahan lalu mengembar gemburkan kepada seluruh manusia atas kecanggihan mereka mengesan perubahan yang bakal berlaku.

Namun, apakah sumbangan mereka untuk memulihkan alam sekitar daripada kerosakan yang berlaku? Di manakah kempen-kempen mereka yang mengajak umat manusia sehingga membawa pemulihan besar. Kepada bangsa Arab yang kepimpinan mereka silih berganti antara satu bani kepada bani-bani yang lain, sehingga Tuhan telah limpahkan kekayaan petroleum kepada mereka. Adakah hasil petroleum dapat mereka manfaatkan untuk kestabilan alam ini yang merupakan amanah Tuhan? Atau mereka lebih gemar manusia menggunakannya secara berlebih-lebihan sehingga mengakibatkan lebihan haba terbebas ke persekitaran pada kadar perlepasan yang tinggi berbanding penyingkirannya. Jadilah bumi ini panas akibat kerakusan mereka. Peningkatan karbon dioksida mengakibatkan bumi ditumbuhi kulat dengan banyaknya, seolah-olah tanah di bumi menjadi media nutrien yang telah basi menunggu masa untuk dilupuskan.

ii.    Kepimpinan Ahlul Bait

Dalam beberapa surah selepas ini, ada dibincangkan tentang individu yang layak dilantik sebagai imam yang akan menerajui umat demi melaksanakan pemeliharaan amanah. Individu yang telah direstui Tuhan berdasarkan ayat-ayat daripada kitab suci, haruslah daripada Ahlul Bait RasululLah S.A.W. yang kepimpinan mereka sentiasa didustai oleh bangsa-bangsa. Sila rujuk surah Tin dan Zaitun. Tentunya terdapat bangkangan daripada ulama-ulama berfikiran liberal yang diberi gaji untuk menidakkan perintah Tuhan darihal amanah keimaman, harus diserahkan kepada kepimpinan Ahlul Bait. 'Ulama' seperti mereka ini adalah penyumbang kepada terbentuknya pemerintah-pemerintah yang zalim sehingga akibatnya, telah terjadi bencana yang berat ke atas umat Islam. Bencana-bencana itu adalah seperti peristiwa pencabulan tentera Yazid ke atas Madinatul Munawarah, serangan tentera Mongol ke atas Iraq dan pembunuhan beramai-ramai ke atas golongan Alawiyyin semasa ibadah haji suatu masa dahulu, atas arahan khalifah umat Islam sendiri yang direstui oleh ilmuwan-ilmuan mereka.  Bencana demi bencana terus berlaku ke atas umat disebabkan hilangnya amanah dari tangan umat ini.

Tentangan terhadap pemerintahan mereka ini telah berlaku dari dahulu sehingga terbentuknya kumpulan Ar-Rafidhah, yang ‘ulama-ulama’ mereka mengajak manusia mengabdikan diri kepada Ahlul Bait, yang juga bukan merupakan perintah Tuhan. Ahlul Bait, yang menjadi sembahan puak Ar-Rafidhah dan dimusuhi oleh kepimpinan Bani Umayyah, akhirnya menjauhi diri daripada fitnah-fitnah tersebut ke negara-negara bahagian barat dan timur seperti Mesir hingga Maghribi, Afghanistan, Pakistan hingga ke Nusantara.

iii.    Amanat Yang Hilang Daripada Umat

Hanya pemimpin-pemimpin yang berilmu dengan ilmu-ilmu Tuhan dan ayat-ayat suciNya sahaja dalam kalangan Ahlul Bait, dapat memegang amanah membawa umat manusia kepada suatu kehidupan yang bermakna, persekitaran yang baik serta keharmonian hidup bermasyarakat. Telah terbukti pemimpin-pemimpin daripada Bani Umayyah mengakibatkan terjadinya pembunuhan beramai-ramai umat Islam, tidak dapat mereka pertahankan. Pemimpin-pemimpin bani Abassiyyah akhirnya menyerahkan amanah kepimpinan umat kepada bangsa-bangsa sehingga menghilangkan kekuatan kesatuan umat Islam. Pemimpin-pemimpin daripada kerajaan Fatimiyyah naungan ‘ulama-ulama’ mereka, sanggup memutuskan untuk menggali kubur-kubur sahabat nabi daripada Ahlul Bait yang lain seperti Khalifah Abu Bakar R.A. Khalifah Umar R.A. sehingga penggali-penggali itu sendiri ditimpa bencana sebelum dapat menggali. Umat Islam akhirnya sampai masa perlemahan mereka akibat fatwa-fatwa ulama Wahhabiyyah yang mengampu pemerintah sehingga keperluan memahami dan mengamalkan Al-Quran oleh umat dicengkam dan dibekukan. Bahkan pernah ulama-ulama mereka memfatwakan bahawa penggunaan peralatan elektrik di Masjidil Haram adalah dilarang. Tinggallah Masjidil Haram dalam suasana gelap gelita dalam keadaan persekitarannya terang benderang. Kepentingan kekuatan besi yang harus diambil berat oleh umat ini untuk menegakkan agama Tuhan diabaikan begitu sahaja. 

Kini apabila umat Islam dibunuh beramai-ramai sehingga mencapai jutaan jumlahnya, tiada pemimpin-pemimpin umat ini sanggup menghadapi musuh bersama iaitu Yahudi Zionis dan Amerika Syarikat. Masing-masing mereka meredhai pembunuhan umat ini atas alasan kempen membenteras pengganas dan sebagainya. Mereka mabuk dengan kekayaan hasil jualan petroleum dan menggunakannya untuk tujuan berbuat maksiat. Akhir bagi kepimpinan mereka akan terjadi sedikit masa lagi apabila mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri merebut tahta pemerintahan mengabaikan umat Islam dianiaya semasa melaksanakan ibadah suci.

iv.    Harta Yang Perlu Diperluaskan

Apabila amanah berjaya dipegang oleh kepimpinan yang benar, yang mengamalkan sunnah RasululLah S.A.W. dalam kalangan Ahlul Bait, urusan pengagihan harta akan merata terhadap umat ini. Mereka tidak lagi perlu bersusah payah untuk mendapatkan sesuap rezeki dengan melakukan kerosakan terhadap alam sekitar. Umat ada tanggungjawab darihal mentaati pemimpin dan pemimpin ada tanggungjawab mengambil nasihat imam  dalam memelihara rakyat dan seterusnya mengarahkan mereka melakukan kerja-kerja pemulihan berdasarkan panduan kitab suci yang mereka pelajari. Maka kewajiban umat ini adalah berusaha untuk mendapatkan semula keimaman Ahlul Bait sebagaimana yang diperintahkan supaya unsur-unsur ketamakan yang menguasai pemerintahan dapat dihapuskan sama sekali.

v.     Umat Yang Menderita Akibat 
        Perjanjian Yang Dirobek

Cukuplah dengan mengambil iktibar kekesalan sahabat RasululLah, Muawiyah bin Abi Sufyan R.A. yang memaksa kekhalifahan berada di bawah tangan beliau apabila beliau sendiri gagal mengembalikan kekhalifahan kepada Ahlul Bait sebagaimana yang dijanjikannya sekitar 1400 tahun yang lalu. Lalu amanah kekhalifahan dirampas oleh Yazid, anaknya itu yang memporak perandakan perpaduan umat Islam dengan memungkiri perjanjian memelihara umat ini, sehingga pernah ditentang oleh Ahlul Bait sendiri, akibat tindakan tenteranya. Apabila terdapat dalam kalangan keturunan mereka yang ada hubungan darah dengan Ahlul Bait seperti Khalifah Umar bin Abd. Aziz, mereka membunuhnya dengan meracuninya sehingga menemui ajal. Namun semua yang terjadi adalah ketentuan Tuhan, yang kita semua akan kembali kepadaNya, yang mahu memperlihatkan kepada semua, apakah perkara-perkara kemudharatan yang bakal berlaku apabila amanah ini berada di bawah penguasaan yang lain daripada apa yang diperintahkan? Manusia secara keseluruhannya begitu menderita di bawah ajaran Komunis, Kapitalis, Yahudi, Kristian dan golongan bani-bani yang merampas hak.




Popular