SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, December 31, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 31 -- BAHAYA MENJALIN HUBUNGAN SEKS BEBAS ATAU HUBUNGAN HARAM


فمن ابتغى وراء ذلك
فاولئك هم العدون

Maka barangsiapa yang mencari di balik itu, maka mereka itu, mereka itulah golongan yang melampau.

kemudian sesiapa Yang mengingini selain dari Yang demikian, maka merekalah orang-orang Yang melampaui batas;

i.        Bahaya Hubungan Haram

Agama Islam amat menitik beratkan hubungan sah suami isteri. Di samping sebagai talian hayat kehidupan, generasi yang akan dibentuk pada masa mendatang adalah merupakan generasi yang ada hubungan rapat dengan generasi terdahulu. Gerakan antisipasi Barat yang didokong oleh wanita-wanita mereka, akhirnya menjurus kepada masalah sosial yang lebih berat di negara mereka sehingga nasib golongan wanita mereka lebih buruk berbanding dengan wanita-wanita di negara umat Islam, yang mereka itu selama ini dianggap sebagai warga kelas kedua dan sebagainya. Perkara demikian tidak pernah dianggap wujud oleh umat Islam di negara mereka sendiri.

Mereka yang kecewa dengan sistem hidup berkeluarga, membentuk budaya-budaya baru menjalin hubungan sesama jenis, hubungan bebas dan sebagainya. Sehingga melahirkan banyak anak-anak luar nikah yang tidak dapat dipastikan dengan jelas siapakah bapa-bapa mereka. Budaya seperti ini mula dicontohi oleh umat ini sedikit demi sedikit akibat pendedahan keterlaluan terhadap budaya Barat melalui media massa dan aktiviti-aktiviti pelancongan.

ii.       Prasyarat Menikahi Wanita

Wanita itu dinikahi dengan izin daripada ahlinya. Ahli yang terdekat adalah kaum keluarganya, sekiranya kaum keluarganya termasuk golongan yang mengakui beriman. Juru nikah mestilah terdiri daripada ahli bagi wanita berkenaan atau yang diberi keizinan selaku wakil oleh ahli berkenaan, bukannya dengan keizinan orang lain yang tidak ada kena mengena dengan wanita itu seperti bernikah di luar negara atau melantik jurunikah sesuka hati.

iii.      Permasalahan Sosial Yang Menjurus Kepada Kekalutan

Namun atas perkara yang menjadi kekalutan dalam masyarakat, kejadian zina masakini telah berlaku secara berleluasa tanpa segan silu. Mereka yang terlibat, sanggup membincangkannya secara terang-terangan, seolah-olah mahu menunjukkan mereka berfikiran bebas tanpa perlu tertakluk kepada ajaran agama. Yang demikian, peranan Jabatan Pendaftaran Negara untuk merekod senarai nama rakyat yang ada hubungkait dengan ikatan keluarga, tentunya telah menjadi kacau bilau. Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan terhadap kelahiran bayi-bayi luar nikah yang begitu banyak jumlahnya? Wajarkah seorang yang bernama Abdullah yang tidak diketahui kewujudannya, perlu dipertanggung jawabkan atas kelangsungan hidup anak-anak yang ber‘bin’ atau ber‘binti’kan Abdullah ini?

Lalu tanggungjawab memelihara anak-anak ini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ataupun, sekiranya siibu sanggup mengambil tanggungjawab memelihara anaknya itu, secara jelasnya siapakah ayah yang harus disertakan dalam surat kelahirannya? Perkara sedemikian tidak akan menimbulkan banyak masalah dalam tempoh asuhan dari zaman bayi hingga anak-anak itu meningkat remaja ataupun anak-anak itu bertekad untuk tidak berkahwin apabila dewasa sepanjang hayatnya. Namun apabila ia merancang untuk berkahwin, bagaimanakah untuk memastikan ‘Abdullah’ selaku ayah individu ini bukan merupakan ayah pasangan yang akan dikahwininya. Dengan lain perkataan, mereka bukan saudara sekandung bapa. Wajarkah dalam perkara yang sebegini penting Jabatan Agama sekadar membuat kesimpulan bahawa mereka bukan ahli keluarga sekandung bapa? Atas hujjah apakah kesimpulan itu dibuat? Adakah ia sekadar andaian atau fakta dan wajarkah andaian diberi tempat dalam menentukan status pasangan itu oleh Jabatan Agama?

iv.     Kekalutan Dalam Generasi Seterusnya

Sekiranya perkara sedemikian dipandang ringan, pasti akan sampai suatu masa, dengan izin Tuhan, berlaku perkahwinan sekandung yang ‘direstui’ sendiri oleh Jabatan Agama dan bermulalah bibit parah dalam kehidupan berkeluarga mereka yang terbabit. Maka sia-sialah segala usaha terperinci untuk memperkasakan peraturan syari'ah yang dipelopori oleh pihak Jabaran Agama. Wajarkah Jabatan memegang tanggungjawab kos terhadap kelahiran keturunan mereka yang tak cukup sifat akibat perkahwinan rapat itu? Islam mewajarkan hukuman sebat dan bunuh, yang merupakan hukuman berat, agar kesinambungan generasi yang rosak akibat perlakuan zina dapat dihapuskan sama sekali. Menjatuhkan hukuman terhadap seseorang pelaku zina untuk menyelamatkan puluhan, ratusan atau ribuan generasi baru (supaya tidak disabitkan sebagai keturunan zina) adalah langkah wajar dan sama sekali tidak harus dinyatakan sebagai tindakan zalim. Hukum sebat 100 kali, besar kemungkinan mengakibatkan keupayaan seksual punah dan tiada keturunan baru dapat dihasilkan selepas itu. Kesimpulannya, jalan mendekati zina haruslah dihapuskan sama sekali.

v.       Keturunan Luar Nikah dan Alam Persekitaran

Kita sering mendapati anak-anak keturunan luar nikah diabaikan oleh kaum keluarganya. Oleh kerana mereka tidak memiliki hubungan keluarga yang sah, selalunya anak-anak ini membesar dengan asuhan pihak-pihak tertentu contohnya Jabatan Kebajikan Masyarakat atau ditempatkan di rumah-rumah anak yatim. Perbelanjaan sedemikian terpaksa ditanggung oleh pihak pemerintah melalui pembiayaan cukai yang dikutip daripada rakyat. Oleh kerana wujud perasaan tidak dimiliki mana-mana pihak, mereka membesar dalam suasana yang agak berlainan daripada yang diterima oleh anak-anak sah yang tinggal bersama ahli keluarga mereka atau mana-mana ahli keluarga terdekat yang lain. Namun anak-anak daripada perkahwinan yang sah, masih lagi dapat merasakan mereka masih ada hubungan dengan pihak lain. Pendidikan anak-anak yang datang daripada perkahwinan sah adalah disulami dengan rasa kasih sayang daripada ahli-ahli keluarga. Dengan itu rasa kasih sayang dan rasa bertanggungjawab, turut akan dibawa apabila mereka ini menempuh alam dewasa. Apabila anak-anak luar nikah menempuh zaman dewasa, mereka mudah terikut perkara-perkara negatif dalam masyarakat. Kehidupan mereka adalah 'survival' dan mereka akan melakukan apa sahaja untuk mencapai sesuatu dengan motivasi yang tinggi. Mereka kekurangan dari sudut perasaan belas ikhsan terhadap individu lain dan dalam kalangan mereka, banyak yang menganggotai kumpulan masyarakat jalanan. Sebenarnya, gejala seperti ini juga berlaku ke atas anak-anak lain yang kurang asuhan ibubapa mereka. Oleh yang demikian, mereka ini sukar dibentuk menurut acuan polisi pemerintah dan tidak dapat diharap untuk melaksanakan kempen-kempen yang baik. Kehadiran mereka akhirnya meningkatkan kos perbelanjaan negara dan masyarakat dalam usaha membenteras gejala sosial seperti pelacuran, pengedaran serta penagihan dadah, kumpulan-kumpulan samseng dan sebagainya.

vi.      Tiada Undang-undang Untuk Menghapuskan Mereka

Tiada polisi atau undang-undang untuk menghalalkan penghapusan etnik seperti ini yang sebenarnya dapat menimbulkan barah dalam masyarakat dan tiada ubat untuk merawat keadaan masyarakat yang menjadi parah akibat mereka. Yang ada hanyalah langkah pencegahan awal yang tegas diikuti dengan usaha-usaha pemulihan setelah pencegahan awal. Kesan-kesan fisiologi dalam tubuh individu hasil daripada hubungan luar nikah sepertimana yang dibincangkan di sebelum ini, tentunya menimbulkan masalah kepada pemerintah untuk menyediakan pusat-pusat terapi khas pemulihan kepada mereka. Jabatan Agama mungkin akan dipersalahkan lantaran gagal mengesan rekod lengkap status pasangan sehingga melahirkan generasi luar nikah yang berterusan. Adakah generasi mereka boleh diharap untuk membimbing masyarakat membentuk kehidupan beragama yang dengannya, kehidupan bermasyarakat menjadi harmoni? Adakah mereka boleh diharap untuk mematuhi kempen pemerintah atau ajaran agama untuk menjaga alam persekitaran mereka? Kita biasa mendengar bagaimana di negara-negara Barat, kehadiran anak-anak luar nikah diperbesar-besarkan dan mereka dinobat sebagai artis-artis terbaik memegang watak-watak tertentu yang telah membela masyarakat atau menyelamatkan dunia ini. Sebenarnya, itulah kempen mereka supaya sempena mereka, umat seluruh dunia mencontohi mereka dan mengiktiraf kehadiran mereka sebagai manusia penting dalam kehidupan ini. Maka dengan itu hilanglah rasa inferior yang sentiasa membelenggu perasaan mereka sebagai anak-anak luar nikah. Ini tentunya menimbulkan kesan buruk terhadap generasi mendatang di negara ini yang laungan azan masih dikumandangkan setiap awal waktu solat. 

Mengejar serta memperbanyak habuan dunia telah melekakan semua pihak sehingga mereka semua telah menjadi bersangatan cuai dalam menjaga perkara ini.






Thursday, December 25, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 30 -- KECUALI TERHADAP PASANGAN SAH SERTA HAMBA SAHAYA YANG DIMILIKI


الا على ازواجهم او ما ملكت
ايمانهم فانهم غير ملومين
 

Melainkan ke atas pasangan-pasangan sah mereka atau apa yang dimiliki oleh kedua tangan mereka maka sesungguhnya mereka bukan yang tercela.

kecuali kepada isterinya atau kepada hambaNya, maka Sesungguhnya mereka tidak tercela;

i.       Perkara Yang Menjimatkan 
         Perbelanjaan Negara

Demikian itulah batas-batas hubungan kelamin yang dibenarkan. Agar dengan demikian zuriat yang lahir hasil daripada hubungan kelamin terkawal, akan ada pihak yang bertanggungjawab ke atasnya. Perkara sedemikian tentunya menjimatkan perbelanjaan negara. Negara tidak perlu mengeluarkan peruntukan yang banyak semata-mata untuk membina pusat-pusat asuhan untuk mendidik anak-anak luar nikah. Ibubapa memegang tanggungjawab dengan suka rela sehingga mereka akan bekerja di samping membangunkan ekonomi negara.
 
ii.      Tanggungjawab Menjaga Alam Sekitar

Sebagai ganti kepada peruntukan wajib sedemikian, dapat negara salurkan untuk tujuan  lain bagi kerja-kerja pemulihan alam sekitar serta mewujudkan aktiviti-aktiviti keharmonian masyarakat. Di sesetengah negara Barat, pihak pemerintah terpaksa mengeluarkan biaya yang besar untuk mengambil berat tentang anak-anak yang terhasil daripada hubungan haram. Mereka dapat membayangkan nasib generasi pada masa akan datang yang akan menghadapi situasi lebih parah lagi sehingga diwujudkan kempen-kempen keluarga bahagia. Bahkan ibu-ibu sah yang melahirkan anak diberi cuti beberapa bulan lamanya dan si ayah diberi cuti istimewa beberapa minggu untuk sama-sama mengambil berat tentang bayi baru mereka.
 
iii.     Status Hamba Yang Menjadi 
         Kritikan Pihak Barat

Pihak Barat dengan lantang menggembar-gemburkan prinsip-prinsip kebebasan individu serta hak kebebasan manusia melalui konvension Geneva. Sungguh melucukan! Adakah benar rakyat di negara mereka dapat dikatakan bebas? Bebas memberi pendapat? Bebas bermaklumat dan bebas memilih? 

Kebanyakan mereka memilh menjadi hamba untuk 
kepentingan pihak tertentu tanpa mereka sedari.

Sistem perhambaan yang paling kejam adalah apabila seseorang itu tidak menyedari bahawa ia sebenarnya adalah hamba dan banduan, bekerja untuk sang tuan yang ia tidak ketahui dan menjadi penghuni penjara di balik jeriji besi tidak kelihatan. Agama Islam tidak pernah menjanjikan kebebasan mutlak. Seseorang itu seharusnya adalah hamba kepada Tuhan yang menciptanya dan banduan dalam penjara dunia tanpa sempadan. Hakikat bebas sebenarnya adalah apabila seseorang berjaya keluar dari penjara tubuhnya menempuh ketenangan hakiki dan kembali kepada Tuhan dalam keadaan redha diredhai. Dengan termaktubnya konvension Geneva tentang hak asasi manusia terbukti tidak dapat mencegah aktiviti perhambaan. Buktinya, Amerika Syarikat selaku pejuang hak asasi manusia, tidak melakukan apa-apa terhadap tentera-tenteranya yang melakukan jenayah kemanusiaan, yang melayani tahanan di penjara Iraq lebih buruk daripada layanan terhadap binatang. Sesiapapun tidak dapat menafikan perkara ini. Bagaimana pula dengan perhambaan dalam bentuk yang lain? Oleh itu, perkara yang harus diakui adalah, bahawa perhambaan sentiasa wujud tanpa mengira zaman dan masa, walau di mana jua, walau di mana negara, walau apapun jua peraturan yang ditetapkan.





Friday, December 19, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 29 -- MEREKA YANG MEMELIHARA LUBANG


والذين هم لفروجهم حفظون

Dan orang-orang yang mereka terhadap lubang-lubang mereka, yang memelihara.

dan mereka Yang menjaga kehormatannya, -

KELIMA : MEREKA YANG MEMELIHARA 
               LUBANG-LUBANG MEREKA

i.     Hubungan Seks, Penentu Hidup dan Mati

Alat kelamin yang dijaga adalah untuk hubungan kelamin yang halal. Hubungan kelamin adalah suatu perkara penentu kepada hidup dan matinya sesuatu umat. Hubungan kelamin yang benar dan halal mendorong kepada suatu kehidupan dengan lahirnya bayi-bayi yang sihat manakala hubungan yang haram mendorong kepada penyakit berjangkit yang membawa maut atau yang memudharatkan seperti AIDS, sifilis, gonorrhea dan sebagainya serta pertelingkahan dalam masyarakat.

Berhati-hatilah : Hubungan Seks
Penentu Hidup Dan Mati

ii.    Perzinaan Yang Berlaku Secara Berleluasa

Pada zaman ini, golongan ingkar, dengan dibantu oleh peralatan media massa telah mempelopori pembikinan tayangan-tayangan berunsur lucah sehingga mengakibatkan aktiviti perzinaan berlaku secara berleluasa. Tayangan-tayangan percuma melalui internet telah merosakkan minda generasi muda sehingga membentuk suatu budaya yang liar. Lahirnya anak-anak luar nikah pada jumlah ratusan ribu bayi hanya dalam tempoh sekitar 20 tahun kebelakangan ini memberi gambaran buruk terhadap tanggungjawab generasi mendatang dalam menjaga alam sekitar dan pembentukan masyarakat sosial yang harmoni.

Yang penting sekali adalah pemeliharaan keturunan yang sah. Aktiviti perzinaan telah banyak berlaku di kebanyakan negara, bahkan pelacuran dianggap sebagai suatu kareer pekerjaan yang sah. Aktiviti ini sebenarnya sangat merbahaya lantaran potensi penyakit berbahaya seperti AIDS, tentunya akan tersebar dengan mudah tanpa halangan. Apatah lagi kiranya sedang berlaku penularan wabak yang ada hubungan dengan kontak manusia yang rapat seperti wabak H1N1 dan penyakit ebola yang pernah mengorbankan ramai penduduk.





Saturday, December 13, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 28 -- AZAB BUKANLAH SESUATU YANG HARUS DIHADAPI DENGAN RASA AMAN


ان عذاب ربهم غير مأمون

Sesungguhnya azab Tuhan mereka (sesuatu yang) tidak diamani.

kerana Sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorangpun) merasa aman terhadapnya;

TIADA KEAMANAN DALAM SISTEM AZAB

i.      Akibat Wang Adalah Segala-
        galanya Dan Segala-galanya 
        Memerlukan Wang

Kita dapati pada zaman ini, setiap individu berlumba-lumba mendapatkan harta, bukan semata-mata untuk mendapatkan sebuah kehidupan yang selesa, malahan untuk melepasi tahap kehidupan itu sendiri. Dalam urusan sedemikian, mereka terpaksa memenuhi jalan-jalanraya pada waktu dinihari, pagi, tengahari, petang dan malam. Akibatnya, berlakulah banyak kesesakan lalulintas ataupun perjalanan tidak tenteram di jalanraya yang sepatutnya dilalui dengan aman sepertimana yang diperintahkan (34:18). 

Jadilah kawasan laluan jalanraya adalah tempat yang menyediakan udara pernafasan yang kotor. Akibat jangka panjang untuk mereka yang sentiasa mengambil laluan atau pekerjaan di jalanraya, berhadapan dengan risiko penyakit kronik ataupun risiko kemalangan dan hakikatnya inilah yang berlaku hari-hari. Tiada keamanan di jalanraya sama ada dalam bentuk keamanan daripada suasana hingar, keamanan daripada risiko kemalangan dan kematian, keamanan daripada aktiviti samseng jalanan atau yang berlaku secara secara sistematik seperti saman menyaman, keamanan daripada risiko pencemaran udara yang memudaratkan kesihatan dan keamanan daripada tingkah laku pemandu itu sendiri yang mudah hilang pertimbangan.

ii.      Mabuk Sehingga Mencarut

Mereka memilih memandu secara berbahaya serta memaki hamun pemandu lain. Namun itulah yang mereka kehendaki sebagai polisi pembangunan negara mereka. Mereka mahukan supaya jalanraya sentiasa dipenuhi kenderaan agar hasil kutipan tol yang banyak dapat diperolehi. Mereka mahukan pemandu banyak melakukan kesalahan agar banyak hasil saman diperolehi. Undang-undang jalanraya diperketat supaya mudah diingkari oleh pemandu-pemandu dan sapina saman dikeluarkan. Mereka membina pagar-pagar di sekeliling lebuhraya sehingga hasil produk setempat perlu melalui jalan yang jauh sebelum sampai ke pengguna.

iii.     Semuanya Untuk Keperluan Ekonomi

Akibatnya, harga barangan keperluan akan melonjak begitu juga dengan hasil-hasil ladang yang lain setelah  cukai hasil dikutip daripadanya. Mereka aman dengan kehidupan yang azab ini. Rakyat dihidangkan dengan sistem ekonomi riba, sehingga mereka sentiasa mampu mengenderai kenderaan yang baru dan mahal. Supaya kilang-kilang pembuatan kenderaan dapat melakukan ‘mass production’ sehingga asap-asap kilang mencemari udarakasa. Rakyat tidak diajari untuk berhemah dalam perbelanjaan, berjimat cermat dan berkongsi kenderaan. Sedapat-dapatnya satu kenderaan harus sentiasa ditunggangi oleh satu pemandu sahaja. Lebih banyak kenderaan di atas jalanraya, maka lebih banyak keperluan bahan bakar dan lebih banyak keuntungan diperolehi oleh syarikat pembekal bahan bakar yang ada saham besar milik pemerintah. Lebih banyak syarikat insuran memperolehi hasil, lebih banyak institusi Pengangkutan boleh buat duit dan lebih banyak pemerintah dapat mengaut cukai.

iv.    Pencemaran Dan Permasalahan Sosial

Penghujung rancangan sedemikian adalah pencemaran alam, kadar kemalangan yang tinggi, pencemaran udara, masalah sosial di atas jalanraya, masalah kesihatan berkaitan dengan stress, samseng jalanan dan kematian-kematian mengejut. Inikah yang dijanjikan daripada kemajuan sesebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis yang tamak dengan pembolotan melalui sistem riba? Mereka sentiasa menyediakan polisi yang mengakibatkan orang ramai sentiasa terdedah kepada azab. Hasil tanaman seperti buah-buahan tidak perlu diedarkan secara meluas kepada rakyat sendiri dan hanya untuk dieksport ke negara-negara yang menawarkan harga tinggi. Cukup dengan menggunakan teknologi kultur tisu dan penambahan perisa dan pewarnaan tiruan yang najis itu, supaya makanan dan minuman kelihatan menarik. Rakyat akan membelinya dan usah dedahkan bahaya pemakanan sedemikian kepada mereka. Yang penting pemerintah dapat kutip cukai hasil yang tinggi dan pengusaha-pengusaha makanan dapat menjimatkan kos penanaman dan melipat gandakan keuntungan.

v.     Membeli Azab Dengan Wang

Akibatnya, orang ramai ditimpa azab apabila menghidapi pelbagai jenis penyakit daripada sesak nafas hinggalah kepada penyakit tiga serangkai. Mereka akan membayar belanja rawatan yang tinggi yang mereka bayar melalui polisi insuran kesihatan yang sekali lagi pemerintah dapat mengutip hasil cukainya. Sebenarnya mereka membeli azab dengan wang yang mereka perolehi hasil daripada pekerjaan mereka yang membawa kerosakan kepada alam sekitar. Apakah ke‘sesat’an (sebut kecelaruan) ini harus dibiar begitu sahaja tanpa ada usaha dakwah bagi mengajak manusia beriman dan menempuh kehidupan yang diperbaiki? Kemudian mereka menghujah, perkara sedemikian tidak boleh dinyatakan sebagai azab Tuhan. Perkataan yang mudah, mematuhi perintah Tuhan akan memperolehi tambahan nikmat Tuhan dan mengingkari perintah Tuhan akan memperolehi azab Tuhan yang keras.

vi.    Dihidangkan Dengan Pemakanan 
        Yang Buruk

Pemakanan yang buruk akhirnya menyediakan ruang kepada umat berakhlak buruk. Pernah suatu ketika bilamana seorang ulama Islam mengembara ke negara Barat telah diminta untuk melawat kandang babi yang besar serta ditanyai soalan tentang pemakanan haiwan najis seperti babi. Babi-babi berkenaan dipelihara dalam suatu ruang tertutup yang sentiasa dibersihkan, kononnya untuk menyediakan persekitaran yang bersih supaya babi-babi berkenaan akan terhindar daripada penyakit dan tidak akan memudharatkan sipemakannya. Seterusnya mereka berhujah, bahawa babi-babi sedemikian tidak harus dijadikan haram pengambilannya melalui ayat-ayat Al-Quran. Mereka cuba menunjukkan bahawa mereka lebih arif tentang babi berbanding Tuhan yang telah mengharamkan babi. Lalu ulama berkenaan meminta mereka menyediakan beberapa ekor haiwan yang halal dimakan dan beberapa ekor haiwan yang haram dimakan. Dua ekor ayam jantan dan seekor ayam betina dan dua ekor babi jantan dan seekor babi betina. Kedua-dua jenis haiwan ini kemudiannya dikurung dalam sangkar dan kandang kecil. Kemudian haiwan-haiwan itu sendiri memberi jawapan kepada sidang hadirin yang inginkan jawapan daripada ulama Islam itu. Dua ekor ayam jantan saling berlaga untuk mempertahankan pemilikan pasangannya dan dua ekor babi jantan saling bantu membantu menyetubuhi babi betina. Begitulah masyarakat yang memakan haiwan haram babi, tidak memperduli pasangannya ada hubungan dengan orang lain sedang umat Islam yang memakan makanan halal akan mempertahankan pemilikan terhadap pasangannya agar tidak diganggu oleh pihak lain.

Kesimpulannya, status makanan mempengaruhi akhlak sipemakan makanan itu. Maka tidak hairanlah sebahagian ahli masyarakat mengalami kacau bilau kehidupan sehingga kaum lelaki mereka berkeinginan menjadi seperti wanita dan wanita mereka berlagak seperti lelaki. Mereka mengamalkan hubungan kelamin bebas dan menyimpang sehingga layak mereka ini seumpama babi. Tentunya golongan yang beriman akan sentiasa berhati-hati dalam memilih makanan yang halal lagi baik, agar tidak terikut-ikut dengan akhlak buruk golongan ingkar.





Sunday, December 7, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 27 -- MEMBAWA SIKAP MERASA TAKUT TERHADAP AZAB TUHAN


والذين هم من عذاب ربهم مشفقون

Dan orang-orang yang mereka daripada azab Tuhan mereka, suatu kegerunan.

dan mereka Yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya, -


KEEMPAT : ORANG YANG MERASA GERUN 
                 TERHADAP AZAB TUHAN

i.       Berbeza Dengan Mereka yang Menyediakan 
         Diri Berada Dalam Azab Tuhan

Demikian itulah azab Tuhan, yang manusia sendiri jemput hasil daripada pekerjaan tangan-tangan mereka sendiri. Sesungguhnya mereka yang takutkan azab Tuhan mengetahui bahawa azab Tuhan akan menimbulkan suatu kesan kemabukan (22:02). Sebagai contoh, mereka yang dengan rela hati bergelumang dengan sistem riba sepanjang hayat mereka, dapat dilihat dengan sifat kemaruk mereka mengejar kehidupan. Antaranya, mereka dapat dilihat memiliki kecenderungan untuk menyelesaikan persoalan berkaitan harta melalui tindakan mahkamah. Lalu kita dapat melihat bahawa mereka menjadi mabuk dengan habuan dunia yang sedang dan bakal mereka perolehi. Mereka menjadi asyik dengan dunia dan semakin melupai Tuhan yang sebenarnya telah menyediakan dunia itu kepada mereka.

Lalu kita dapat melihat azab yang berlaku dalam kehidupan mereka. Mereka 'terseksa' dengan usaha mendapatkan wang sehingga menghabiskan masa pagi hingga ke petang mereka, demi untuk membayar hutang pada setiap hujung bulan. Sebahagian masa tanggungjawab memelihara anak-anak yang harus mereka lakukan, terpaksa diserahkan kepada pihak lain sehingga terbentuk generasi baru genexter yang berperangai dengan perangai yang pelik.  Kehidupan beragama mereka hanya ikut-ikutan belaka dan kehidupan berkeluarga mereka menjadi tak tentu hala.

ii.      Beza Sangatkah Kemabukan Mereka 
         Dengan Kemabukan Pemabuk-pemabuk?

Menjalani kehidupan tidak tentu hala, sehingga tidak diketahui tujuan berpenghidupan yang Tuhan ciptakan di atas mukabumi ini. Hidup melalui sistem yang memabukkan akhirnya akan menghasilkan manusia-manusia mabuk, tidak mengerti tujuan pekerjaan mereka, amalan mereka serta ibadah mereka. Dan antara yang paling melucukan adalah apabila umat ini di‘paksa’kan untuk melakukan ibadah-ibadah seperti solat sehingga tidak mengerti tujuan perkataan daripada apajua ayat yang disebut dalam solat mereka. Seolah-olah mereka itu pemabuk yang sedang berbicara. Mereka tidak mengerti Allahu Akbar yang mereka mulai dalam solat. Lantas, jadilah mereka pendiri-pendiri solat yang mendirikan solat dalam suasana azab Tuhan, dalam suasana kemabukan sehingga tidak mengerti apa-apa yang mereka ungkapkan. Jadi apakah hasil solat mereka? Hanya sekadar mendirikan solat lantaran takut dirasakan sebagai tidak bersolat. Hanya bertujuan memakmurkan rumah-rumah ibadat yang runtuh daripada petunjuk, yang didirikan daripada sumber yang tidak dapat dipastikan puncanya.

ii.      Berbezakah Cara Penyembahan Mereka 
         Dengan Penyembah-penyembah Berhala?

Sehingga mereka akhirnya beragama dengan cara beragama yang serupa yang dilakukan oleh penyembah-penyembah daripada agama yang lain. Cara beragama yang serupa walaupun atas nama agama yang berlainan dengan subjek sembahan yang berlainan. Apa yang dikehendaki oleh penaja-penaja mereka adalah : “kami sudah tolong sediakan rumah ibadat, gereja, biara, kuil dan sebagainya maka lakukan sebarang peribadatan, bagaimana caranya, itu tidak penting, asalkan taati perintah kami!”. 

Apakah ertinya semua ini? Nanti akan ada suara-suara yang menyatakan bahawa kefahaman seperti ini adalah sesuatu yang diada-adakan untuk mengelirukan umat. Bukankah petunjuk 'agama' selama ini adalah ciptaan mereka  melalui hasil buah fikiran mereka atau yang sentiasa menyokong mereka? Sesungguhnya petunjuk itu tidak lain adalah petunjuk Tuhan dan Tuhan telah memerintahkan supaya jangan ada peribadatan melainkan hanya untukNya. Bukan untuk yang lain, sama ada untuk meredhai kepimpinan, ketua-ketua agama, tok-tok lebai, tuan-tuan kiyai, ustaz ustazah dan sebagainya. Atas perkara sedemikian, mereka sebenarnya mengulangi kaedah pengamalan agama secara membabi buta sepertimana penganut-penganut agama lain melakukan peribadatan kepada tuhan masing-masing, dewa atau 'great leader' masing-masing.

iii.      Usaha Golongan Bersolat Menghindari 
          Kehidupan  Penuh Berisiko

Apa yang penulis ingin sampaikan berdasarkan kefahaman ayat ini adalah, setiap mereka yang bersolat haruslah dapat KENAL PASTI sebarang bentuk perlakuan dalam amalan atau perkara-perkara persekitaran yang dapat membawa seseorang atau ahli masyarakat seluruhnya kepada suatu bentuk kehidupan azab.

Contohnya menjalani kehidupan yang menyesakkan disebabkan beban membayar hutang riba adalah merupakan suatu azab kehidupan. Memenuhi jalan raya pada masa-masa tertentu sehingga terpaksa menghadapi risiko kemalangan adalah juga merupakan suatu azab kehidupan. Menyelusuri kehidupan bermasyarakat secara nafsu-nafsi terhadap permasalahan yang terjadi adalah juga suatu bentuk kehidupan yang menjurus kepada azab. Gemar memilih makanan segera yang banyak dijual masakini yang terdedah kepada bahaya penyakit ataupun perlakuan tertentu, sebenarnya adalah merupakan suatu tabi'at yang akan menjurus kepada azab yang akan dihadapi kemudian hari nanti.

Indikator kepada azab dalam kehidupan dapat diperhatikan melalui perlakuan kemabukan yang  dihadapi oleh seseorang, yang sudah tentu dapat diperhatikan oleh pihak lain.  Demikian itu adalah yang dapat dijelaskan berdasarkan kefahaman penulis, yang telah penulis pelajari suatu masa dahulu berdasarkan pengajaran ayat Al-Qur'an (22:02).



Monday, December 1, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 26 -- MEMBAWA SIKAP MEMBENARKAN HARI AD-DIN


والذين يصدقون بيوم الدين

Dan orang-orang yang mereka membenarkan dengan hari Ad-Din

dan mereka Yang percayakan hari Pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal Yang soleh sebagai buktinya);


KETIGA : ORANG YANG BERSIKAP MEMBENARKAN HARI AD-DIN

i.     Mengakui Tuhan Memiliki Segala-galanya

Apabila diperkatakan bahawa orang-orang yang bersolat itu adalah orang-orang yang membenarkan terhadap hari Ad-Din, nescaya semua orang yang bersolat mendakwa sedemikian. Adakah sebenarnya kita memahami apakah yang dikatakan sebagai hari Ad-Din itu? Pada ayat 82:17/18/19 diulang-ulangi pertanyaan tentang apakah yang dikatakan sebagai hari Ad-Din atau hari agama? Adapun orang-orang yang membenarkan terhadap hari agama ialah orang-orang yang menerima hakikat sebenarnya Tuhan memiliki segala-galanya. Pemilikan mutlak oleh Tuhan haruslah diiktiraf tidak hanya pada hari Ad-Din, bahkan pada hari-hari sebelum itu iaitu  dalam kehidupan manusia di dunia ini lagi. Mereka yang mengakui hari Ad-Din tidak berani, bahkan tidak sanggup untuk mengakui semua yang ada dalam pemilikan tangannya adalah miliknya. Harta di bawah penguasaannya adalah sebenarnya milik Tuhan, wang di dalam akaun simpanannya adalah milik Tuhan, dirinya, ahli keluarganya dan keseluruhan yang berada di bawah urusannya adalah milik Tuhan.

Kehidupan ini amatlah singkat untuk kita 
mendakwa memiliki apajua yang ada

ii.    Tidak Sanggup Menyebut-nyebut Pemberian

Mereka juga tidak sanggup untuk menyebut-nyebut pemberian kerana mereka menyedari tidak memiliki apa-apapun terhadap apajua yang ada di alam ini seluruhnya, sekalipun yang terselit antara celah-celah poket dompetnya. Lalu mereka ini bersungguh-sungguh membelanjakan lebihan daripada harta yang mereka dapatkan, kepada jalan Tuhan. Sudah tentulah mereka ini memberi sumbangan yang dengan sumbangan itu, dengan izin Tuhan, usaha-usaha kerosakan terhadap alam dapat dikurangi. Umat tidak perlu bersusah payah mengambil majikan daripada golongan ingkar bagi memperolehi rezeki, yang tentunya majikan seperti itu tidak dapat diamanahkan untuk menjagai alam sekitar, apatah lagi untuk menjaga keharmonian hidup beragama seseorang manusia. 

Penulis masih mengulangi kenyataan kesan-kesan kerja golongan yang bersolah terhadap keperluan menjaga keseimbangan alam. Namun bukanlah maksud penulis untuk memberitahu bahawa matlamat semua pengamalan itu adalah semata-mata untuk menjaga alam sekitar. Pengajaran daripada pengamalan sedemikian tentunya mengandungi hikmah-hikmah tertentu yang Tuhan lebih mengetahui akan hikmahnya dan kita dapat mempelajarinya sekiranya kita bersungguh-sungguh mempelajari kitab suci. Segala apa jua ibadah haruslah ditujukan kepada Tuhan dan untuk Tuhan semata-mata. Mengapakah umat ini kini begitu mengagungkan pembangunan yang dipelopori oleh golongan ingkar? Mereka amat mengagumi sikap pelopor-pelopor golongan ingkar tentang takrifan kemajuan, kemewahan, pembangunan material, teknologi dan sebagainya.

iii.     Tiada Bangsa Boleh Mendakwa Pelopor Segalanya

Kemajuan tetap berjalan sejajar dengan peredaran masa. Tiada dalam kalangan ilmuawan Barat, sekalipun Charles Barbage, yang mula-mula mempelopori rekaan komputer mekanikal, boleh mendakwa bahawa beliaulah pereka komputer terawal. Idea tentang pengiraan telah diamalkan oleh masyarakat China menggunakan sempoa, hanya manusia mengubahnya ke bentuk-bentuk lain sejajar dengan penemuan teknologi semasa. Sehingga akhirnya mereka mempercayai bahawa segala yang didatangkan dari Barat dianggap lebih benar jalannya. Mereka menuruti dalam semua hal, bermula daripada sistem pemerintahan hingga kepada rekaan-rekaan peralatan dan juga sistem ekonomi. 

Belumpun bangsa-bangsa Barat dapat menyiapkan suatu projek menghasilkan kediaman yang selamat di mana-mana bahagian di angkasalepas untuk sebahagian besar manusia, bumi ini telah dirudung malang mengalami suatu keadaan yang dinamai sebagai perubahan cuaca. Ini semua membuktikan, bahawa hasil pekerjaan yang dipelopori oleh bangsa Barat adalah lebih membawa kepada kerosakan alam. Mengapa kita tidak pernah mendengar semua ini semasa pemerintahan kekhalifahan Islam dahulu yang bertahan hampir 1000 tahun? Gunung-gunung kini mengalami keruntuhan sedikit demi sedikit. Matahari dan bulan pada masa-masa tertentu, menjelma di sebelah langit pagi mengalami perubahan warna kepada merah cili api. Musim hujan dan kemarau berlaku tak tentu masa.

iii.    Kemajuan Yang Merosakkan

Manusia mengalami masalah kehidupan sosial sehingga terlalu banyak gejala sosial yang bukan-bukan berlaku. Kadar kemalangan di atas jalanraya begitu tinggi di negara ini, walhal laungan kemajuan sentiasa dinyatakan hampir setiap hari. Katil-katil hospital sentiasa diisi silih berganti hampir setiap masa oleh pesakit-pesakit yang mengalami pelbagai masalah kesihatan. Masa kerja mereka bertambah bermula dari malam hingga ke malam hari seterusnya, sehingga memenuhi jalan-jalan utama dengan kesesakan lalu lintas. Bilakah semua ini akan berakhir? Bilakah kesesakan trafik di atas jalanraya akan berkurangan.




Popular