SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, June 28, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 51 -- GOLONGAN INGKAR HAMPIR MENGGELINCIRKAN GOLONGAN BERIMAN MELALUI PANDANGAN MEREKA


وان يكاد الذين كفروا ليزلقونك بابصار هم
لما سمعوا الذكر و يقولون انه لمجنون

Dan sesungguhnya ia hampir orang-orang yang telah ingkar mereka, agar dapat mereka menggelincirkan akan engkau dengan pendapat mereka, tatkala telah mendengar mereka akan peringatan itu seraya mereka (sentiasa) berkata sesungguhnya ia benar-benar gila. 

dan Sesungguhnya orang-orang Yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu Dengan pandangan mereka (yang penuh Dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar Al-Quran sambil berkata "Sebenarnya (Muhammad) itu, sungguh-sungguh orang gila".

i.     Mereka Menuduh Gila Walhal, 
       Mereka Yang Gila

Mereka benar-benar bermesyuarat sesama mereka, bertukar-tukar pandangan dan hujjah, memandang rendah RasullulLah S.A.W. serta memperleceh orang-orang yang beriman (2:212), agar orang-orang yang beriman terpedaya dan tergelincir dari jalan keimanan mereka melalui pernyataan mereka. Tatkala mereka mendengar peringatan, mereka memberi pandangan serius mereka, bahawa sesungguhnya peringatan sedemikian benar-benar suatu peringatan gila. Pada mereka peringatan Tuhan bukan sesuatu yang dapat dinilai secara nyata, semuanya adalah abstrak, sukar dibuat pertimbangan. Mereka mahukan pertimbangan yang ada nilai saintifik atau bertepatan dengan logik akal serta keuntungan ekonomi atas aktiviti manusia.

ii.     Mereka Menempuh Sistem Hidup 
        dan Ekonomi Yang Menyempitkan

Pertimbangan gila adalah pada tahap dangkal ukuran fikiran mereka, yang mahukan sesuatu yang waras, adalah suatu yang menguntungkan mereka, sekalipun dengan jalan menindas golongan yang susah. Pertimbangan golongan yang sesat adalah seperti perpatah bahasa Inggeris “the end justifies the mean” iaitu hasil sesuatu kesudahan menghakimi cara usaha.

Sebagai contoh, untuk memenangi peperangan adalah dengan cara membunuh orang awam negara musuh, sekalipun dengan senjata pemusnah besar. Apabila kemenangan telah diperolehi dan terlalu ramai orang awam negara musuh terkorban, lalu mereka menyimpulkan bahawa tindakan sedemikian adalah benar dan langkah memerangi negara musuh yang lain adalah dengan terlebih dahulu membunuh seberapa ramai orang awam. Mereka tidak mempertimbangkan langsung bahawa saling pembunuhan orang awam akhirnya menjadi perangkap kepada mereka untuk terus kekal di negara jajahan.

Sehingga berterusan mengeluarkan belanja untuk mengamankannya supaya hasil bumi negara berkenaan dapat mereka bolot dan negara jajahan tidak jatuh ke pemberontak. Teknik saling pembunuhan orang awam seperti ini telah diaplikasi oleh Saddam Husayn dan pemberontak Algeria, sehingga penjajah terpaksa berbelanja besar dalam peperangan dan akhirnya berundur dari negara jajahannya dalam keadaan rugi.

iii.    Amalan Bersadaqah Yang 
        Dianggap Gila

Agama ini terus tersebar dan mendapat sambutan daripada golongan dhaif. Kebajikan mereka adalah merupakan kewajiban golongan yang mampu dalam kalangan golongan beriman dan melalui peruntukan zakat. Golongan yang ingkar menyatakan bahawa tindakan sedemikian adalah merupakan suatu kerugian kerana membantu golongan dhaif tidak dapat diukur pada nilai ekonomi. Bukankah mereka tidak memahami bahawa mereka memperolehi pulangan yang tinggi melalui penindasan terhadap golongan yang dhaif? Apabila kehidupan golongan dhaif dibela oleh golongan beriman, golongan ingkar terpaksa meningkatkan perbelanjaan upah yang lebih baik kepada pekerja-pekerja upahan, yang secara tidak langsung, pengagihan ekonomi akan lebih merata dalam kalangan rakyat dan seterusnya pertumbuhan ekonomi negara akan dapat meningkat. Pada mereka, matlamat menghalalkan cara. Dengan membayar gaji upah rendah kepada pekerja-pekerja asing, mereka memperolehi laba yang lebih tinggi. Akibatnya, pengaliran wang ke negara asing akan memperkecilkan nilai wang tempatan dan dalam jangka masa tertentu akan mengakibatkan defisit dagangan negara. Inilah yang berlaku sekarang ini apabila setiap unit wang yang digunakan awal tahun tidak sama nilainya pada hujung tahun,  jatuh hingga 5%.







Monday, June 24, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 50 -- NABI YUNUS A.S. TERGOLONG DALAM KUMPULAN MEREKA YANG MELAKUKAN PERBAIKAN


فاجتبه ربه فجعله من الصلحين
 
Maka telah memilih Ia akannya oleh Tuhannya, lalu telah menjadikan Ia akannya daripada golongan perbaikan. 

selepas itu Tuhannya memilihnya, serta menjadikan Dia dari orang-orang Yang soleh. 

i.       Keadaan Zaman Ini 

Tugas kerasulan adalah tugas pemulihan, iaitu setelah berlaku kerosakan demi kerosakan yang dilakukan oleh umat. Itu pada zaman itu. Pada zaman ini telah nyata kerosakan yang dilakukan oleh umat manusia. Perubahan cuaca yang mengakibatkan bencana alam, berlaku hampir setiap hari kesan daripada pengamalan riba. Keporakan nasab keturunan manusia berlaku kesan daripada 'kemajuan' teknologi komunikasi. Sehinggalah kepada kepelbagaian penyakit yang memudharatkan seperti barah dan AIDS atau permasalahan sosial yang mudah menular tanpa kawalan. Masih adakah lagi rasul? Sedangkan keutuhan kitab Al-Quran masih kekal sedemikian sejak lebih 1400 tahun yang lalu.

Apa yang perlu adalah pengamalan terhadap isi kandungan Al-Quran yang memerlukan kesungguhan ulama-ulama yang ikhlas, yang sanggup memperjuangkannya, tanpa mengharapkan imbuhan sama ada dalam bentuk gaji atau sumbangan-sumbangan. Bahkan mereka sendiri perlu mengorbankan sebahagian besar harta mereka untuk tujuan sedemikian. 

ii.     Siti Khadijah R.A.H. Yang Berjuang 
        Berhabis-habisan Membantu 
        RasululLah S.A.W.

RasullulLah S.A.W. sendiri berhabis-habisan dalam usaha dakwah sehingga isteri baginda Khadijah R.A.H., telah wafat dalam keadaan miskin, tidak memiliki apa-apapun. Dakwah baginda yang sedemikian rupa juga dituruti oleh sahabat-sahabat baginda seperti Abu Bakar R.A. yang turut mengorbankan seluruh hartanya, Umar R.A. yang mengorbankan separuh daripada hartanya, demi untuk keperluan dakwah agama.

iii.     Sahabat-Sahabat RasululLah S.A.W 
         Korbankan Harta

Mereka telah berkorban berhabis-habisan sehingga dapat mengumpulkan seberapa ramai golongan miskin daripada ahli sufah, yang tenaga mereka diperlukan untuk menyebarkan agama Islam. Dengan berkumpulnya golongan miskin di sisi baginda, kekuatan golongan yang ingkar, dalam memanipulasi tenaga golongan miskin telah direnggut dan perniagaan mereka turut terjejas. Demikian itu telah menambah-nambah kebencian golongan ingkar yang asalnya berada pada kedudukan mewah, terhadap dakwah RasullulLah S.A.W., sehingga mereka sanggup mengumpul kekuatan memerangi umat Islam. Setelah kekuatan umat Islam meningkat sehingga dapat menguasai semula pusat-pusat strategi penting seperti Makkah, pengajaran-pengajaran suci Al-Quran mula dipraktikkan oleh umat manusia untuk memperbaiki keadaan umat. Bangsa Arab yang terkenal dengan sifat jahiliyah, telah berubah menjadi sebuah masyarakat bertamadun, membentuk tamadun besar dunia sebelum ini.

iv.     Perjuangan RasululLah S.A.W 
         Bertahan 1292 Tahun

Kekuatan daulah Islam telah bermula sejak tahun 632 Masehi dan tamat pada 1923 Masehi. Daulah Islam telah melalui tempoh bermula daripada penubuhan, pengembangan, keagungan, kemerosotan dan akhirnya lenyap, melalui tempoh masa selama 1292 tahun. Ilmuwan-ilmuwan Barat yang ingkar, telah bersungguh-sungguh menafikan tamadun Islam dalam tempoh sekian lama. Setelah melalui tempoh penjajahan ke atas negara umat Islam serta merompak hasil mahsulnya, mereka membentuk teknologi bermula dari zaman Reinessance sekitar tahun 1500 Masehi sehingga kini. Sehinggalah terhasilnya kerosakan demi kerosakan serta kecelaruan nasab keturunan manusia. Mereka melakukan pembangunan tanpa kawalan di atas permukaan bumi sehingga lapisan langit mulai lemah kerananya. Akibatnya, terjadi pelbagai bentuk bencana yang mengakibatkan penyakit-penyakit yang memudharatkan seperti kanser, penularan penyakit berjangkit dan kecelaruan identiti.

Manusia melakukan sebebas-bebasnya dengan apajua yang mereka suka sehingga mengakibatkan hubungan sesama manusia berada pada tahap yang kritikal. Peperangan sentiasa terjadi atas perebutan kawasan-kawasan strategik yang memberi pulangan besar. Sekarang ini adalah masa yang manusia amat-amat memerlukan keadaan untuk berpetunjuk dengan petunjuk Tuhan, setelah mereka menderita akibat kedurjanaan pihak-pihak berpengaruh daripada golongan yang ingkar. Semoga rahmat dan kasih sayang Tuhan meliputi seluruh mukabumi.







Friday, June 21, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 49 -- NABI YUNUS A.S. DILUAH KELUAR DARI PERUT IKAN


لولا ان تدركه نعمة من ربه
لنبذ بالعراء و هو مذموم

Sekiranya tidak bahawa ia sampai akannya oleh nikmat daripada Tuhannya, pasti telah dibuang ia dengan (berkeadaan) terdedah sedang dia (berkeadaan) tercela. 

Kalaulah ia tidak didatangi nikmat pertolongan dari Tuhannya, nescaya tercampaklah ia ke tanah Yang tandus (di tepi pantai) Dalam keadaan ia ditempelak (kerana salah silapnya). 

Kisah Nabi Yunus A.S. dinyatakan dalam surah As-Saffat (37:138-147) dan Al-Anbia (21:87/88) ketika baginda menjauhi diri daripada kaum baginda ke kapal yang penuh muatan. Baginda termasuk yang diundi untuk disingkir ke laut sehingga ditelan ikan yang besar. 

i.      Keadaan Baginda Yang Terdedah Tanpa Kulit dan
        Menderita Sakit

Perkataan ﻨﺒﺬ adalah kata kerja pasif yang bermakna dibuang oleh sesuatu yang tidak dikenal pasti. Ayat dengan kata dasar yang serupa disebut pada (37:145) dan dapat difahami baginda dibuang oleh ikan! Iaitu baginda diluah keluar dari perut ikan. Perkataan seterusnya ﺑﺎﻟﻌﺮﺍﺀ adalah merujuk kepada keadaan baginda yang terdedah iaitu bukan sahaja tidak berpakaian bahkan tidak berkulit, ini diikuti oleh ayat selanjutnya ﻣﺬﻣﻮﻢ yang bermakna (berkeadaan) tercela dan (37:145) ﺳﻘﻴﻢ berkeadaan sakit. Namun dalam terjemahan lain dinyatakan baginda dibuang ke tanah yang tandus! dan terdapat juga terjemahan yang menyatakan tanah lapang.

ii.    Bersabar Dengan Sikap Umat Suka Mencemuh dan
       Menuduh Gila dan Sebagainya

Kerja dakwah adalah kerja yang menempah rasa menyangat di hati sama ada rasa sedih, kecewa dan marah disebabkan oleh tindakan penolakan oleh ahli masyarakat yang didekati. Oleh itu rasul-rasul terpilih sahaja dapat mengharungi dengan penuh kesabaran. Atas pengajaran yang dapat diperolehi daripada surah ini, seorang pendakwah harus bersedia dengan tindakan cemuhan, tuduhan sesat serta dianggap sebagai gila. Perkara yang sedemikian dialami sendiri oleh RasululLah S.A.W. dalam kerja-kerja dakwah baginda. Demikian itu adalah hukum Tuhan yang harus ditempuhi dengan rasa kesabaran. Sesungguhnya Tuhan bersifat Maha Memelihara hambaNya yang menyungguhkan diri, melaksanakan perintahNya, sepertimana Dia menyembuhkan Nabi Yunus A.S. daripada derita yang ditanggung baginda.



Tuesday, June 18, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 48 -- SABAR DALAM MENGHADAPI GOLONGAN SESAT


فاصبر لحكم ربك و لا تكن كصاحب
 الحوتاذ نادى و هو مكظوم

Maka bersabarlah olehmu terhadap hukum Tuhanmu dan janganlah kamu jadi seperti teman ikan tatkala telah meraung ia sedang dia (dalam) kedukaan.

maka Bersabarlah (Wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), dan janganlah Engkau bersikap seperti orang Yang telah ditelan oleh ikan. (ingatlah kisahnya) ketika ia berdoa merayu Dengan keadaan sesak sebak terkurung Dalam perut ikan.

BERSABARLAH DAN AMBILLAH PELAJARAN KISAH
NABI YUNUS A.S. 

i.      Golongan Sesat Akan Terperangkap,
        Jangan Tinggalkan Mereka

Keengganan golongan sesat, yang terkial-kial dalam kehidupan, mereka akhirnya akan menempuh kehidupan yang memerangkap mereka kembali. Akibat hidup bergelumang dengan riba tanpa batasan, menjadikan mereka seperti angkut-angkut melakukan kerja membina, memasang, menyiap dan meninggalkan.

ii.     Mereka Buat Kerja Angkut-Angkut

Pagi dan petang dipenuhi dengan masa bekerja sehingga kedua-dua suami isteri tiada peruntukan masa untuk mengasuh anak-anak mereka sendiri. Sebenarnya mereka membancuh resipi untuk menempuh masa depan generasi mendatang dalam keadaan yang lebih huru-hara. Atas kesibukan mereka menghimpun dan terus menghimpun harta, mereka memandang remeh ayat-ayat Tuhan sehingga akhirnya mereka tersepit sebagaimana telah dikhabarkan awal-awal lagi daripada penerangan ayat. Tindakan mereka meremeh pendakwah-pendakwah kepada ayat-ayat Tuhan, sudah tentunya menyangat hati pendakwah-pendakwah itu sendiri. Sehingga akhirnya pendakwah perlu bersabar atas kejahilan umat serta kemabukan mereka dalam mengejar kehidupan dunia ini.

iii.    Kisah Nabi Yunus A.S. Meninggalkan 
        Kaum Baginda

Golongan yang beriman diseru untuk tidak mencontohi tindakan Nabi Yunus A.S. yang bertindak meninggalkan kaum baginda atas kekecewaan baginda diingkari oleh kaum baginda sendiri. Sehingga suatu ketika, kaumnya itu menyedari kesalahan tindakan mereka, sepertimana ahli-ahli kebun kehilangan hasil tuaian. Ketika itulah, mereka akan kembali kepada pengajaran-pengajaran Tuhan.





Friday, June 14, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 47 -- ADAKAH MEREKA MENULIS TENTANG PERKARA GHAIB?


ام عندهم الغيب  فهم يكتبون


Adakah di sisi mereka (perkara) ghaib, lalu mereka, mereka menulis?

atau Adakah di sisi mereka (Lauh Mahfuz Yang mengandungi) perkara-perkara Yang ghaib lalu mereka menyalin (daripadanya untuk menentang ajaran dan peringatanmu)?

Adakah mereka mengetahui perkara ghaib, antara perkara-perkara yang akan berlaku pada masa mendatang, sehingga masa akan datang, menyebelahi mereka? Lantaran itu mereka memekakkan telinga daripada mendengar sebarang pengajaran-pengajaran yang lain.

i.      Jabatan Meteorologi Dengan Kaedah Tertentu

Sekiranya Jabatan Meteorologi menggunakan kaedah-kaedah tertentu untuk mengetahui anggaran turunnya hujan serta perubahan cuaca untuk beberapa jam lagi, esok hari dan juga hari seterusnya, apakah kaedah yang digunapakai untuk menyatakan seseorang dapat mengetahui kejadian ghaib yang akan berlaku?

ii.     Rujukan Kepada Kitab-kitab Silam

Adakah di sisi mereka kitab-kitab silam yang diriwayatkan oleh sahabat-sahabat tertentu sehingga mereka dapat membaca peristiwa akan datang? Lalu mereka menempatkan diri mereka sebagai orang yang diramalkan, supaya mereka melaksanakan agenda tertentu dan pasti berjaya! Apakah perkara yang menjadi amalan mereka masakini adalah merupakan suatu agenda untuk mereka berjaya pada masa akan datang? Umat-umat seperti Yahudi dan Nasrani, banyak didapati dalam kalangan mereka, cuba memberitahu peristiwa yang akan berlaku pada masa mendatang. Itupun tidak dapat dinyatakan pengetahuan berkenaan menyebabkan mereka berada di jalan yang benar kerana ternyata kebenaran yang mereka tunggu-tunggu tidak datang dalam kalangan kaum mereka, tetapi daripada kaum yang lain yang mendiami padang pasir.

KEPERLUAN MEREKA YANG MENGETAHUI UNTUK
MENULIS PERKARA YANG GHAIB

iii.     Tiga Perkara Dinyatakan Ghaib Dalam Al-Quran

Tiga perkara yang dinyatakan dalam Al-Quran tentang perkara ghaib, pertama, perbuatan yang akan dilakukan oleh seseorang esok hari secara pasti iaitu mengetahui perkara akan datang, keduanya, masa akan berlaku kejadian hujan secara pasti dan ketiga, perkara yang terkandung dalam rahim wanita secara pasti. Seseorang hanya boleh merancang untuk esok. Membayangkan pekerjaan oleh seseorang, tentang perbuatan yang akan dilakukan esok hari (59:18), sebenarnya dapat meningkatkan motivasi bekerja. Selalunya, seorang yang berjaya adalah seorang yang merancang untuk berjaya sehingga dinyatakan kegagalan untuk merancang sama ertinya merancang untuk gagal.

iv.      Ramalan Cuaca dan Peristiwa D-Day

Tentang kejadian hujan, manusia sentiasa semakin canggih dalam melakukan kerja-kerja peramalan. Pada permulaannya, mereka melakukan kutipan data hidrologi secara bulanan dan tahunan, kemudian diikuti cerapan keadaan awan semasa dan yang terkini adalah melalui pengesanan satelit, yang dapat memerhati keadaan semasa. Peristiwa D-Day dalam Perang Dunia Kedua dinyatakan sebagai kemenangan dengan bantuan ramalan keadaan cuaca, yang meramalkan kabus akan terbentuk dalam masa yang singkat untuk memberi peluang tentera Bersekutu berlabuh di kawasan jajahan Jerman. Begitu juga terhadap perkara ghaib yang terkandung dalam rahim wanita, sebenarnya memberi pengajaran yang baik supaya seseorang tidak mudah membuat kesimpulan tentang peribadi seseorang saudara muslimahnya.

v.      Ramalan Peristiwa Mendatang Melalui Hadith Marfu'
        dan kata-kata Sahabat.

Mengetahui perkara mendatang adalah melalui beberapa kaedah. Pertama, adalah dengan jalan menerima perkhabaran melalui Al-Hadith. Malangnya kebanyakan pemberitahuan perkara akan datang, telah disampaikan melalui perkhabaran hadith yang dikatakan sebagai marfu', iaitu hadith yang disandarkan kepada RasullulLah S.A.W. melalui sahabat tertentu secara peribadi. Hadith seperti ini kebanyakannya hanya didapati melalui lembaran-lembaran yang disorokkan. Banyak perkhabaran daripada Abu Hurairah R.A. dan Saidina Ali R.A. disorokkan oleh pihak tertentu lantaran dikhuatiri akan jatuh ke tangan pihak yang tidak menjagainya secara teliti. Hadith ini tidak dapat dinyatakan mutawatir atau sahih atau hasan atau dhaif atau maudu' atau palsu. Penulis sendiri banyak menerima perkhabaran sedemikian dan penulis mengambil pendirian tidak mengiakan dan tidak menafikan.

vi.      Ramalan Berdasarkan Kerasihan ilmu

Kedua, adalah dengan suatu kaedah tertentu yang dinyatakan daripada ayat-ayat Al-Quran berdasarkan pengajaran 72:25/26/27/28. Pengetahuan sedemikian memerlukan kerasihan seseorang dalam ilmu. Ketiga adalah melalui perkhabaran ghaib secara terus dan penulis enggan memberi sebarang ulasan.

CARA GOLONGAN SESAT MENYEDIAKAN DIRI UNTUK 
KEJADIAN MENDATANG

vii.    Adakah Persediaan Mereka Memadai?

Antara perkara yang menjadi perancangan golongan ingkar adalah melakukan pekerjaan bagi menetapkan diri mereka dengan menelurusi perkara akan datang. Kajian-kajian mereka yang menyentuh teknologi sedia ada, sebenarnya adalah merupakan persiapan mereka untuk menghadapi kemungkinan peristiwa yang akan berlaku, pada masa mendatang. Oleh itu mereka suka untuk mereka dikagumi dengan pencapaian mereka, hasil daripada penemuan mereka.

Sebagai contoh, dengan melakukan serangan peristiwa 11 September oleh pentadbiran Amerika Syarikat, mereka sudah menjangkakan pentadbiran mereka akan memperolehi mandat rakyat untuk menyerang negara lain. Penguasaan Afghanistan dan Iraq dijangka, dapat dijadikan dua tapak perlindungan (dua lapisan) terhadap sebarang kemungkinan kebangkitan pejuang-pejuang Islam yang berusaha menguasai negara beraja Arab Saudi, yang dikatakan sebagai punca umat Islam bersatu padu memerangi dunia. Namun mereka melupai suatu perkara bahawa perkara akan datang bukanlah suatu perkara yang dapat ditentukan dengan tepat masa kejadiannya. Tuhan yang lebih mengetahui serta mengatur rancanganNya.

viii.    Kesan Domino Daripada Tindakan Mereka Masakini


Selepas serangan mula pada tahun 2001 dan serangan terhadap Iraq pada tahun 2003, sehingga kini (2011) peristiwa yang dijangkakan berlaku, masih juga belum berlaku dan belanja peperangan mereka telah melebihi 1 trillion dollar U.S. dan wang mereka menjadi sangat mengecil. Mereka akan terus mengekalkan ratusan ribu tentera di negara-negara berkenaan sehingga mereka menghadapi apa yang mereka percayai sebagai peristiwa yang akan berlaku. Lantaran belanja peperangan yang sangat besar, dengan segenap tenaga, mereka terpaksa cuba memperolehi sumber komoditi dari negara lain seperti Sudan secara percuma. Akhirnya mereka berjaya melakukan porak peranda dengan memecahkan negara berkenaan demi untuk menyedut hasil petroleum negara terbabit. Kini mereka memperolehi dua kekuatan iaitu petroleum dan punca air bersih yang dapat menekan negara Sudan dan Mesir.

Penggunaan bahan bakar petroleum yang banyak oleh warga dunia akhirnya mengakibatkan lebih banyak pencemaran haba yang mempengaruhi cuaca. Meskipun bekalan bahan asas ini mencukupi, perbekalan yang berterusan dapat memberi kesempatan kepada negara-negara baru yang rancak ekonominya seperti India dan China menyediakan keupayaan lebih besar kepada rakyat mereka untuk berbelanja. Perkara ini tentunya akan terus meningkatkan harga minyak di persada dunia. Kedua-dua negara ini, yang kini tidak lagi memperkenalkan subsidi bekalan petroleum kepada rakyat mereka, akan menjadi penentu terhadap permintaan minyak yang tinggi.

Pembangunan angkut-angkut turut berlaku di kedua-dua negara ini. ‘Berkat’ daripada sistem ekonomi riba yang diamalkan oleh kedua-dua negara ini juga, harga minyak dunia dijangka akan terus meningkat sedikit demi sedikit, tanpa menunjukkan penurunan ketara dalam jangka panjang. Permintaan terhadap produk berasaskan petroleum seperti kenderaan dan jentera, terus menjadi keutamaan sehingga memudharatkan cuaca dunia. Sekiranya, kedua-duanya dapat bertahan, dalam membentuk ekonomi domestik dalam negara mereka sendiri, pastinya syarikat-syarikat besar di Amerika Syarikat dan Eropah akan gulung tikar lantaran kos pengeluaran yang sangat tinggi disebabkan oleh harga bahan bakar petroleum yang terus meningkat. Akhirnya Amerika Syarikat dan Eropah akan mengalami kemurungan ekonomi dan turut sama menghadapi masalah bencana cuaca yang membinasakan. Mampukah negara ini menghadapi cabaran ini? Peningkatan harga bahan bakar mengakibatkan daya saing produk-produk pembuatan untuk tujuan eksport akan merosot dan ini menjurus kepada kejatuhan ekonomi berasaskan sumber manusia. Sekalipun pulangan jangka panjang akan diperolehi daripada komoditi asas seperti petroleum, getah, kelapa sawit serta galian-galian berharga, namun ketidak seimbangan ekonomi amat mempengaruhi kehidupan rakyat di bandar-bandar.



Tuesday, June 11, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 46 -- MEREKA TAK PERLU BAYAR APA-APA PUN UNTUK BERIMAN



ام تسئلهم اجرا فهم من مغرم مثقلون

Ataukah kamu meminta daripada mereka ganjaran, lalu mereka daripada hutang, suatu yang berat?

Pernahkah Engkau (Wahai Muhammad) meminta sebarang bayaran kepada mereka (mengenai ajaran Islam Yang Engkau sampaikan), lalu mereka merasa berat menanggung bayaran itu (sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu)?

i.       Amat Berat Untuk Mereka Beriman Pengesaan
       Amat Ringan Untuk Mereka Beriman Penyengutuan

Adakah mereka dikenakan bebanan untuk beriman? Amat berat kepada mereka untuk menyahut seruan beriman kepada Tuhan semata-mata, tetapi amat ringan pada mereka apabila mereka diajak beriman kepada Tuhan dalam keadaan Tuhan dipersekutukan.

ii.      Syahadah Beragama Tidak Ada Kesaksian

Mereka ingin beragama, syarat beragama mereka dengan bersyahadah, tidak pernah ada kesaksian. Dengan lain perkataan tidak akan ada sesiapa yang sanggup untuk menyaksikan keislaman mereka di akhirat nanti, bahkan di dunia ini, tiada siapa yang akan mengambil peduli keislaman mereka.

iii.      Bersolah Tapi Mereka Sendiri Tak Faham

Kemudian mereka melaksanakan solah, tiada siapa mengambil peduli sama ada mereka memahami apa jua yang mereka sebut dalam solah mereka atau sebaliknya. Mereka tidak pernah memaklumi untuk mengetahui tujuan solah dan tuntutan solah.

iv.      Berpuasa Tetapi Boros,  Menjerit-jerit Dalam Ibadah

Kemudian mereka berpuasa, namun mereka sendiri tidak dapat menyelami erti puasa melainkan dengan berlaku boros. Berbelanja semaunya untuk meraikan majlis-majlis berbuka puasa mereka dan menjerit-jerit dalam ibadah tarawih, serta bergembira menyambut hariraya pada masa umat Islam lain berduka, lantaran disembelih oleh musuh-musuh Islam.

v.      Berzakat Tetapi Zakatnya Diserahkan Kepada Asnaf
      Yang Lain.

Kemudian mereka berzakat, tanpa mengetahui prasyarat kutipan zakat dan kepada siapa pengagihan harus dilakukan, adakah daripada jabatan atau majlis? Mereka tidak mengetahui pengagihan zakat perlu sampai kepada asnaf yang lapan dan bukan kepada asnaf tambahan lain. Peruntukan zakat perlu dilunaskan sebab itu, penyerahan zakat setelah tamat tempoh adalah tidak diterima sebagai zakat melainkan sadaqah semata-mata.

Kemudian kita mendengar wang zakat digelapkan untuk tujuan pembelian kenderaan pacuan 4 roda untuk setiap pegawai-pegawai agama supaya dapat digunakan untuk mengutip lebih banyak zakat. Kemudian peruntukan zakat digunakan untuk pembangunan masjid! dan prasarana yang lain, kononnya tindakan yang 'baik' sedemikian diizinkan agama. Kemudian digunakan lagi sebagai biaya pinjaman perniagaan dengan prasyarat yang pernah dikenakan bahawa seseorang itu perlu menjadi ahli kepada persatuan 'ulama' tertentu.

vi.     Ibadah Haji Mereka Untuk Melancong Semata.

Kemudian mereka mengerjakan haji, semata-mata untuk melancong, tanpa mengetahui tujuan sebenar ibadah haji berkenaan. Mereka menafsir perintah “bagi barangsiapa yang berkuasa kepadanya jalan” sebagai mampu dari sudut kewangan, aman perjalanan dan kesihatan semata-mata. Mereka lupa perbelanjaan yang memerlukan belanja sekitar yang sedikit di kebanyakan negara telah dieksploitasi sehingga mereka perlu membayar lebih 10 kali ganda untuk tujuan ibadah berkenaan. Wang mereka sebenarnya telah disamun sebelum mereka menjejakkan kaki ke tanah suci dan keuntungan yang diperolehi pelabur-pelabur saham haji telah juga diserahkan kepada golongan yang tidak diketahui agama mereka. Bahkan mereka dipaksa disuntik dengan vaksin anti meningitis yang diperolehi daripada babi yang tidak jelas kehalalannya. Keadaan sedemikian sebenarnya menidakkan kekuasaan mereka untuk sampai kepadanya jalan. Iaitu melaksanakan ibadah haji dalam keadaan berkemampuan, aman perjalanan dan berkeadaan sihat dan bersih tubuh badan.

vii.    Cara Beragama Yang Merugikan Yang Mereka Mahu

Cara beragama yang merugikan seperti ini yang mereka mahu, iaitu cara beragama yang mempersekutukan Tuhan dengan 'penjawat-penjawat agama' tertentu. Adapun cara beragama yang sebenarnya, yang menyuruh beriman kepada Tuhan semata-mata, mereka memandangnya dengan pandangan yang getik, meluat, benci dan sinis. Mereka tidak mahu mengetahui, bahawa umat Islam dahulu adalah umat yang kaya raya, dihormati lantaran ilmu mereka serta digeruni musuh atas sifat mereka yang amat keras kepada musuh.

vii.     Sanggup Bertuankan Golongan Ingkar

Yang mereka mahu tahu adalah, umat Islam yang sekarang ini miskin, dungu dan bersikap lunak kepada golongan yang ingkar. Mereka sanggup bertuankan kepada golongan yang ingkar yang kesudahannya mereka membiarkan kaum wanita mereka serta muslimat lain dianiayai, dihamilkan dan dimurtadkan oleh penyembah-penyembah berhala, mempersilakan diri dihumban ke neraka Tuhan.





Saturday, June 8, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 45 -- RENCANA TUHAN YANG AMAT KUKUH


وَأُمْلِي لَهُمْ إِنَّ كَيْدِي مَتِينٌ


Dan telah merencana Aku bagi mereka, bahwasanya tipudayaKu kukuh.

dan Aku akan melanjutkan tempoh untuk mereka, Sesungguhnya rancangan sulitKu (terhadap golongan Yang kufur ingkar itu), amatlah kuat kukuh.

i.      Menghina Pendakwah Akibatnya Ditinggalkan 

Apabila seseorang mengelak daripada beriman kepada Tuhan, lalu ia memilih jalan hidup yang lain daripada yang dianjurkan Tuhan, ia akan tersepit atas pilihannya itu. Atas kesombongannya, ia memilih untuk menghina pendakwah dengan alasan pendakwah itu rendah ilmu pengetahuannya atau kurang pemilikannya atau tidak setaraf dengannya. Lantaran itu ia ditinggalkan pendakwah berkenaan kerana tumpuan dakwah harus diteruskan untuk menyeru orang lain.

ii.     Mengikut Cara Beragama 'Penjawat Agama' 
        Yang Menyesatkan

Ia memilih cara beragamanya sendiri berdasarkan fatwa-fatwa ‘penjawat agama’ tanpa ia mengetahui sumber ambilannya. Apabila ‘penjawat-penjawat’ berkenaan mengeluarkan fatwa mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, atas kapasiti mereka sebagai ‘ulama’, segera ia mengambil pendirian mematuhi fatwa 'penjawat agama' sedemikian. 

iii.     Zakatnya Tidak Pernah Sepenuhnya Sampai dan 
         Pemakanannya  Memudharatkan

Sentiasa ia melalui hidup sedemikian sehingga penyerahan zakatnya tidak pernah sampai  sepenuhnya kepada yang layak menerimanya. Ia sendiri memakan makanan haram yang dihalalkan dan mengelak daripada memakan makanan halal yang diharamkan. Akibatnya ia menelan makanan yang memudharatkan sehingga dihidapi dengan pelbagai penyakit. Pendiriannya menghindari makanan halal yang diharamkan menyebabkan ia diketepikan oleh ahli masyarakat menempuh hidup nafsi-nafsi.

iv.    Hidup Nafsi-nafsi Dengan Sistem Riba

Dengan sikap sedemikian sebenarnya ia tidak dapat melarikan diri daripada permasalahan sosial seperti terjejas hubungannya dengan masyarakat dan masalah kesempitan hidup. Atas kebiasaan masyarakat seperti ini yang mengambil riba dalam kehidupan mereka, ia mungkin kelihatan kaya dengan pemilikannya yang diperolehi dengan jalan hutang dan sebagainya, namun ia tidak akan dapat membelanjakannya untuk tujuan bersadaqah atau berjuang pada jalan Tuhan. Dengan kesempitan hidup yang melanda ahli masyarakat, menyebabkan masa mereka dihabiskan dengan kerja-kerja mencari wang untuk membayar hutang. Kepincangan berlaku ke atas ahli-ahli masyarakat sehingga sebahagian ahli masyarakat memilih haluan masing-masing lantaran tiada tempat mengadu apabila berlaku kesusahan. Penyakit-penyakit masyarakat seperti penagihan, perzinaan dan permusuhan dalam kalangan mereka dibiarkan begitu sahaja dan masalah diserahkan kepada pihak polis dan pegawai undang-undang negeri.

Pada masa ini apabila ‘penjawat-penjawat agama’ sendiri mengambil sikap membolot harta seberapa banyak yang mampu, untuk menjelaskan hutang-hutang riba akibat pembelian aset-aset seperti rumah mewah dan kenderaan mewah, lalu bagaimanakah nasib umat pada keseluruhannya? Peruntukan zakat juga diselewengkan untuk tujuan yang lain dan diserahkan kepada golongan-golongan tertentu dalam kalangan mereka melalui persatuan-persatuan 'ulama' dan sebagainya. Golongan fakir dan miskin, hidup melarat dalam kesempitan tanpa pembelaan dan mereka menghampiri diri mereka kepada kekufuran akibat daripada kemelaratan. Sebahagian mereka yang mahukan pembelaan, lebih terpedaya dengan dakyah-dakyah daripada badan-badan agama yang lain yang akhirnya atas perangkap hidup yang disediakan oleh ‘penjawat-penjawat’ berkenaan yang bergelumang dengan sistem riba dan penyelewengan wang zakat, peruntukan dakwah telah diabaikan begitu sahaja. Perkara ini mengakibatkan umat tidak terbela dan tiada program kerohanian yang mencukupi dapat diberikan.

v.     Kejadian Murtad Semakin Menjadi-jadi

Kejadian murtad semakin menjadi-jadi sehingga didalangi oleh artis-artis dan anak VVIP. Murtad adalah bencana besar kepada negara. Kejadian huru-hara dapat terjadi akibat perselisihan agama yang tidak akan dapat dihentikan sama ada oleh pihak polis atau tentera. Seterusnya ekonomi akan merudum disebabkan oleh kejadian huru-hara berkenaan. Pemilikan kemewahan yang sebelum ini dianggap sebagai kemegahan dan contoh, untuk dituruti umat dalam mendapatkan suatu kehidupan, sebenarnya lebih menjurus kepada rasa tidak puas hati ahli-ahli masyarakat. Atas kecelaruan hidup, mereka memilih dadah, murtad, hubungan bebas, memberontak secara senyap dan sebagainya sehingga peranan ‘penjawat-penjawat agama’ sendiri akan dipertikaikan.




Tuesday, June 4, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 44 -- BIARKAN SAHAJA MEREKA, ISTIDRAJ SEDANG MENANTI MEREKA


فذر نى و من يكذب بهذا الحديث
سنستدرجهم من حيث لا يعلمون

Maka biarkan olehmu akan Daku dan sesiapa yang ia mendustai terhadap perkhabaran ini, nanti Kami 'istidraj'' mereka dari arah tidak mereka ketahui.

biarkanlah Aku sahaja (Wahai Muhammad) Dengan orang Yang mendustakan keterangan Al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit Demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah Yang mereka tidak mengetahuinya.

i.     Mereka Mengambil Sekutu Dalam 
       Beragama 

Sesungguhnya golongan sesat itu kelak, mereka akan mengetahui. Mereka mempunyai sekutu dalam kehidupan mereka. Darihal agama mereka menyerahkan kepatuhan kepada penjawat-penjawat agama atau lebai-lebai atau kiyai-kiyai.

ii.    Mereka Mengharamkan Apa Yang 
       'Ulama' Mereka Haramkan 

Apabila ada ilmuwan mereka mengeluarkan fatwa bahawa memilih perjuangan jamaah sedia ada adalah 'haram', lalu mereka menurutinya tanpa nas atau hujah yang sahih, merujuk panduan suci Al-Quran atau penerangan As-Sunnah. Apabila 'ulama' mereka mengeluarkan fatwa memakan haiwan sembelihan 'ahli kitab' yang lain adalah haram, lalu mereka menurutinya tanpa penjelasan sahih daripada nas Al-Quran atau penerangan As-Sunnah. Sedangkan Tuhan telah menghalalkan sembelihan ahli kitab daripada kitab-kitab terdahulu lalu bagaimanakah mereka menghukum? Tidakkah mereka mengetahui implikasinya? Tindakan mereka menyebabkan umat berpecah, satu kepada fahaman mereka dan satu lagi kepada kefahaman yang lain.

iii.    Mereka Halalkan Apajua Yang Dihalalkan 
        Oleh Penjawat Agama Mereka

Apabila 'penjawat agama' mengeluarkan fatwa bahawa bahan-bahan najis, halal diambil dalam pemakanan, lalu mereka patuhinya dengan memakan bahan-bahan berkenaan yang dibalut logo halal, tanpa terlebih dahulu dibahaskan dengan sumber-sumber rujukan Al-Quran dan penerangan As-Sunnah terhadap keputusan ilmiah mereka.  

iv.     Implikasi Penyekutuan

Tidakkah mereka mengetahui implikasinya? Tindakan mereka menyebabkan ramai umat ini menghidap pelbagai penyakit daripada tiga serangkai kepada penyakit alahan seperti sesak nafas dan sebagainya. Yang demikian itu kerana mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

v.    Perintah Menggauli Orang Ramai dan 
       Dua Jenis Manusia Yang Diarahkan 
       Untuk Ditinggalkan

Terdapat perintah Tuhan yang menyuruh menggauli orang ramai dan bersabar dengan kerenah mereka dan terdapat perintah Tuhan yang menyuruh meninggalkan mereka. Yang diperintahkan untuk mereka ditinggalkan adalah dalam urusan agama. Dua golongan manusia yang Tuhan perintahkan untuk ditinggalkan dalam urusan dakwah, pertama adalah manusia yang merasakan dirinya kaya dengan pemilikan harta dan sejumlah anak-anak, memiliki status hidup yang bersikap mendustakan ayat-ayat Tuhan iaitu daripada golongan yang sesat dan keduanya manusia 'fir'aun' seperti pengungkit yang menyebut-nyebut jasa, memberi makan kepada umat serta pembangunan masjid yang memudharatkan. Dengan meninggalkan mereka, golongan yang beriman akan dapat menyaksikan 'istidraj' yang Tuhan laksanakan kepada mereka sedikit demi sedikit menuju kepada bencana. Sesungguhnya bencana yang menimpa negara Mesir di bawah kekuasaan Fir'aun harus diambil iktibar, tentang bagaimana kerosakan alam dan permasalahan sosial terjadi akibat kerja-kerja golongan yang ingkar, yang merasa cukup canggih dengan kehebatan mereka.




Popular