SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan
Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, February 27, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 17 -- GOLONGAN SESAT DIUJI SEPERTI PARA SAHABAT KEBUN DIUJI



انا بلونهم كما بلونا اصحب الجنة
اذ اقشموا  ليصرمنها مصبحين

Sesungguhnya Kami, telah pasti mendatangkan bala Kami akan mereka, sebagaimana telah mendatangkan bala Kami akan sahabat-sahabat kebun, tatkala telah bersumpah mereka, bahawa benar-benar mereka menuai (hasil) daripadanya seawal-awal pagi.

Sesungguhnya Kami telah timpakan mereka Dengan bala bencana, sebagaimana Kami timpakan tuan-tuan punya kebun (dari kaum Yang telah lalu), ketika orang-orang itu bersumpah (bahawa) mereka akan memetik buah-buah kebun itu pada esok pagi; -

i.   Mereka Terlalu Yakin Memperolehi Hasil

Demikian itulah kesombongan atas segolongan manusia yang menyangka akan menjadi kaya raya dengan hasil tanaman, sedangkan pemberian sedemikian adalah usaha Tuhan menumbuhkan tanam-tanaman berkenaan. Mereka ini tidak langsung memikirkan untuk mengurangkan bebanan golongan yang menghadapi kesukaran hidup. Mereka menganggap golongan dhaif hanyalah merupakan golongan yang mendatangkan bebanan kepada mereka. Sedangkan Tuhan tidak menciptakan bumi ini semata-mata untuk mereka sahaja yang mendiami.

ii.   Ketamakan Dalam Pekerjaan

Bukan sahaja sebahagian manusia sungguh tamak darihal pekerjaan-pekerjaan ladang, bahkan mereka sangat tamak darihal pekerjaan perniagaan dan kerja-kerja pembangunan. Dalam industri pertanian, mereka sanggup membunuh lebihan-lebihan hasil tani dan ternakan demi untuk mengawal harga pasaran. Mereka tidak bersedia bersadaqah terhadap lebihan hasil pekerjaan mereka. Akibatnya, golongan yang dhaif akan berusaha dengan apajua cara sekalipun demi mendapatkan makanan dan keperluan-keperluan yang lain sehingga mengakibatkan mereka dipergunakan untuk melakukan pekerjaan yang merosakkan. Di banyak negara, golongan dhaif terpaksa mengambil upah melaksanakan kerja-kerja di kilang-kilang perusahaan yang mencemari alam sekitar dan manusia, dengan bahan-bahan kimia tertentu, mengakibatkan perbelanjaan besar negara untuk tujuan pembersihan dan perbelanjaan kesihatan.




Friday, February 22, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 16 -- GOLONGAN SESAT ADA TANDA


سنسمه على الخرطوم

Nanti Kami beri tanda akannya atas belalai.

(orang Yang bersifat demikian, akan didedahkan kehinaannya) - Kami akan adakan tanda di atas hidungnya (yang berupa belalai itu).

Keberadaan Mereka Sentiasa Diuji Tuhan Agar 
Mereka Mudah Dikenali Manusia Lain

Individu yang suka berkeliaran dalam masyarakat. Kelihatan individu ini kaya raya dengan pemilikan tertentu serta dituruti oleh sebilangan pengikut. Suka mencerca dan menghina dan diketahui keburukannya. Sebenarnya individu ini mencari pengaruh lantaran ingin mendapatkan kedudukan setelah ia menguasai harta. Individu ini bukanlah semestinya dalam kalangan pihak penguasa. Sekadar individu biasa yang cuba meningkatkan statusnya dengan 'memijak kepala' yang lain. Golongan yang beriman tidak perlu melayani kerenah individu seperti ini, biarkan sahaja perlakuannya kecuali perlu sedikit berhati-hati terhadap fitnah yang dihamburkan. Perkara kesesatan yang dilalui oleh individu seperti ini selalunya akan berkesudahan dengan terserlah kesalahannya dalam masa terdekat yang dapat diperhatikan oleh ahli masyarakat. Sesungguhnya setiap manusia sentiasa diuji Tuhan bukan sahaja terhadap golongan yang beriman.


 

Monday, February 18, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 15 -- MENYATAKAN AYAT-AYAT TUHAN SEBAGAI KISAH SILAM



اذا تتلى عليه ايتنا
قال اساطير الاولين

Apabila dibacakan ke atasnya ayat-ayat Kami, telah berkata ia, cereka-cereka silam.

apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat keterangan kami, ia berkata: " (Ini ialah) cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala".

i.     Prinsip Archimedis

Para ilmuwan sendiri mengakui bahawa prinsip-prinsip ilmu yang menjadi pengamalannya masakini adalah merupakan sumbangan penemuan-penemuan masa silam. Kapal selam dicipta menggunakan prinsip Archemidis, dikenalpasti sejak beribu-ribu tahun silam, sekalipun penciptaannya adalah sekitar zaman moden ini. Tetapi penemuan-penemuan silam ini tidak dihayati oleh golongan yang sesat. Apatah lagi untuk membicarakan tentang teknologi penghasilan pelampung medan adalah dianggap dongengan silam! Apatah lagi tentang tanda-tanda kekuasaan Tuhan, semuanya dianggap lagenda silam. Apakah ia akan mengambil berat terhadap gerak kerja pemulihan alam sekitar yang disampaikan secara terperinci melalui ayat-ayat suci?

ii.    Masalah Perubahan Cuaca

Mereka yang sesat ini sanggup menempuh huru-hara permasalahan akibat perubahan cuaca daripada berusaha mengambil langkah penyelesaian masalah sedemikian, yang ada pengajarannya dalam kitab suci. Barangkali ia menganggap kaedah penyelesaian masalah perubahan cuaca daripada ayat-ayat suci Tuhan adalah ketinggalan zaman. Pernahkah ia sendiri mengusahakan sesuatu yang dapat memulihkan alam sekitar sekarang ini? Mungkin perkara sedemikian tidak penting baginya kerana pada anggapannya bencana itu tidak akan menimpa dirinya pada waktu ini. Apabila sampai bencana itu, yang akan menanggung derita itu adalah anak cucunya dan ia telahpun terlepas tanggungan itu akibat kematiannya. Lihatlah, apabila berlaku keruntuhan tanah seperti yang menimpa lebuhraya, keruntuhan bangunan-bangunan tertentu disebabkan tiada usaha mengambil panduan daripada ayat-ayat suci, mudah sahaja ia menuding jari kepada pihak berkuasa lantaran bajet pembinaan berkenaan yang tidak mencukupi atau menyalahkan jurutera-jurutera profesional yang dirasuahnya kerana meluluskan projek.




Friday, February 15, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 14 -- BANGGA MEMILIKI HARTA DAN ANAK-ANAK LELAKI



ان كان ذا مال و بنين

Bahawa telah adalah ia memiliki harta dan anak-anak lelaki.

Adakah kerana ia seorang hartawan dan ramai anak-pinaknya (maka ia mendustakan ugama Kami)? 
 
Pemilikan harta amat-amat mempengaruhi jiwa seseorang. Orang yang mengetahui dirinya miskin, selalunya memilih merendah diri dan orang yang mengetahui dirinya memiliki harta atau kedudukan selalunya tidak begitu. Resipi kesombongan dapat diperhatikan melalui tingkahlaku dengan enam ciri yang dinyatakan. Ia menafikan bahawa harta adalah merupakan amanah Tuhan yang harus diserahkan kepada pihak-pihak tertentu atas lebihan harta itu. Ia menegakkan pendirian selain harta, anak-anak yang berada di bawah jagaannya adalah miliknya dan bukan merupakan amanah Tuhan yang perlu dididik dan diberi ilmu pengetahuan untuk menjadi hamba Tuhan. 

Hanya Suatu Contoh : Kerja-ker ja Kontrak

Salah satu kaedah yang mudah memperolehi harta adalah melalui kerja-kerja kontrak. Apabila seseorang diamanahkan untuk melakukan kerja-kerja tertentu sama ada melalui jalan permohonan tender atau pemberian terus. Kaedah memperolehi pekerjaan sedemikian selalunya melalui pelbagai cara, sama ada jalan benar atau melalui pintu belakang. Jalan benar memerlukan seseorang kontraktor itu memiliki kelayakan tertentu serta disokong dengan kekukuhan aset serta kecairan tunai tertentu. Namun atas sebab usaha-usaha sedemikian memerlukan persaingan yang tinggi, pengagihan seringkali memerlukan seseorang mendapatkan projek-projek kontrak dengan jalan rasuah atau menggunakan saluran-saluran tertentu.

Dalam hal yang sedemikian, kesesatan berlaku atas sebab-sebab pendustaan (68:08) dalam menyatakan kelayakan memperolehi projek. Projek-projek yang memerlukan kemahiran, pengalaman serta kelayakan tertentu seringkali diserahkan kepada mereka yang tidak berkelayakan sehingga mengakibatkan kelancaran sesuatu projek mengalami masalah. Kejayaan mendapatkan projek diperolehi melalui pujuk rayu dengan cuba melunakkan hati pegawai-pegawai kerajaan berkenaan melalui habuan-habuan tertentu (68:09). Demikian itulah dua ciri kesesatan semata-mata bertujuan mendapatkan sesuatu projek iaitu melalui pendustaan yang disertakan dalam profail syarikat dan kaedah rasuah atau pujuk rayu untuk melunakkan hati seseorang. 

Untuk menutup tembelang bahawa projekprojek sedemikian diserahkan kepada individu khusus, mereka mewujudkan sejumlah tertentu syarikat-syarikat lain yang sebenarnya di bawah penguasaan yang sama, untuk disertakan dalam tender terbuka. Syarikat-syarikat itu sebenarnya perlu diwujudkan melalui kaedah sumpah di hadapan pegawai undang-undang tertentu atau di hadapan kamar hakim dengan bayaran tertentu (68:10). Borang-borang tender pihak lain yang lengkap yang tidak harus dibuka melainkan pada hari pengundian, telah terlebih dahulu dibuka. Tujuannya adalah untuk mengetahui isi kandungan borang-borang pemohon tender daripada pihak lain, untuk dijadikan hujah penghinaan oleh individul yang akan diserahkan projek-projek berkenaan supaya permohonannya diluluskan. Hujah-hujah ini akan diguna pakai oleh pegawai-pegawai yang membuat penilaian demi mengelakkan keputusan yang akan dibuat kelihatan berbaur rasuah. Untuk menguatkan hujah, individul berkenaan akan berjalan ke sana dan ke mari mendapatkan maklumat-maklumat bergambar dan berdokumen serta maklumat-maklumat pesaingnya untuk melaksanakan kerja-kerja memburukkan (68:11).

Akhirnya ia akan memperolehi projek berkenaan se telah sejumlah besar wang perlu dilesapkan demi memper olehi projek. Ia kini menghadapi masalah untuk menjimat kos pembinaan dan ia tiada pilihan melainkan melakukan penipuan. Sejumlah wang yang seharusnya dapat digunakan dengan membayar gaji pekerja-pekerja tempatan dengan bayaran yang memuaskan mereka, terpaksa dilupakan dan tenaga pekerja asing dengan gaji lebih murah telah diambil bekerja. Rakyat tempatan kurang memperolehi peluang pekerjaan dengan bayaran yang seharusnya diperolehi daripada kerja-kerja pembinaan yang dijalankan lantaran terhalang oleh polisi rasuah yang tinggi (68:12).

Sejumlah wang dialirkan keluar negara sama ada melalui pembayaran upah kepada pekerja-pekerja dengan permit atau tanpa permit, akhirnya mengakibatkan defisit perbelanjaan dalam negara yang cukup besar sehingga menyusahkan kehidupan rakyat. Bagaimanakah ia mengurus pekerjaan mereka yang mengambil pekerja asing itu yang kurang memahami bahasa tempatan? Ia melayannya dengan menggunakan bahasa yang kesat dan kasar. Untuk mengekalkan kekuasaan perniagaannya agar tidak digugat oleh pihak saingannya, ia mendapatkan khidmat samseng-samseng yang melaksanakan tugas-tugas mengugut serta mengancam. Bahkan ia sendiri terancam akibat daripada kerja melewat-lewatkan gaji dan pembayaran kos-kos projek yang ia laksanakan dan sebagainya (68:13).

Beginilah yang ia ulangi setiap kali ia berkehendak untuk menimbun-nimbun lagi pemperolehan harta. Semuanya ia lakukan lantaran penguasaannya terhadap harta dan disokong lagi dengan kehadiran anak-anaknya yang menyaksikannya yang diberi tugas-tugas tertentu (68:14).  Prinsip-prinsip amanah, kesungguhan dalam melaksanakan kerja serta bersikap berhati-hati yang harus diamalkan, dilupakan begitu sahaja. Sama ada projek-projek berkenaan memberi kebaikan atau keburukan kepada alam sekitar dan manusia, tidaklah ia pedulikan.





Monday, February 11, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 13 -- KERAS KEPALA LAGI DIKETAHUI KEJAHATANNYA


عتل بعد ذلك زنيم

Keras kepala sesudah itu samseng pula.

Yang jahat kejam, Yang selain itu tidak tentu pula bapanya.

KESESATAN KEENAM : KERAS KEPALA DAN MENUNJUKKAN 
                                SIFAT SAMSENG

Mengapakah Tuhan mengkhabarkan kepada kita tentang ciri-ciri golongan yang sesat ini? Mengapa tidak terus dihukumkan bahawa penyembah-penyembah selain Tuhan adalah sesat atau sesiapa sahaja yang tidak mengambil sistem yang Tuhan sediakan, adalah sesat? Apabila RasululLah S.A.W. dituduh sebagai sesat sehingga Tuhan menafikannya (68:02), lantas melalui ayat-ayatNya Tuhan tidak membalas kembali pengisytiharan sesat terhadap penuduh daripada golongan yang ingkar itu  (68:06).

Kemudian Tuhan mencirikan siapakah yang sebenarnya sesat berdasarkan ayat-ayat yang selanjutnya daripada itu? Dengan lain perkataan, perisytiharan sesat yang Tuhan tujukan adalah kepada sebahagian daripada manusia, yang antaranya bersikap sangat keras serta sangat-sangat diketahui kejahatannya. Dalam kalangan manusia yang sangat diketahui kejahatannya adalah seperti samseng yang hidupnya dilingkungi aktiviti-aktiviti durjana, banyak menaja kerosakan dan melarang atau bertindak kepada manusia yang melakukan kebaikan. Di negara yang penguatkuasaan undang-undang tidak berlaku secara menyeluruh, aktiviti samseng menjadi sesuatu yang lumrah didengari. Penguatkuasaan undang-undang hanya ditujukan kepada golongan yang lemah sahaja disebabkan kedudukan serta kepentingan individu samseng berkenaan. Dalam terjemahan lain, ﺯﻧﻴﻢ dinyatakan sebagai tak tentu bapa. Iaitu menunjukkan individu berkenaan sebagai tidak dapat dipastikan nasab keturunannya.

Mencari Golongan yang Sesat

Enam ciri utama kesesatan yang dinyatakan dalam surah ini, tidak pernah menggambarkan bahawa mereka ini (1) mengamalkan ajaran 'sesat' seperti melakukan jampi-jampi serapah yang bukan-bukan, (2) mengajak manusia mengabdikan diri kepada selain daripada Tuhan, (3) menaja pembentukan kerajaan langit atau sidang parlimen roh, (4) melakukan peribadatan menyeru roh-roh tertentu ataupun (5) menambah kalimah syahadah serta (6) melakukan amalan tawasul dan zikir sebagaimana yang biasa kita dengar tuduhan sesat yang dikeluarkan oleh pihak tertentu.

Oleh itu, pertuduhan sesat harus didefinisikan dengan secara berhati-hati lantaran masyarakat telah terbiasa dengan tuduhan sedemikian sinonim dengan kufur dan syirik. Mengapakah pihak penguasa agama tidak benar-benar berkempen untuk menyedarkan muslimah yang diberi tanda pada dahinya dan mengahwini pemuda-pemuda Hindu serta beribadah di kuil-kuil sebagai individu yang 'sesat', yang harus dipulih akidahnya? Sekiranya benar mereka memerangi ajaran-ajaran kerohanian yang dituduh sebagai ‘sesat’! Mengapakah mereka tidak mengeluarkan arahan kepada ahli-ahli jawatankuasa masjid untuk mendapatkan senarai nama terkini mereka yang masih mengekalkan pengamalan Islam dan seterusnya memberi peruntukan-peruntukan tertentu supaya tenaga mereka dapat digembleng untuk tujuan dakwah? Bukan membiarkan suasana sedia ada berlaku sehingga akhirnya kita dapati terlalu ramai penganut asal agama ini telah murtad memilih agama lain lantaran habuan dunia atau kekecewaan. Tumpuan kesesatan harus ditujukan kepada :-

Pertama adalah golongan yang mendustakan. Yang mendustakan bahawa Al-Quran adalah wahyu Tuhan kepada Muhammad RasullulLah S.A.W. yang harus sampai kepada setiap individu supaya mereka dapat beramal dengan perintah-perintah Tuhan. Yang mendustakan As-Sunnah adalah contoh-contoh pengamalan RasululLah S.A.W. dalam usaha menafsir Al-Quran pada diri baginda dan para sahabat R.A.H.M.

Kedua adalah mereka yang inginkan orang-orang yang beriman bersikap lunak lalu mereka akan bersikap lunak. Mereka yang mahukan agama adalah sesuatu yang menurut pandangan mereka dan bukannya mereka yang berpandangan dengan pandangan agama.

Ketiga adalah kepada setiap mereka yang gemar bersumpah dengan hujah yang lemah. Sebahagian terjemahan dinyatakan sebagai menghina. Mereka yang menghina pengamalan agama dipraktikkan dalam jabatan-jabatan dan institusi. Mereka ini tidak harus diberi tempat sebagai pemimpin sesuatu jabatan atau institusi.

Keempat adalah kepada mereka yang suka mencela, berjalan (ke hulu ke hilir) dengan perkhabaran. Praktik terhadap golongan ini adalah kepada wartawan-wartawan, juru-juru bicara yang suka mencela sama ada di layar televisyen, video atau sebagainya. Mereka ini menjadi sesat lantaran menghambur fitnah yang dapat merosakkan perpaduan dalam masyarakat dan juga umat Islam.

Kelima adalah kepada mereka yang suka menegah kepada sesuatu kebaikan dan melampaui dalam dosa. Mereka yang menghalang peruntukan zakat daripada sampai kepada pihak-pihak yang memerlukan (iaitu asnaf yang lapan itu), adalah merupakan mereka yang suka menegah kepada sesuatu kebaikan. Mereka ini dapat dilihat bermegah-megah dengan harta. Mereka yang bersifat sedemikian seharusnya dijadikan sasaran dakwah untuk memperbetul kesesatan mereka. Bukannya mengekalkan mereka dalam jabatan yang ada kaitan dengan pengagihan wang zakat sehingga diserahkan kepada badan perniagaan sekalipun yang dinamai dengan nama Baitul Mal atau sebagainya.

Keenam adalah kepada mereka yang bersikap sangat keras, (adapun) sesudah itu, sangat diketahui kejahatannya. Individu inilah merupakan individu yang sesat yang harus diberi kesedaran dan bukannya menuduh pihak yang menganjur kebaikan sebagai sesat walau sesiapapun jua.




Friday, February 8, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 12 -- MENEGAH KEBAIKAN MELAMPAUI DALAM DOSA


مناع للخير معتد اثيم

Yang menegah kepada (sesuatu) yang baik (serta) melampaui dalam dosa.

Yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, Yang melanggar hukum-hukum ugama, lagi Yang amat berdosa, -

KESESATAN KELIMA :  SUKA MENEGAH KEPADA SUATU KEBAIKAN
                                DAN MELAMPAUI DALAM DOSA

i.    Yang Tidak Wajar Dituduh Sesat

Adalah tidak wajar untuk umat ini atau sesiapapun menuduh sesat terhadap golongan yang tidak menegah umat ini melakukan kebaikan seperti tidak menentang pembiayaan membina rumah-rumah anak yatim, tidak menentang dalam mewujudkan pusat-pusat didikan kepada generasi muda dengan didikan agama dan tidak menentang dalam mengimarahkan masjid-masjid dengan majlis ilmu bagi menghampiri diri mereka kepada ajaran Tuhan. Yang wajar dituduh sesat adalah individu yang menentang sesuatu kebaikan itu dilaksanakan. Yang dikatakan individu yang sesat, sebagaimana yang dinyatakan dengan enam sifat dalam ayat-ayat ini, dapat dikenali dengan sifat melampaui dalam melakukan kerja-kerja dosa. Mereka yang merelakan diri menanggung dosa secara berterus-terusan dan pada masa yang sama mengambil pendirian memusuhi orang-orang yang berusaha mematuhi ajaran agama, adalah wajar dilabelkan sebagai sesat.

ii.     Penganut Sesuatu Agama Atau Kefahaman Tidak
      Wajar Dituduh Sebagai Sesat

Tuduhan sesat tidak harus ditujukan kepada penganut-penganut sesuatu agama yang lain daripada agama Islam kerana label sedemikian akan menjauhkan mereka daripada mendengar ayat-ayat Tuhan. Termasuk yang sesat itu yang menegah dirinya daripada melakukan perkara-perkara kebaikan. ﺍﻟﺨﻴﺮ, juga merujuk kepada harta pemilikan (70:21). Yang tertegah dengan harta pemilikan adalah mereka yang menolak untuk melakukan kebaikan dengan harta berkenaan seperti bersadaqah dan menggunakannya secara sebaik-baiknya pada jalan Tuhan. Dalam surah Al-Ma'arij ada diterangkan salah satu ciri golongan yang tidak bersolah adalah mereka yang apabila telah menyentuh mereka perkara-perkara kebaikan seperti harta dan kedudukan, mereka menegah diri mereka daripada bersadaqah atau mengagihkan harta atau apajua bentuk bantuan dan sumbangan untuk tujuan sama-sama membantu umat.



Monday, February 4, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 11 -- SUKA MENCELA, KE SANA KE MARI MEMBAWA BERITA



هماز مشاء بنميم

Yang suka mencela, berjalan ke sana ke mari menyebarkan khabar berita.

Yang suka mencaci, lagi Yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), -

KESESATAN KEEMPAT :  YANG SUKA MENCELA, KE SANA 
                                   KE SINI UNTUK MENDAPATKAN DAN 
                                   MENYEBARKAN BERITA

i.       Suka Sangat Menimbun Harta

Sifat mencela dan sebab-sebab seseorang itu mengambil pendirian suka mencela sebenarnya diterangkan dalam surah Al-Humazah yang ada hubungkaitnya dengan pemilikan harta. Dengan hartanya (kenderaannya) ia ke hulu dan ke hilir mendapatkan perkhabaran berita serta mencanangnya. Pada zaman ini, perkhabaran dapat berlaku dengan berbagai-bagai kaedah. Selain daripada perutusan melalui posmen, perkhabaran secara harian tercatat pada kertas-kertas akhbar yang dicetak dan diedarkan secara harian. Semuanya memerlukan pergerakan yang aktif. Secara khususnya ayat ini ditujukan kepada penceramah-penceramah atau wartawan-wartawan yang bergerak dari satu tempat ke tempat-tempat yang lain untuk mendapatkan dan membawa khabar berita. Berita yang dibawa adalah berita tentang sumpahan dan tindakan menghina, banyak menyampaikan berita-berita dusta dan sebagainya.

ii.     Mereka Adalah Wartawah-wartawan, Penceramah-penceramah
       dan Pemilik Berita

Kita dapati penguasaan berita dunia dikuasai oleh Yahudi melalui firma-firma perniagaan yang melibatkan komunikasi. Dalam menguasai perhatian orang ramai, mereka sanggup melaporkan berita-berita palsu yang sentiasa diulang-ulangkan. Mereka mempelajarinya daripada Hitler pada suatu masa dahulu bahawa kepalsuan yang diulang-ulangkan adalah suatu kebenaran. Untuk jangka pendek, berita sedemikian akan dianggap sebagai benar dan rakyat mereka akan menyokong polisi penguasa berita untuk suatu tempoh masa.

iii.    Contoh-contoh Berita Palsu
Sebagai contoh, apabila mereka merencana peristiwa 11 September suatu masa dahulu, matlamat mereka adalah membunuh umat Islam seberapa ramai yang boleh. Media massa mereka segera melaporkan suatu tuduhan bahawa kejadian itu didalangi oleh 'pengganas' Islam dan penyampaian berita tentang kejadian letupan menara berkembar WTC dan pusat strategik yang lain, diulang tayang sehingga beberapa ratus kali. Penyaksian sedemikian akan segera dipercayai oleh rakyat Amerika Syarikat dan dunia pada keseluruhannya. Pihak kepimpinan mereka tidak memerlukan mandat rakyat untuk menyerang Afghanistan dan Iraq. Penyerangan berterusan sejak dahulu lagi yang mengakibatkan lebih sejuta kematian umat Islam telah berlaku sebagaimana yang dirancangkan. Selang beberapa ketika setelah kesahihan peristiwa serangan 11 September dipertikaikan oleh ahli-ahli profesional dalam kalangan mereka sendiri, terbukti pentadbiran Amerika Syarikat tidak dapat mempertahankan tuduhan peristiwa berkenaan didalangi oleh umat Islam. Namun mereka tidak mempedulikan semua itu, yang pastinya mereka telah berjaya membunuh jutaan umat Islam di Afghanistan dan Iraq dan menguasai negara-negara berkenaan untuk memuaskan hati kejam mereka. Itulah satu-satunya matlamat mereka, sekalipun dengan cara menipu rakyat mereka sendiri. Kini musuh-musuh Islam berasa amat selamat kerana mereka menyangka mereka berjaya membatalkan perancangan Tuhan sebagaimana yang pernah dinyatakan dalam keterangan Al-Hadith tentang peristiwa akhir zaman.

Fitnah terhadap pejuang-pejuang agama tempatan juga berlaku dalam bentuk provokasi yang menampakkan seolah-olah pejuang-pejuang berkenaan adalah pembelot bangsa dan negara. Dengan demikian kedudukan pejuang-pejuang agama akan dimanipulasikan sebagai musuh rakyat. Selagi berita-berita berkenaan tidak menimbulkan kesan, langkah menghindari dalam membuat sebarang ulasan haruslah diambil kira. Oleh itu, umat ini perlu sensitif terhadap berita yang disebarluaskan kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah kepada mereka. Mereka harus mengambil langkah berjaga-jaga dan langkah perlu, untuk menghindari diri mereka daripada menjadi mangsa percaturan manifesto pihak lain. Bukan dengan cara mengabaikan sahaja fitnah-fitnah berkenaan tetapi dengan cara yang amat berhemah yang tentunya amat sukar dihadapi.




Friday, February 1, 2013

SURAH NUN AL-QALAM AYAT 10 -- YANG BANYAK BERSUMPAH YANG LEMAH


ولاتطع كل حلف مهين

Dan janganlah kamu mentaati setiap (individu) yang banyak bersumpah yang lemah.

dan janganlah Engkau (berkisar dari pendirianmu Yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang Yang selalu bersumpah, lagi Yang hina (pendapatnya dan amalannya), -

KESESATAN KETIGA :  MEREKA YANG BANYAK BERSUMPAH
                                DENGAN SUMPAH YANG LEMAH

i.     Mengambil Sumpah-sumpah Mereka Sebagai Pelindung

Individu yang banyak bersumpah, sekalipun tidak diasak untuk berbuat demikian adalah individu yang banyak berbohong. Tabiat bersumpah dengan hujah-hujah yang lemah adalah merupakan suatu tabiat yang biasa ditemui dalam kehidupan kita sehari-hari. Mengapakah seseorang itu perlu bersumpah? Yang demikian adalah untuk meyakinkan kepada pihak lain bahawa ia berada pada jalan yang lebih benar serta lawannya adalah merupakan pihak yang sentiasa berada pada jalan yang salah. Mereka sanggup mengambil sumpah-sumpah mereka sebagai pelindung sama ada sumpah itu benar atau dusta (63:02).

ii.    Zaman Wang Adalah Segala-galanya

Pada zaman ini, manusia secara umumnya sudah menganggap bahawa wang adalah segala-galanya dan segala-galanya memerlukan wang. Jalan untuk mendapatkan harta sama ada dengan jalan benar atau jalan salah sudah tidak penting. Yang penting adalah memperolehi harta atau kedudukan walau dengan jalan apajua sekalipun. Mereka yang tidak sanggup melakukan kepalsuan sekali-kali tidak akan menikmati kehidupan yang mewah. Pada mereka ini, balasan akhirat itu kalau ada! Apabila harta dan kedudukan menjadi matlamat, kemanusiaan sudah tidak bererti lagi. Harta dan kedudukan telah mengambil alih tempat Tuhan, sehingga tiada yang lebih disayangi daripada Tuhan melainkan harta dan kedudukan. Matlamat kepada harta dan kedudukan melebihi matlamat kepada Tuhan. Akhirnya jalan bersumpah palsu sanggup diada-adakan dengan bermatlamatkan bahagian dunia.



Popular